ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Monday, August 24, 2015

Krisis UMNO Bongkar Rahsia Firaun

Semasa kecil kita sering diserang pelbagai soalan yang tiada jawapan, jika adapun ia bukan jawapan yang memuaskan hati.

Antaranya kenapa Allah tiada rupa, kenapa Nabi Muhammad SAW kahwini Saiditina Aisyah ketika masih muda, kenapa Firaun bunuh anak lelaki, kenapa Arab bunuh anak perempuan dan lain-lain.

Proses pembelajaran dan kedewasaan akhirnya beri kita banyak jawapan yang menambah keimanan dan keyakinan kita kepada Allah SWT.

Tetapi masih ada soalan walaupun sudah ada jawapan tetapi masih samar-samar dan hanya boleh dirasai dengan pengalaman diri.

Contoh, mengenal Allah kemudian kita rasai melalui Solat, Taubat, Syukur dsb.

Pada saya, satu soalan yang saya tidak pernah faham akan jawapannya adalah;

"APA RAHSIA FIRAUN KEKAL BERKUASA"

Apa Kerajaan sekalipun pasti ada Rakyat. Rakyat diwakili oleh wakil-wakil mereka yang akan berada dalam tampuk pemerintahan. INI adalah perlu, kerana seorang Raja bukan Raja tanpa rakyat.

Dan untuk kekal sebagai Raja, seorang Raja perlukan sokongan Rakyat untuk kekal sebagai Rakyat, dan Raja kekal sebagai Raja.

Onar Firaun terlalu banyak untuk Rakyat menerimanya adalah sesuatu yang luar akal.

Kenapa Rakyat dan pemimpin bawahan Firaun tidak menasihatkan Firaun sebelum ia sesat, zalim dan menongkat langit?

Jika kerana kekejaman Firaun sudah pasti ia ada titik mulanya, atau dalam erti kata lain, apakah tiada tindakan dari rakyat dan pemimpin untuk menghentikan Firaun dari awal dia berubah menjadi pemimpin yang kejam.

Kerana biasanya tindakan kejam seorang pemimpin adalah kerana ada usaha menjatuhkan beliau justeru kekejaman adalah perlu untuk menakut-nakutkan rakyat.

Soalan berkenaan Firaun diatas tidak dapat saya huraikan jawapannya.

Hinggalah hari ini!!!

Hari ini segalanya berubah di Malaysia, dan krisis UMNO akhirnya bongkar rahsia kejayaan Firaun kekal berkuasa hinggalah Allah kata CUKUP!!!

Kita tidak boleh persoalkan dan menegur kesalahan Presiden Parti kerana tindakan itu adalah menderhaka, korek kapal, tidak setia dan jahat.

Kita tidak boleh bercakap kelemahan parti dan kelemahan Presiden Parti kerana ia adalah jenayah menjatuhkan Kerajaan dipilih rakyat.

Kita tidak boleh bercakap tentang 1MDB kerana ia adalah kesalahan jenayah.

Kita tidak boleh hilang keyakinan kepada Presiden Parti yang juga Perdana Menteri kerana ia adalah jenayah menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Kita tidak boleh kritik punca kewangan Presiden kerana jawatan kita hari ini adalah ihsan PM.

Pemimpin bawahan PM yang mahu menegur PM perlu berfikir kerana tindakan mereka boleh dilihat menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Kita tidak boleh siasat dan sediakan kertas pendakwaan terhadap PM kerana ia boleh dianggap menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Kesimpulannya, kita perlu jadi seperti Rakyat di zaman Firaun dimana apa sahaja yang beliau lakukan, kita ikut tanpa soal.

Anda mahu begitu???

Saya tidak mahu, dan jika ada Firaun mahu dilahirkan Allah ke dunia ini esok, kita perlu menentangnya bulan lepas lagi.

Apa-apa pun, hari ini akhirnya persoalan sejak kecil yang saya tidak dapat jawapannya terjawab. Kerana krisis UMNO, kini saya tahu sedikit sebanyak bagaimana Firaun boleh kekal berkuasa sebegitu lama dan terus di sokong rakyat serta pemimpinnya.

Peringatan kepada diri sendiri, ketika Allah turunkan bala atas Firaun termasuk ketika laut membenam Firaun, para pengikutnya, Menterinya, Timbalannya, Askar setianya, dan Rakyatnya juga antara yang dilaknat Allah bersamanya.

Ayuh kita bangkit menentang Firaun sebelum dia lahir.

* Firaun belum lahir lagi hari ini, mungkin akan lahir 100tahun lagi tapi kita wajib tentang mulai hari ini.

Ayat terakhir dengan * adalah insurans supaya saya selamat dari tangkapan polis kerana menghasut untuk menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Jadi saya kena isytihar dan saya isytihar saya sokong Kerajaan hari ini dan hasut semua sokong Najib Razak walaupun langit runtuh sekalipun, walaupun berapa salah sekalipun, kita kena sokong. Hidup _______. Isi tempat kosong sendiri ya!

No comments: