ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, May 6, 2008

SYARAT STATUS BUMIPUTERA PERLU DILONGGARKAN

** Dihantar kepada Utusan 13 July - Tidak disiarkan

Saudara Pengarang,

Tujuan saya menulis di ruangan ini adalah untuk mengemukakan kepada pihak bertanggungjawab akan masalah yang dihadapi sekian lama oleh ibu saya. Untuk makluman pembaca ibu saya ialah seorang mualaf selama lebih 30 tahun dan telah melahirkan 7 orang anak berstatus bumiputera.

Ibu saya memeluk agama islam pada tahun 1973 dan menukar nama kepada Rubiah bte Abdullah tetapi hanya mendapat pengenalan nama diri pada tahun 1980. Masalah utama ialah syarat untuk mendapatkan status bumiputera. Mengikut syarat kelayakan bumiputera ialah rakyat asal negara ini iaitu Melayu. Melayu yang pastinya ialah bumiputera merupakan bangsa teramai di Malaysia dan dikaitkan dengan agama islam kerana "MELAYU semestinya ISLAM". Segolongan bukan islam yang berhak mendapat status bumiputera ialah orang asal Sabah dan Sarawak. Orang asli pula digolongkan dalam PRIBUMI dan selebihnya digolong dalam bukan bumiputera.

Kemusykilan saya dengan syarat bumiputera status ialah jika seseorang memeluk agama islam dan di dalam al-quran jelas menyatakan, umat islam mesti memilih pemimpin dikalangan mereka kecuali tiada pilihan(contoh negara Malaysia yang berbilang kaum), bagaimana seorang mualaf hendak memilih seorang pemimpin di kalangan orang islam sedangkan haknya menyertai UMNO dinafikan.

Dalam Perlembagaan UMNO, Fasal 4, 4.2, jenis ahli biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun keatas dan Fasal 5, 5.1, tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli UMNO mengikut Perlembagaan dan peraturannya. Adakah ini bermakna setiap mualaf adalah bukan melayu,tidak dibenarkan menyertai UMNO tetapi perlu menyertai parti bangsa asal mereka? Alhamdulillah masih ada dikalangan pemimpin UMNO yang peka seperti Encik Fadzli, Ketua Cawangan UMNO Wira Damai Bahagia, yang memudahkan keahlian ibu saya dengan menggunakan nama Rubiah Bte Abdullah.

Para Pembaca,
Selama lebih 30 tahun ini ibu saya banyak menghadapi masalah dengan status tidak jelas ini kerana setiap perniagaan, pembelian rumah,simpanan ASB dan banyak lagi melayakkannya apabila dia mengisi borang dengan menggunakan nama Rubiah Bte Abdullah,tetapi menidakkannya selepas mendapati Kad Pengenalan ibu saya ialah Rubiah Bte Abdullah @ nama bukan Melayu. Ibu saya bukan mendahagakan status bumiputera kerana keistimewaan yang dimiliki oleh kita tetapi kerana perjuangan dia dalam memeluk agama islam, membesarkan 7 orang anak bumiputera dan jiwa Melayu yang telah meresap dalam diri. Dia menangis setiap kali dinafikan statusnya "bukan bumiputera, ibu kepada tujuh bumiputera".

Persoalannya, adakah pihak-pihak tertentu masih mahu mengekalkan syarat sebegitu, dan menyukarkan pihak seperti ibu saya mendapat tempat sepatutnya, berjuang demi agama ISLAM dalam UMNO(Fasal 3, 3.3, menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama) atau sebaliknya dalam bangsa asal mereka. Jika tiada tindakan susulan, mungkin orang seperti ibu saya akan dinafikan haknya dikuburkan di Perkuburan Islam kerana nama dalam kad pengenalan mempunyai nama bukan Melayu, atau hanya apabila waktu itu dia diakui sebagai Rubiah Bte Abdullah dan bukan "nama bukan Melayu".

Saya amat berharap agar pengalaman ibu saya yang sudah dalam usia emas dijadikan pengajaran kepada pihak berkuasa dan mungkin juga UMNO(Syarat Keahlian Umno), agar saudara-saudara baru kita mendapat sokongan untuk terus sujud pada Allah, dan bukan dipinggirkan atau dibiarkan menjadi mangsa keadaan.

Assalamualaikum.

Mustaqim Abdul Rahman
Batu Caves
Selangor.

No comments: