ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, May 7, 2008

Wadah Perjuangan GPMS Perlu Lebih Relevan

02/01/2006

Saudara Pengarang,GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ditubuhkan pada 1948 untuk melindungi pelajar Melayu. Sejak ia ditubuhkan pelbagai usaha telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya untuk terus menjamin hak pelajar Melayu, sebelum mereka menjadi pelajar, semasa dan selepas. Siapa sahaja ketua GPMS, mereka tetap memegang teguh aspirasi gabungan.

Saya bukan ahli GPMS. Tidak keterlaluan saya katakan wadah perjuangan GPMS tidak lagi relevan di Malaysia yang gaya hidupnya kini amat kompetitif. Saya berani mengeluarkan dakwaan demikian kepada GPMS demi kebaikan bangsa Melayu.

Tidak dapat saya nafikan GPMS telah banyak melindungi dan membela nasib pelajar Melayu sebelum dan semasa mereka menjadi pelajar. Tetapi, GPMS sedikit pun tidak memperjuangkan nasib pelajar Melayu selepas mereka memperoleh segulung kertas.

Untuk makluman semua, mungkin ada yang masih tidak menyedari, kita masih boleh lihat di media cetak atau elektronik pada hari ini, iklan-iklan pekerjaan yang ditawarkan mempunyai prasyarat iaitu mesti `pandai berbahasa Cina' atau lebih keterlaluan iklan yang berbunyi `Chinese Male or Female Preferred'.

Ini bukan isu baru, malah saya pernah membaca komen beberapa individu Melayu yang sedar akan kesan iklan tersebut ke atas nasib penganggur Melayu.

Di manakah peranan GPMS dalam hal ini? GPMS sepatutnya memperjuangkan nasib pelajar Melayu sehingga ke soal periuk nasi mereka seperti apa yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia yang duduk semeja dengan majikan-majikan dan menyediakan kursus penyediaan kemahiran pekerja MLVK.

Kebanyakan majikan di Malaysia sama ada syarikat Malaysia atau syarikat multinasional asing adalah bukan milik Melayu.

GPMS juga mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan. Alhamdulillah, ahli-ahlinya bukan sahaja pelajar tetapi juga pemimpin tertinggi kerajaan. Ini sepatutnya menjadikan GPMS lebih kuat dan teguh dalam perjuangan mereka.

Tetapi tong kosong nyaring bunyinya. Kesempatan ini tidak digunakan untuk menjamin periuk nasi pelajar Melayu. Kursus-kursus yang 100% Melayu antaranya syariah, agama Islam, kajian atau sejarah Islam mencatat pengangguran tertinggi dalam graf Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia. Pilihan mereka amat terhad kepada Jabatan Agama Islam, Mahkamah Syariah dan sejak kebelakangan ini pengurusan masjid.

Persoalannya, di manakah peranan GPMS? Apa usaha yang telah mereka lakukan untuk penganggur Melayu? Memadaikah wadah perjuangan GPMS sekadar memberikan perhatian kepada jumlah kemasukan pelajar Melayu, kekebalan mereka di pusat pengajian tetapi bukan nasib ekonomi mereka?

GPMS misalnya boleh menggunakan kuasa ikatan Melayu yang ada padanya, untuk meminta kerajaan mewajibkan semua syarikat pengeluar, pengilang, perkhidmatan penyediaan makanan kering dan basah yang memohon kelulusan halal mesti mempunyai pekerja yang mempunyai ijazah tempatan dalam Islam sebelum taraf halal diberikan kepada produk mereka.

Banyak lagi yang tidak dapat saya sebut. Hakikatnya, GPMS perlu lebih relevan.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN, Batu Caves, Selangor.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0102&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_01.htm&arc=hive

No comments: