ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, May 6, 2008

SURAT TERBUKA KEPADA PM KELIMA MALAYSIA

**Hantar Kpd Utusan pada 21 Jun 2004 - Tidak Disiarkan

Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri Ke Lima Malaysia

Salam Sejahtera kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi dan seluruh rakyat Malaysia.

Terlebih dahulu, kita rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada Perdana Menteri terdahulu kerana usaha mereka mengekalkan perpaduan kaum yang saya rasa berada ditahap yang paling sempurna. Pahatkan dalam ingatan, tanam dalam hati, benihkan dalam jiwa dan serapkan dalam perasaan, perpaduan kaum yang kita kecapi haruslah dihargai, dan yang paling penting dikekalkan.

Kita perlu menilai sejarah, belajar dari negara berbilang kaum seperti Indonesia dan Singapura, dan mengakui kelemahan dan kekuatan kita. Indonesia negara yang pernah menikmati perpaduan kaum dan agama, lihatlah apa yang terjadi kepada mereka sekarang. Singapura pula mengamalkan dasar “no tolerance”, mereka dapat mengawal bangsa minoriti, tetapi tidak mengimbangi sosio-ekonominya, dan Malaysia, toleransi, perpaduan dan keseimbangan memang wujud disini tetapi tidak bermakna kita tidak perlu mencegah atau berjaga-jaga. Kemajuan Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu dicapai dalam masa 47 tahun setelah merdeka adalah hasil usaha tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Kasar kata, Malaysia bukan lagi milik melayu, tetapi Malaysia adalah milik Cina dan India juga, TETAPI bukan cina China, bukan india India, tetapi bangsa Malaysia. Hakikat tetap hakikat, walupun pahit kita tetap perlu telan. Nabi Muhammad bersabda, yang pahit itulah ubat.

Isu yang akan dibincangkan dan diutarakan dalam ruangan ini adalah isu sensitif pada kebanyakan orang. Ekonomi yang dikuasai oleh masyarakat cina dan politik yang dikuasai oleh masyarakat melayu jelas menunjukkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi di Malaysia sehingga memaksa kerajaan memperkenalkan dasar ekonomi baru.

Syukur kehadrat Allah, selain dari mengurniakan Malaysia dengan hasil bumi, ekonomi dan perpaduan, kita juga dikurniakan dengan pemimpin yang bijak pandai. Terbukti dasar ekonomi baru telah banyak memanfaatkan semua pihak dan tujuan mengimbangkan sosio-ekonomi menghampiri matlamat. Tiada siapa didalam dunia yang berani lagi menafikan keupayaan Malaysia yang ditunjangi oleh Melayu, Cina dan India.

Benarlah kata ahli falsafah “Socrates”, mengekalkan lebih sukar dari mencapai. Rakyat Malaysia sudah matang, kita kini telah tahu baik dan buruk, dan yang paling penting kesediaan menerima kritikan dan memperbaiki diri. Usaha pemimpin Malaysia memang murni, tetapi kita rakyat Malaysia telah mengabaikan kesan sampingan dan kecil. Kini, Melayu telah bertongkat, Cina dan India masih terumbang ambing tanpa bantuan. Yang mengagumkan, mereka tetap boleh berjaya, semangat mereka memang perlu kita akui. Izinkan saya menyuarakan sekali lagi hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada dua Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, dimana sejarah tercatat, seorang Perdana Menteri meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti dalam ucapan pengulungannya. Tun Dr Mahathir begitu sekali ingin melihat bangsanya berdikari dan begitu juga saya. Saya setegasnya mengatakan di sini, Melayu masih memerlukan tongkat, tetapi pemikiran kita bertongkat harus dihapuskan.

Melayu makin tua, tongkat makin usang, tua Melayu makin kuat dan bersemangat, tongkat makin usang dan rosak. Hari ini kami guna tongkat emas, esok kami guna tongkat perak, kemudian tongkat gangsa, kemudian tongkat rotan, kemudian tongkat kayu dan akhirnya kami tidak memerlukan tongkat. Bukan kerana kami Melayu makin miskin, tetapi kami makin kuat dan tidak memerlukan tongkat lagi. Malaysia boleh , Melayu pun boleh, asalkan ia dilakukan secara beransur-ansur. Terima Kasih Tun Dr Mahathir.

Kita perlu positif dalam menghadapi masalah yang gagal ditangani oleh Indonesia dan Singapura. Pepatah melayu mengatakan, umpama menarik rantai besi dalam tepung, jika tarik perlahan tepung akan berselerak, jika tarik dengan kuat tepung akan berterabur.
Yang pasti, pada ketika ini, perpaduan kaum memang sesuatu yang menakjubkan di Malaysia, gunakanlah peluang ini berdialog, selesaikan persengketaan dan perselisihan faham. Hubungan kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia boleh diibaratkan hubungan suami dan isteri. Sewaktu bahagia, perbincangan menjadi bermakna, bila sudah berselisih faham, kebenaran pun dianggap kejahatan.

Tambahan pula, apabila rakyat dapat menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan terhadap kaum lain, kita dapat lebih menghargai saat ini. Pada masa akan datang, jika ada pihak cuba melaga-lagakan kaum di Malaysia, mereka akan gagal, kerana kita benar-benar sudah merdeka. Wujudkan sebuah badan, atau journal yang terdiri dari Melayu, Cina dan India, beri peluang kepada semua orang untuk bersuara dan betapa pentingnya kesedaran perpaduan kaum.

Akhir kata, saya MELAYU, tapi saya ingin melihat bangsa MALAYSIA menjadi bangsa yang terulung dalam sejarah.


MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

No comments: