ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, November 19, 2009

KAHWIN: TERPAKSA ATAU DIPAKSA

Pemodenan jelas mengevolusikan pemikiran. Malangya, setiap sesuatu benda (selain yang datang dari Allah) tidak sempurna dan ada baik dan buruk. Begitu juga dengan pemodenan ada baik dan ada buruk. Jika dahulu seorang perempuan jodohnya ditentukan oleh ibu bapa, kini mereka bebas mencari dan memperjuangkan jodoh mereka. Jika dahulu pemegang wasiat adalah orang yang jujur, tetapi kini duit haji pun orang curi. Pokoknya, hukum Allah yang jelas dalam Al-Quran seperti hukum faraid, hukum kahwin lebih dari satu, proses penceraian dan sistem syariah ammnya, dan banyak lagi tidak lagi relevan. Ia tidak relevan bukan kerana agama Islam tetapi kerana umat Islam.

Sistem dan hukum Allah dalam Al-Quran tiada cacat celanya lagi, tetapi manusia yang menjalankan hukum ini tidak lagi seperti dahulu yang jujur, amanah, berani, kuat iman, tetapi kaki penipu, penindas kaum wanita dan sebagainya.

Saya ingin berkongsi kesedihan sahabat saya yang mahu dikahwinkan atas pilihan keluarga. Saya ingin ucapkan tahniah dan saya rela kehilangan sahabat, atau kekasih dari melihat dunia kehilangan seorang anak yang baik. Dalam satu Riwayat, Nabi Muhammad SAW bersabda, Allah berfirman, 1) Jika "AKU" tidak Restu, tetapi ibu bapa kamu restu, maka "AKU" restu, 2) Jika "AKU" suka, tetapi ibu bapa kamu tidak suka, maka "AKU" tidak suka! Ayat ini sebenarnya menggambarkan betapa pentingnya restu ibu bapa apatah lagi yang membabitkan jodoh.

Sebenarnya, masih ramai rakan-rakan saya yang kahwin atas pilihan keluarga didalam dunia yang moden ini. Banyak alasan tetapi yang selalu di dengar ialah kerana kasih dan taat pada ibu bapa. Pada saya, syurga adalah ganjaran bagi mereka yang kahwin atas pilihan ibu bapa. MASALAHNYA, ia tidak semudah itu. YA! Syurga tidak pernah mudah untuk sesiapa. Bukanlah salah ibubapa memilih, tetapi salah si lelaki yang tidak amanah, tidak jujur dan tidak "Islam".

Kenapa saya rujuk pada lelaki sedangkan permasalahan ini mungkin datang dari perempuan. Ia amat mudah kerana lelaki adalah Khalifah yang menentukan jatuh naik sebuah hubungan malah lelaki memegang kata veto iaitu cerai. Mana mungkin seorang perempuan menceraikan seorang lelaki. Malah akad nikah, ijab kabuk sebenarnya adalah penyerahan amanah Allah(anak perempuan) dari seorang Bapa kepada seorang lelaki lain yang bergelar suami. Maka Isteri ialah amanah Allah pada suami yang diserahkan oleh bapa perempuan. Jadi, mana mungkin kegagalan perkahwinan samada berasaskan cinta, dipaksa dan terpaksa adalah salah perempuan. Ia 100% salah lelaki.

Kegagalan perkahwinan yang diatur ibu bapa adalah salah lelaki iaitu suami. Namun, bukan semua suami sedar akan permasalahan ini, jadi, isteri kena memainkan peranan dengan berkesan bagi mempertahankan mahligai indah. Isteri kena banyak bersabar(sabar tahap dewa), "understanding", bijaksana dan lembut.

Oleh itu, jika kegagalan perkahwinan adalah 100% salah lelaki, tetapi "survival", kebahagian dan kejayaan perkahwinan adalah tanggungjawab suami dan isteri. ADA masa 30%, ada masa 50%, ada masa 80% usaha perlu datang dari kedua belah pihak apatah lagi ia perkahwinan yang diatur.

Pada sahabat saya, setengah kaki anda sudah berada di Syurga, setengah lagi berada pada bakal suami anda. Dan Syurga yang penuh itu hanya dapat anda dan suami anda capai dengan toleransi, sabar dan kegigihan. Yang pasti ia amat sukar dan kerana syurga tidak pernah mudah.

Selamat Bertunang, Berkahwin dan Berbahgia.

Assalamualaikum wbt.

-Mustaqim Abdul Rahman

APABILA NALURI SEORANG MANUSIA DISEKAT DAN DIKAWAL

APABILA NALURI SEORANG MANUSIA DISEKAT DAN DIKAWAL

Seorang Doktor mahukan anaknya menjadi Doktor. Begitu juga dengan Peguam, Akauntan, Engineer dan lain-lain. Tidak ketinggalan seorang ulama juga mahu anaknya menjadi ulama juga. Atau sekurang-kurangnya kita tidak mahu anak menjadi lebih jahat dari kita tapi mahu anak menjadi lebih baik dari kita. Namun, naluri manusia telah lahir bersama fitrahnya dan ketentuan Allah jua akan terjadi. Yang mampu kita lakukan ialah bekalkan mereka dengan ilmu supaya mereka berupaya menilai baik dan buruk. Disini datangnya peranan psikologi dan motivasi, dan disini datangnya kepentingan menambah ilmu melalui pembacaan. Sejarah merekodkan Bangsa Melayu berusia tidak lebih 500 tahun. Ini bermakna Melayu hanya mempunyai 10 generasi berbanding bangsa Eropah yang sudah mempunyai beratus-ratus generasi.

Persoalannya, adakah kita mampu mengawal naluri seorang manusia, terus menyekatnya dari sifatnya yang sebenar? Jika kita fikir kita mampu, apakah kita akan hidup selama-lamanya untuk memastikan sipolan dan golongan tertentu akan senantiasa selamat dengan mengawal naluri dan diri mereka yang sebenar? Bolehkah kita jamin mereka akan terus kekal seperti yang kita mahukan?

Inilah manusia! Lemah! Lupa! Alpa! Bongkak dan sombong! Sering terlupa akan Kudrat dan Iradat Allah SWT. Sering fikir akan kejayaan, kekayaan, kemajuan dan pencapaian adalah hasil usaha manusia itu sendiri. Tidakkah manusia itu sedar yang kita hanya berusaha, dan yang berkuasa menjadikan atau tidak menjadikan setiap satu kejadian itu adalah Allah SWT.

Oleh itu, saya ingin menarik perhatian saudara Islam saya supaya menggelakkan sifat sedemikian dan seumpamanya apatah lagi mendahului Allah SWT. Elakkan mengawal dan menyekat naluri manusia, tetapi biarlah mereka lepas dan bebas menjadi diri yang mereka pilih dengan disertai dengan bimbingan dan ajaran. Dengan diulit dan disaluti dengan didikan agama dan keimanan. Akhirya, mereka akan mampu membuat pertimbangan yang baik. PERTIMBANGAN yang baik hanya boleh dicapai dengan ilmu yang dibekalkan dari kecil dan bebas dipraktikkan secara praktikal selagi tidak melanggar hukum Allah.

Dalam artikel ini, saya ingin mengajak Saudara melihat akan kesan negatif dari perbuatan menyekat dan mengawal naluri manusia sehingga manusia gagal membuat pertimbangan. Sebelum itu, tanamlah dalam fikiran, setiap sesuatu itu(selain dari Allah) pasti ada keburukan dan kebaikan. Setiap satu yang baik itu pasti ada buruknya begitu juga setiap satu yang buruk itu pasti ada yang baiknya.

Tahun 2009 adalah tahun gemilang bagi bolasepak Kelantan. Layak bagi dua final berprestij di Malaysia. Walaupun kalah, pencapaian itu amat menakjubkan dan tidak pernah dicipta oleh mana-mana pasukan. Tidak pernah layak ke final, tetapi dalam satu tahun layak ke dua final. Malangnya, kekalahan di dua final tersebut tidak dapat diterima dengan baik oleh orang Kelantan sehingga bertindak ganas membelasah sehingga lunyai penyokong Negeri Sembilan dan harta benda Stadium yang tidak bersalah(malah berjasa). Lebih malang lagi apabila orang Kelantan tidak menerima kesalahan yang mereka buat tetapi sebaliknya menyalahkan FAM, menyalahkan Tan Sri Annuar Musa, menyalahkan bola itu bulat dan jika boleh mereka menyalahkan takdir Allah SWT yang mahukan Kelantan kalah barulah mereka bertindak seperti itu. Terlebih-lebih malang apabila mereka gagal dan terus gagal dalam membuat pertimbangan dan hati mereka tertutup rapat untuk menerima kelemahan diri dan justeru gagallah usaha-usaha Malaikat untuk membisikkan semboyan perubahan.

Mengapakah sampai begitu sekali? Bukankah Kelantan yang mengangkat diri sendiri Serambi Mekah dan Kota Bharu Bandar Islam perlu ada penduduk yang sejajar dengan “gelaran sendiri” tersebut. Pada pendapat saya yang cetek ini, ini terjadi kerana Kerajaan Kelantan cuba mengawal dan menyekat naluri jiwa rakyat Kelantan. Mereka mengharamkan Pusat Hiburan, mereka tidak membenarkan Pusat Snooker, tiada Panggung Wayang, tiada aktiviti bersilang kekeluargaan secara terbuka, tiada Konsert dan Hiburan yang dibenarkan selain Nasyid, mereka tidak membenarkan arak “dijual”, mereka pinggirkan orang yang tidak menutup aurat, mereka kenalkan “perintah berkurung” selepas jam 8.00 malam dan banyak lagi. Bukanlah larangan yang menjadi masalah, tetapi tiada pengisian kepada jiwa yang kosong itulah masalah utama. Lalu jadilah mereka Negeri Islam kerana rakyat mereka patuh kepada ajaran Islam. Namun, kepatuhan rakyat mereka kepada Islam hanya bertahan di dalam Kelantan sahaja. Di luar Kelantan, rakyat Kelantan melakukan maksiat yang tidak dapat mereka lakukan di Kelantan. Kerana itulah naluri mereka, mengawal naluri manusia dengan mengharamkan bukanlah mengawal, tetapi ia lebih kepada syok sendiri sahaja. Akibatnya, naluri itu tidak dididik tapi dikawal. Apabila kawalan atau orang yang mengawal tiada disisi maka ia mungkin lebih teruk dari binatang sendiri.
Islam tidak memaksa dan mengawal umatnya, tetapi Islam mengisi jiwa yang kosong itu, Islam meresapi jiwa dan sifat manusia sehingga menjadi semulia Nabi Muhammad SAW, sejujur Abu Bakar, setegas Umar, selembut Uthman dan segagah Ali. Janganlah mendabik dada mengatakan kita baik dan beriman selagi kita belum di uji oleh Allah. Jangan cepat puas hati kerana kebaikan kita mungkin hanya disebabkan kita dikawal oleh undang-undang, Ibu Bapa, Sekolah, Pengetua, Cikgu, Pengawas, Isteri, peraturan pejabat dan masyarakat. Yang sepatutnya, kebaikan diri manusia itu seharusnya lahir dari hati nurani yang terdidik oleh kebenaran. Dan persempadanan antara baik dan buruk, benar dan batil hanya boleh dilakukan oleh jiwa yang bebas. Jiwa yang jika mahu bebas ke Disko, Panggung Wayang, Konsert Hiburan, Snooker, atau sekurangnya yang menonton rancangan Hiburan dan Program Lagu yang menghiburkan jiwa, filem yang memberi tauladan, program sukan yang mengisi tuntutan semangat, asimilasi budaya, seni dan pelbagai lagi. Kerana perbandingan hanya dapat dilakukan jika ia melibatkan lebih dari 2 benda, maka perbandingan memberi kita pilihan untuk memilih yang lebih baik dan yang kurang buruk. Maka, renung-renungkan diri sendiri, adakah kita hari ini kerana hati nurani kita atau kerana kita tertakluk, kita takut dan kita dikawal. Kerana, dikhuatiri apabila yang mengawal kita sudah tiada, atau tiada disisi maka kita hilang pertimbangan seperti apa yang terjadi pada penyokong pasukan Kelantan.

Saya bukan orang Kelantan tetapi saya orang Islam yang lahir di Selangor. Saya tidak pernah faham dan tidak akan sokong sempadan dalam Islam. Jadi saya mengutuk prejudis kenegaraan, warna kulit, bangsa apatah lagi kononnya semangat kenegeriaan(di Malaysia Kelantan, Kedah, Perak, Sabah kuat kenegerian) kerana saya adalah orang Islam dan didalam Islam kita semua adalah sama umat Muhammad Hamba Allah. Hari ini, Amerika memperjuangkan dunia tanpa sempadan dimana orang yang menetap dan bekerja di Amerika tetapi bukan lahir di Amerika mendapat hak sama rata dengan penduduk yang lahir di Amerika, malah boleh menjadi Presiden dan Senator. Amerika yang beragama Krisitian percaya Tuhan Jesus mereka tidak menjadikan dunia ini dengan sempadan. Sepatutnya, orang Islam yang patut perjuangkan Islam tanpa sempadan kerana Islam agama yang benar. Justeru, tidak timbul kenegerian Selangor, Johor, Kelantan, Kedah, Perak, Sabah dan sebagainya, tidak wujud kenegaraan Indon, Bangla, Pakistan, Myanmar dan sebagainya, tidak wujud miskin dan kaya, tidak wujud VIP dan rakyat, tidak timbul PAS atau UMNO, yang WUJUD hanyalah ISLAM. Semua orang Islam sama sahaja, Allah yang sama, Nabi yang sama, kiblat yang sama, Rukun Iman yang sama, Rukun Islam yang sama, Al-Quran dan bahasanya yang sama, dan yang berbeza yang hanyalah warna kulit sahaja.

Oleh itu, marilah kita mengisi jiwa kita yang kosong ini dengan solat, zikir dan pembacaan Al-Quran kerana ia adalah nikmat dan rahmat Allah untuk manusia. Seni, hiburan, lagu dan sukan juga adalah nikmat Allah kepada kita. Jiwa yang kosong perlu pengisian yang seimbang dan seiring dengan peredaran zaman. Kita semua hidup mencari kesempurnaan yang mana kematian ialah salah satu dari proses akhir kesempurnaan yang dicari oleh Hamba Allah.

Janganlah kita mengawal hati nurani kita dengan paksa, tetapi biarlah ia berkembang dengan bebas dan didiklah ia dengan ajaran Rasulullah SAW dan semoga kita mendapat keredhaan Allah SWT. Jika kita fikir kita tidak perlu pada hiburan dunia kerana kita berpurdah dan berserban, fikirlah, bukan semua orang dianugerahkan Allah jiwa mencintai Islam seperti kita. Ada yang mahu mencintai Islam tetapi Islam terlalu menegah sehingga menonton SureHeboh pun haram lalu mereka pendamkan jiwa yang kosong dan berpura-pura tidak mengapa, tetapi bila ada peluang, hati nurani mereka terus buka dan hadiri SureHeboh. Cara konservatif Islam mengawal seperti ini perlulah diberi perhatian. Banyakkan pengisian jiwa umat bukan mengawal jiwa umat.

Sekian. Terima Kasih dan saya mohon maaf jika ada mengguris mana-mana pihak. Sesungguhnya semoga Allah berkati kita.

Tuesday, November 17, 2009

MALAYSIAKINI HARUS TUKAR NAMA KEPADA CINAKINI DAN INDIAKINI

Malaysiakini menguarkan akan kebebasan media yang diperjuangkan oleh mereka. Sesungguhnya pada saya tidak pernah wujud akan kebebasan media kerana manusia itu mempunyai emosi, kepentingan dan nafsu. Namun, 20 tahun dahulu Amerika pernah cuba untuk media bebas dan sehingga hari ini Amerika mendabik dada kononnya media mereka bebas. Malangnya, ia tidak bebas dan rakyat mereka sudah mulai persoalkan retorik media Amerika ini.

Tajuk kebebasan media akan saya hasilkan kemudian, tetapi sebelum itu saya ingin menyeru kepada Malaysiakini menukar nama kepada Cinakini dan Indiakini kerana hanya memperjuangkan kaum tersebut. Jika ada Cina dan India yang mati gara-gara pihak berkuasa, maka penuhlah berita dan liputan terhadap mereka. Namun, apabila orang Melayu di Kangar mati ditembak polis, senyap sepi Cinakini atau Indiakini ini.
Sedangkan yang bukan Melayu mati ditembak polis adalah penjenayah tetapi Melayu ini bukan penjenayah, tetapi Malaysiakini tidak berminat untuk perjuangkan hak Melayu ini.

Mungkin, inilah kebebasan media acuan mereka. Perjuangkan kaum tertentu sahaja dan meminggirkan kaum Melayu, sedangkan ramai pembaca Melayu.

Yang Melayu pula, tidak perlu anti Malaysiakini kerana sebuah akhbar tetap sebuah akhbar yang membawa baik dan juga yang membawa buruk. Semua ini terpulang pada kita. Cuma jangnalah pula orang Melayu anti Utusan, kerana akhbar tidak bersalah, semua editor tetap akan selektif kerana mana mungkin siarkan semua berita dalam satu hari.

Namun, kalau selektif pun jangalah selektif pada nasib kaum tertentu sahaja tetapi mendabik dada kekebasan media dan menggunakan nama Malaysia. Tukarlah nama pada Indiakini dan Cinakini kalau tidak mampu perjuangkan nasib orang Melayu.

Monday, November 9, 2009

Dr Asri dan Perkembangan Islam Di Malaysia

Saya mengikuti penulisan Dr Asri sejak beliau mula-mula menulis di Utusan. Pada masa itu beliau merupakan Mufti Perlis dan Mufti termuda di Malaysia. Pemikiran Dr Asri pada masa itu tidak dapat diterima oleh ramai pihak terutama PAS. Antara artikel yang masih saya ingat ialah Dr Asri mengatakan tiada perintah jelas memakai tudung(tutup rambut) dalam Islam, kerana jelas beliau, perempuan Arab waktu itu memakai pakai tradisional yang tertutup di bahagian dada hadapan tetapi terbuka di bahagian belakang badan. Oleh itu perintah Allah adalah supaya tutup bahagian yang terbuka luas dibelakang badan dan memadai dengan hanya memakai selendang. Oleh kerana keberanian beliau menulis dan menongkah arus perdana, ramai orang terutama orang PAS mengecam beliau dengan pelbagai panggilan. Saya tidak berniat politik, tetapi anda semua maklum bagaimana radikalnya pandangan orang PAS terhadap wanita tidak bertudung.(Maafkan saya jika saya salah tetapi saya memang ingat dengan artikel beliau, dan Dr Asri bebas untuk membetulkan saya)

Saya minta pembaca bertenang kerana saya sendiri maklum ada perintah Allah supaya tutup aurat dan rambut adalah aurat. Namun, menariknya tentang Dr Asri ialah beliau mengajak umat Islam membuka fikiran. Tujuan asal beliau saya fikir adalah mengajak umat islam berfikir dari perspektif berlainan dan saya yakin beliau berjaya tonjolkan.

Oleh kerana usia beliau masih muda masa itu,(apakah faktor umur membezakan ilmu dan iman kita pada Allah) maka beliau selalu dikecam radikal dan ustaz muda yang gelojoh, yang melanggar semua orang-orang senior dalam kepimpinan mufti dan ulama di Malaysia. Sebagai orang Islam yang berpegang pada Rukun Iman dan Rukun Islam, saya secara peribadi, tidak nampak akan adanya golongan tua, muda, pangkat, mahupun darjat yang mebataskan ilmu dalam agama Allah ini.

Semua orang bebas berkata-kata. Saya sendiri tidak pernah meminati Dr Asri semenjak itu, tetapi saya hormati perjuangan beliau. Perjuangan yang mengajak umat Islam di Malaysia melihat Islam dari perspektif yang berlainan dengan satu niat iaitu niat untuk mencari kebesaran dan keagungan Allah. Kerana sejauh mana kita pergi, setinggi mana ilmu kita, sehebat mana pencarian dan penemuan kita, semuanya akan berakhir dengan kekaguman kepada kebesaran Allah justeru menguatkan keimanan kita pada Allah.

Saya juga memahami akan kekhuatiran tokoh-tokoh agama arus perdana akan kebinasaan yang mampu dicipta oleh ideologi Dr Asri. Keupayaan fahaman Wahabi meracuni kerangka pemikiran umat Islam di Malaysia yang rata-rata Ahli Sunnah Wal Jammah. Namun, bukankah Islam itu agama yang sesuai di semua zaman? Islam juga tidak terlepas dari apa yang diberi nama DUNIA TANPA SEMPADAN. Masih relevankah tauliah pada pendakwah sedangkan kita di Malaysia bisa mendengar dan membaca dakwah ulama dari Indonesia, Syiah dari Iran, Sekular dari Turki dll? Jika menangkap, memenjarakan malah menghalau Dr Asri keluar dari Malaysia, apakah kita boleh menahan dakwah beliau dan golongan beliau dari Internet.

Sejak zaman akhbar wujud, golongan arus perdana iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah(ASWJ) bekerja keras memastikan umat Islam di Malaysia tidak berpecah kepada aliran, fahaman, tarikat, ajaran sesat, dll. Samada niat mereka mahu mengekalkan kuasa dan periuk nasi ataupun untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di Malaysia, hanya Allah sahaja yang tahu. Pada pendapat saya, niat mereka adalah untuk mengawal pemikiran orang Islam bagi tujuan untuk mengelakkan umat Islam dari sesat dan berpecah. KAWAL!! Itulah kata kunci bagi ASWJ di Malaysia.

Sejak dahulu, semua aktiviti dan pergerakan agama bukan dari arus perdana senantiasa dipantau. Tujuan murni ini dilakukan bagi mengelakkan lahirnya Al-Arqam, Ayah Pin, Rasul Melayu, Al-Maunah, JI Malaysia dll. Sesat atau tidak mereka ini hanya Allah sahaja yang berhak mengadilinya. Namun, pengaruh(pemikiran dan ruhani) mereka yang amat besar terhadap pengikut wajar dikhuatiri(sehingga taksub dan takjub). Islam adalah kesederhanaan. Samada pengamal dan pengawal, dua-dua perlu sederhana, Jangan terlalu mengawal sehingga input ilmiah pada umat Islam ditapis. Ingatlah, kita berusaha semampu kita dan akhir sekali kita wajib menyerahkan untung nasib setiap perkara pada Allah Yang Maha Bijaksana. Orang Islam yang berjumlah lebih 2 billion semua sudah celik IT dan sesiapun tidak mampu mengawal umat Islam apatah lagi di Malaysia dari melawati web-web yang bukan dari aliran ASWJ.

Tinggalkan perbezaan, tingkatkan mutu agama Islam. Tidak kira anda dari pihak mana, dari fahaman mana, berkerjasama dan bergandingan memerangi ancaman dari luar. Sedarlah, ancaman dari luar Islam sekarang maha dahsyat dari ancaman dari dalam yang hanya kecil. Agama-agama lain sudah berabad menggunakan Internet untuk berdakwah dan menyesatkan umat Islam, malangnya kita bukan sahaja belum bermula, malah kita belum berakhir bertelagah. Lebih teruk lagi ramai pendakwah bebas agama bukan Islam kerap mencabar dan berdebat dalam internet bagi menunjukkan agama mereka agama yang benar,. Dari pihak Islam yang mahu menjawab di Internet mengenai Islam, kita masih lagi khuatir ditangkap oleh Jabatan Agama Islam.

Jadikan Islam agama yang dihormati, dikagumi dan ditauladani melalui internet. Sekat dan kawal adalah terma lama yang perlu disisihkan di internet. Pemantauan adalah perlu, dan sekat dan kawal apabila ia sudah menjadi satu organisasi. Dr Asri bukan organisasi. Beliau hanya hamba Allah seperti saya yang bebas mengatakan pemikiran di dunia yang bebas tanpa sempadan ini. Di kesempatan ini, saya ingin menyeru golongan agama yang rancak bertelagah, untuk bergandingan mewujudkan satu undang-undang Islam alam cyber. Wassalam.

Bai’ah PAS Amat Menakjubkan

Menakjubkan! Itu sahaja kata-kata yang mampu menggambarkan bai’ah taat setia wakil rakyat PAS pada parti mereka(bukan pada Islam). Dalam banyak umat islam di Malaysia, hanya PAS yang mampu mengeluarkan idea yang begitu beragama dan bernas.

Saya sebagai rakyat Malaysia dan ahli UMNO yang beragama Islam begitu kagum dengan kaedah yang tidak pernah sesiapa dalam dunia pernah terfikir. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan Nabi Muhammad SAW sendiri pun tidak terfikir untuk meletakkan bai’ah sedemikian terhadap tentera-tentera yang memperjuangkan Islam supaya tidak lari di medan perang.

Saya begitu bangga dengan kebijaksanaan PAS dan saya yakin UMNO sudah jauh ditinggalkan PAS dari sudut agama. Dengan bai’ah tersebut, PAS akan kekal selama-lamanya sehingga ke hari kiamat. Malah, PAS boleh jadi parti contoh kepada semua parti Islam dalam dunia termasuk di Indonesia, Iran, Iraq, dan lain-lain dalam usaha menjamin dan mengekalkan kuasa sebelum tawakal pada Allah.

Sehubungan itu, saya mohon pada PAS supaya memperluaskan bai’ah taat setia pada semua ahli PAS termasuk ahli Kelab Penyokong PAS dan Muslimah PAS (boleh automatik tuntut fasakh dari suami). Ini kerana Islam itu adil dan jika berjaya dilaksanakan PAS pasti mampu untuk memerintah Malaysia selepas PRU akan datang. Jika PAS mewajibkan semua ahli PAS bai’ah taat setia, saya bersumpah akan sertai PAS secara AUTOMATIK.

Bagi menjamin kemenangan Islam PAS, adalah wajar untuk mewajibkan ahli PAS bukan saja bai’ah taat setia, tetapi juga bai’ah gerenti undi PAS di setiap pilihanraya, jika gagal, jatuh talak tiga secara automatik pada isteri-isteri ahli PAS.

Pada ahli dan pemimpin PAS, fikir-fikirkan dunia sekarang dan akhirat yang menanti.

Friday, November 6, 2009

Orang Kelantan baik boleh jadi lebih baik

Saya tertarik dengan penulisan bertajuk “Penyokong Kelantan Bukan Ganas” yang ditulis bagi menjawab penulisan awal Saudara Noor Mohamad bertajuk ‘Budaya samseng bola sepak penyokong Kelantan’.

Sebagai hamba Allah kita semua sama sahaja samada Raja, Menteri, Cina, Melayu, India, Arab, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kelantan, Johor atau Sabah. Bagi orang Islam yang membezakan kita ialah keimanan kita pada Allah. Keimanan ini termasuklah keterbukaan kita meneliti dan menerima kelemahan diri serta senantiasa berusaha berubah menjadi lebih baik. Yang mana sebagai bukti ringkas kita melihat akan perlakuan saudara seagama kita dari Indonesia yang enggan menerima kelemahan diri sebaliknya menyalahkan saudara dari Malaysia atas nasib hidup mereka. Lihatlah bagaimana kapal terbang dari Malaysia yang membawa bantuan makanan disekat dengan pelbagai cara kerana didakwa makanan luput tarikh. Nah! Inilah hasil dari kesan apabila manusia tidak mahu menerima kelemahan diri sebaliknya senantiasa menyalahkan orang lain, menyalahkan kerajaan, menyalahkan ibu bapa dan takdir atas nasib menimpa mereka. Mereka tidak sesekali terfikir mahupun terlintas kekurangan diri mereka justeru membolehkan mereka memperbaiki diri sebagai salah satu cara keimanan kepada Allah.

Senario yang sama juga terjadi pada orang Kelantan. Saya tidak mahu menyebut penyokong Kelantan kerana ini membabitkan cara masyarakat Kelantan dibangunkan amnya. Saya pernah diam di Kelantan pada usia 11 tahun untuk 6 bulan. Apa yang saya dapati setiap ruang udara di Kelantan dipenuhi dengan suara ceramah dari surau dan madrasah berdekatan. Memang bagus budaya hidup masyarakat Kelantan. Sebab itulah kita melihat orang Kelantan itu baik orangnya. Malangnya, ceramah agama yang diajar pada mereka boleh dikatakan 99% adalah ceramah kebencian. Ceramah agama ini mengajak manusia kepada kebaikan dan keburukan. Ceramah ini bukan mengajar erti kasih sayang pada muslimah tidak bertudung, tidak berbaju kurung, berbaju dan berseluar ketat, yang tidak solat, yang bekerja di pejabat-pejabat tetapi ceramah ini mengajar supaya membenci golongan ini. Ceramah ini bukan mengajar kita perlu selidik dan faham latar belakang mereka kerana pasti ada sebab mereka menjadi begitu. Walhasil, mereka juga tidak mehau jadi begitu jika ada pilihan. Ceramah ini mengajar jiwa anak kecil Kelantan supaya menolak total dan melabel sebagai kafir. Oleh itu, jika kita ke Kelantan tidak memakai tudung atau bagi lelaki memakai seluar pendek akan ditegur atau lebih tepat dimarahi oleh penduduk setempat.

Ceramah agama ini tidak mengajar manusia itu bersyukur atas kurnia Allah melalui manusia lain jika manusia itu bukan rakyat Kelantan atau bukan dari puak mereka. Ceramah agama ini diajar untuk membenci mereka yang tidak sehaluan dengan penceramah. Oleh demikian sekelumit benih kebencian hidup dalam jiwa rakyat Kelantan. Bersyukur kepada Allah kerana adanya undang-undang dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa untuk mengawal manusia. Justeru manusia memendamkan jiwa perosak mereka. Syukur juga kehadrat Allah rakyat Kelantan juga bijak bercampur dan berasimilasi dengan cara masyarakat lain yang jauh berbeza dengan mereka. Maka, kita bisa melihat senario dimana orang Kelantan kahwin dengan orang Pahang, Johor, Kedah, Selangor dan lain-lain, orang Kelantan ini akan jadi baik dan berbudi bahasa. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku jika mereka kembali berjumpa saudara mereka dari Kelantan, ini juga kita maklum.

Jadi memang penyokong Kelantan tidak ganas dan bukan semuanya ganas sehingga mampu melakukan keganasan sebegitu rupa keatas sebuah kereta yang tidak bersalah jauh sekali kereta itu mampu membalas, mengadu atau menjerit kesakitan. Ingatlah, kita semua sama sahaja baik Cina, India, Indonesia, Bangladesh, Pakistan ataupun Melayu. Ada yang baik dan ada yang jahat, ada yang nakal, ada yang mesra, ada yang gedebe. Bezanya, rakyat Kelantan dinampaki secara majoriti dengan ketara tidak mesra dan kasar. Namun, hati mereka baik cuma benih kebencian yang ditanam dari mereka kecil perlu pengawasan dan pembaharuan.

Saya mohon ampun pada semua rakyat Kelantan terutama isteri dan keluarga jika penulisan ini mengguris hati anda semua, namun saya menulis atas kapasiti saya sebagai orang Islam, maka, anda semua adalah saudara saya yang bertuhankan dan berasulkan yang sama. Masih banyak ruang boleh diperbaiki oleh kita(jika bukan kita mungkin sanak saudara kita di Kelantan) sehingga kenafas terakhir asalkan kita berbesar hati menolak ego dan menerima kesalahan, kelemahan diri sebagai hamba Allah yang lemah.

Mungkin Kelantan jauh ketinggalan dari kemajuan, oleh itu, ramai rakyat Kelantan yang dibawa arus kemajuan di ibukota terlupa akan nasib saudara mereka di kampung. Jenguk-jenguklah, kongsi-kongsi cerita, nasihat-nasihat bagi melahirkan Kelantan baru yang bebas dari budaya benci membenci, caci mencaci, kafir mengkafir, tuding menuding dan sebagainya.