Semua bangsa adalah sama, tiada istilah bangsa itu malas,
bangsa ini rajin, bangsa A baik, bangsa B jahat. Yang membezakan manusia sesama
manusia adalah hatinya.
Jika dilihat pada peradaban bangsa yang tinggi, kita akan
dapati bangsa Yahudi, bangsa Eropah, bangsa Cina dan bangsa India juga
terbahagi kepada tiga kategori tetapi majoriti mereka adalah kategori cerdik
kerana tindakan dan sumbangan mereka adalah untuk kesinambungan bangsa mereka
menerajui dunia kemodenan, ekonomi, penciptaan, teknologi dan kepakaran. Namun,
mereka tidak menjadi cerdik untuk menindas orang lain, harapan mereka hanya
mahu keluar dari kezaliman masa itu.
Melayu Bodoh, Melayu Pandai Dan Melayu Cerdik. Bodoh, pandai
dan cerdik tidak diukur pada keputusan akademik, kerjaya, harta, kuasa, pangkat
ataupun rupa, tetapi pada sumbangan mereka terhadap bangsa mereka hari ini dan
masa hadapan.
Melayu bodoh membentuk lebih separuh dari Melayu. Melayu ini
hanya memikirkan diri sendiri sahaja, dan sekali sekala bangga dapat menderma
atau berbuat baik kepada orang lain. Tindakan mereka hanya untuk memenuhi
agenda dan keperluan mereka dalam kerjaya, harta dan keluarga sahaja. Sebagai
contoh, mereka ini berkelulusan MRSM, UiTM, IPTA, penerima pinjaman dan tajaan
pendidikan dalam dan Luar Negara, mendapat pembiayaan pinjaman MARA, PUNB dan
sebagainya, membeli rumah dengan diskaun bumiputera, memiliki Tanah Rizab
Melayu, memiliki rumah di Kampung Melayu yang mempunyai syarat Tanah Simpanan
Melayu, menyimpan duit di ASB dan memperoleh pulangan tinggi, berkhidmat di
Sektor Awam, berkerja di Syarikat GLC dan MNC yang mematuhi sistem kuota kaum
dalam pengambilan pekerja, dan memiliki saham terpilih kerana sistem kuota
TETAPI mereka menyokong dasar dan pakatan DAP. Sedangkan DAP mahu menghapuskan
DEB, Tanah Rizab Melayu, menghapuskan sistem kuota dan memperjuangkan
kesamarataan kaum yang tidak sama rata, kerana DAP menyokong sekolah Cina tapi
perjuangkan “equality” untuk melahirkan Malaysian Malaysia. DAP sendiri keliru
dalam perjuangan mereka tetapi disokong oleh Melayu Bodoh.
Melayu Pandai membentuk hampir separuh dari Melayu. Melayu
ini berjuang dalam dan luar samada ahli atau tidak pada Parti UMNO, PAS, dan
PKR. Mereka mempunyai sebab munasabab untuk percaya perjuangan mereka adalah
untuk agama, bangsa dan Negara. Mereka amat jelas dengan garisan salah dan
betul dan mengamalkan nilai betul sendiri dibisingkan salah sendiri didiamkan,
salah orang lain dibisingkan, betul orang lain didiamkan. Mereka menyokong DAP
dan pakatannya, mereka menyokong pemimpin UMNO yang korup, mereka menikmati
DEB, tetapi pada mereka ianya tidak salah kerana agenda besar mereka
menghalalkan perbuatan itu. TETAPI, Melayu ini hanya pandai tetapi tidak
cerdik.
Mereka ini sama seperti pengusaha ladang anggur dalam
Al-Quran yang menjawab anggurnya berkualiti tinggi kerana kepandaiannya
menggunakan sistem tanaman moden, baja yang baik, racun yang tepat serta
kecekapan mereka. Allah menjelaskan mereka itulah ahli neraka. Pandai mereka
dirasakan hebat sedangkan ia hanya pandai untuk diri mereka sahaja. Sedangkan orang
Yahudi mendidik anak dari dalam rahim lagi, orang Cina mendidik anak dengan
penuh displin dan kualiti, orang Eropah mendidik anak dengan mental dan
spiritual yang kuat semuanya bagi melahirkan bangsa pencipta bukan bangsa
pengguna. Untuk melahirkan bangsa pencipta, ia tidak boleh dilakukan dalam 55
tahun, 60 tahun, 100 tahun, mahupun 1000 tahun. Dan ia hanya berjaya dilahirkan
dalam bangsa yang kuat. Sesuatu bangsa hanya akan kuat jika mereka bersatu
sahaja. Dalam tempoh yang lama ini pelbagai dasar dijalankan, ada yang berjaya
dan yang gagal dijadikan bahan ujikaji. Lihat sahaja Israel, walaupun ada
rakyatnya tidak bersetuju dengan dasar keras mereka terhadap Palestin, tetapi
kerajaan Zionis tetap menang disokong oleh rakyat Israel yang bersatu dalam
soal kelansungan bangsa Yahudi.
SYARAT UTAMANYA, bangsa berjaya ini perlu dilindungi dari
segi ekonomi dan nilai tamadun. Pencipta ubat, telefon, kereta, dan sebagainya
datang dari bangsa yang mempunyai fundamental yang kukuh dan untuk melahirkan
bangsa yang kukuh ini pelbagai pengorbanan dilakukan demi memastikan bangsa ini
kuat, agar anak bangsa yang lahir ini tidak perlu risau akan kemiskinan dan
kemelaratan tetapi terus fokus pada penciptaan. Mereka juga tidak akan tercemar
oleh nilai tamadun yang rendah tetapi sebaliknya mempunyai sikap, sifat dan
tabiat yang betul. Malangnya, Melayu
pandai ini sudah berasa puas apabila mereka berjaya kerana “mengguna” sahaja,
bukan mencipta.
Melayu Cerdik ini bilangannya amat-amat sedikit. Melayu
Cerdik ini datang dari golongan bawahan, pertengahan dan atasan. Dr Mahathir
adalah Melayu paling cerdik. Golongan ini terus berusaha mengikut bidang
masing-masing agar Melayu Bodoh dan Melayu Pandai dapat hidup dengan selesa. Melayu
cerdik tidak jemu menasihatkan, merancang, membuat apa yang terdaya dalam
lingkungan keluarganya bagi melahirkan bangsa yang kuat, agar anak-anak Melayu
masa hadapan lahir dalam peradaban bangsa yang kuat.
Bangsa yang kuat bukan kerana ekonomi tetapi kerana mental,
spiritual dan fizikal. Untuk ini kita perlukan bangsa yang bertunjangkan
kesempurnaan dalam “attitude, value and discipline”. Sikap, nilai dan displin
perlu baik malah suci. Tiada sikap tidak apa, menghina, merendahkan orang,
bercakap kasar, meludah, jalan mendabik, lupa diri, angkuh, mudah puas dan
sebagainya yang akhirnya dijadikan nilai. Nilai yang baik pula tidak boleh
hanya bermusim tetapi perlu didisplinkan agar menjadi tabiat. Tabiat inilah
akan menjadi tamadun bangsa itu. Dan takdir bangsa itu samada pengguna atau
pencipta banyak bergantung kepada sumbangan setiap ahli bangsa itu untuk satu
tempoh yang lama.
DEB bukanlah bertujuan melahirkan bangsa yang kuat. DEB
bertujuan untuk menjadikan Melayu mampu berdiri sendiri dengan kukuh. Kerana
hanya dengan berdiri sendiri sahaja, usaha terhadap melahirkan bangsa yang kuat
mampu dijalankan. Umum akan memahami DEB mempunyai jangka hayatnya jika
menghayati Ucapan Presiden UMNO yang mana Presiden umum meletakkan jawatan
diatas podium kerana orang Melayu leka bertongkat emas, sedangkan tongkat itu
bukan emas, tetapi semakin reput.
Ramai yang kaya raya melalui DEB, tetapi lupa tanggungjawab
mereka untuk kembali menguatkan anak bangsa melalui pelbagai bidang. Mereka
menikmati hidup wang berjuta dan berkoyan di luar Negara dan tergolong dalam
Melayu Bodoh walaupun mereka tidak menyokong DAP tetapi mereka juga adalah
penentang kepada DEB yang mahu melahirkan bangsa kuat.
Ramai Melayu Pandai yang kaya dengan usaha mereka atau pun
DEB, mereka memiliki wang berjuta dalam simpanan, tetapi lebih menggemari hidup
selesa diatas faedah bank. Mereka tidak mempunyai pemikiran seperti Cina yang
berniaga untuk bangsa, bukan untuk diri sendiri. Akhirnya, bila faedah bank
sudah habis diguna, simpanan pokok mereka makin kurang, mereka akan menyalahkan
kerajaan dan takdir atas kesombongan mereka sendiri. Melayu Pandai dan Bodoh
ini ramai di kalangan kita.
Kita di kategori mana, bukanlah sesiapa termasuk Mahathir,
Nik Aziz, Anwar, Lim Kit Siang, Karpal Singh untuk menilai. Kita dimana, harus
dinilai oleh diri sendiri. Jika bodoh, berusahalah menjadi cerdik, jika pandai jadilah
kita cerdik, jika cerdik, teruslah memikirkan bagi menyumbang samada air liur,
masa, kedudukan dan kuasa, undi, pengorbanan, mahupun wang demi mewujudkan
bangsa Melayu yang kuat, yang pencipta, yang keluar dari kepompong pengguna dan
akhirnya, dengan ini sahaja islam akan dimartabatkan dan dihormati musuh. Saya
cabar orang-orang Melayu yang kaya baik muda dan tua, yang memiliki simpanan mencecah
7 angka, berdaganglah, demi bangsa Melayu, melaburlah dalam perniagaan, jika
takut ditipu, yakin pada ALLAH, Allah sudah jelaskan dalam Al-Quran, tidak akan
rugi sedikitpun.
Perlu diingatkan, dalam perjuangan beribu tahun ini,
jatuhnya Empayar Cina, gelapnya Tamadun Eropah, waima Yahudi hampir dipupuskan,
inikan pula bangsa termuda dunia iaitu Melayu, salah dan silap, pincang dan
cela, cacat dan korup dan sebagainya pasti ada. Namun ALLAH sudah mengingatkan
kita melalui surah Wal-As. Hanya bangsa yang hak, yang mengerjakan
solat(kebaikan) dan yang sabar sahaja akan peroleh untung.
Bersabarlah dan terus berusaha menyokong dan mengukuhkan
Melayu untuk 1000 tahun lagi sebelum anak Melayu lahir mencipta pelbagai teknologi.
Tidak kira anda dokong perjuangan mana jadilah cerdik agar DEB terus teguh
menyokong pembinaan Melayu untuk berdiri sendiri dan selebihnya terpulang pada
usaha anda, jika anda kaya berniagala, jika anda miskin sokonglah industri
dan perniagaan Melayu Islam, jadilah Melayu cerdik.
Saya tidak seperti UMNO khususnya Tun Dr Mahathir yang setia
menasihati Melayu untuk lebih 30 tahun walaupun dihina, dikeji dan difitnah
sezalim Syaitan, saya manusia biasa yang sudah merasa jelak dan jemu menasihati
Melayu. Saya anggap ini adalah penulisan terakhir saya dan saya mahu diam
sepertimana mengikut kepercayaan saya disebuah papan tanda sekolah di Sekolah Rendah Jalan Batu yang dapat
dilihat oleh trafik Jalan Raja Laut sebelum 2005 iaitu Diam Itu Ilmu, Diam Itu
Ibadah, Diam Itu Bijak, Diam Itu Kuasa. Diam itu doa, doa agar Allah memberi
nur pada umat Melayu baik MB,MP dan MC, semoga Islam terus kuat bersama Melayu.
Dihantar oleh AMAR