** dihantar pada Utusan 16 Mac 2006 - tidak disiarkan
Tulisan Tajudin Saman seharusnya diberi perhatian oleh semua anak melayu. Hakiki, melayu sahaja yang layak untuk mempertahankan dan memperagungkan Bahasa Melayu sendiri.
Malangnya, realiti kehidupan membuatkan ramai anak melayu lebih gemar menggunakan Bahasa bukan Melayu dalam majlis rasmi yang turut dihadiri bangsa bukan melayu.
Persoalannya, bagaimanakah anak ketam hendak jalan lurus kalau ibu ketam jalan bengkok? Peribahasa Melayu tersebut cukup untuk menggambarkan senario sebenar perjuangan bahasa melayu.
Jika dilihat selain bahasa antarabangsa iaitu Bahasa Inggeris, bahasa yang paling banyak dipelajari dan dituturi oleh masyarakat antarabangsa ialah Bahasa Cina dan Bahasa Jepun. China dan Jepun terkenal akan dasar mereka yang mempertahankan dan memperagungkan bahasa ibunda mereka.
Pada permulaan kebangkitan era modenisasi, masyarakat dunia digesa menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam melicinkan urusniaga antara Negara. Tetapi, sesiapa yang mahu berurus niaga dengan China dan Jepun, keutamaan dan keistimewaan akan diberi kepada mereka yang pandai bertutur dalam Bahasa Cina dan Jepun.
Dasar mereka ini waktu itu dikecam hebat dan pakar-pakar ekonomi meramalkan kebantutan pembangunan ekonomi China dan Jepun. Kejayaan demi kejayaan China dan Jepun membuktikan tiada siapa dapat menghalang gelombang ekonomi mereka.
Hari ini, mereka menjadi kuasa besar dalam ekonomi dunia dan Bahasa Cina dan Jepun menjadi mainan lidah ramai manusia selain Bahasa Inggeris. Malah, di Negara kita sesiapa yang dapat menuturkan Bahasa Cina dan Jepun diberi gaji lebih tinggi dan dipermudahkan urusan mereka.
Budaya ini terbentuk kerana kerana dasar pemerintah mereka satu masa dulu. Mereka begitu mencintai Bahasa Ibunda mereka dan tidak sesekali membelakangi bahasa tersebut dalam urusan rasmi atau tidak rasmi mereka.
Isu mendaulatkan Bahasa Melayu bukan isu baru, malah layak dipanggil isu lapok. Kerajaan telah melancarkan pelbagai kempen, tetapi usaha murni ini tidak berterusan dan mendapat sambutan. Tidak semua agensi, lapisan pemimpin, rakyat dan media terlibat.
Seperti peribahasa yang saya katakan tadi, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu tidak akan selesai selagi ibu ketam tidak jalan lurus. Parlimenku, usahlah didebatkan isu artis, isu remeh, debatlah isu Bahasa Melayu.
Kerana Parlimenlah satu-satunya badan yang layak untuk mengusulkan undang-undang baru dan dihantar untuk diperkenankan Yang Dipertuan Agung. Wajibkan Bahasa Melayu dalam semua acara rasmi, ucapan rasmi malah dalam semua urusan berkaitan kerajaan. Sesiapa yang hendak membuat laporan polis, meminta borang, kad pengenalan, tanah, projek, yang semua berkaitan dengan kerajaan mesti menuturkan Bahasa Belayu. Adakan undang-undang untuk menghukum media melayu yang menggunakan selain Bahasa Melayu.
Disamping usaha mempertahankan Bahasa Melayu ini jangan pula ada yang tidak mahu mempelajari Bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa ini penting, malah kelebihan bertutur bahasa lain memberi kita banyak kelebihan dan ilmiah. Tetapi hanya satu bahasa yang wajar kita agungkan! Bahasa Melayu!
Mustaqim Abdul Rahman
Batu Caves, Selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment