02/06/2006
WALAUPUN masih berada dalam peringkat perundingan, berita Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai Taman Tema Disneyland amat menggembirakan saya.
Taman Tema Disneyland Malaysia bukan sahaja akan menarik ramai pelancong malah akan meningkatkan sosio ekonomi rakyat amnya. Pelan lokasi Taman Tema Disneyland ialah di Nusa Jaya, Johor Bharu, Johor. Taman Tema Disneyland ini mungkin akan dibuka kepada orang ramai serentak dengan Kasino Singapura yang merupakan kasino terbesar di dunia. Johor Bharu akan menjadi bandar maju dan sibuk seperti Kuala Lumpur.
Saya juga ingin menarik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan Taman Tema Disneyland dibina di sempadan Melaka-Johor. Ini bukan sahaja memanfaatkan penduduk di Johor dan Melaka malah dapat mengimbangi pembangunan antara kota – Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya, KLIA (Sepang), Seremban, Melaka dan Johor Bharu.
Dengan terbinanya Taman Tema Disneyland Malaysia, pasti ada pelabur yang berminat untuk menyediakan sistem kereta api laju seperti di Jepun yang akan menghubungkan KL, Seremban, Melaka dan Johor Bharu. Bayangkan, perjalanan KL dan Melaka hanya 30 minit, KL ke Johor Bharu satu jam.
Ini secara tidak langsung akan memberi impak positif terhadap ekonomi di bandar-bandar tersebut malah memberi implikasi baik untuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL serta memudahkan pengunjung dari serata dunia untuk ke Taman Tema Disneyland yang bertemakan tropika ini.
Sebagai contoh Taman Tema Disneyland Hong Kong dibina berdekatan lapangan terbang antarabangsanya dan mempunyai sistem kereta api sepadu.
MUSTAQIM ABDUL RAHMAN-Batu Caves, Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment