** dihantar pada Utusan dan Bharian 8 July 2006 - Utusan siarkan
Perjalanan Johor Bharu Causeway atau Singapura ke Kuala Lumpur hanya 90 minit? Mimpi sudah pasti menjadi kenyataan jika YTL Corporation dengan restu kerajaan meneruskan projek keretapi laju tersebut.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kita mahu cadangan projek tersebut dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin. Sebagai rakyat, kita akan terus mendoakan kemajuan dan pembangunan di Malaysia.
Projek mega ini dijangka bernilai berpuluh bilion ringgit dan YTL Corporation telah diarahkan untuk mengemukakan kertas cadangan kepada Kerajaan Malaysia oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy. Sepertimana projek mega kerajaan (KLCC) sebelum ini, kerajaan tidak memperjudikan duit rakyat tetapi melantik kontraktor tempatan untuk meyiapkan projek tersebut dengan jaminan aset atau kepentingan strategik Negara tetap dilindungi sepenuhnya.
Namun, ada sumber tertentu YTL Corporation sedang berusaha bagi mendapatkan dana antarabangsa untuk menyempurnakan projek mega ini. Ini kerana aliran tunai cair yang banyak amat diperlukan untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Saya yakin, semua rakyat Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional dalam memajukan Negara di samping melindungi kepentingan rakyat. Isyarat jelas ini telah dibuktikan rakyat melalui keputusan Pilihanraya Umum yang lalu.
Pada hemat saya, YTL Corporation boleh mendapatkan sebanyak mana dana dengan memberi keutamaan dari dana dalam Negara. Selain dari syarikat pelaburan kerajaaan, Malaysia masih ada syarikat tempatan yang berjaya dan tokoh korporat seperti Tan Sri Lim Goh Tong, T. Ananda Krishnan, Tan Sri Robert Kuok, Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri SM Nasimudin dan ramai lagi yang tidak dapat saya sebutkan di sini. YTL Corporation juga boleh mendapatkan dana aatu aliran tunai yang amat banyak dengan membuat terbitan awam saham syarikat yang akan membina projek mega ini. Ini secara tidak langsung dapat memanfaatkan dan menguntungkan rakyat khususnya golongan bawahan dan golongan pertengahan.
Akhir sekali, saya sebagai rakyat biasa ingin merakamkan sokongan dan kepercayaan penuh terhadap kerajaan pilihan rakyat kearah pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dalam menuju WAWASAN 2020.
Mustaqim Abdul Rahman
Kuala Lumpur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment