ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, December 30, 2010

GARUDA YANG ANGKUH

Beberapa perkembangan mutakhir di Asia Tenggara jelas menunjukkan Garuda Indonesia bersifat angkuh. Bukanlah kerna isu remeh seperti Piala AFF yang sewajarnya ditinggalkan di padang bola, tetapi apa yang lebih utama harus diutarakan ialah kenyataan Nahdatul Ulama(NU)yang merupakan Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia yang mendakwa mempunyai 40 juta Ahli. Mereka menolak mentah-mentah cadangan menjadikan Indonesia Negara Islam dan tetap mahu mendukung Pancasila sebagai dukungan perdana walhasil umat Islam merupakan majoriti disana malah yang terbanyak di dunia.

Apakah Garuda fikir mereka bisa terbang tinggi selamanya tanpa berpijak di bumi Allah yang nyata?

Dari beberapa aspek, Malaysia amat berbeza dan Islam disini lebih terpelihara. Sedar atau tidak, dalam jiwa setiap Muslim di Malaysia, telah disemai semangat gelora meletakkan agama Islam sebagai dukungan utama, diikuti Bangsa, Negara dan lain-lain.
Usaha untuk mendidik rohani orang Muslim di Malaysia supaya senantiasa meletakkan Islam diatas segalanya adalah usaha berterusan dan didokong oleh Kerajaan Malaysia, Parti Pembangkang PAS, Zulkifli Nordin, Dr Fadillah Kamsah, pendakwah seperti Ridhuan Tee Abdullah, Farid Ravi dll, Sultan dan Mufti, sehinggalah kepada Guru-guru sekolah dan ibu bapa.

Tidak dinafikan dukungan agama Islam di Malaysia sebagai yang Utama dan bukan Negara, Bangsa telah mengakibatkan perpecahan teruk di kalangan orang Melayu. Ramai Melayu yang hilang Melayunya, malah ada yang hilang Malaysianya, tetapi tidak seramai Indonesia yang hilang Islamnya. Hilang Islam bukan hanya merujuk kepada murtad tetapi dari segi pelaksanaan termasuk syirik, kahwin campur tanpa menukar agama, perempuan simpanan, Isteri banyak suami, makanan,arak, judi, maksiat, zina, curi, bunuh, rasuah dan banyak lagi.

Hakikat yang pahit untuk ditelan semua agama adalah hampir kesemua perpecahan Bangsa dan Negara dalam dunia adalah disebabkan Agama, malahan di dunia Anbiya, perpecahan masih berlaku antara Sunni dan Syiah sejak wafatnya Baginda Rasullullah SAW.

Tetapi, Allah benci pada persengketaan, perpecahan dengan jelas mengajar manusia, dalam apa jua perbuatan dan perkara, yang terbaik ialah kesederhanaan. Seharusnya diantara Agama, Bangsa dan Negara perlu ada keseimbangan. Janganlah keterlaluan beragama sehingga mengkhianati Bangsa dan Negara sendiri seperti di Malaysia dan jangan pula keterlaluan cintakan Negara dan Bangsa sehingga mengambil mudah melekehkan Agama.

Tiada apa yang sempurna melainkan Allah, tetapi semua manusia berusaha mencari kesempurnaan yang hanya akan dicapai apabila kita berjaya meniti titian Siratul Mustaqim dan diam di Syurga selamanya.

Polemik meletakkan Agama, Bangsa, Kaum, Suku, Keluarga, Kepercayaan dan lain-lain mengikut tertib atau “First thing first” adalah keputusan yang amat mudah kerana Al-Quran adalah kitab pegangan utama pada orang Muslim dan termasuk dalam Rukun Iman. Oleh itu, dalam setiap inci kehidupan seorang Muslim, Agama wajib diletakkan nombor satu kerana Agama yang suci ini, Kitab yang benar ini mengajar pada mereka yang mahu belajar, kesederhanaan, justeru membimbing kita mendekati kesempurnaan.

Rakyat Indonesia terdidik dengan sifat Garuda Angkasa pasti tidak dapat menerima penulisan dari Warganegara Malaysia Harimau Darat. Ini jelas ditunjukkan dengan pelbagai jenis konfrontasi, provokasi, penghinaan,kecaman dan pelbagai lagi. Malah, amat memeranjatkan pada sebuah Kejohanan sukan yang diadakan di Negara Berdaulat, pasukan pelawat perlu dibawa ke stadium menggunakan kenderaan perisai. Agaknya, apa yang akan terjadi jika saya menjadi Perdana Menteri Malaysia dan mengarahkan semua tentera saya bersiap sedia mengacu peluru berpandu kearah Indonesia sebagai langkah berjaga-jaga jika apa-apa terjadi pada pasukan Negara saya?

Sejak dahulu semua provokasi dan sikap keras Indonesia pada Malaysia ditangani dengan lembut oleh Malaysia bukan kerana kepimpinan Malaysia takut, tetapi kerana sebagai orang Islam, kami sayangkan perpaduan dan persaudaraan Islam yang dijalinkan oleh ”Al-Quran”.

Sekian yang bukan terakhir, saya menegur Saudara Islam di Indonesia kerana saya percaya, Malaysia dan Indonesia merupakan antara benteng terakhir Islam di dunia sebelum semua tembok Islam diruntuhkan dan Allah akan menghadiahkan kita fasa akhir zaman. Tembok yang mahu “mereka” runtuhkan bukanlah Tembok Batu, tetapi tembok akidah,tauhid, kepercayaan, ideologi, perpaduan, persaudaraan, budaya, nilai hidup dan kemasyarakatan, kemanusiaan, ibadat, takwa, dan akhir sekali, meruntuhkan keyakinan orang Islam kepada Agama Allah, Rasul Allah, Malaikat Allah, Kitab Allah, Hari Pembalasan Allah, dan Ketentuan Allah.

Selain itu saya menegur kerana nama saya Mustaqim bin Abdul Rahman bin Mohd Nurut bin Fakeh Hayat dan Fakeh Hayat adalah Pewaris Seni Silat Kuantan yang datang merantau ke Tanah Melayu dari Kuantan, Indonesia. Bangsa, Suku, Kaum, adalah pakaian berbeza-beza di dunia yang kita wajar hargai dan hormati, tetapi dalaman kita semua sama, hati yang menyebut nama Allah dan RasulNYA.

Mustaqim Abdul Rahman
Batu Caves, Selangor.

Thursday, November 11, 2010

Kenapa sekarang tidak dahulu?

Tajuk diatas sebenarnya adalah soalan seorang warga emas berbangsa Cina dan beragama Islam yang juga emak saya. Sungguhpun beliau sudah memeluk Islam lebih 30 tahun dulu, namun, beliau tetap seorang Cina bersemangat Komunis. Perkataan Komunis pada kami adalah kebanggaan, kerana itu adalah keturunan kami, dan kami tidak bisa mengubah sejarah.

Sebagai seorang Cina, emak selalu berbahas dengan saya kerana seperti saya membela Melayu, emak pasti tetap membela Cina. Hari ini, saya dipancing dengan 2 soalan dari emak iaitu soalan pertama; Apakah salah budak sekolah yang dirotan kerana membawa bekal babi ke Sekolah? Soalan Kedua; Mengapa kini ramai Pengetua Melayu bertindak racist, kenapa tidak dari dahulu?

Soalan pertama jawab saya, budak tersebut adalah mangsa dan beliau langsung tidak bersalah. Malah, mimpi ngeri yang beliau alami akan mengubahnya dari dalam menjadi seorang yang bencikan Malaysia, dan jika nasibnya baik, sudah pasti dia akan berhijrah dari Malaysia Negara yang dibencinya. Soalan kedua sebenarnya adalah soalan bonus, kerana jawapan soalan kedua akan menjelaskan semua perilaku orang Melayu biasa yang digelar sebagai rasis.

Jawapan kenapa sekarang dan tidak dahulu, adalah kerana sekarang Cina dan India begitu lantang mempersoalkan hak Melayu dan Raja. Lebih berani lagi, Cina dan India juga begitu terbuka mencabar kesucian agama Islam termasuk isu Kalimah Allah, Namewee mempersendakan Azan, berucap dalam Masjid, membaca petikan Al-Quran, kes kepala babi di Masjid, menyimbah cat ke Surau kerana ditegur, menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet, mempersendakan Solat, menderma wang judi, menggunakan wang zakat, menyaman Kerajaan kerana tidak membenarkan Kad Pengenalan Lina Joy dibuang perkataan agama Islam, menuduh Islam sebagai Pengganas dengan melakukan “ethnic cleansing” dan banyak lagi.

Kesemua perlakuan Cina dan India ini langsung tidak dikenakan tindakan. Pada saat ini undi Cina dan India adalah Tuhan kepada Parti Politik terutama Parti Islam Malaysia yang kelihatan begitu menyembah supaya diundi mereka. Kerajaan pula terpaksa mengikut rentak PAS dengan berlembut terhadap Cina dan India dan semua, kesemua yang mencabar Islam dibiarkan bebas dan bebas oleh semua pemimpin politik beragama Islam di Malaysia. Perkembangan ini masih dapat mendiamkan Melayu, tetapi, apakah Cina dan India benar-benar fikir Melayu diam bererti Melayu takut?

Oleh kerana Kerajaan dan Pemimpin Politik Islam dari Pakatan Rakyat tidak mampu mempertahankan kesucian Islam, maka, sebagai rakyat biasa, sebagai hamba kepada Allah, Pengetua di Johor, di Kedah, 2 beradik membakar Gereja dan ramai lagi bertindak sendiri. Mereka percaya jihad mereka akan dibalas dengan Syurga, mereka bukan sahaja tidak takut dipecat, tetapi juga tidak takut mati. Sifat amarah mereka meningkat setiap kali Cina dan India menghina Allah, Rasul dan agama Islam. Kaki dan tangan mereka menjadi ringan selepas mendengar Namewee mempersendakan azan, tetapi kerana pemimpin Islam kurang berani, maka perasaan terpendam itu bertukar menjadi dendam.

Kenapa tidak dahulu Pengetua yang sudah menginjak usia 50 tahun ini bertindak sedemikian? Kerana dahulu, PAS adalah jaguh mempertahankan Islam dan Kerajaan pula begitu tegas terhadap mana-mana individu yang dilihat bukan sahaja mengancam, tetapi memprovokasi agama lain. Kini PAS sudah menjadi jaguh menjual dan melacurkan Islam demi keuntungan dunia yang sedikit, dan Kerajaan pula terikut rentak mengemis undi orang yang tidak mahu.

Soalan saya akhir sekali pada emak saya, jika Namewee, Cina dan India, Dr Chua, Lina Joy Murtad, Gereja yang memohon kalimah Allah, wakil Rakyat Cina masuk ke Masjid dan membaca petikan Al-Quran tidak memulakan dahulu tindakan provokasi mereka, apakah Melayu yang lemah lembut ini akan memulakannya. Lebih malang lagi Melayu yang disiat-siat kesabarannya, setiap kali Melayu atau akhbat Melayu mengeluarkan kenyataan, mereka akan dikenakan tindakan dan bila Cina, India dan akhbar mereka, jawapan yang kita dapat adalah sedang disiasat.

Pada kami, orang Islam dan rakyat biasa, jika Kerajaan dan Pemimpin Islam tidak mahu mempertahankan Islam, kami tidak gentar sekalipun pada maut demi Allah, Rasul dan Islam. Malahan, jika keadaan tidak terkawal, dikhuatiri ada Badan Bertindak Islam seperti Pembela Islam di Indonesia yang bertindak sendiri melampaui undang-undang.

Tepuk dada, tanyalah selera wahai Cina, India dan Melayu, kemana haluan kita? Jika kerosakan dan kemusnahan adalah pilihan kita, maka marilah kita bermain dengan api dan bom!

Tetapi percayalah, pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik,yakni marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang yang sudah termaktub dan tertulis hak Melayu dan marilah kita menghormati kesucian semua agama di Malaysia. Jika tidak, buruk padahnya.

Monday, October 25, 2010

PERTAHAN DATUK BANDAR KUALA LUMPUR- ADAKAN PILIHANRAYA DATUK BANDAR

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan beberapa Negeri, mereka sudah mula mendesak diadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan(PBT). Tujuan mereka sukar diduga samada untuk rakyat atau untuk kepentingan mereka. Apapun, cadangan mereka ditolak kerana ia menimbulkan banyak permasalahan lain selain dari kos yang amat tinggi.

Baru-baru ini Kuala Lumpur jatuh beberapa anak tangga dalam kedudukan Bandaraya efisien di dunia dan DBKL sebagai pengurus Bandar Kuala Lumpur pula dikejutkan dengan teguran “mengarut” oleh Perwakilan Pemuda UMNO Wilayah. Ia seolah-olah UMNO masuk campur dalam bidang kuasa DBKL. Sudah jatuh ditimpa tangga, sepatutnya, perwakilan Pemuda UMNO mendesak semua ahli politik dari mana-mana parti berhenti melobi tender dan campurtangan dalam urusan DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur acap kali dipersalahkan atas semua kesalahan DBKL, begitu juga dengan kakitangan DBKL yang senantiasa dihamburkan dengan kata-kata cacian. Namun, sedarkah kita mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Malah, mereka senantiasa berada dalam dilema apabila segala urusan mentadbir Bandaraya Kuala Lumpur di ganggu oleh golongan berkepentingan. Jika tidak dituruti KPI mereka teruk, jika dituruti, keutamaan warga KL menjadi pertaruhan.

Sikap Pemuda UMNO prihatin dengan nasib penjaja Melayu dihargai, namun, kita harus mendokong bersama usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Negara Dunia Pertama bukan Negara Dunia Ketiga. Jika mahukan Kuala Lumpur terkenal dan efisien seperti New York, Madrid, dan sebagainya, DBKL sepatutnya dibiarkan menguatkuasakan dasar mereka tanpa gangguan. Jika benarlah prihatin terhadap penjaja Melayu, bimbinglah kami masuk ke premis Restoran, Gedung Besar, dan Antarabangsa. Bukan menghabiskan dan menyalahgunakan dana perniagaan tetapi tidak mahu bayar balik.

Sebagai Warga Lembah Klang, saya sering dijamu dengan pemandangan penjaja kecil membuka gerai mereka dimana dalam kawasan pasaran yang sama sudah wujud Restoran. Mereka ini memakai baju Puteri UMNO, Pemuda UMNO, AMK, PKR, PAS, DAP, NGO, dan sebagainya, kononnya, dengan memakai baju tersebut mereka kebal dari tindakan DBKL, MPPJ, MPS, MPAJ, MPSubang, MBSA dan sebagainya. Pada rakyat marhein, jika benar mereka mewakili Parti dan NGO pada baju mereka, mereka ini tidak ubah seperti samseng yang mahu berniaga secara percuma dan menafikan hak peniaga yang menyewa premis beribu ringgit sebulan. Jika itu dijadikan budaya persaingan Peniaga di Bandaraya Kuala Lumpur, maka pemandangan KL akan dijamukan beribu “Gerai Haram” pada tahun 2020, dikala premis dan Gedung pula kosong kerana “Gerai Pacak” ini tidak perlu bayar sewa mahal.

Perbuatan ini membuka kepada aktiviti samseng dan ganster mengikut kawasan. Paling tidak bayar pada Ayahanda, Abang Long, Kongsi Gelap, Taiko, Ane, dan pelbagai lagi pihak yang mengaku layak menerima duit, memberi perlindungan termasuk memastikan tiada orang lain berniaga disitu. Apakah Perwakilan Pemuda UMNO mahu bersekongkol dengan amalan ini, atau Pemuda UMNO berfikiran, “Ah! Kaum itu boleh kenapa Melayu tidak boleh”. Datuk Bandar dan DBKL sudah melakukan kerja tetapi urusan mereka sering mendapat campurtangan dari Politik, Persatuan Penjaja Melayu, Cina dan India, anasir jahat dari dalam DBKL sendiri yang membawa agenda “Tuan Duit” masing-masing dan banyak lagi.

Pukullah canang sini, hentam gong sana, tiup seruling pula, semua perlu didengari dan dilayan jika Datuk Bandar atau Yang DiPertua Majlis mahu karier mereka selamat. Arahan yang mereka dapat tetap dari atas kerana mereka dipilih oleh Parti yang dipilih rakyat, dan jika tidak pun mereka akan diancam pula. Kiranya, mereka hanya mampu bekerja untuk rakyat sebanyak 0.00001% sahaja, selebihnya untuk Tuan yang memilih mereka.

Artikel ini tidak berniat untuk menghentam mana-mana Parti dan NGO, terbukti, sesiapa berkuasa sekalipun tetap sama, manusia yang senantiasa melakukan kekhilafan dan “opportunist”. Artikel ini mahu berkongsi ramuan dan resepi menjadi Bandaraya terunggul di dunia seperti New York, seiring dengan Bangunan Kembar Tertinggi Dunia KLCC, dan akan datang, Menara Warisan. Resepi bagi DBKL mentadbir Bandaraya Utama Kuala Lumpur dengan cemerlang adalah Datuk Bandar dipilih melalui PilihanRaya. Dengan cara ini, Datuk Bandar yang dipilih melalui proses demokrasi,tidak perlu tunduk pada campurtangan politik ditambah Datuk Bandar mesti bukan Ahli mana-mana Parti Politik. Untuk mengelakkan salah guna kuasa oleh Datuk Bandar Rakyat ini, lantik wakil Exco dari golongan rakyat dari setiap Zon, setiap wakil Parti Politik, serta wakil dari SPRM dan Polis. Gariskan panduan termasuk mengekalkan 30% ekuiti Bumiputera dan jadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya bebas politik dan ekonomi.

Perkara ini harus dilihat oleh Kerajaan dan Rakyat sebagai satu transformasi politik Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak bagi menuju Wawasan 2020 serta menyatukan Kuala Lumpur sebagai ibu Negara 1Malaysia.

Sunday, October 24, 2010

ASAP INDONESIA, JIRAN MALAYSIA

Apabila sebut perkataan jiran atau tetangga, beberapa maksud terus menerjah benak kita. Antaranya, persaudaraan, muafakat, kerjasama, memahami, baik sangka, bantu-membantu, timbangrasa, tolak-ansur, mengalah, mesra dan ada juga menyampah, marah, kampung, mengumpat, musuh, berkelahi, kurang ajar, salah faham, buruk sangka, tiada akal, dan pelbagai lagi. Apa jua kita fikirkan, baik, maka baiklah ia, begitu juga sebaliknya. Yang pasti, sudah menjadi asam garam berjiran tidak pernah sunyi dari cabaran dan permasalahan yang perlu diatasi bersama.

Ironinya, perkara sama berlaku dalam hubungan antarabangsa. Apa yang penting ialah apakah matlamat kita, mahu berseteru atau bersahabat. Pilihan ditangan kita, tepuk dada, rakyat yang merana, tepuk selera, agama yang musnah. Dan dalam konteks Indonesia dan Malaysia, Islam yang musnah. Apakah umat Islam tidak cukup dibebani dengan persengketaan Bumi Arab yang sudah berlarutan lebih 1000 tahun? Kini, permusuhan Islam terjadi di Asia malah di dalam Negara sendiri juga.

Tajuk diatas bisa dibaca dengan “Asap IndoneSIAL, Jiran MALINGsia”, tetapi, pilihan kita adalah sama, dengan nama satu Tuhan dan Rasul yang sama, HARUS hukumnya kita bersaudara dan HARAM hukumnya kita bermusuh. Malangnya, anasir-anasir luar yang entah ditiup dari Singapore, Australia, Amerika atau dari Israel berjaya memprovokasi terutamanya rakyat Indonesia.

Dan yang paling teruk dikecam, dihina, Jalur Gemilang dibakar, Kedutaan dilempar najis adalah Malaysia. Saudara kita di Indonesia amat ghairah memanggil kita pencuri dan mencuri segala milik mereka. Walhasil, dari konteks rakyat, pencuri yang mencuri segala milik mereka ialah pemimpin mereka sendiri. Jika Tun Dr Mahathir pernah mempersoalkan dimana RM 270 billion yang diberi Petronas dibelanjakan oleh pemimpin Malaysia untuk tempoh 5 tahun, rakyat Indonesia juga wajar bertanya diri mereka, dimanakah kekayaan Negara mereka dibelanjakan.

Malaysia setiap tahun menderita dari segi psikologi dan kesihatan, malah ekonomi juga merudum membabitkan kerugian beratus juta ringgit setahun gara-gara jerebu, yakni asap dari Indonesia. Berpuluh juta pula dibelanjakan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan bagi tujuan membendung kejahatan asap Indonesia. Tetapi, Malaysia sebagai jiran yang baik tidak pernah sekali pun menghina Indonesia jauh sekali mengemukakan saman , yang teramat pasti Malaysia akan beroleh kemenangan dan Indonesia harus membayar ganti rugi. Kerana asap ini bukanlah kebakaran semulajadi tetapi kerana kebakaran terancang demi menjimatkan kos pertanian. Jika Indonesia mendakwa ada Syarikat Malaysia yang terlibat mereka boleh memulakan saman pemula di Mahkamah Antarabangsa supaya siasatan boleh dilakukan siapa penyebab kepada kerugian beratus juta ringgit setahun ini.

Contohilah Malaysia dalam berjiran wahai Indonesia. Sering kita lihat kesalahan jiran kita kerana kita yang disakiti tetapi tidak pernah sekalipun kita sedar kesalahan kita kerana jiran yang sakit.

Tuesday, October 12, 2010

WAJIBKAN TALI PINGGANG KELEDAR PENUMPANG BAS

Takziah diucapkan kepada Waris mangsa tragedi Bas yang kehilangan orang yang tersayang. Semoga mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa. Al-Fatihah(Diam Seketika).

Beginilah kisah cerita masyarakat Malaysia yang memang suka pada sifat sudah terhantuk baru tergadah. Selagi tidak terjadi tragedi yang meragut nyawa yang banyak, sudah pasti tiada langkah pencegahan, kawalan dan idea baru yang akan dilaksanakan. Pemantauan pula hanya dilakukan apabila ada Menteri datang melawat. Apabila semua mata tertumpu pada agensi tersebut, barulah suasana pejabat sebenar berlaku. Jika tidak, pukul 11pagi baru datang kerja dan pukul 2petang sudah pulang.

Hentikan tuding sana sini, cerita salah dan betul, ubahlah sikap kerja kita masing-masing bagi memastikan semua langkah pencegahan sudah diambil. Selepas beribu nyawa melayang kerana tiada penguatkuasaan tali keledar penumpang belakang Kereta, kini sudah diwajibkan kerana ada Ahli Parlimen “tersungkur” dari kerusi belakang keretanya. Jika tidak kerana inisiatif Ahli Parlimen tersebut, maka ramai lagi nyawa yang akan terkorban. Agensi Keselamatan pula hanya tahu cakap, cakap, dan cakap, mesyuarat, mesyuarat, mesyuarat dan saman, saman, dan saman.

Hari ini 10/10/10, terjadi satu tragedi hitam yang meragut 15 nyawa yang tidak bersalah. Kehilangan permata Negara yang melibatan kerugian berjuta ringgit, beribu jiwa hancur kehilangan mereka yang disayangi tiada ganti, dan beratus yang lain pula masih trauma. Bayangkan, apakah kemungkinan korban jiwa dalam “Bas terbang” itu dapat dikurangkan jika semua penumpang diwajibkan memakai tali pinggang keledar? Bukankah tali pinggang keledar penumpang kereta diwajibkan, kenapa tidak penumpang belakang pemandu Bas? Seperti biasa, inilah Malaysiaku. Sudah ada yang mati, baru nak buat kerja!

Jangan asyik mempersalahkan kepimpinan kerajaan. Kerajaan sudah berhabis berjuta ringgit menjalankan kempen kesedaran. Malah, berapa banyak agensi Jalan raya sudah diwujudkan? Jangan jadi Gajah putih sudahlah. Pihak berwajib, dan kita semua, berubahlah sebelum nyawa mereka yang kita sayang pula melayang.

Ingin Perubahan.
Batu Caves, Selangor.

Sunday, October 10, 2010

SOKONG KU LI SEBAGAI MB BARU KELANTAN

Syukur kerana saya dididik di Sistem Persekolahan yang mengajar tidak bersikap kurang ajar pada pemimpin waima peminta sedekah. Fikirkan, jika Mantan Perdana Menteri dikatakan tersungkur, bagaimana pula layanan orang yang mengeluarkan kata-kata itu pada orang bawahan apatah lagi pada pengemis. Adakah ini pemimpin demokrasi yang dipilih rakyat. Bercakap mengenai demokrasi, UMNO berjaya membuktikan yang mereka mendakap kuat semangat demokrasi dan contoh terbaik ialah Ku Li, sungguhpun beliau senantiasa memilih untuk berbeza dengan pendirian Parti, tetapi itu tidak sedikit pun menghakis rasa hormat dan kepercayaan UMNO pada beliau. “Respect to be earned, not to be asked”!

Saya menyokong penuh Ku Li sebagai Calon ADUN di Galas, dan jika tidak sekalipun, Ku Li wajar bertanding di ADUN pada PRU akan datang. Dalilnya amat mudah, Ku Li harus menyelamatkan Kelantan dari kepimpinan yang berusia hampir 20 tahun. PAS gagal memajukan Kelantan walaupun diberi peluang selama 20 tahun. Ramai rakyat Kelantan hidup daif dan terlibat dalam masalah sosial, sungguhnya dalam Islam mengatakan kemiskinan mendekati kekufuran.

Satu lagi pertimbangan rakyat Kelantan ialah Ku Li adalah Insan paling layak mengetuai Kelantan dalam menuntut hak Gas dan Petroleum bumi Kelantan dari Petronas dan Kerajaan Pusat. Ku Li merupakan Pengasas dan bekas Pengerusi Petronas, pernah menjadi Menteri Kewangan, pernah mendidik ahli UMNO erti demokrasi dengan mencabar jawatan Presiden UMNO dari Tun Dr Mahathir, dan masih berterusan berjihad merubah dan membersihkan UMNO. Jika faktor usia Ku Li dijadikan pertikaian, usia Menteri Besar Kelantan sekarang yang lajak 6 tahun dari Ku Li tidak pernah sekalipun terbayang untuk mengundur diri.

Akhir sekali, rakyat Kelantan perlu memberi peluang pada Tengku Razaleigh dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada Dato Seri Nik Aziz bersara dan berehat. Semoga persaraan beliau yang dihadiahkan rakyat Kelantan akan memberi lebih banyak masa untuk Ulama tersebut menghambakan diri pada Allah.

Thursday, September 30, 2010

ORANG ASLI

Pada tahun 1993 saya mengikuti ibu bapa mencari sesuap nasi di Sekolah Kebangsaan Orang Asli, Sg Sampo, Jempol, Negeri Sembilan. Dari Bandar terbesar Bahau, jaraknya lebih kurang 70km, dan dari Bandar Serting jaraknya lebih kurang 40km. Di situ, saya berkawan dengan ramai anak Orang Asli suku Semai@Semelai dan mengenali mereka dengan lebih dekat.

Saya berkawan dengan anak Penyelia sekolah tersebut Puan Ani, dan kami pergi memancing bersama, mandi sungai bersama anak orang Asli lain(yang perempuan berbogel, tapi tidak apabila saya ada-sedihnya), pergi menyumpit bersama(sampai hari ini saya tidak pandai), bermain bola bersama(mereka berkaki ayam walaupun memijak duri semalu dan keting mereka amat keras), berbasikal seluruh kampung dan sebagainya. Nama mereka juga amat unik, seperti sudu, garpu, tali, dan ada juga yang bernama orang Islam tetapi bukan Islam(nama mereka juga menggunakan bin dan binti). Yang pasti, mereka amat mesra dan mudah didekati.

Jauh didalam kampung tersebut, masih ada rumah atas pokok yang mereka bina bagi mengekalkan identiti mereka. Malah, rumah Tok Batin bersidang juga dibina di atas pokok. Tok Batin adalah orang yang paling dihormati dan berilmu malah ramai orang Melayu dan Cina dari KL yang datang berubat atau mengena dengan Tok Batin. Bagi Orang Asli, apabila Tok Batin mereka mati adalah dilarang mereka melintas atau mendekati perkuburan Tok Batin mereka melainkan ada upacara yang disertai Tok Batin sedia ada. Uniknya mereka, tetapi sering mendapat tempias pengaruh budaya dan aktiviti tidak sihat terutama dari Pusat Latihan Polis Ayer Hitam yang terletak bersempadan dengan Kampung tersebut.

Sepanjang 2 tahun saya berdiam di situ, pelbagai peristiwa terjadi dan terpahat dalam diri. Antaranya, ialah penyebaran Islam oleh Perkim. Entah kenapa, dakwah yang dijalankan oleh Perkim amat agresif. Pada masa itu, setiap Keluarga yang memeluk agama Islam dijanjikan bantuan RM setiap tahun disamping anak-anak mendapat bantuan RM, persiapan sekolah dan lain-lain. Imbuhan ini ternyata amat menggoda Orang Asli sehingga ramai yang memeluk agama Islam bukan kerana kerelaan tetapi kerana kebendaan. Akibatnya amat mudah, usaha Perkim dan Jabatan Agama menempatkan Ustaz dan Guru bukan sahaja mendapat tentangan masyarakat Orang Asli tetapi juga langsung tidak mendapat sambutan dari Saudara Baru Islam. Madrasah 2 tingkat lengkap bersama Kelas Agama menjadi tempat kambing dan ayam melepas dan pernah juga dipenuhi dengan najis manusia. Lebih teruk lagi, Islam yang diamalkan oleh mereka ialah Islam yang mendapat kemurkaaan ALLAH SWT.

Selepas 20 tahun, bayi keluarga Orang Asli yang memeluk agama Islam kerana kebendaan ini sudahpun dewasa. Mereka masih lagi beragama Islam. Tetapi, nilai Islam yang ada dalam diri mereka boleh dipersoalkan, apatah lagi penglibatan ramai anak muda mereka dalam muzik metal, punk , dan lain-lain yang berbentuk pemujaan. Acap kali, mereka meruntuhkan imej orang Islam dengan kelakuan mereka, memaki Allah, menghina Nabi Muhammad, mempersoalkan Rukun Islam, minuman dan makanan mereka dan banyak lagi. Mereka Islam tetapi, hati mereka Islam atau tidak hanya Allah sahaja yang tahu. Oleh itu, adalah amat wajar Perkim, Jabatan Agama Islam mengkaji semula dakwah yang menjanjikan kebendaan sebagai imbuhan ini. Adalah lebih baik berdakwah di kalangan orang Islam yang sedia sesat atau beri penumpuan kepada mengisi jiwa remaja Islam. Wallahhualam.

Seperkara lagi yang boleh dikongsi bersama mengenai Orang Asli ini ialah jasmani mereka. Mereka mempunyai tubuh badan yang kuat, tulang yang kuat, stamina yang tinggi serta kental semangat. Jika Kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Persatuan Sukan mahukan atlit bertaraf dunia mereka boleh memulakan pembangunan sukan dikalangan Orang Asli. Saya pasti Malaysia mampu mencabar dunia baik bola sepak, balapan, renang, berbasikal, trialthon,takra, bola tampar dan lain-lain jika memberi penumpuan kepada Orang Asli. Mereka dilahirkan semulajadi dengan fizikal dan jasmani sukan, cuma memerlukan latihan dan bimbingan.

Kesimpulannya, Orang Asli selaku penduduk asal Bumi Semenanjung Allah ini adalah baik dan tulus hati. Mendekati mereka, menyelami dan menyulami kehidupan bersama mereka adalah perkara yang saya banggakan dalam hidup. Semoga Orang Asli diberi hidayah dan rahmat oleh Allah dan hak mereka selaku peneroka asal Malaysia dihormati. Amin.

Monday, September 20, 2010

MAAF, SAYA TETAP TIDAK UNDI UMNO SELAGI MENTERI TEKSI CELUPAR

UMNO boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan bagi memancing undi rakyat. Biar diratakan Gunung Kinabalu sekalipun, Cina tidak akan sesekali memberi undi pada UMNO. Bukan kerana DEB atau Perkauman, tetapi mengundi UMNO hanya akan membantutkan perkembangan usaha mereka untuk merampas kuasa politik dari tangan orang Melayu. Saya juga sependapat dengan mereka, jika yang memegang kuasa ekonomi dan politik adalah dari kelompok yang sama(apatah lagi Cina yang memang lebih pandai berniaga dari Melayu), ekonomi Malaysia akan menjadi terhebat dalam dunia. Tetapi, beberapa pengorbanan tidak dapat dielakkan, dan jika yang dikorbankan ialah Melayu dan Islam, mati pun saya akan pertahankan.

UMNO kini perlu bergantung pada undi orang Melayu yang sejak Merdeka dahulu berpecah kepada dua kelompok besar. Pertama ialah kelompok Islam biasa, dan kedua ialah kelompok Islam yang fikir mereka lebih Islam dari orang lain. Islam yang fanatik ini memang sudah terlahir taksub mereka dan adalah amat mustahil untuk UMNO memperoleh undi mereka. Alasan mereka mudah, UMNO gagal menegakkan Negara Islam walaupun sudah berkuasa 50 tahun, dan pada pemikiran dangkal mereka, Parti mereka pasti akan melaksanakan Negara Islam apabila memerintah Malaysia.

Presiden BN yakni Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak sudah melakukan apa sahaja untuk menyakinkan rakyat Malaysia akan barisan kepimpinan beliau. Malah, usaha beliau sudah berjaya menarik kembali undi India dan Melayu. Namun, atas keceluparan mulut Menterinya, adalah mustahil untuk UMNO kembali berkuasa. Perlu diingat,UMNO kalah kerana keceluparan mulut barisan Pemimpin Kabinet Pak Lah termasuk menantunya yang menggelar orang berdemo sebagai beruk. Adakah Menteri melakukan kerja rumah dengan melawat ceramah-ceramah politik sepanjang tempoh berkempen PRU 12? Hampir 90% ceramah PR pada PRU 12 hanya menggunakan ulang tayang video Tun Dr Mahathir mengenai kepincangan barisan pemimpin Kabinet Pak Lah.

Saya sendiri sudah pasti tidak akan mengundi UMNO jika Menteri yang bermulut celupar tidak tahu mengenang budi Negarawan Ulung. Perdana Menteri perlu bertindak ke atas Menteri ini dan kelewatan untuk bertindak hanya akan mengakibatkan lebih banyak undi protes terhadap barisan kepimpinan beliau yang akan dilihat sebagai barisan kepimpinan melepaskan anjing tersepit. Malah rakyat akan mempunyai persepsi takut kerana sedangkan Mantan Perdana Menteri diperlakukan seperti itu, apatah lgi rakyat biasa. Kerajaan yang angkuh, celupar dan bongkak sekali lagi akan diajar pada PRU 13.

Dan, YA, saya akan undi PR selagi Menteri Angkuh ini berkuasa.

Thursday, September 2, 2010

MUI HARUS KELUAR FATWA

Islam berupaya untuk mengatasi konflik antara 2 Negara Islam unik yang majoriti rakyatnya adalah berugama Islam. Bukan itu sahaja, Islam mampu mengeratkan hubungan Malaysia dan Indoonesia termasuk dari segi ekonomi,. Islam, Allah dan Rasul adalah segalanya dan kunci kepada perpaduan antara Islam. Namun, apabila Umat Islam tegar melakukan sesuatu yang melanggar hukum Allah, maka bencana adalah jawapannya. Itulah yang terjadi di dunia Arab apabila antara Islam berbunuhan sesama sendiri dan golongan Ulama pula memilih untuk berdiam diri atau memilih pihak. Akibatnya, hancurlah Islam Arab. Kini, senario yang sama berlaku di Nusantara. Umat Islam sekali lagi jatuh dalam permainan Syaitan dan Iblis sepertimana Qabil menyesali tindakannya membunuh Habil kerana cemburu.

Sebenarnya Malaysia dan Indonesia adalah benteng terakahir Islam di Asia selain dunia Arab. Bagi Negara Afghanistan, Pakistan,dan Bangladesh, selain pergolakan politik dan perbalahan antara Islam, mereka merupakan yang Negara Berpendapatan Rendah. Berlainan dengan Malaysia dan Indonesia yang Allah kurniakan dengan hasil bumi dan minyak yang banyak, kita kaya, makmur dan mampu menggunakan sumber ekonomi untuk mendaulatkan Islam di Asia. Jika Islam Bangladesh, Pakistan, Afghanistan, serta Islam minoriti di India, Burma, Thailand, Singapura, Filipina mahu perlindungan dan tempat mencari rezeki, Malaysia dan Indonesialah tempatnya. Perihal ini menggusarkan Syaitan yang senantiasa mahu melihat umat Nabi Muhammad SAW bermusuhan dan berbunuhan. Lalu, pelbagai perkara di sesatkan seperti terletaknya tertib susunan Agama, Bangsa dan Negara. Nampaknya, Indonesia meletakkan Bangsa, Negara dan Islam ketiga dalam menjaga hubungan dengan Malaysia saudara Islamnya sendiri.

Hubungan Malaysia dan Indonesia adalah saudara sedarah, dan kini, ia lebih rapat lagi kerana kita ialah saudara Se-Agama. Ungkitlah segala konflik, penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia, orang Indonesia merompak dan merogol isteri dan anak di hadapan suami rakyat Malaysia, orang Indonesia membunuh rakyat kita hanya kerana mahu merompak duit kutipan kedai rakyat Malaysia, jurulatih Taekwando Indonesia dibelasah polis kita, rakyat Malaysia di culik di Jakarta, tanah di Malaysia banyak “dibeli” dengan diterokai secara haram oleh rakyat Indonesia, tanah Syarikat Malaysia di Indonesia diduduki begitu sahaja oleh rakyat Indonesia, malah ada yang dirampas dan pelbagai lagi isu sehingga ke isu remeh temeh seperti rendang, tarian dan lagu. Apakah kita lupa asa kepada perpaduan dan persaudaraan kita yakni bertuhankan Allah yang sama dan bernabikan Rasul yang sama? Apakah begitu murah harga persaudaraan Islam yang mudah diruntuhkan kerana sebuah tarian? Sebuah lagu dan hiburan dunia semata?

Indonesia memang layak mendabik dada kerana Islam di Malaysia juga banyak yang dipelajari dari sana. Kerana Ulama dan Cendekiawan Islam dari Arab datang ke Malaysia melalui Indonesia. Tapi kini selepas beratus tahun Islam menyatukan kita, Malaysia dan Indonesia dilaga-lagakan supaya Islam di Asia menjadi semakin lemah. Siapakah yang beruntung jika dua Negara Islam di Asia ini berperang dan berbunuhan? Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Myanmar, Pakistan, Afghanistan, India, Bangladesh, Iran, Iraq, Israel atau Amerika? Jelas, yang rugi jika Malaysia dan Indonesia berperang ialah Islam, malah kerugian yang lebih hebat ialah dilaknat Allah di akhirat kelak. Malangnya, disebelah Indonesia yang rakyatnya yang menghina Malaysia, berkonfrontasi, menjolok kesabaran Malaysia, mahu sangat berperang dan bergaduh dengan Malaysia, sehingga mahu membunuh dan menghalau rakyat Malaysia, mereka dan media dibiarkan bebas sebebasnya. Mereka bebas mengatakan apa sahaja termasuk menghina Malaysia Saudara Islam mereka kononnya atas dasar kebebasan bersuara. Hancurlah nilai Islam mereka semata-mata kerana isu kecil.

Lebih teruk lagi di Negara 200 juta dari 230 juta rakyat yang beragama Islam, Majlis Ulama Indoesia sehingga kini gagal mengeluarkan sebarang arahan dan panduan supaya umat Islam di Indonesia dan Malaysia tidak berakhir dengan pergolakan Islam di bumi Arab. Biarlah kita lihat, samada pergerakan Ganyang Malaysia ini sebenarnya anti Malaysia atau anti-Islam? Sesungguhnya, rakyat Malaysia Islam begitu menurut perintah Allah yang tidak menyusahkan serta manganiaya saudara Islam Indonesia yang bertebaran di bumi Malaysia bagai semut mencari sebutir gula. Lebih dari itu, Islam juga menyuruh umatnya memberi pertoolongan dan perlindungan dikala saudara Islam ditimpa musibbah, sesuatu yang Malaysia lakukan setiap kali Indonesia dtimpa bencana. Bangunlah MUI, jangan jadi hiasan sahaja dan membiarkan Islam hancur di Nusantara.

Sikap diam diri MUI membiarkan rakyatnya terutama yang beragama Islam mencemar Ramadhan dikesali. Apakah MUI hanya akan mengeluarkan fatwa selepas rakyat Indonesia dan Malaysia berbalah dan berbunuhan dihadapan Kaabah ketika sama-sama menunaikan Haji kelak? Bangkitlah Indonesia, dan Malaysia, jadilah satu ISLAM. Mana tahu, dengan dinar emas, kita boleh jadi kuasa baru ekonomi dunia Islam. Segala Puji bagi Allah dan Rasulnya, Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Saturday, August 21, 2010

API YANG MASIH MEMBARA

Api yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati awal tahun ini sudah padam sepenuhnya selepas dua individu yang didapati bersalah oleh Mahkamah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. Hukuman tersebut disambut baik oleh majoriti rakyat Malaysia terutama yang beragama Kristian dan mereka yang sayangkan keamanan Negara. Sungguhpun Kerajaan untuk sekalian kalinya berjaya mengawal api perkauman yang dimulakan pihak tertentu, tetapi api yang sebenarnya masih membara dalam jiwa orang Melayu Islam.

Selepas dijolok beberapa kali antaranya isu kalimah Allah, Murtad, menukar status agama di dalam Kad Pengenalan,selain hak Melayu dipersoal secara terbuka antaranya Dasar Ekonomi Baru, Hak Bumiputera, Kuota, Diskaun Bumiputera, Biasiswa Pelajar MARA, Raja Melayu dicerca dan dihina, Melayu dilagakan sesama mereka, dan banyak lagi, Melayu Islam di Malaysia masih bersabar. Samada mereka bersabar atau kerana pemimpin yang berpecah mempertahankan agenda masing-masing, yang pasti rakyat biasa seperti Ali Ahmad Ariff dan ramai lagi masih memilih untuk tunggu dan lihat seperti pada tahun 1967 dahulu. Pada masa itu kesabaran mereka teruji beratus kali, dan akhirnya mereka tewas dengan amarah yang amat dan kerosakan yang amat besar terjadi. Selepas 40 tahun episod yang sama terjadi. Rumahtangga Islam dan Melayu dibaling batu berkali-kali. Pemimpin Islam Melayu terus bersabar dan tidak pasti kerana sabar itu sebahagian dari iman atau sabar itu melindungi kedudukan mereka sebagai pemimpin berbilang kaum. Masalahnya, apakah orang Melayu biasa mempunyai kesabaran luar biasa seperti pemimpin kita? Apakah kita pernah dan tegar menpersoalkan hak kaum Cina dan India termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan, dasar pengiklanan mencari pekerja mahir dan tidak mahir yang mengkhususkan kaum cina dan keupayaan bertutur bahasa cina, keagamaan dan kebudayaan, pelbagai bidang yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka seperti runcit, import pelbagai barangan asas dan bukan asas, pusat beli belah dikuasai mereka, pembinaan dikuasai mereka dan banyak lagi. Kita percaya pada kebebasan dan hak mereka yang rajin mencari rezeki tanpa mempersoalkan apa-apa begitu juga yang kita harapkan dari mereka. Tetapi, yang berlaku sebaliknya dan mereka tegar mempersoalkan hak kita selaku kaum majoriti 70% yang mana 90% dari kita makan gaji yang diberi oleh mereka. 99% dari kita membeli segala barang keperluan dan menggunakan khidmat mereka tanpa ada sebarang perasaan prejudis apatah lagi menindas mereka. Malah, mereka selalu menindas kita dengan menyorokkan barang keperluan, menaikkan harga barang sesuka hati, menghimpit kita dengan jawatan dan gaji kecil, tidak memberi peluang untuk kita naik pangkat walaupun lebih dari layak, dan lebih teruk hanya membeli barangan dari kaum mereka sahaja.

Apa yang salah mengenai MEB? Kaum Cina terkenal dengan satu hati dan persatuan mereka. Mereka bergerak seiring terang-treangan mempunyai dasar ekonomi yang mirip MEB. Hanya memberi kontrak kepada kaum mereka, menggunakan perkhidmatan kaum mereka, membeli pelbagai alatan dan barangan dari kaum mereka, menggaji dan melantik kaum mereka sahaja dan banyak lagi. Pelik, apakah MEB benar-benar menindas kaum bukan Melayu sehingga mereka tidak berpeluang untuk mengumpul harta kekayaan. MEB memberi kebebasan seimbang kepada semua dalam masa yang sama melindungi hak kaum majoriti supaya kedudukan sosial ekonomi antara kaum terus seimbang. Adalah wajar MEB dimansuhkan jika MEB mensyaratkan pemilikan dan pengendali premis Perniagaan di KLCC, MidValley, One Utama, Alamanda mestilah mengikut komposisi kaum, mewajibkan setiap jenis perniagaan kedai, kilang, pengedar, perkhidmatan, logistik, penyediaan bahan makanan, pembungkusan dan lain-lain milik bukan Melayu wajib mempunyai 30% syer milik orang Melayu dan lain-lain lagi. Apa yang jelas, selagi rakyat Malaysia berupaya dan mempunyai kuasa kewangan mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa disekat melalui dasar yang diamalkan di Negara lain kerana kita menghormati hak semua orang sebagai rakyat Malaysia.

Kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan BN pimpinan UMNO memastikan hak semua kaum dan agama terbukti. Terbaru, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan Raja Mohamad Izham22, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Hakim SM Komathy Suppiah yang dalam penghakimannya berkata Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman tersebut kerana tertuduh menodai kesucian agama atau kepercayaan supaya menjamin keamanan dan keharmonian di Negara berbilang bangsa seperti Malaysia terus dipelihara. Tambah Hakim itu lagi, salah satu tiang Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Allah(jika Kristian diberi hak dan dibenarkan menggunakan Allah menggantikan Tuhan dalam cetakan mereka), tetapi mereka membakar rumah Allah. Hakim mengakhiri dengan “Mesej dari Mahkamah ini adalah jelas. Jangan bermain dengan api”. Rakyat berterima kasih kepada Hakim SM Komathy Suppiah yang mendukung semangat 1Malaysia dengan mengutamakan keamanan dan keharmonian kaum perlu terus dipelihara dan dengan keras meningatkan tertuduh dan rakyat Malaysia jangan bermain dengan api.

Api yang mereka hidupkan untuk membakar sebuah bangunan rumah ibadat sudah padam dan pengurusan Gereja Metro Tabernacle juga sudah bangkit dari peristiwa hitam itu. Selain memperbaiki kemudahan Gereja Desa Melawati, mereka juga bangkit membina Gereja yang amat besar di belakang Giant Batu Caves hasil dari sumbangan orang ramai dan kerajaan Malaysia(duit rakyat). Tetapi, mengapakah kerajaan melalui Undang-undang dan Mahkamah tidak berusaha memadamkan api yang Namewee hidupkan satu masa dahulu. Selain mempermainkan Lagu Negara Kuku, Namewee juga mempersendakan azan orang Islam. Nameweee dengan jelas dan bukti video tersebut dipaparkan untuk tontotan seluruh dunia. Bukti Namewee menghidupkan api kebencian dan kemarahan Melayu Islam dan api tersebut tidak pernah padam. Pemimpin Namewee iaitu MCA dan DAP dengan pantas melindungi Namewee dengan alasan beliau sudah meminta maaf dan menginsafi perlakuannya. Malah, bapanya berkata anaknya sudah cukup tertekan. Sungguh mudah pemimpin bukan Melayu berfikir dan beranggapan api yang Namewee hidupkan itu sudah padam. Ia tidak padam malah merebak kejiwa dua anak Melayu dan ramai lagi. Ia hanya akan padam jika Namewee dibicarakan dan dipenjarakan jika didapati bersalah. Apakah kerana Namewee anak seorang Cina dan beliau bebas menghidupkan api dalam jiwa? Apakah perbuatan Namewee mempersendakan agama Islam tidak mengancam keamanan dan keharmonian? Namewee masih bebas setelah menghidupkan api dalam jiwa Melayu termasuk saya. Saya masih marah dan api Namewee masih hidup dalam jiwa saya, dan tidak mustahil api ini akan marak membakar jika ia disimbah dengan minyak. Banyak keistimewaan menjadi Namewee, malah tidak mustahil Namewee akan mendapat tempat dalam arena politik Negara atas alasan beliau sudah menjalani hukuman. Jika begitu, peluang yang sama harus diberikan kepada dua orang Melayu ini selepas 5 tahun. Persatuan dan Pertubuhan yang memperjuangkan Islam dan Melayu wajar memberi tempat kepada mereka termasuk pekerjaan kerana mereka bertindak sedemikian atas tanggapan mereka sendiri iaitu mempertahankan agama Islam. Sungguhpun tindakan mereka adalah salah tetapi selepas 5 tahun mereka sudah menjalani hukuman atas kekhilafan mereka dan mereka layak mendapat sanjungan orang Melayu seperti Namewee. Malang bagi Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, dan Raja Mohamad Izham kerana berketurunan Melayu dan beragama Islam, tiada siapa pemimpin Islam Melayu mahu mempertahankan anda. Bertuah Namewee kerana anda bukan Melayu dan bukan Islam dan jika anda menghina Melayu dan Islam sekalipun, anda pasti bebas.

Terpulang pada rakyat Malaysia tidak kira bangsa menggunakan akal pemikiran untuk menilai persoalan Api dalam jiwa lebih dahsyat atau api membakar benda lebih dahsyat. Sememangnya, perbuatan membakar rumah Ibadat Kristian menghancurkan hati beratus juta penganut Kristian dalam dan luar Negara. Malah, hati saya seorang Islam juga hancur kerana Islam mengajar umatnya menghormati agama lain. Tetapi, percayalah, api yang Namewee bakar dalam jiwa Islam dan Melayu juga menghancurkan hati beratus juta penganut Uslam dalam dan luar Negara. Malah api dalam jiwa ini tidak pernah padam, dan perlahan-lahan merebak kedalam jiwa orang Melayu lain termasuk Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, dan Raja Mohamad Izham. Mungkin mereka bertindak membakar Gereja berpunca dari api yang Namewee mulakan dengan mempersendakan Azan. Juga mungkin, mereka berfikir yang mereka akan terlepas dan bebas seperti Namewee selepas memulakan api. Tetapi mereka silap, kerana mereka dilahirkan sebagai Melayu yang dilabel rasis dan Islam yang dilabel pengganas.

Akhir kata, Melayu, Cina, India, Sikh, Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan lain-lain(maafkan saya kerana tidak sebut), sebelum anda memulakan bicara, mengemukakan pandangan, memberi komen dan pendapat, mengakhiri dengan perbuatan, berfikirlah. Fikir, kerana mungkin, mungkin, api dalam jiwa kita semua rakyat Malaysia terutama Melayu Islam tidak pernah dipadamkan. Mungkin, mungkin kesabaran Melayu berada di tahap kemuncak. Fikir dan tenung, inilah masanya semua pemimpin Melayu dan Bukan Melayu berusaha memahami dan memadamkan api yang dimulakan Namewee yang memalukan Melayu Islam ke seantero dunia dengan mempersendakan azan, dan tolonglah turunkan tahap sabar Melayu dari tahap kemuncak dengan memberi sedikit ruang pernafasan kepada Melayu. Masa akan menyabarkan Melayu, Cina, India dan lain-lain. Mendesak dan terus mendesak Melayu hanya mengundang akibat yang buruk. Sedikit mesej kepada pemimpin UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, PPP, GERAKAN, SNAP, PBB, PBS, UPKO, SUPP, USNO, LDP, PBRS, PRM, PSM, SAPP, dan lain-lain, gunakan akal dan jadilah pemimpin semua kaum dan agama dengan memikirkan dan mengutamakan kepentingan semua kaum dan agama, bukannya hanya kaum dan agama anda sahaja. Semoga kita kekal hidup bersama dengan aman dan harmoni sehingga ke hari yang akhir kelak.

Thursday, August 19, 2010

RIBUT DIJASIN DAN SEKOLAH HAMIL

Teknologi Internet membolehkan kita melihat apa yang terjadi di Jasin. Ribut yang datang seperti angin lalu menyergah keras manusia yang leka membeli juadah berbuka. Diketika Pasar Ramadhan di seluruh Malaysia sedang sibuk melayan pelanggan bermacam ragam. Malah, ada antara anak-anak gadis yang memilih untuk berseluar pendek dan berbaju singkat tidak cecah pusat. Malah ada juga yang mengenakan pakaian berani mati yang sama sekali hanya sesuai untuk ke bilik mandi. Tetapi, apakah itu punca Allah menghantar ribut yang melambungkan 3-4 kanopi yang masing-masing mempunyai berat 180kg sejauh 30 meter ke atas udara? Mungkin, ia hasil kerja manusia yang menimpa bumi dengan pelbagai kemungkaran dan keengkaran kepada Allah.

Kini bersedih, dan bersimpati. Apatah lagi ia terjadi pada bulan yang mulia. Malah, Melaka pula baru mengambil langkah “mulia” memperkenalkan Sekolah Hamil bagi membendung masalah membunuh bayi yang tidak berdosa. Namun, manusia dan setiap perbuatannya tidak sempurna. Ada baiknya dan ada buruknya Sekolah Hamil ini. Baik kerana ia diakui dapat mengurangkan pembunuhan nyawa yang Allah cipta. Buruk, kerana ia menggalakkan penzinaan. Mungkin selepas ini Melaka boleh melancarkan kempen 2 dalam 1 “check in hotel, free pre-register to Pregnant School”.

Seperti yang saya katakan, langkah Melaka amat baik dan jauh lebih baik dari hanya menggelengkan kepala, tumpang bersimpati, mengecam, kesal, kecewa yang biasa digambarkan para pemimpin apabila mengulas kes bunuh dan cuba bunuh bayi ini. Seolah-olah itu sahaja yang pemimpin kita mampu lakukan. Usaha dan idea Dato Seri Ali Rustam ini amat baik dan harus disambut para ulama terutama Majlis Ulama. Kini bola di kaki para ulama, membenarkan Melaka atau melarang. Jika membenarkan apakah langkah supaya tindakan Melaka tidak menggalakkan maksiat dalam masa yang sama banyak bayi dapat diselamatkan.

Majlis Ulama perlu mengeluarkan garis panduan dan hukum membantu golongan penzina ini. Yang kita fahami menurut hukum Allah, rejam sampai mati adalah hukuman dunia terhadap penzina. Namun, Allah Maha Pengasih berbelas kasihan kepada umat Muhammad SAW dengan membuka pintu dan penerima taubat.

Masalah pertama yang utama adalah menyelesaikan akar masalah. Penzinaan, maksiat, pensudalan, harus ditangani untuk mengelakkan terjadi masalah kedua. Selain dari memperhebat kempen, meningkatkan operasi di perkarangan durjana, ibu bapa, penjaga dan masyarakat harus terlibat sama. Selain dari mengheret ibu bapa yang bersubahat, hantar pesalah maksiat ke Sekolah Khas yang akan mengawal jiwa dan nafsu anak muda. Tutup pintu serapatnya dan hanya ibu bapa keluarga sahaja dibenarkan melawat. Saya percaya, jika dikawal, dan diisi kelodak jiwa dengan Solat 5 waktu, nafsu serakah binatang buas juga mampu dijinakkan. Bagi tujuan memberi pengajaran kepada yang lain, gunakan masalah kedua dari Sekolah Hamil di Melaka untuk dijadikan bahan bukti untuk menghukum lelaki yang bertanggungjawab. Selepas bayi lahir, ambil DNA dan sepadankan dengan DNA bapanya yang dtiunjukkan oleh wanita tersebut. Kemudian hukum seberatnya kepada lelaki tersebut dan pasti tiada siapa lagi berani berzina dan menabur benih tidak sah.

Masalah kedua ialah keterlanjuran yang mana penyelesaiannya ialah pembelaan. Membela nasib kedua mangsa dalam kes ini sehingga bayi tersebut dewasa. Mangsa pertama ialah wanita dan mangsa kedua ialah bayi tersebut. Khalifah Allah yang bernama lelaki yang Allah amanahkan melindungi dan memimpin wanita ke jalan Allah mengkhianati janji mereka. Mereka memujuk rayu, memperdaya dengan kata manis, mendorong dengan salah sehingga kes zina terjadi sehingga. Segala sayang dan kasih diucapkan, matahari dan bulan dijanjikan. Apabila wanita tewas dan mengandungkan benih mereka, disuruh pula gugurkan kandungan. Ramai terkeliru kerana ada beberapa pendapat ulama mengatakan tidak berdosa menggugurkan bayi sebelum usianya 100 hari dimana Allah akan meniupkan roh dan seketul daging akan mempunyai nyawa. Nyawa milik Allah dan berdosa bagi siapa yang mengambilnya selain Allah. Ada pula pendapat yang mengatakan sejak hari pertama percantuman benih berlaku, maka berdosa kerana menafikan hak ciptaan makhluk Allah untuk hidup. Justeru, kekusutan membawa kepada tindakan gugur bayi dan lebih teruk bunuh bayi selepas lahir.

Wanita yang mengandungkan keturunan lelaki ini tidak diambil perhatian. Pernahkah kita merasai mengandungkan anak pertama tanpa suami disisi, tanpa ibu dan ayah yang gembira? Jika pernah, itulah perasaan wanita yang senantiasa menjadi sasaran dipersalahkan. Selepas hampir 9 bulan, perasaan wanita mengandung yang tidak mendapat pembelaan, belaian dan bimbingan masih samar. Ketika ini Syaitan dan Iblis sudah mengambil tempat disisi wanita tersebut untuk memberitahu apa yang perlu wanita hamil ini lakukan selepas bayi ini lahir. Dimana pula para ulama, ustaz, imam muda dan tua dan pemikir agama. Tidakkah mereka harus memberitahu dan menunjuk ajar kepada wanita ini apa yang perlu dilakukan sejak hari pertama mereka hamil? Bimbing mereka apa yang perlu dilakukan, bagaimana, bila, siapa, dimana, kemana, hukum harus, wajib, dosa dan pahala dan bukannya hanya berisytigfar ketika mayat bayi ditemui. Ingatlah, wanita adalah mangsa, sebagai ibu, mereka mempunyai naluri semulajadi untuk melindungi bayi mereka, termasuklah menamatkan kesengsaraan bayi tersebut dengan membunuh bayi itu. Buktikan pandangan mereka salah, apakah nasib bayi tersebut tanpa bapa, bagaimana kehidupan bayi tersebut tanpa ibu yang berharta, persekolahan dan layanan masyarakat, bila dewasa kemana hala tuju bayi ini. Ketakutan seorang ibu bertindak terburu-buru menamatkan nyawa bayi dari terus sengsara menghadapi dunia yang kejam. Salahkah mereka atau lelaki yang salah??

Saya percaya, jika ada akta yang mewajibkan lelaki berkahwin dengan wanita tersebut, dan paling tidak lelaki perlu bertanggungjawab memberi nafkah dan menjadi bapa yang sah kepada bayi tersebut sudah pasti seorang ibu lebih dari gembira untuk tidak membunuh anak yang dikandung 9 bulan. Ini kerana, pasti undang-undang dapat memastikan pembelaan sewajarnya kepada bayi luar nikah ini sehingga dewasa. Kerajaan pula akan membantu dan bayi ini bisa hidup dan berhak sepertimana bayi lain. Sukar sangatkah untuk mengesan bapa bayi yang dikandung wanita dengan adanya teknologi DNA? Selepas bayi tersebut lahir, apakah peratusan DNA bayi dan bapanya yang sebenar akan sama, seingat saya The Star pernah melaporkan kebarangkalian persamaan DNA salah ialah 0.0000000000000000000001%. Nah, beritahu pada wanita tersebut, selepas mereka lahirkan anak, kerajaan dan undang-undang akan memperjuangkan nasib mereka dan anak mereka, mereka hanya perlu gunakan jari telunjuk untuk menunjuk kepada calon bapa yang sah, dan selebihnya, gunakan imaginasi kita bagaimana perlu kita hukum lelaki yang mengkhianati amanah Allah dan membiarkan wanita lain mengandungkan anak mereka selama 9 bulan tanpa perhatian langsung. Hukuman yang sewajarnya sehingga bayi mendapat nafkah sewajarnya sehingga mereka habis bersekolah disamping berusaha menyedarkan wanita dan lelaki supaya dapat mendirikan keluarga bahagia walaupun secara paksa. Berdoalah, semoga Allah membuka pintu hati mereka yang menginsafi diri dihukum dan bertaubat . Paling tidak,manalah tahu ada lelaki yang mulia dan sayangkan wanita hamil anak luar nikah ini. Walaupun bukan anak mereka, tetapi kesanggupan mereka berkahwin untuk menyelamatkan ibu dan bayi ini pasti mengundang kegembiraan Allah dan kedukaan Syaitan. Nafkah bayi tersebut pula tetap, harus dan wajib dibayar oleh bapa yang sebenar.

Dengan adanya akta tersebut, sudah pasti lelaki tidak berani lepas tangan dan tiadalah bayi luar nikah. Lelaki akan berfikir sejuta kali, jika keseronokan satu malam akan mengakibatkan mereka perlu membayar nafkah kepada bayi tersebut sehingga dewasa. Pasti tiada lelaki yang mulia mahukan bertanggungjawab angkara noda mereka sendiri.

Sehingga kini, keputusan kerajaan Melaka dikecam hebat ramai termasuk ulama dan PAS. Selain mengaitkan dengan Tragedi di Jasin, ahli agama masih tidak dapat menawarkan apa-apa jalan penyelesaian terhadap kes buang dan bunuh bayi ini. Matematiknya tetap sama, jika Sekolah Hamil menggalakkan zina, Allah akan murka, begitu juga jika banyak nyawa yang Allah cipta dibunuh ketika bayi, Allah juga akan murka. Murka Allah hancurlah kita semua. Fikirkan jalan terbaik kerana Melaka sudah memulakan langkah, jika sumbang, perhalusi dan bimbing Melaka, jika dilarang juga cadangkanlah jalan lain yang lebih baik tetapi janganlah sehingga akhirnya kita tetap tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa ini.

PENIAGA TULEN TIANG BANGSA

Wawasan 2020 berbaki kira-kira 9 tahun 4 bulan sahaja lagi. Apakah Malaysia sudah bersedia dan yang paling penting, apakah rakyat Malaysia sudah bersedia. Lebih dari itu, apakah kekuatan diri, mental, moral, sikap, sifat, tabiat, pemikiran, disiplin, nilai diri, jati diri, sudah cukup? Bagaimana pula dengan persiapan dalam kaum dan antara kaum? Seharusnya segalanya seiring dengan usaha kerajaan yang tidak mengenal penat untuk menjadikan rakyat Malaysia bangsa yang maju dari Negara Dunia Pertama.

Malaysia senantiasa dan selamanya merupakan Negara paling unik dalam dunia. Komposisi penduduk Malaysia terbahagi kepada pelbagai kaum dan agama. Negara ini adalah Negara bebas selagi tidak menyentuh sensitiviti yang mampu menggugat keharmonian. Melayu dan Islam membentuk 70% dari 27 juta rakyat Malaysia. Kira-kira 10 billion ringgit dibelanjakan oleh Melayu setiap bulan. Manakala 90% golongan peniaga, pembekal, dan penyedia perkhidmatan pula dibentuk oleh Cina. 90% dari Melayu juga adalah pekerja yang hanya makan gaji. 10% dari Melayu pula menjalankan perniagaan yang mana 90% dari mereka adalah peniaga kecil-kecilan.

Sungguhpun peratusan Melayu berniaga adalah amat kecil, namun ia adalah satu peratusan yang agak membanggakan memandangkan Melayu adalah bangsa yang paling muda dalam dunia. Bagi orang Melayu yang bergelar Peniaga tulen, setiap perniagaan dilakukan demi kemajuan Bangsa, Agama dan Negara. Jika perniagaan mereka berjaya, sudah tentu banyak jawatan kosong justeru sumber ekonomi dapat disalurkan kepada kaum Melayu. Sebaliknya, bagi orang Melayu yang hanya bergelar peniaga komisen, sungguhpun mereka dapat menjana ekonomi Melayu, tetapi dalam jangka masa panjang mereka sebenarnya merugikan kaum Melayu.

Malaysiakini sedang mengalami resolusi hasil dari tsunami politik 2008. Rakyat mula sedar akan kuasa yang ada pada mereka, justeru Kerajaan pimpinan BN berada dalam keadaan paling lemah dalam sejarah Negara. Kerajaan yang kuat satu masa dahulu kini diimbangi oleh kekuatan pembangkang yang bijak memainkan isu dan sentimen rakyat. Semua pemimpin dari mana-mana Parti tidak lagi dapat bertindak sewenang-wenangnya seperti sebelumnya. Dalam keadaan ini, sudah tentu ada golongan yang bermanfaat. Mereka ialah Pegawai Kerajaan.

Untuk rekod Pegawai Kerajaan berjumlah 1 juta orang juga merupakan pengundi yang layak mengundi pada setiap pilihanraya. Jika dahulu mereka perlu tunduk pada kuasa politik yang mengemudi Kerajaan, kini mereka bebas tanpa perlu takut pada tekanan politik. Rakyat memandang senario ini sebagai satu kebaikan hasil kejayaan Parti Pembangkang yang memang senantiasa mencari kelemahan Kerajaan. Persoalannya, siapa yang akan mengawasi tindak tanduk Pegawai Kerajaan ini jika kuasa politik tidak lagi berkesan untuk menekan mereka agar terus berbakti untuk rakyat dan dalam masa yang sama mendokong aspirasi Kerajaan BN? Kerajaan BN senantiasa berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat, mengekalkan keharmonian agama dan kaum, ini termasuk mengenalkan pelbagai pelan jangka masa panjang dan peraturan termasuk MEB. Model Ekonomi Baru yang mendokong aspirasi 1Malaysia perlu pengorbanan, kerjasama dan semangat Bangsa Malaysia bagi menjamin kedudukan hidup dan ekonomi semua kaum dan agama mengikut pecahan masing-masing. Tetapi, Pegawai Kerajaan yang terlalu bebas dan berkuasa menyukarkan usaha Kerajaan. Lebih teruk lagi, angkara Pegawai Kerajaan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan BN dan rakyat pantas menghukum BN walhasil, Pegawai Kerajaan ini yang melakukan kesalahan tanpa mana-mana tekanan dari BN. Sudah pasti, jika Kerajaan bertukar sekalipun, mereka tetap akan melakukan kesalahan yang sama kerana mereka yang paling berkuasa dalam Kerajaan kini.

Bukanlah rahsia lagi bagi ramai Penjawat Awam dan Kontraktor Besar Kerajaan, ada Kementerian yang Ketua Setiausahanya mempunyai kuasa seorang Perdana Menteri. Para Pengarah, Ketua PBT, Timbalan Ketua Setiausaha dan lain-lain semuanya mencemar imej Penjawat Awam dengan pelakuan rasuah, kroni, penipuan dan sebagainya. Sehinggakan ramai Peniaga Tulen menjadi mangsa kerana mereka hanya berbekalkan pengalaman yang ada, kemahiran yang dimiliki, kewangan yang stabil serta kebolehan menjalankan perniagaan yang tidak disangkal. Namun, kerana mereka tidak mempunyai pertalian saudara dan “kawan” dengan Ketua-ketua Kerajaan maka Peniaga Komisen merajai setiap peluang perniagaan yang ada.

Perdana Menteri sudah berjuang sehabisnya untuk memartabatkan Melayu. Malah dalam setiap Budget Negara pasti berbillion ringgit diperuntukan untuk Melayu termasuk dana dan pinjaman perniagaan, pengurus dana dan pinjaman ini juga adalah Penjawat Awam. Kerana kekurangan nilai diri pada diri pengendali, banyak penipuan berlaku sehingga kantung dana dan pinjaman tidak mencukupi justeru menyukarkan Peniaga Tulen mendapat bantuan sewajarnya. Bagi Peniaga Tulen, mereka memerlukan modal untuk berniaga dan bukan untuk membeli plat nombor kereta bernilai puluhan ribu. Sudah pasti, mereka akan membayar balik pinjaman kerana perniagaan yang tulen menjana pulangan dan menyumbang kepada pembangunan kaum serta nilainya. Peniaga Komisen pula hanya mahukan komisen untuk membayar kereta mewah, plat nombor kereta, rumah mewah, percutian mewah, gaya hidup mewah dan pendek kata serba mewah. Mereka inilah yang tidak membayar balik pinjaman kerana mereka meminjam bukan untuk berniaga. Mangsanya ialah Peniaga Tulen.

Hampir kesemua Melayu dilahirkan mempunyai mentaliti pengguna dan makan gaji. Mereka tidak diasah untuk keluar dari kepompong tersebut justeru menjadi pencipta dan pemberi gaji. Walaupun sedikit, tetapi masih ada Melayu yang berjiwa tulen untuk meniaga. Tiada istilah skim cepat kaya, MLM, ali baba, Syarikat 3%, tender kerajaan, dan lain-lain. Kebanyakan mereka ini berasal dari Kelantan. Orang Kelantan berjiwa peniaga, ramai yang mempunyai perniagaan Tomyam, Kanopi, Restoran, Kereta Terpakai, Kedai Tayar, Kedai Runcit dan banyak lagi. Seperti Cina mereka berpegang pada semangat perniagaan jujur yang bertahan berpuluh malah beratus tahun untuk dipertahankan anak cucu. Perniagaan satu ibadah dengan berjasa pada orang lain. Malangnya, peniaga konvensional ini jarang mendapat perhatian Penjawat Awam untuk dibantu serta dipimpin. Maka perniagaan orang Melayu hanya bergerak secara kecil-kecilan. Jika ada yang baru mahu maju seperti di KLCC dan Alamanda, Peniaga Tulen dibiarkan sengsara dan dihalau. Tidak dibantu Pegawai Kerajaan kononnya sudah pernah memohon atau lebih teruk mereka di cukai terlebih dahulu oleh Pegawai Kerajaan. Sedangkan Syarikat RM2 dibantu pinjaman puluhan ribu. Akhirnya, yang rugi ialah kaum Melayu itu sendiri.

Peniaga Tulen yang tidak mempunyai kemahiran dan modal menjalankan perniagaan secara konvensional ini terpaksa memberanikan diri den menguatkan semangat dengan menyertai tender dan kontrak Kerajaan. Malangnya, Penjawat Awam begitu berkuasa sehingga mengenepikan kuasa politik yang mahu memastikan mereka mendokong aspirasi Kerajaan dalam memajukan Melayu. Sehinggakan baru-baru ini Ketua Setiausaha Negara sanggup mengeluarkan arahan kepada Penjawat Awam yang mendapat surat dan tekanan politik untuk melaporkan pada beliau. Apakah beliau sedar tanpa kuasa politik yang mampu melakukan “check and balance”, siapa akan jadi Orang Paling Berkuasa? Siapa akan mengawal dan memastikan tiada unsur rasuah dan kroni? Kepada siapa rakyat dan Peniaga Tulen mahu mengadu? Tidak kira siapa yang rakyat undi mereka tetap menjawat jawatan tersebut, oleh itu mereka seperti kaduk berani naik junjung.

Janganlah hipokrit, banyak Syarikat yang Penjawat Awam ketahui memang Syarikat 3%, alibaba, sub sini sana, jual balik kontrak, malah mereka juga “aware” ada Syarikat Bumi yang dimiliki oleh Bukan Bumi, orang Melayu hanya dijadikan sebagai tali barut bangsa sahaja. Letaklah satu muka Melayu sebagai Pengarah dan terpaksa upah Melayu sebagai pekerja kerana berurusan dengan Kerajaan. Beranikah KSU, TKSU, Pengarah, Ketua PBT bersumpah mereka tidak tahu status Syarikat ini dan ketulenan Syarikat Peniaga Tulen. Berani makan beranilah simpan, jangan simpan sampai bernanah didepan Allah kelak sudahlah.

Melayu menjerit kesusahan, ketidak adilan, kesempitan hidup, selain menyalahkan Kerajaan BN, menyalahkan takdir Allah, tetapi pernahkan mereka terfikir keputusan, perlakuan, harga dan nilai diri mereka yang murah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemunduran kaum Melayu. Mungkin hari ini mereka kaya dan mewah hasil menjual kejujuran dan amanah Allah kepada kabatilan, tetapi mereka PASTI akan rugi kelak. Mereka perlu bertanggungjawab kerana memadamkan api semangat Peniaga Tulen. Berapa ramai graduan Melayu, bijak pandai Melayu, ahli Pernigaan Tulen yang sudah berusaha sehabisnya tetapi dikalahkan oleh Peniaga Komisen gara-gara kebrorokan Pegawai Kerajaan yang tercemar? Bila Peniaga Tulen sudah buntu jalan mereka kembali makan gaji dan hilanglah asset paling berharga untuk kaum Melayu. Siapa sangka jika diberi peluang dan dengan bakat yang ada mereka bakal menjadi Bill Gate? Tetapi bakat dan pengetahuan sahaja tidak cukup hari ini, jika dahulu perlu ada kabel politik, kini kabel Pegawai Kerajaan lebih utuh.

Malangnya, siapa yang mampu menghukum mereka yang tidak terjejas jika sesiapun memerintah. Mungkin Allah sahaja gamaknya. Apa sahajapun, memberi kuasa berlebihan pada Pegawai Kerajaan akan meruntuhkan bangsa Melayu kerana Peniaga Tulen adalah tiang bangsa dan kini Peniaga Tulen sedang dibunuh perlahan-lahan oleh Pegawai Kerajaan yang tamak. Saksikanlah, kehancuran yang kita hasilkan dengan tangan kita dan janganlah dipersalahkan Kerajaan BN yang sudah banyak berjasa.

Tuesday, August 17, 2010

Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Salam 1Malaysia Datuk,

MCA pimpinan Datuk merupakan sebuah Parti kedua terbesar selepas UMNO dan mewakili kaum Cina di Malaysia. Kaum Cina pula menguasai 90% ekonomi Malaysia berbanding kaum lain disemua sektor penghasilan, pemprosesan dan pengedaran. Atas kesepakatan sosial dan kebebasan membuat pilihan, ekonomi Malaysia dijana oleh 3 kaum utama yang mengambil peranan tersendiri sesuai dengan daya usaha, semangat dan pilihan hidup. Kaum Melayu yang membelanjakan berbillion ringgit sebulan adalah kaum paling banyak makan gaji, begitu juga India, manakala Cina pula memilih menjadi ahli Perniagaan, yang rajin dan dedikasi. Tiada sedikitpun perasaan perkauman dalam jati diri rakyat Malaysia dan kita menghormati peranan masing-masing. Seorang Melayu masih dan tetap terus menghantar kenderaan untuk diperbaiki dan membeli pelbagai keperluan dari kedai milik orang Cina dan India begitu juga sebaliknya. Semangat 1Malaysia sebenarnya sudah lama hidup dalam jiwa kita dan ia digilap melalui aspirasi Perdana Menteri dengan Konsep 1Malaysia.

Tidak dapat dinafikan setiap kaum mempunyai aspirasi masing-masing dalam memperjuangkan taraf hidup keluarga, kaum dan agama. Sewajarnya, perkara hak dan kelebihan sudah meresapi jiwa rakyat Malaysia kerana Melayu, Cina dan India bukan baru sehari dua berasimilasi malah telah berjaya di campur-adukkan(rojak). Saya sendiri lahir dari sebuah keluarga hasil percampuran Melayu Cina, dan saya memiliki sifat seorang Cina walaupun mempunyai nama seorang Melayu. Keharmonian ini bukan senang dicapai, dan lebih sukar dikekalkan.

Datuk mewakili aspirasi kaum Cina dimana saya percaya kaum Cina mahukan sebuah Negara yang menghargai dan menghormati mereka sebagai rakyat Malaysia. Lebih tepat lagi, kita semua mahukan Malaysia yang lebih baik, dan lebih adil, tentu sekali. Disebalik itu, perkara sama juga dituntut oleh India malah Melayu sendiri, dan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan berbeza-beza. Sebagai pemimpin, Datuk seharusnya memahami dan melalui media massa menjelaskan secara terperinci kenapa, mengapa, bagaimana, siapa, bila, pilihan yang kita ada dan kesan baik dan buruk dari pilihan kita.

Malangnya, akhbar Cina dan Datuk gagal untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya justeru menghidupkan unsur negatif yang salah terhadap kontrak sosial yang didukung sejak sebelum merdeka lagi. Kini ramai Cina membenci DEB sepertimana mereka membenci setiap orang yang memperjuangkan Melayu, sedangkan mereka sendiri memperjuangkan bangsa sendiri.

Untuk rekod, apa yang terjadi di Malaysia pada 1969 dan Indonesia pada 1998 adalah disebabkan oleh jurang sosio ekonomi yang memisahkan taraf hidup antara kaum seperti langit dan bumi. Nyawa yang terkorban dan kerosakan yang terjadi amat diratapi. Penyesalan tidak berguna jika kita tidak belajar dan sejarah pantas menghukum kita buat kali kedua, ketiga dan mungkin keseratus.



Datuk,

Semua rakyat sedar tuntutan MCA adalah aspirasi masyarakat Cina masakini yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik Melayu, Cina dan India. Bukan hanya Cina, malah ramai yang lain termasuk Melayu sendiri dan India yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik semua dan DEB wajar dihapuskan. Saya sendiri berpendapat begitu apabila ramai sahabat malah saudara bukan Bumiputera yang menjalani ranjau berliku dalam mendaki puncak akademik dan kerjaya. Dalam masa sama, segelintir Melayu menggapai impian dengan mudah hasil pertolongan Kerajaan melalui Sistem Kuota Ke Universiti, Bantuan Pinjaman dan Biasiswa Pelajaran, Dasar Ekonomi Baru, Pinjaman dan Geran Perniagaan, Diskaun Pembelian Hartanah, Sistem Tender dan banyak lagi. Sebagai balasan, ahli Perniagaan Cina cenderung untuk mengambil pekerja berbangsa Cina dan mengiklankan secara terbuka keupayaan bertutur Bahasa Cina sebagai syarat wajib. Hakikatnya, kita rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam perilaku pecah dan perintah ini.

Pahit untuk diakui, Melayu gagal mencapai sasaran 30% penguasaan ekonomi selepas hampir 40 tahun dasar melindungi kaum Bumiputera ini diperkenalkan. Saya percaya, hakikatnya, kekayaan Negara melebihkan 30% khusus untuk Bumiputera sepatutnya memanfaatkan seluruh Bumiputera memperoleh keberuntungan. Namun, diatas beberapa faktor seperti rasuah, kroni, sikap malas berusaha, suka mengambil jalan mudah, takut mengambil risiko dan paling teruk sekali mengalibabakan projek yang diberi, sehingga tender makanan juga diperdagangkan, penipuan dana dan pinjaman perusahaan kerajaan telah menghukum dan menghambat pertumbuhan kaum Melayu.



Datuk,

Saya ingin mengajak Datuk dan seluruh rakyat Malaysia terutama masyarakat Cina yang membuat tuntutan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru untuk sama-sama kita fokus pada penyelesaian bukan pada masalah. Tidak dinafikan, salah satu faktor yang kini dan terus menggagalkan DEB adalah berpunca dari Melayu itu sendiri. Malah, Melayu perlu berfikir di luar kotak kerana adalah mustahil DEB akan bertahan seratus tahun lagi. Malah, adalah amat mustahil untuk Kerajaan terus kekal sehingga bila-bila untuk memastikan hak melayu terus dilindungi serta dikekalkan. Jika hari yang tidak disangka itu tiba, sudah pasti hanya rakyat Malaysia keturunan Cina yang mempunyai kekayaan dalam dan luar Negara mampu membantu Malaysia, dan bila tiba hari itu, apakah Melayu sudah bersedia dengan komplikasinya atau Cina akan mebiarkan Melayu merempat di bumi Malaysia?

Penyelesaian kepada masalah DEB ini memerlukan pengorbanan semua pihak. Dalam ucapan pembukaan dan penutup Perhimpunan Agung UMNO bersejarah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menghuraikan tentang perlunya Melayu melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur. Tun berusaha menyedarkan Melayu tongkat tersebut tidak mungkin selamanya menongkat Melayu malah tongkat tersebut juga terpaksa tunduk pada hukum alam iaitu reput. Bila masa tongkat tersebut ditarik atau reput, Melayu perlu sepenuhnya mampu untuk berdiri sendiri tanpa tongkat. Menggunakan tongkat untuk 40 tahun, malah 100 tahun hanya akan benar-benar mencacatkan Melayu sehingga tidak mampu hidup tanpa tongkat. Secara metafora, Melayu perlu mula melepaskan tongkat dengan menjadi peniaga tulen dan bukannya digelar Syarikat 3%. Melayu perlu rajin menuntut ilmu dan bukannya berpoya malah berpolitik ketika menuntut di Universiti. Itu adalah pengorbanan dan penyelesaian untuk Melayu dan harus diselesaikan secara bersama dan dibantu oleh kaum Cina yang mempunyai sejarah berpuluh ribu tahun.



Datuk,

Penyelesaian kepada tuntutan Cina ini adalah amat mudah. Melayu sendiri sudah pasti lebih dari bersedia untuk mula melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur jika ada kesepakatan dengan penguasa ekonomi Malaysia yakni Cina. Soal masa depan Negara amat serius dan jika Melayu perlu berkorban melepaskan DEB, Melayu perlu satu jaminan dan skim insuran. Dan masih, kesangsian Melayu adalah ketaatan Cina kepada Malaysia. Sebuah Negara yang baru didatangi Cina kira-kira 100 tahun dahulu, dan didatangi Melayu hampir 600 tahun dahulu. Sedangkan dalam Banci Penduduk terkini, ramai orang Cina didapati tidak mampu berbahasa Melayu, malah dalam rekod Balai Polis, ramai pengadu Cina yang tidak mampu menulis, membaca dan bertutur walau sepatah Bahasa Melayu. Apakah jaminan yang mampu Datuk berikan pada Melayu yang Cina akan mempertahankan Melayu sedangkan Bahasa Melayu sahaja tidak mampu dipelihara? Bagaimana Melayu mahu melihat seorang Perdana Menteri Cina mengetuai Malaysia jika penghakisan terus penghapusan identiti Melayu dimulai dengan Bahasa?

Manakala Skim Insuran yang diperlukan oleh Melayu untuk melepaskan hak sebagai kaum majoriti di Malaysia justeru bersaing secara merit adalah penghapusan Sekolah Cina. Sejarah membuktikan, Singapura, Thailand dan Indonesia berjaya melahirkan rakyat patriotik dan menyatukan beratus etnik menjadi satu Bangsa yang bangga melalui sistem satu sekolah. Singapura, Thailand dan Indonesia awal-awal lagi sudah menghapuskan sekolah Cina dan menggantikan dengan sistem satu sekolah kerana mereka sedar itulah satu-satunya jalan bagi melahirkan satu rakyat yang sama dan bersatu hati. Sehubungan itu, MCA boleh memberi insuran kepada orang Melayu yang bersedia untuk melepaskan DEB secara beransur-ansur dengan menutup sekolah Cina secara beransur-ansur juga. Apakah Datuk dan Cina bersedia untuk menutup sekolah Cina dan menjadi rakyat Malaysia yang sama dengan Melayu, India dan kaum lain? Atau, apakah sejarah akan berulang apabila 9 orang wakil dari Persatuan Cina Dong Jiong datang menemui dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memperkenalkan Sekolah Bestari, perintis sistem satu sekolah?



Datuk,

Tsunami politik 2008 membawa banyak masalah kepada Malaysia. Namun, masyarakat Cina percaya dalam krisis(masalah) wujudnya peluang. Peluang ini harus digunakan oleh UMNO, MCA dan MIC untuk terus kekal berkuasa dengan mengambil tindakan berani melahirkan 1Bangsa saksama dari 1Sekolah yang sama. MCA tidak boleh berlengah lagi kerana rakyat telah menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah “Raja”. Hampir 70% “Raja” di Malaysia adalah Melayu dan mereka berkuasa untuk menentukan Kerajaan yang bakal memerintah. Sungguhpun begitu ia tidak bermakna adalah bijak untuk mendengar setiap satu tuntutan 27juta rakyat tanpa menilai kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Malah, kegagalan memperhalusi tuntutan tersebut lalu membuat tuntutan melalui MCA tidak menggambarkan kematangan sebagai pemimpin semua kaum. Apakah pemimpin Cina mempunyai kriteria secukupnya untuk menjadi Perdana Menteri Semua Kaum jika tuntutan ini mengguris hati ramai Melayu selaku majoriti rakyat Negara Demokrasi ini. Malahan dikala tuntutan ini dibuat, Cina mahu kebebasan bersekolah Cina, yang memustahilkan usaha untuk melahirkan Bangsa Malaysia.

Di sebelah sana, Indonesia dan Thailand tidak dibezakan oleh etnik dan bisa diperintah oleh mana-mana rakyat, itupun adalah hasil kejayaan dari dasar mereka menIndonesiakan dan menThailandkan seorang Cina.



Datuk,

Rakyat berterima kasih atas keprihatinan Datuk menyuarakan kemahuan masyarakat Cina dan dalam masa yang sama memberi peringatan awal kepada Kerajaan kini, kegagalan untuk memenuhi tuntutan itu bermakna undi Cina tidak akan berpihak kepada Kerajaan. Sudah tiba masanya diwujudkan satu platform yakni badan pemikir bebas yang mendukong kemahuan semua rakyat iaitu melahirkan satu bangsa Malaysia seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Malah, Datuk boleh merintis impian semua rakyat Malaysia ini dengan memulakan usaha dan kempen penjelasan kepada masyarakat Cina pentingnya untuk semua rakyat Malaysia pergi ke Sekolah yang sama dan bukan Sekolah Cina. Jika Sistem Satu Sekolah tidak diterima semua rakyat Malaysia, maka impian rakyat untuk melahirkan bangsa Malaysia yang adil,merit dan saksama kekal sebagai sebuah mimpi di siang hari. Dan saya yakin, seratus tahun lagi, kita akan bercakap mengenai perkara yang sama, masalah yang sama, kerana kita tidak belajar dari Sejarah Negara yang berjaya.



Yang Berharap,

Mustaqim Abdul Rahman

Monday, June 21, 2010

GURU HARUS MENULIS BLOG

Fitrah manusia sering dikaitkan dengan sifat seperti lupa, dengki, hasad, marah, cemburu, keakuan, berebut, penting diri, simpati, lurus bendul, ikhlas, jujur dan sebagainya. Bergantung kepada cara didikan, dan pergaulan semasa tumbesaran, sifat ini boleh dibendung, boleh meracuni, boleh disemai, boleh dipupuk, boleh dimanupulasikan atau termanupulasi tanpa disedari. Sifat yang diamalkan sehingga menjadi sebahagian dari diri dipanggil tabiat.

Ironinya, kita melihat kedewasaan mengajar kita tentang keterbukaan. Kita melihat ramai rakan, sahabat, adik beradik, saudara, “Bos”, pemimpin dan anak-anak mempunyai macam-macam ragam dan pelbagai sifat dan tabiat. Kebanyakannya mula terbentuk seawal usia 5 tahun dan ia terus mekar selama 12 tahun kita memakai uniform Sekolah. Apakah ia mekar menjadi sekuntum bunga yang cantik dan menerangi kehidupan orang lain, atau ia menjadi bunga yang wangi tapi tajam durinya, atau dia menjadi bunga yang dihisap madunya, atau dia menjadi bunga yang menjadi benih kepada anak yang bakal lahir, atau ia menjadi bunga yang hanya harum pada waktu tertentu, atau ia menjadi seperti duri yang tajam tapi malu apabila disentuh dan sebagainya. Jawapan bagaimana sifat dan tabiat terbentuk ada pada seorang insane yang banyak menabur bakti. Mereka ialah Guru dan Cikgu di Sekolah yang kebanyakan masa anak-anak dihabiskan disana sepanjang 12 tahun.

Perilaku, naluri manusia, adat bertingkah, adab bersantun, asas pemikiran, ideologi, prinsip, pegangan dan kepercayaan, fundamental kehidupan semuanya berlaku dihadapan Guru. Mereka memerhatikan sambil cuba apa yang terdaya berbekal ilmu didada dengan hanya satu matlamat iaitu melahirkan anak yang terpelajar dan terdidik. Bukan sahaja akademik, tetapi sahsiah diri dan rohani. Kegagalan senantiasa terbeban keatas Guru tersebut yang mana sebenarnya mereka tidak gagal, tetapi kesaling-perluan antara Guru, Anak, Ibubapa, rakan sebaya, persekitaran gagal memanfaatkan satu sama lain. Apabila ia berjaya, pastilah ia dikatakan hasil didikan ibu bapa, itulah rungutan rakan saya seorang Guru, “Lembu punya susu, sapi dapat nama”.

Sungguhpun seorang Guru jarang dihargai, dan diingati, namun, Allah pasti membalas jasa mereka malah saham untuk mereka berterusan walaupun mereka sudah pergi meninggalkan kita seratus tahun dahulu. Mereka adalah golongan paling mulia dalam dunia ini dan sumbangan mereka adalah yang terbesar dalam setiap pencapaian. Guru, umpama lilin membakar diri menerangi kehidupan orang lain, api itu tidak pernah padam tetapi ia terus digunakan untuk menerangi jiwa anak-anak.

Pada zaman tiada Internet, perhubungan antara Guru dan Ibubapa hanya terjalin selama beberapa jam. Apa yang dipendam Guru untuk berkongsi dengan ibubapa hanya dapat diluahkan pada hujung tahun nanti apabila semua ibubapa hadir. Kemudian pada zaman komunikasi mobile pula, ia tetap menghalang konnunikasi antara Guru dan Ibubapa atas banyak sebab antaraya kerana hubungan antara telinga dan mulut yang jarang berjalan dengan baik. Justeru, penulisan tetap adalah satu medium terbaik kerana apabila ibu bapa membaca, hanya satu deria sahaja digunakan untuk memberi input kepada otak iaitu mata. Berbanding apabila bercakap, deria telinga, mata, hidung, mulut digunakan sehingga pelbagai tapisan emosi menghalang input ke otak. Sungguhpun begitu, adalah sukar untuk seorang Guru menampaikan penulisannya kepada ibubapa.

Pada zaman internet dan blog ini, Guru-guru dirayu menggunakan “state of the art” ini dengan menulis blog. Guru diminta berkongsi pengalaman, hasil analisa, pemerhatian, pendapat mencegah, cadangan menambah baik, dan pelabagi lagi tanpa perlu menyebut nama anak tersebut. Yang pasti, ia sesuatu yang amat bermanafaat dan boleh memanfaatkan ramai anak-anak seluruh Malaysia. Tiada insan yang lebih layak dari Guru untuk menulis blog dan menyampaikan rasa dan luahan mereka, agar anak-anak menjadi seorang manusia yang terpelajar dan terdidik “mental, fizikan dan spiritual”.

Saya pasti impak dan ilmiah blog Guru adalah lebih dari apa yang dapat kami lakukan. Ibubapa boleh memanfaatkan pengalaman Guru yang tiada tanding taranya. Justeru, Guru mula memblog amat diperlukan untuk melahirkan insan yang dapat menilai baik dan buruk, salah dan betul, patut dan tidak, rasional dan emosional, dan sebagainya, Wahai Guru, teruslah mendidik anak-anak kami diluar ini dengan memblog.

Monday, June 14, 2010

Khalifah Umar Abdul Aziz PAS

Lim Guan Eng di gelar Khalifah Umar Abdul Aziz oleh PAS. Bayangkan kesesatan yang dibawa PAS jika benar-benar ahli mereka yang buta tuli(jika ada) mempercayai gelaran yang diberi Nik Abdul Aziz.

Namun itu bukan isu yang saya ingin utarakan. Malah, ramai sudah mengetahui tembelang dan bercerita perihal Lim Guan Eng. Cuma, ahli PAS belum betul-betul mencontohi kebenaran Abu Bakar As Siddiq, menjiwai ketegasan Umar Al Khatab dalam mengatakan kebenaran waima yang disanggah ialah Nabi Muhammad SAW atau Abu Bakar.

Tujuan saya menulis adalah ingin mengingatkan Mentor dan Idola Cyber saya iaitu saudara RocyBru dan Kickdefella. Sungguhnya, mereka mengajar saya erti etika kewartanan dan blog. Tanggungjawab dan peranan yang mampu kita mainkan. Saya mahu ingatkan mereka kerana saya terbaca dari kedua-dua blog mereka beserta gambar mengenai Lim Guan Eng yang menaiki penerbangan MAS dari Penang ke KL menaiki Ekonomi Kelas.

Rockybru dan Kickdefella berjaya menanam kebencian saya pada pemimpin BN yang hanya mahu menaiki Business Class dan suka menghabiskan wang rakyat. Malah, ada satu ketika, salah satu dari blog Kickdefella atau Rockybru memaparkan gambar rumah teres Lim Kit Siang yang ditumpang Lim Guan Eng walaupun sudah bergelar Ketua Menteri Melaka. Mereka berjaya menaksubkan saya pada kualiti kepimpinan seorang Cina Melaka yang rendah hati dan berjiwa rakyat sehingga di gelar pula oleh PAS sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz.

Tanggungjawab dan etika kewartanan dan blog perlu mendedahkan kebenaran walaupun yang menanti ialah Neraka Dunia. Kini, Lim Guan Eng sudah pergi ke Luar Negara 15 kali bertujuan membawa masuk pelabur baru termasuk beberapa lawatan yang disertai isterinya sejak 11 Mac 2008,.

Negara-negara tersebut adalah Hong Kong, Korea Selatan, China, Taiwan, Timur Tengah, Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Singapura.

Saya mahu mengingatkan tanggungjawab Rockybru dan Kickdefella yang dahulu mendedahkan Lim Guan Eng berjiwa rakyat menaiki Economy Class, selidik dan paparkanlah gambar Guan Eng bersama isteri di sana dan selidikilah mereka menaiki Economy Class, Business Class atau First Class.

Kerana saya percaya, anda berdua yang amat saya hormati adalah orang yang bertanggunjawab atas laporan yang anda beri. Sungguhpun, perubahan sikap Guan Eng luar kawalan anda, tetapi menjadi tanggunjawab anda berdua untuk melaporkan hal sebenar dan terkini kepada rakyat supaya kebenaran dapat tertegak tanpa mengira siapa, dimana, bila, dan mengapa.

Salam Kasih,

Mustaqim Abdul Rahman
Menti Senyap

JUDI BOLA

Sesuatu yang agak memeranjatkan apabila beberapa kumpulan dalam UMNO seperti Pemuda, UMNO Johor, beberapa Menteri menggesa Kerajaan mengkaji Lesen Judi Bola. Harapan saya, ia bukanlah satu retorik atau lakonan politik semata. Jika benar mereka bersuara atas kapasiti mereka sebagai “wakil rakyat”, mereka mensuarakan apa yang difikirkan benar, maka ini adalah satu nafas baru yang dinanti-nanti oleh UMNO.

UMNO sebenarnya dalam keadaan merbahaya akibat permainan politik yang dimainkan PR terutama PAS. Keputusan PAS menggadai nama Islam dan perjuangan Melayu dalam Parti Islam Se-Malaysia itu adalah sesuatu yang boleh dianggap pelancaran “Nuclear War”. Bezanya, pemenang utama perang nuklear ini adalah bukan Melayu mahupun Islam selaku pihak yang berjuang dan berpenat jerih, tetapi pemenangnya ialah bukan Melayu dan bukan Islam. Undi mereka yang ditagih walau terpaksa menyekutukan Allah dan Rasulnya, begitulah gamaknya manusia yang diragui oleh Malaikat dari saat pertama Allah cipta.

UMNO nampak terhimpit dari kacamata saya yang tidak seberapa. Beberapa pembaharuan perlu dilakukan seperti kebebasan bersuara walaupun bukan sealiran dengan kepimpinan parti. Masih ingat Tengku Razaleigh dalam isu royaltI gas Kelantan?
Sebenarnya, UMNO sudah lama mengamalkan kebebasan bersuara lebih dari apa yang ditawarkan oleh PKR, PAS DAN DAP. Bezanya, UMNO lemah dalah menjenamakan nilai-nilai positif yang ada padanya. Di pihak pembelit pula, najis anjing dan babi pun boleh dijual untuk dimakan orang Islam, begitulah hebatnya kuasa pemasaran dan penjenamaan mereka.

Dalam isu judi bola, saya menyokong supaya diberikan lesen kerana jika kita bijak melayari Internet dengan menggunakan beberapa kata kunci, kita akan menjumpai beratus laman web yang menawarkan pertaruhan bola. Dalam beratus ini ada yang benar dan ada yang hanya mahu menipu. Samada Lesen Judi Bola diberikan atau tidak, rakyat Malaysia termasuk orang Islam sudah menetapkan sejumlah wang untuk ditaruh. Malah mereka sudah berkira-kira untuk mendapatkan semula kerugian bertaruh dan untuk melipatgandakan keuntungan bertaruh pada Piala Dunia lepas. Samada Kerajaan beri lesen atau tidak, samada Pakatan Rakyat mensedekahkan perisian menyekat laman web judi online di Malaysia, para pertaruh tetap akan membuat pertaruhan.

Oleh itu, politik bunuh adalah amat penting pada masa ini. UMNO perlu membunuh politik yang dimainkan oleh PR terutama PAS sehingga berjaya mengucar kacirkan UMNO dan menampakkan UMNO bersubahat dalam dosa besar Islam ini. Walhasil, apa yang UMNO cuba lakukan dengan memberi lesen judi ini adalah untuk mengelakkan dari dosa yang lebih besar iaitu penipuan Internet, bunuh, rogol dan liwat(jika pertaruh kalah tidak bayar) termasuk pada keluarga, ancaman kewangan kerana Ah Long(Lintah Darat@Bookie) akan menaikkan bunga jika lambat bayar, dan banyak lagi.

Politik bunuh UMNO ini bolehlah dimulakan oleh Yang Dibenci Cina (YDC) Dato Ibrahim Ali. Blok bebas boleh mengusulkan di Parlimen penarikan balik semua lessen judi termasuk 4D, Lumba Kuda, Kasino dan sebagainya di seluruh Malaysia. Semua yang berkaitan judi seperti cabutan bertuah, gores dan menang, peraduan dan sebagainya juga di haramkan oleh Kerajaan dan sesiapa terlibat atau menawarkan akan dihukum mengikut hukum HUDUD. Saya percaya, semua ahli Parlimen PAS dan UMNO akan menyokong usul ini. Jika tidak, kita lihat siapa yang lebih teruk kena main dalam politik. Tukang sorak, rakyat atau Pemimpin.

Sunday, June 13, 2010

YANG BAIK JADIKAN TAULADAN, YANG TIDAK JADIKAN SEMPADAN

Saya menulis sebagai satu saluran ilmiah. Kerana saya manusia, saya mempunyai sentimen dan pendapat tersendiri. Ibu pernah bertanya, kenapa perlu menulis menyakitkan hati orang dan menambah musuh, saya jawab, saya tulis dengan harapan dapat berpesan-pesan kepada kebenaran.

Namun, saya akur dengan lumrah manusia yang Allah jadikan berbeza-beza dan mana mungkin saya paksa pemikiran pembaca mengikut pemikiran saya dan begitu juga sebaliknya.

Di akhir hari, saya harap dapat meninggalkan apa sahaja yang saya tulis kepada anak dari keturunan saya dan dari keturunan kakak-kakak saya, semoga, yang bermanafaat dan baik disampaikan kepada cucu-cicit, dan yang salah juga disampaikan kepada anak cucu supaya mereka menjadikannya sempadan.

Wahai anak-anakku!

Ingatlah pesanan datukmu, Abdul Rahman Mohd Nurut,

“Berbaik-baik dengan seorang musuh, berjaga-jaga dengan seorang kawan” supaya musuh menjadi kawan, dan kawan tidak menjadi musuh.

“Bila jadi Bos, jangan jadikan pekerja sebagai hamba, tetapi naikkan semangat mereka supaya bekerja-sama”

“Dalam baik manusia cari buruknya, dalam jahat manusia cari baiknya, jangan ambil yang negatif, tetapi, perhalusi garisan halus yang memisahkan batil dan hak, yang salah dan benar”

“Hormatilah manusia bukan kerana dunianya(rumah, kereta, pangkat), tetapi hormatilah manusia kerana akhiratnya”

“Satu detik muhasabah diri dan meratapi dan insafi kesilapan pada Allah bersamaan dengan pahala 40 tahun solat sunat”

“Jangan dicari kesalahan orang sebelum dicari dan diteliti diri sendiri”

"Jika Rasulullah SAW yang maksum beristighfar meminta ampun pada Allah 100 kali setiap malam sebelum tidur, cubalah "acai" beristighfar 111 kali sebelum tidur meminta ampun dosa hari tersebut"

"Jangan takut melakukan dosa, tetapi gerunlah menghadapi NERAKA.

Semua ini sama ada kalian terbaca di Al-Quran, kitab atau bahan ilmiah lain, ingatlah, ia adalah ajaran Islam yang di amalkan keturunanmu.

Mustaqim Abdul Rahman
June 13, 2010.
Menjelang Rejab yang mulia di tahun 1431

SELARIKAN PENDEDAHAN MAHKAMAH DENGAN HUKUMAN

Acap kali apabila ada kes jenayah yang mendapat perhatian umum dan media, kes tersebut akan diikuti dari mula sehingga akhir. Pendek kata, segala pendedahan berserta bukti dan saksi dalam mahkamah semuanya dibogelkan dan dipaparkan oleh media setiap hari. Kes di Mahkamah yang mendapat liputan media perlu mendapat liputan media secara menyeluruh termasuk hukuman, wawancara selepas hukuman dijalankan, kesan perlakuan jenayah tersebut pada pelaku dan keluarga, penyesalan, kesan trauma pada mangsa dan keluarga, keperitan dan kesedihan yang ditanggun waris dan sebagainya.

Dalam drama filem, setiap perbuatan jahat pasti akan mendapat balasan. Lain pula jalan cerita kes Mahkamah yang mendapat liputan media. Kes yang berjalan di Mahkamah bagai sebuah cerita drama yang menceritakan jenayah, kekejaman manusia, perilaku keji dan hina, jiwa kacau yang ganas, kebinatangan manusia, kemaksiatan dan keburukan akhlak, dan segala perilaku Syaitan kepada kita. Kita membaca dan mengikuti kisah di Mahkamah setiap hari tetapi kita tidak pula dapat mengikuti kisah selepas hukuman dijatuhkan oleh Tuan Hakim. Media perlu bertanggungjawab menghabiskan cerita “drama” yang di dedahkan dari Mahkamah dengan mewujudkan ruangan khas termasuk mewawancara pelaku jenayah, mangsa, keluarga, mereka yang tertejas fizikal, mental dan perasaaan.

Jika dahulu antara kes yang mendapat liputan media seperti;

1) Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik lalu dibunuh dengan kejam oleh seorang manusia yang ternyata lebih kejam dan zalim dari Syaitan.

2) Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal terbabit dalam keadaan mencangkung.

3) Audrey Melissa Bathinathan, 17, dijumpai mati berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipukul di kepala, dirogol dan dijerut.

4) Mayat Noor Suzaily Mukhtar, 24, ditemui di Taman Bukit Tinggi, Klang. Mangsa dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan di taman itu.

5) Nor Shuhada Borak, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

6) Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah. Mangsa mati akibat dijerut menggunakan tali.

7) Nurul Hanis Kamil dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001.

8) Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong.

9) Norshakila Ramli Choo, 6, pula dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang.

10) Manakala seorang pelajar sekolah menengah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang. Mangsa patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stoking dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan.

11) Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, kanak-kanak berusia dua tahun diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

12) Canny Ong Lay Kian dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Centre di ibu negara. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

13) Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Banyak lagi kes yang mendapat liputan media termasuk yang terbaru ialah perbicaraan kes pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil, 28, yang didakwa membunuh kanak-kanak Syafiah Humaira Sahari di sebuah padang bola, Ulu Yam, Batang Kali, Kuala Kubu Baharu pada 25 Februari lalu.

Beberapa saksi mengatakan mereka nampak Syafiah Humaira dipijak oleh lelaki dewasa sehingga badannya ada kesan “stud” kasut bola pada perut mangsa, ada saksi mengatakan si pelaku memijak kaki mangsa dengan memakai but bola tetapi mangsa tiada reaksi. Mereka nampak si pelaku menyepak mangsa yang berusia 3 tahun sehingga melambung jauh sebelum diherdik untuk berdiri. Mahkamah juga diberitahu, Syafiah Humaira dijinjing bangun oleh si pelaku tetapi jatuh semula kerana sudah tentu kesakitan yang amat.

Media juga mendedahkan, si pelaku adalah lebih keji dari seekor binatang kerana dengan bangganya melakukan perbuatan itu di tempat terbuka dan apabila ditegur, si pelaku mengherdik dengan bangga, “Tak pernah tengok budak kena sepak” dan ''Kau jangan sibuk, nanti kau yang aku buat macam ni”.

Semua ini didedahkan media termasuk, ibu mangsa yang mempunyai anak tidak sah taraf bersama pelaku. Yang menyedihkan, akhir kes nanti, ada pelaku yang bersalah tetapi tidak dikenakan hukuman, ada pelaku yang bersalah diangkat sebagai wira atau “hero”, ada pelaku yang dikenakan hukuman setimpal dan tidak setimpal dan sebagainya. Tetapi apa yang menimpa simangsa, anak-anak dan keluarga, tekanan yang dihadapi mangsa dan keluarga pelaku, lebih lagi penyesalan(jika ada) dan kesakitan yang ditanggung pelaku akibat kesilapan diri yang berpunca dari sikap terburu-buru, gopoh, panas baran, melulu, sembrono, ikut kawan, dan sebagainya semua tidak didedahkan kepada pembaca.

Yang terpalit di hati pembaca adalah rasa sedih, geram dan marah, yang pembaca faham ialah tiada penyesalan dan kesengsaraan yang ditanggung pelaku, mangsa, dan keluarga angkara perbuatan diri. Semua ini kerana media hanya memberi liputan eklusif bagai Drama Filem di Mahkamah tetapi tiada pengakhiran yang benar-benar membuat penonton atau pembaca insaf dan muhasabah diri. Yang pasti, malu menanti keluarga mangsa dan pelaku yang tidak berdosa, sedangkan Mahkamah sudah membogelkan kisah peribadi mereka. Dunia tidak tahu kerana media berhenti memberi liputan selepas Hakim membuat keputusan.

Jika mustahil, saya mahu dengar pengakuan dari mulut pembunuh, perogol, dan pendera kanak-kanak yang terbukti bersalah dan sedang menjalani hukuman. Saya mahu tahu perasaan trauma dan penderitaan mangsa, anak-anak dan keluarga, malah saya mahu tahu, kisah hidup si pelaku dari pandangan ibu bapa dan keluarganya sendiri(dengan kebenaran). Saya benar-benar ingin tahu bagaimana sipelaku menjalani kehidupan dari kecil, remaja, dewasa, sehingga ia mampu mengubah seorang manusia menjadi lebih zalim dan keji dari seekor binatang. Dengan itu, pendedahan di Mahkamah dapat diselarikan dengan moral, tauladan dan sempadan sejajar dengan hukuman dunia dan akhirat.

ASTRO IMAM MUDA

Asean Satellite Televisyen Radio Operator (ASTRO) adalah lebih sesuai dan tepat dikenali sebagai Air(mata) Sedih Tangisan Rintihan Orang (ASTRO). Program terbaru Imam Muda mengesahkan lagi gelaran tersebut pada ASTRO. Sungguhpun Program tersebut mencari dan melahirkan Imam Muda Moden berketrampilan menarik supaya diterima kebanyakan golongan, tetapi, adegan tangisan, air mata, kesedihan IMAM sewajarnya dikecam.

Terbaru, Imam Muda diberi tugasan untuk menyulami jiwa anak-anak kurang bernasib baik disamping menggalakkan mereka supaya taat pada perintah Allah. Namun, apabila air mata turut menjadi modal ASTRO dan dimainkan pula oleh Imam Muda, jelaslah Program ini hanya mampu melahirkan Imam Setengah Masak. Difahamkan, air mata adalah bahasa roh yang tidak difahami oleh akal tetapi dirasai oleh perasaan sehinga mata mengeluarkan air.

Namun, apa yang dirasai oleh perasaan dari bahasa roh tersebut hanyalah SEDIH. Tidaklah jelas oleh perasaan mengapa roh bersedih, tetapi ramai Ulama mengatakan roh senantiasa bersedih dan meratapi dosa “tuan punya badan” dan bukanlah kerana orang lain. Jikalau kita dapat memahami bahasa roh kita akan mendengar roh berkata pada kita, dahulu sebelum lahir kau iaitu aku(roh) telah berjanji pada Allah sebegini dan sebegitu, semasa kau melakukan dosa dan fitnah tanpa kau sedari, semasa kau memarahi ibu bapa, semasa kau masam mencuka, semasa kau tidak beradab pada orang lebih tua, semasa kau meninggalkan solat, semasa kau jalan tegak dalam rumah Allah, semasa kau membazir air mengambil wudhu, semasa kau mencuri tulang, semasa kau tidak jujur dalam kerja, semasa kau mengambil dan memberi anak isteri makan duit rasuah, semasa kau ponteng dan tipu MC, semasa kau mengambil kertas A4 dan mencetak mengguna perkakas pejabat tanpa kebenaran, semasa kau tidur diulit mimpi ketika azan subuh, semasa kau sebegini dan sebegitu, aku(roh) telah menasihatkan kau dan aku telah diperlihatkan Allah azab yang menanti kita. Malangnya akal tidak faham akan bahasa roh, tetapi hati merasainya, lalu timbullah perasaan resah, gundah gulana, takut, marah, sedih, tangis dan sebagainya.

Malangnya, keduniaan mempergunakan program seperti Akademi Fantasia, lain-lain Program Realiti TV, termasuklah Imam Muda untuk memperalatkan air mata sebagai satu modal menarik rating dan memperlihatkan bukan kualiti tetapi kehinaan seorang IMAM. Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan para ikutan(Imam, Ulama dan Fisabilillah) hanya layak menangisi kemurkaan Allah SWT terhadap manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Apakah nasib manusia yang cacat, yang kurang upaya, yang kurang bernasib baik, yang kurang kacak dan cantik adalah kemurkaan Allah atau kerana ujian Allah yang mahu Umat Nabi Muhammad dipertingkatkan makamnya. Perlukah kita menangisinya? Diceritakan, seorang bapa menangis gembira kerana anak perempuannya tidak layak ataupun terkeluar dalam saingan Program Hiburan, bukannya menangis sedih.

Imam Muda memang harus, wajib dan wajar mempunyai perasaan termasuklah mengalirkan air mata apabila berlaku kematian, sungguhpun ada yang melarang kerana air mata memberatkan simati, namun, Imam Muda tetap seorang manusia. Seorang manusia yang akan menangis apabila melihat bumi Palestin di ceroboh, anak-anak kecil Palestin ditembusi peluru Yahudi, Gadis Afghanistan dirogol Tentera Amerika dihadapan ibu bapanya, Wanita Iraq diliwat dihadapan suaminya, tetapi, semua tangisan ini dilakukan pada malam hari, diatas tikar sembahyang, dan hanya berhadapan Allah SWT dan bukan berhadapan kaca TV yang ditonton seluruh umat manusia. Ingatlah, betapa manusia itu sedih menangisi kematian Rasullullah SAW, tetapi IMAM BESAR Saidina Abu Bakar tidak menangis dan meminta seluruh hadirin dan umat Islam supaya tidak menangis kerana kasih Allah lebih layak keatas Baginda. Baginda tidaklah mati, tetapi dipindahkan ke kehidupan yang kekal iaitu SYURGA. Namun, perlu difahami terutama oleh agama lain, Saidina Abu Bakar ialah seorang manusia sama seperti kita, dilahirkan Allah dengan perasaan sedih dan sakit walaupun beliau mampu menahan dipatuk ular berbisa semasa Nabi Muhammad SAW tidur di ribanya. Saidina Abu Bakar menangisi kematian Nabi Muhammad SAW setiap malam diatas tikar sembahyang disaksikan hanya Allah SWT. Itulah kualiti yang perlu ada pada seorang IMAM MUDA kerana mereka ialah contoh, ikutan, model, dan cahaya dihujung terowong.

Program ADIK ANGKAT pula perlulah ditukar pada Program Sahabat kerana Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai adik beradik angkat. Tetapi Baginda mempunyai banyak Sahabat termasuklah yang jahat. Sehingga Baginda pernah memberitahu seorang Sahabat, mahukah kau melihat dikalangan sahabatku yang akan dimasukkan kedalam Neraka? Sahabat tersebut menangis ketakutan, sambil memberanikan diri mengangkat muka melihat wajah Nabi Muhammad kerana difikirkan dia adalah orang yang dimaksudkan Nabi, menyedari keadaan itu, Nabi menyambung, janganlah kau menangis sahabatku, sesungguhnya kau telah Allah janjikan akan Syurga kepadaku. Jelaslah tiada nas dan riwayat yang menceritakan Nabi Muhammad SAW mempunyai adik atau abang angkat melainkan semua adalah sahabat Baginda. Lebih-lebih lagi Imam Muda adalah program merintis semangat Islam dalam dunia moden serba mencabar. Adalah sepatutnya Program Angkat ini ditukar kepada Program Sahabat Masjid, Sahabat Islam, Sahabat Darjah, Sahabat 2G, Sahabat 3G, Sahabat Internet, Sahabat Facebook, Sahabat Cekal dan sebagainya. Semoga yang terlibat dapat mendalami jiwa, roh dan semangat SAHABAT disisi Islam yang dipraktikkan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Imam Muda yang masih kekal dan telah terkeluar janganlah berasa tersinggung dan sedih, kerana seorang Imam yang tinggi darajatnya disisi Allah perlu menongkah arus perdana. Ingatlah, dari Sahabat Abdullah bin Amr bin Ash r.a :
“Telah bersabda Rasulullah SAW : ” Sungguh-sungguh akan datang atas umatku sebagaimana yang telah datang pada Bani Israil, sebagaimana sepasang sandal yang sama ukurannya, sehingga kalau dulunya pernah ada di kalangan Bani Israil orang yang menzinai ibunya terang-terangan niscaya akan ada diumatku ini yang melakukan demikian. Dan sesungguhnya Bani Israil telah terpecah menjadi 72 golongan dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semua mereka bakal masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat. Para shahabat bertanya: “Siapakah mereka yang selamat itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: ” yaitu golongan yang mengikuti Aku ada padanya pada hari ini dan yang mengikuti para Sahabatku.”
Sesungguhnya, satu dari 73 jalan tersebut pastilah bukan jalan yang mudah dan senang. Ia pastilah jalan yang dibenci Syaitan yakni jalan yang berliku, susah dan rumit. Semoga semua Imam Muda berada di landasan jalan yang betul, yakni JALAN SIRATUL MUSTAQIM.