ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, April 25, 2012

SIFAT MULIA CINA, MELAYU DAN ISLAM

Saya tertarik dengan pendapat Chang Long Yan di ruangan pendapat Akhbar Cina Nanyang Siang Pau yang dialih bahasa oleh http://brulittlechina.blogspot.com/.

Saudara Chang berhujah bahawa tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang menyokong segelintir mahasiswa, telah meninggalkan mesej yang agak mencurigakan semua orang iaitu


1. Pinjam duit tidak mahu bayar balik;

2. Walaupun isu ini tertumpu kepada kumpulan minoriti, pihak kerajaan terpaksa “selamatkan keadaan”, akibatnya pihak kerajaan tidak lagi menghiraukan pandangan majoriti;

3. Tidak perlu bertanggungjawab terhadap kelakuan diri mereka, yang penting dapat laksanakan hak-hak diri sendiri.

Hujah beliau disokong oleh dua sebab dan salah satu sebab yang menarik minat saya ialah;

"Sebab yang pertama, apa yang saya rasa kesal ialah terhadap beberapa wakil rakyat dari kalangan orang-orang Cina, sedangkan budaya kaum Cina yang begitu mulia dan indah “ada pinjam ada pulang”, telah dicampakkan ke dalam lubang najis, rupa-rupanya mereka meyokong pinjam duit tidak perlu pulangkan"


Jelaslah kita bahawa Tamadun Cina yang tinggi lagi berusia beribu tahun ini mempunyai nilai kemanusiaan yang amat tinggi serta mulia. Sungguhpun kini Tamadun Cina sudah berpecah kepada banyak Negara, pelbagai Agama, dan beberapa pecahan adat, nilai-nilai mulia ini banyak dapat dilihat pada mereka khususnya dalam bidang perniagaan, kekuatan diri mencari rezeki dan disiplin dalam menjalankan tugas.

Yang mewarnai sifat mereka yang mulia ini adalah faktor kaum selain agama. Buktinya, walaupun kini ramai Cina yang menganut kepercayaan Islam, Kristian, Hindu, Taoisme, Budhism, Bahai dan lain-lain, mereka kekal sebagai seorang Cina yang menjunjung nilai mulia kaum mereka serta adat kaum Cina.

Ini amat bertentangan dengan pendapat Tuan Guru Nik Aziz yang mengatakan beliau tidak bangga menjadi Melayu, kerana beliau adalah seorang Islam. Kaum Cina mengajar kita, selain agama, adat, budaya dan tamadun sesuatu kaum juga menanam nilai-nilai murni dalam diri kita.

Mulia dan indah sungguh budaya orang Cina iaitu ada pinjam ada pulang. Malahan, mereka sensitif terhadap sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan nilai budaya mereka walaupun ia sekadar ancaman kurang 10 khemah kecil di Dataran Merdeka.

Bagaimana pula dengan budaya orang Melayu? Apakah semulia orang Cina? Apakah orang Melayu yang diindahkan Allah dengan Islam dan Quran mempunyai budaya semulia Cina? Jawapannya ada pada kita orang Melayu dan Islam! Bukan pada pemimpin, dan bukan pada pembangkang, tetapi pada diri kita yang akan dipersoalkan kelak.

Selepas mentelaah memang banyak peribahasa Melayu berkenaan hutang tetapi ia tidak tegas dan moleklah
andai pihak berwajib boleh mengkaji dan menukar peribahasa Melayu berkenaan hutang agar Budaya Melayu yang tinggi dapat dilahirkan.

Antara yang perlu ditukar ialah;

1. Hutang (= pinjam) kayu ara.  Maksudnya= Hutang yang tak mungkin terbayar.  Harus Ditukar kepada = Hutang budi yang tak mungkin terbayar.
2. Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati. Maksudnya = Hutang budi hanya Allah sahaja boleh membalasnya. Harus ditukar kepada = Hutang emas wajib dibayar, Hutang budi dibawa mati.

Budaya Islam itu lahir dengan sifat yang paling mulia dalam mana-mana dunia yang boleh wujud. Ini kerana dalam Islam hutang duit tetap kena bayar walaupun mati dan ditanggung anak melainkan dihalalkan oleh tukang beri pinjam.

Hakikatnya dana PTPTN bukan duit Kerajaan tetapi duit Rakyat. Sebenarnya Ustaz Azhar Idrus sudah menjawab pertanyaan pelajar kepadanya samada boleh atau tidak jika pelajar tersebut tidak mahu membayar hutang PTPTN.

Beliau memberi jawapan yang amat berbeza dengan Tuan Guru Nik Aziz, kata beliau dana PTPTN bukan wang Kerajaan, tetapi wang Rakyat dan Kerajaan sebagai pentadbir sahaja, dan haram hukumnya jika tidak bayar wang PTPTN. Soal samada pemimpin salah guna atau tidak, itu mereka perlu jawab dihadapan Allah kelak dan kita juga harus menjawab untuk diri kita sendiri. Oleh itu, tegas beliau, wajib bayar hutan PTPTN.

Justeru, rancangan Dato Seri Anwar Ibrahim yang disokong Nik Aziz untuk melupuskan hutang adalah rancangan yang haram disisi Allah kerana wang berpuluh billion tersebut adalah milik 28 juta Rakyat Malaysia. Sebagai pentadbir, bagaimana wang tersebut boleh dihalalkan sedangkan pemberi pinjam yang sebenar bukan Dato Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz mahupun Tuan Guru Hadi Awang. 

Minoriti waima majoriti sekalipun Rakyat yang mungkin mengundi Pakatan Rakyat, tidak bermakna Rakyat menghalalkan "wang yang mereka beri pinjam" kepada pelajar melalui pentadbir. Apatahlagi, dalam Surat Perjanjian ada saksi, ada penghutang dan peminjam dan ada perjanjian. Tidak mungkin nilai Melayu dan nilai Islam serendah dan sekeji ini.

Sebagai Rakyat, kami mahu Kerajaan yang diberi amanah mengendali wang kami menguruskan setiap sen dengan baik dan kami yakin dengan janji Allah bahawa kami semua akan dipertanggungkan kelak keatas setiap sen wang yang kami ambil, urus dan guna.

Yang pasti, kami tidak akan sesekali menghalalkan waima sebesar hama wang kami samada yang sudah diberikan sebagai pinjaman ataupun mahu digunakan untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar-pelajar walaupun ada "Ulama yang mampu menghalalkannya". Mungkin, Rakyat boleh menghalalkan wang mereka untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, tetapi tidak kepada manusia yang Allah ciptakan dengan cukup sifat, sudah matang malah berupaya untuk bekerja mencari wang sendiri dan membayar balik.
Kesimpulannya, orang Melayu khususnya orang Islam yang berpandukan Al-Quran wajib menyahut cabaran senyap "silent challenge" oleh Saudara Chang Long Yan yang mengatakan budaya Cina yang mulia dan indah adalah hutang wajib dibayar sedangkan kita tahu majoriti yang tidur di Dataran Merdeka itu adalah Islam, malahan yang menyusul dan menyokong juga adalah orang Islam. Apa jawapan kita pada Allah kelak pada soalan "Apa yang kita lakukan demi menjaga nama baik Islam?" Apakah kita mahu menjawab nilai tersebut adalah kita pinjam wang tetapi tidak mahu bayar wang 28 juta rakyat tersebut?


Sifat mulia Cina dan Islam ini harus dipahat dalam-dalam jiwa orang Melayu.






No comments: