**Dihantar ke Utusan 14Feb05 - Disiarkan
Umat Islam Diminta Berdiri Teguh Dibelakang JAWI
Saudara Pengarang,
SERBUAN ke atas sebuah kelab malam di ibu kota oleh kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini telah mencetuskan polemik besar.
Untuk makluman pembaca, saya bukan seorang yang berimej Islamik. Cukup saya katakan bahawa saya pernah mengunjungi semua tempat hiburan di ibu negara.
Saya juga pernah ditahan dan disoal siasat. Saya juga boleh mengatakan saya menjadi mangsa, tetapi saya tidak menuduh pihak lain salah semata-mata kerana ada orang lain yang tidak ditahan.
Saya melihat peristiwa saya ditahan itu secara positif. Kini sudah empat tahun saya tidak mengunjungi kelab malam. Saya mendapat hiburan untuk memenuhi keseimbangan emosi saya dengan menghabiskan masa bersama keluarga bermain boling, keluar bersama kawan ke restoran mamak atau menonton wayang.Saya perlu berterima kasih kepada Jawi dan bersyukur kepada Allah s.w.t kerana masih mengasihi saya. Sabda Rasulullah s.a.w, jika kita tidak mahu berbau arak, jangan kita hampiri arak.
Dewasa ini kita melihat ibu bapa menyokong anak mereka untuk menyaman Jawi kerana kononnya sayangkan anak.
Ini sayang seperti bapa kepada anak di dalam filem Tan Sri P Ramlee, Anakku Sazali.Saya juga percaya ibu bapa sayang anak mereka dan tidak sanggup melihat anak mereka berada di tempat itu jika ditakdirkan tsunami melanda Kuala Lumpur.
Ada juga pihak yang mengatakan sekalipun kalau berdosa mengunjungi tempat hiburan tersebut, pihak berkuasa tiada hak bertindak ke atas mereka.
Alasannya, itu dosa mereka dengan Allah.Kata-kata ini nampak ringkas, ada benarnya, tetapi jika dijadikan nilai hidup maka saya percaya golongan perogol, pencabul kehormatan, pengamal seks luar tabii, pelaku sumbang mahram, malah penjenayah juga berhak berkata demikian apabila pihak berkuasa menangkap mereka.
Suka saya tekankan bahawa dalam isu ini dasar Jawi tidak salah dan harus disokong. Kelakuan dan etika pegawai Jawi mungkin ada keterlaluannya. Jawi harus lebih peka dalam mendidik pegawai mereka demi memelihara integriti Islam di negara kita.
Jika seorang budak mencuri atau menghisap rokok kali pertama, kita marah mereka hingga terkencing dalam seluar, saya pasti mereka akan ubah sikap.
Tapi, jika kita memarahi walau hanya sekadar meninggi suara setelah mereka bertahun-tahun melakukan kesalahan itu, maka apa yang akan terjadi adalah seperti sekarang ini.
Islam Hadhari yang dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi harus diserapkan kepada pegawai Jawi, supaya pendekatan mereka terhadap umat Islam penuh kesederhanaan dan berbudi bahasa.
Kepada semua yang marah terhadap Jawi, saya minta kita renungkan. Betapa nilai Islam di negara kita makin pudar dimakan arus teknologi dan modenisasi. Namun kita tetap mahu melihat anak kita menjadi lebih baik daripada kita.
Jika masih ada luka, malu dengan malam hitam yang menimpa diri, cuba kita fikir betapa nasib berpuluh anak gadis Islam pada malam itu yang mungkin terus terlibat dalam parti arak. Mungkin akan berlaku pergaduhan akibat mabuk, kemalangan jalan raya, zina, malah rogol.
Saya dengan rendah hati meminta semua umat Islam berdiri di belakang Jabatan Agama Islam, berdiri di belakang pelaksanaan Islam Hadhari. Kita umat Islam tidak menolak kemajuan sains dan teknologi, perubahan gaya hidup yang berkaitan dengannya, tetapi kita juga tidak boleh abaikan suruhan dan larangan Allah s.w.t. -
MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
BATU CAVES, SELANGOR.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0214&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_01.htm&arc=hive
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment