ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Friday, January 3, 2014

Surat Terbuka Untuk UMNO Kelantan, Penang dan Selangor


Tahniah pada PAS, DAP dan PKR kerana berjaya mengekalkan kerajaan di Selangor, Penang dan Kelantan malah memenangi lebih cemerlang berbanding PRU sebelumnya. Malahan hingga hari ini berjaya memenangi hati rakyat Negeri berkenaan walaupun menaikkan kadar cukai, walaupun rasuah, walaupun kroni, walaupun seleweng, walaupun mewah dan walau apa pun.

Adat pertandingan sudah pastilah ada yang kalah dan ada yang menang, jika tiada yang kalah maka ia tidak dinamakan pertandingan. Pada yang menang, amanah Tuhan menanti dan pada yang kalah perlulah memperbaiki diri.

Malangnya, sistem reward yang diamalkan UMNO sekian lama kekal cacat hingga kini. Kelantan menjadi penanda aras bagi Pasukan Negeri yang tewas tetapi tetap mendapat beberapa kerusi Kabinet setiap penggal. Walaupun UMNO Kelantan tewas untuk 1000 tahun lagi tidak mengapa, Pemimpin UMNO Negeri tetap akan dilantik Menteri.

Role model ini diikuti oleh UMNO Selangor dan Penang yang dikejutkan pada PRU 2008. Walaupun kalah tetapi seperti Kelantan, wakilnya tetap dilantik sebagai Menteri Kabinet. Dengan congak mudah sudah pasti tidak banyak usaha perlu dilakukan oleh Negeri berikut untuk merampas kembali Kelantan, Selangor dan Penang kerana pelantikan Menteri bukan diambil dari merit.

Walaupun sistem reward tersebut gagal mengembalikan Kelantan pada UMNO,  ia tidak menjadi masalah kerana kerajaan persekutuan berjaya dikekalkan BN-UMNO.

Namun, umpama penyakit kalah yang sudah sebati dalam jiwa UMNO, dari Kelantan ia berjangkit ke Negeri –Negeri lain hinggakan pada PRU 13 UMNO hanya mampu menang 133 kerusi Parlimen sahaja walaupun usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh Perdana Menteri.

Tonik yang disuntik Perdana Menteri kepada UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan tidak mangkuh malahan membawa kepada sindrom kalah tidak apa pula kerana seperti yang dikatakan sebelum ini, penularan wabak ini berasal dari Kelantan dan ia tidak membawa sebarang kesan keatas Kelantan baik dari segi bantuan kewangan mahupun penagihan kuasa.

Zon Selesa UMNO sudah berbelas tahun berakhir, tapi UMNO masih selesa bertelagah sesama sendiri walaupun mereka sudah kalah untuk kali kedua malah untuk kali ke 5 atau 6 di Kelantan.

Disebabkan asyik dipilih sebagai pemimpin peringkat pusat, mereka gagal keluar dari minda pemimpin untuk menjadi pembangkang yang baik di Negeri sendiri.

Sedikit nasihat untuk UMNO, untuk menangkap seorang pencuri berfikir seperti pencuri. Jika mahu mengalahkan pembangkang berpengalaman seperti PAS, DAP dan PKR, jadilah seperti pembangkang dan belajarlah berpolitik seperti mereka kerana sebagai pembangkang mereka amat hebat dan terbukti pencapaiannya.

Jika UMNO kekal membawa pendekatan "memimpin" untuk membangkang, maka Kelantan, Penang dan Selangor hanya mampu dimenangi UMNO 10000 tahun lagi.

Mustaqim Abdul Rahman


No comments: