ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, May 7, 2008

Islam Cyberlaw Perlu Diwujudkan Dan DiFatwakan

** dihantar pada Utusan, Bharian, Haarakah, beritakmu, Pekida, Jakim dll 31 July 2007- tidak disiarkan

HUKUM ISLAM ALAM MAYA-CYBERLAW PERLU DIWUJUDKAN

Bismillahirahmanirrahim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Aku Bersaksi Tiada Tuhan Yang Di Sembah Melainkan Allah, Aku Bersaksi Bahawa Nabi Muhamad Rasul Allah.

Sebelum saya lanjutkan penulisan saya, sudi saya tegaskan betapa kita perlu menghormati Al-Quran, Khalifah Allah dan Ulama. Bukan tujuan saya untuk mengalakkan atau mengetuai usaha tidak menghormati institusi agama Islam di Malaysia apatah lagi didunia. Saya berniat kerana Allah supaya Islam merangkumi dan digerakkan sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini. Alam ghaib, alam dunia, alam bunian, alam akhirat, alam kubur, alam barzakh, dunia nyata, dunia langit, dan pelbagai jenis lagi ada disebut dalam Al-Quran dan kitab-kitab terdahulu. Namun, ada satu isltilah yang telah muncul lebih 20 tahun dahulu iaitu alam maya-cyber (virtual world). Sebagai seorang muslim, kita dijanjikan oleh Allah untuk diuji keimanan kita dan syaitan akan terus berusaha menyesatkan anak Adam hingga kehari kiamat. Namun, ujian masa dahulu dan kini amat berbeza. Syaitan akan menggunakan teknologi terkini untuk menggoda dan menyesatkan kita, dimana apa sahaja cara akan Syaitan gunakan sehinggalah kebaikan tampak seperti keburukan dan keburukan tampak seperti kebaikan.

Teknologi memudahkan pengapaian maklumat dan akses kepada dunia tanpa sempadan terus dihadapan mata kita. Komputer dan Internet terus menjadi pemangkin telekomunikasi terhadap dunia yang semakin kecil. Seorang Muslim yang menggunakan teknologi tersebut hanya bergantung kepada hukum Islam yang tiada menyebut kewujudan komputer dan dunia tanpa sempadan. Sebagai Muslim kita berpegang kepada rukun iman yang lima namun pihak berwajib wajar mengeluarkan garis panduan dan fatwa mengenai hukum dosa dan pahala dan halal dan haram dalam penggunaan komputer. Agak menyedihkan apabila tiada usaha menjelaskan hukum-hakam dalam menggunakan teknologi canggih dan merbahaya seperti komputer dan internet. Ulama dan Cendekiawan Islam mungkin mempunyai banyak tugasan dan amanah namun pembangunan insan perlu dilengkapi dengan penghayatan Islam. Modal Insan yang di uar-uarkan oleh Perdana Menteri harus mendapat sokongan kerana Islam adalah cara hidup Muslim. Al-Quran ialah panduan kita dan jika ada kemusykilan, Ulama, Imam dan Pusat Islam perlu memainkan peranan dalam menjelaskan maksud sebenar Kalam Allah itu.

Dunia yang serba canggih kini bukan sahaja mempunyai berjuta kebaikan tetapi juga mempunyai berjuta keburukan. Pelbagai kesangsian mengenai hukum yang perlu dijelaskan dan dibincangkan oleh Majlis Ulama seterusnya mengeluarkan fatwa. Saya hanya dapat menyebut sedikit sahaja dalam ruangan ini, namun apa yang pasti dunia Islam masih belum mempunyai islam “cyberlaw” baik di dunia Arab mahupun Asia.

Antaranya; Apakah hukum menyimpan gambar atau video lucah di cakera keras komputer atau di dalam kad ingatan(memory card) telefon bimbit? Apakah hukum bagi seorang islam yang tidak pasti akan asal usul dan kesahihan cerita yang diedarkan melalui e-mel yang kemudian diedarkan kepada berjuta orang lain?

Apakah hukum membaca Al-Quran atau memainkan Surah Al-Quran menggunakan perisian Al-Quran di komputer atau telefon bimbit yang mana komputer dan telefon bimbit itu juga tersimpan koleksi-koleksi lucah?

Bagaimana pula jika video dan gambar lucah disimpan di sektor cakera keras yang sama dengan Al-Quran malah bertindih? Apakah hukum membawa komputer dan telefon bimbit yang mengandungi video dan gambar lucah ke rumah Allah? Apakah hukum menonton hak peribadi orang lain seperti video intipan, video lucah dan lain-lain?

Apakah hukum apabila mengaji Al-Quran bergurukan sistem applikasi komputer yang canggih seperti Mari Belajar Al-Quran? Wajarkah kita mengambil air sembahyang sebelum membuka applikasi Al-Quran? Al-Quran pada asalnya ditulis diatas kulit pokok dan kulit binatang menggunakan “pen” dan apabila Al-Quran mula dicetak dengan menggunakan dakwat satu ketika dahulu, Al-Quran diharamkan dan dibuang kedalam Laut, apakah hukum Allah pada ayat suci Al-Quran yang ditulis dicakera keras dan cakera padat melalui kombinasi kod asas dua(binary code)?

Apakah halal bagi seorang anak khatam Al-Quran yang dipelajari dari komputer? Apakah hukum membaca surat-surat rahsia yang menjadi milik orang lain?

Apakah hukum mengerjakan solat sedangkan didalam kocek kita terdapat “thumbdrive/pendrive” yang mengandungi bahan lucah dan hasil rompakan? Ya, hasil rompakan!! Teknologi canggih masa kini telah melahirkan alatan yang sebesar kuku dan mempunyai kapasiti berpuluh gigabit yang membolehkan kita menyimpan lagu dan filem yang menjadi hak penghasil karya, kita merompak dengan memuat turun atau menyalin secara percuma dan kita pergi menghadap Allah dengan hasil rompakan kita!!

Bayangkan apakah pula hukumnya dan dosanya keatas kita apabila kita melangkah pula kedalam kawasan Masjidil Haram dengan membawa hasil rompakan kita!!

Apakah hukumnya bagi seorang isteri yang berkomunikasi secara internet eg; Yahoo Messenger, MSN , Chat dll, dengan suami orang atau bukan, tanpa pengetahuan jauh sekali kebenaran suami? Apakah dosa bagi seorang muslim apabila wanita yang dikenali melalui dunia maya atau cyber adalah isteri orang tetapi wanita tersebut menyembunyikan status perkahwinannya?

Apakah hukum bagi muslim yang membaca satu cerita dalam internet yang tidak diketahui asal-usul dan kesahihannya lalu menceritakan pada orang lain? Apakah hukum bagi seorang muslim yang tidak menggunakan identiti sebenar dan menggunakan identiti palsu untuk membuat kerosakan dan kemusnahan? Muslim ini menggunakan identiti palsu menghina agama bukan islam dan islam?

Apakah tanggungjawab seorang muslim yang dituntut islam kepada wartawan maya dan blogger atau web master?

Islam mengajar umatnya menghormati hak orang lain termasuk hak binatang, apakah garis-garis hak manusia di dalam dunia cyber? Apakah wajar kita menghormati hak orang lain dengan membiarkan komen-komen mereka tersiar didalam web milik kita hanya kerana islam mengajar kita menghormati hak orang lain? Dunia berita internet tidak mempunyai sekatan atau tapisan seperti akhbar yang dicetak, apakah hukum bagi seorang muslim yang menggunakan ayat-ayat kasar, menghina terhadap orang bukan islam apatah lagi orang islam dalam dunia cyber? Adakah mereka terlepas dari hukum Allah atau dosa mereka akan berlipat kali ganda setiap kali ia dibaca oleh jutaan pelayar alam maya ini?

Jika itu ini tentang dosa dan pahala bagaimana pula hukum islam mengenai halal dan haram dalam dunia komputer dan internet? Lebih-lebih lagi apabila ia menjadi punca rezeki kita sekeluarga, menjadi darah daging anak kita yang kita suapkan rezeki melalui hasil haram?

Sebagai contoh, apakah hukum bagi seorang muslim menggunakan perisian dan applikasi seperti Windows, AutoCad, Photoshop, Word, Excel, dan banyak lagi secara tanpa lesen atau mencuri hak orang? Apakah hukumnya pula apabila rezeki yang kita perolehi digerakkan oleh operasi perisian curi ini? Apakah hukumnya kita mengejar ilmiah dan maklumat atau ilmu mahupun penggunaan applikasi Al-Quran, jika menggunakan perisian curi? Adakah kita mendapat pahala menuntut ilmu dan berkah-NYA jika kita menggunakan perisian curi?

Usaha menggariskan hukum Islam Cyberlaw ini tidak perlu digalas oleh Pusat Islam tetapi diketuai dan digerakkan oleh mereka. Pusat Islam boleh menggaji anak-anak muda yang IT literate, atau boleh meminta Persatuan Islam di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh Malaysia , malah boleh meminta bantuan Pertubuhan Islam lain. Hukum Islam Alam Maya atau Islam Cyberlaw ini masih belum dikaji apatah lagi difatwakan oleh mana-mana Negara Islam dalam dunia, amatlah sukacita jika Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh yang berpeluang bertindak dalam kapasiti Ketua Kepada Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi mengetuai dan mempelopori kajian mengenai Hukum Islam Alam Maya atau Islam Cyberlaw di semua negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Kesan dan implikasi terhadap masa depan anak-anak Islam seluruh dunia begitu kelam jika tiada sebarang garis panduan mengenai Hukum Islam Alam Maya atau Islam Cyberlaw di keluarkan.

Bayangkan, apa yang pada kita tidak salah walhasil ianya berdosa kecil malah besar akan menjadi pegangan dan nilai hidup anak kita dimasa hadapan. Sebagai orang Islam, suka saya melihat jika usaha ini digerakkan terus ke se-antero dunia islam. Pusat-pusat Akademik Islam di seluruh dunia boleh menganjurkan perbincangan, forum atau musyakarah yang disertai oleh semua Negara atau Persatuan Islam sedunia. Gembira saya melihat jika pelaksanaan Islam Cyberlaw ini tidak mempunyai sempadan malah dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua Islam tidak kira Ahlil Sunnah, Syiah, Sekular, Radikal, dll. Ini kerana Islam Cyberlaw ini dibuat bersandarkan AL-QURAN yang menjadi pegangan setiap muslim dan hanya menggariskan hukum pahala dan dosa, halal dan haram, wajib dan harus, sunat dan makruh dan betul dan salah.

Komputer dan Internet (dunia tanpa sempadan) adalah terlalu besar dan bersifat bukan sahaja global tetapi universal. Ia melepasi segala-galanya di dunia termasuk dinding, pihak berkuasa, komunis, yahudi, sempadan negara, gunung-ganang, lautan dll termasuk Tanah Haram. Ia terlalu sukar untuk dikawal namun penggunanya adalah seorang yang sudah pasti tahu membaca, tahu menulis, tahu berfikir malah sedar dirinya bertuhankan siapa. Oleh yang demikian, semua pencipta perisian dan karya mengharuskan pengguna menerima “Terms and Condition” dengan mengklik butang “Saya Terima”. Agama Suci Islam mempunyai penganut terbanyak didunia berbanding agama lain iaitu 2 billion penganut (tahun 2000). Populasi pengguna komputer dan internet pada tahun 2007 ialah 1.17 billion. http://www.internetworldstats.com/stats.htm

Dari 2 billion muslim di dunia saya percaya hampir setengah darinya ialah pengguna komputer dan Internet. Apa yang perlu dilakukan harus dan wajib dilakukan dengan cepat dan tepat. Islam Cyberlaw boleh bertindak sebagai garis panduan dan “Terms and Condition” bagi menyedarkan umat Islam akan kebaikan dan keburukan dari segi penggunaan dan plagiat. Jika anda seorang muslim, sila baca “Islam Cyberlaw”, jika anda sudah membaca dan faham akan hukum Islam yang anda tertakluk atasnya, klik saya faham, jika tidak klik saya tidak faham dan akan keluar satu alamat e-mel untuk pengguna muslim mendapat rujukan lebih lanjut.

Apa yang nyata, betapa umat Islam memerlukan hukum Islam dalam alam maya atau “Islam Cyberlaw” ini untuk mengelakkan umat Islam dari terus mendapat dosa dan jauh sekali kemurkaan Allah. Islam adalah agama disisi Allah dan harus menjadi contoh ikutan agama lain, pelaksanaan Islam Cyberlaw ini bukan sahaja dapat membimbing umat Islam supaya tidak terpesong dari ajaran Islam sebenar tetapi juga dapat membuka mata bukan Islam kepada kesucian Agama Islam ini.

Tambahan pula, banyak kejadian yang berlaku kebelakangan ini dalam dunia Islam mencemar akan kesucian agama Islam. Islam bukan sahaja dituduh agama pengganas tetapi lebih menyakitkan dan menyedihkan lagi ramai anak muda Islam mempunyai iman yang begitu tipis.

Anak muda Islam ini lebih rela dipengaruhi oleh anasir tidak baik, mencederakan ibu bapa sendiri, tidak menghormati guru, merogol saudara sendiri, lebih teruk lagi membunuh orang lain dengan kejam, malah membunuh orang islam lain malah membunuh orang islam yang sedang bersembahyang atau di dalam masjid.

Mungkinkah anak muda Islam ini sudah menganggap Islam tidak mengajar menghormati hak orang lain bermula dari dunia maya atau cyber ini sehingga mereka mempunyai hak untuk menentukan ajal maut makhluk Allah. Anak muda Islam ini lebih mengutamakan dendam dari kemaafan yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. Anak muda Islam ini begitu tipis imannya, begitu keras jiwanya, begitu hitam hatinya, begitu kacau akidahnya, mungkinkah ini terjadi kerana kesan sampingan dari teknologi yang serba canggih ini. Jika “TIDAK” berjaga-jagalah kita, jika “YA” maka wajarlah Islam Cyberlaw ini diwujudkan!!

Akhir sekali, marilah kita renungi maksud tersirat dan tersurat Sabda Nabi Muhammad “Umat Yang Paling Baik Ialah Umat Dizamanku, Yang Kurang Baik Diikuti Zaman Selepasku dan Seterusnya.” Wallahualam.

Mustaqim Abdul Rahman

No comments: