ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, May 7, 2008

Undi Bukan UMNO Demi Kasih Pada UMNO

** dihantar pada Utusan, Harakah dan Beritakmu.net pada 6Mac Disiarkan Pada 10 Mac

UMNO adalah tulang belakang bangsa Melayu.

UMNO juga kebanggaan orang Melayu. Diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946, UMNO bukan untuk diwarisi anak cucu Datuk Onn Jaafar atau Tunku Abdul Rahman, UMNO bukan milik sesiapa tetapi UMNO adalah milik semua orang Melayu yang mahukan Melayu bermartabat.

Umum mengetahui, dan tidak perlu dipertikaikan, kedudukan dan kemajuan orang Melayu terletak pada kekuatan UMNO. Lemah UMNO, lemahlah Melayu, kuat UMNO maka kuatlah Melayu. Ramai pejuang Melayu yang sayangkan Melayu berjuang melalui UMNO. Tanpa UMNO, maka tiadalah Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi dan tiadalah sipolan bin sipolan yang berjuang sehingga kini walaupun sudah mati. Semangat mereka terus hidup tanpa panji UMNO berkibar diatas kuburan mereka. Sipolan bin sipolan ini hanya ahli biasa dalam UMNO tetapi sumbangan mereka lebih besar dari nama-nama diatas.

Perjuangan dan pengorbanan datuk nenek kita, keluhuran pemimpin kita hanya atas satu sebab, iaitu, untuk melihat MELAYU terus diperkasa. Bukan untuk melihat, anak menantu berjaya, tetapi MELAYU. Supaya UMNO terus menunjangi MELAYU. Supaya UMNO terus melindungi MELAYU dari dijajah lagi, dari ditekan, dari menderita, dari kemunduran, dari kebuluran, dari kemiskinan, dari kehinaan dan dari kehaprakan. Kerana tanpa UMNO, hancurlah MELAYU.
UMNO amat kuat sekarang seperti kata Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Badawi.

Sokongan terhadap Barisan Nasional yang diketuai UMNO dalam Pilihan Raya yang lepas adalah yang paling banyak dalam sejarah. Namun, kerana ketiadaan pembangkang yang kuat, ataupun kepimpinan yang ikhlas, UMNO tampak lemah. UMNO kini dipergunakan untuk kepentingan individu. Banyak Cawangan UMNO diketuai oleh samseng, kaki pukul, dan mereka yang tiada kualiti kepimpinan langsung. UMNO memilih ketua dan perwakilan mereka melalui nilai ringgit, nilai harta dan kuasa samseng. UMNO terus lemah, Melayu hanyut besama cerita rekaan kejayaan tidak seberapa anak Melayu, Melayu lunyai oleh kegagahan ekonomi mengejar indeks, Melayu diawangan apabila dipuji dan diangkat kaki ampu, Melayu tenggelam dalam cerita kejayaan Indonesia, Thailand dan Vietnam yang bangkit dari krisis ekonomi lalu, Melayu terperosok apabila tidak mengatakan kebenaran, Melayu hancur apabila bertuhankan kuasa dan ringgit, Melayu….mudah lupa asal usul dan sejarah mereka.

Pada 8hb Mac 2008, Melayu kini mendapat satu lagi peluang untuk menunjukkan kecintaan dan kasih kepada UMNO. Kasih pada UMNO samalah kasih kepada anak. Bukan semua tuntutan kemahuan anak harus dipenuhi. Jika seorang bapa memenuhi segala kemahuan anak, anak akan menjadi rosak dan jahat. Bapa harus memahami keperluan dan masalah sebenar anak. Apakah keperluan UMNO dan masalah UMNO sebenarnya? Sejarah akan menilai UMNO kepimpinan yang lepas. UMNO masa kini tidak perlu menilai diri sendiri kerana sejarah pantas menilai UMNO. Melalui pilihan raya ke-12, ahli UMNO yang menyayangi UMNO haruslah mengundi parti selain dari UMNO. Inilah satu-satunya cara untuk membuktikan kasih kita orang Melayu kepada UMNO supaya UMNO menjadi kuat melalui kerajaan campuran dengan pembangkang.
Saya ahli UMNO dan jelas mengikut perlembagaan UMNO bukanlah satu kesalahan apabila saya mengundi bukan UMNO. Bukan satu kesalahan jika saya menegur kepimpinan UMNO.

Orang Melayu tidak mengundi UMNO kerana sayang pada UMNO. Kerana mahu UMNO terus kuat dan gagah. Supaya UMNO tidak lemah dan terus hancur. Melalui krisis, melalui cabaran, hanya itu sahaja cara yang ada supaya UMNO bertambah kuat. Dan mesej yang jelas perlu disampaikan pada kepimpinan UMNO bahawa UMNO bukan milik sesiapapun tetapi milik semua orang Melayu. UMNO perlu kekal dan perlu menjadi lebih kuat dalam menghadapi era globalisasi yang jelas makin meninggalkan Melayu dalam arus kemodenan.

Kecintaan dan kasih sayang pada bangsa Melayu tidak semestinya ditunjukkan dengan mengundi UMNO atau berkempen untuk UMNO. Tetapi dengan berdoa dan terus menyokong mahupun membangkang UMNO dalam memastikan UMNO terus kuat dan Melayu terus maju.

Saya akan terus menjadi ahli UMNO sehingga bila-bila cuma saya mahukan UMNO terus kuat, sepertimana harapan pejuang tulen UMNO dan Melayu yang telah gugur.

P/S: Suruhanjaya Pilihanraya kini tidak lagi menjamin akan melindungi dan merahsiakan undi. UNDI bukan lagi rahsia. Jentera UMNO, PAS, dan lain-lain tahu anda undi siapa. Atas sebab itu, saya tidak perlu menyembunyikan identiti saya dan saya undi siapa.

Mustaqim Abdul Rahman
Batu Caves, Selangor.

No comments: