Sebelum saya bermula saya memohon Tan Sri IGP dan YAB tidak
menahan saya kerana niat saya hanya memberikan cadangan.
Tahukah orang ramai berapa ramai rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS dimana tidak mustahil satu hari nanti KLCC, KL Sentral atau
Stesen Masjid Jamek akan di bom oleh pengebom berani mati.
Hakikatnya orang ramai sebenarnya tidak tahu bahawa jumlah mereka
yang sudah dan akan menyertai IS jauh lebih ramai dari sangkaan kita semua.
Persoalannya bukan berapa dan siapa tetapi KENAPA?
IS berkaitan rapat dengan jihad, syahid dan syurga.
Menentang kezaliman dan ketidak adilan adalah kata kunci “mereka” untuk menarik
minat rakyat Malaysia .
Ramai rakyat Malaysia
terlibat dalam IS bukan kerana pesertanya kejam, zalim, mahu membunuh, dan membuat
jenayah sebaliknya mereka hanya keliru. Keliru dengan suruhan Allah dalam
Al-Quran kepada manusia agar mengimbangi dunia dan akhirat dengan seimbang dan
sederhana.
Mereka keliru kerana di Malaysia mereka tidak mempunyai
platform untuk berbakti dan berkhidmat kepada Allah. Pegang kata kunci saya
iaitu mereka keliru.
Pada Mei 2013 saya ada menulis satu artikel yang ditujukan
kepada YAB Perdana Menteri dengan tajuk “Masa Kerajaan Membenarkan Tarekat
Semula Untuk Mengimbangi Dunia Dengan Akhirat”.
Ya! Tarekat atau ilmu hakikat adalah penyelesaian tunggal
dan hakiki dalam usaha Tan Sri dan YAB Perdana Menteri menghadapi IS.
Ada satu jalan lain kerana orang Islam yang menyertai IS
hanya mempunyai satu tujuan sahaja iaitu mati, maka jalan lagi satu adalah “tembak
hingga mati” dimana ia tidak adil dan tidak perikemanusiaan kerana satu-satunya
jenayah mereka adalah mereka keliru dengan definisi jihad.
Jihad mudah selalu diertikan sebagai perang suci menentang
kezaliman kerana tidak banyak yang boleh umat Islam jihadkan di Malaysia kerana
platform agama Islam di Malaysia terlalu kecil untuk dikembangkan.
Masjid dan Surau sunyi selepas jam 10 malam maksima tetapi Kedai
Restoran Mamak tempat melepak beroperasi sehingga ke Subuh hari.
Semua program agama disekat, dipantau malah perlu ada
tauliah jika tidak didakwa dan ditangkap.
Jadi yang tinggal adalah Solat 5 waktu yang mereka
dipermudahkan memenuhi tanpa gagal, wirid pendek, ceramah sehala, ceramah
bertindih oleh Ustaz berbeza, tazkirah dan kadang-kadang Qiamulail.
Lagi satu jalan mengabdikan diri pada Allah adalah menyertai
parti Politik yang memperjuangkan Islam yang mana limitasinya kian hari makin
terhad kerana beberapa sebab tertentu serta bangkangan dari rakan bukan Islam.
Jangan salah faham. Saya bukan katakan tiada Tarekat sesat
tetapi Arwah Bapa saya berpesan selagi Tarekat itu melaksanakan 6 Rukun Islam
dan berpegang teguh pada 5 Rukun Iman tanpa mengubahnya, maka ia tidak sesat.
Sebenarnya, Kerajaan mengharamkan “Tarekat” pada masa itu
kerana ia sukar dipantau. Seperti di Besut, Gua Musang, Parit, Grik, Muar, Gemas, Pelangai, Marang, Ijok, Jelebu, dan banyak
lagi di ceruk-ceruk penempatan yang sukar untuk Pihak Berkuasa pantau apatah
lagi kebiasaannya aktiviti beribadat adalah pada waktu malam.
Lagipun, teori yang mengatakan bila manusia berkumpul maka
mereka cenderung untuk melakukan sesuatu di luar batas mereka biasanya tepat
seperti Rusuhan, Demonstrasi, Penyokong di Stadium dan lain-lain. Maka Kerajaan
khuatir jika mereka berkumpul pada waktu malam, perkara tidak diingini akan
berlaku pada mereka, keluarga dan masyarakat setempat.
Lebih lagi bila cukup bukti, Kerajaan juga sukar untuk
mengenakan dakwaan kerana biasanya “sesat” dilakukan oleh pengikut dan murid
yang taksub bukan Guru mereka, walaupun tidak dinafikan memang ada juga Guru
yang sesat tetapi pandai menutup dan menghilangkan bukti.
Tapi itu zaman sebelum adanya Facebook, Instagram, Twitter,
dan internet.
Hari ini jika Kerajaan membenarkan Tarekat atau Hakikat
diajar secara terbuka dengan syarat mereka perlu memohon, mendaftar dan
melaporkan pada pihak Berkuasa, kuasa FB, Twitter dan Instagram akan membantu
Kerajaan dan orang ramai memantau aktiviti mereka yang dikategori sebagai
ancaman kecil atau besar jika ada.
Lagipun, tiada gunanya Kerajaan menyekat Tarekat di Malaysia
kerana di dunia maya terutamanya Youtube dengan mudah orang ramai bebas
menonton ceramah agama dan mempelajari Syiah, Qadiani, Tarekat, Hakikat,
malahan panduan buat bom pun ada di internet. Semuanya dipelajari mereka tanpa
bimbingan dan pemantauan orang yang lebih arif.
Sebenarnya, tindakan Kerajaan membenarkan semula Tarekat
akan membantu Kerajaan membendung IS, menyatukan orang Islam, meningkatkan
nilai masyarakat Islam, menurunkan aktiviti sosial serta penyakit hati, dan
banyak lagi.
Lebih lagi orang Bukan Islam akan berasa hormat terhadap
orang Islam yang beriman. Syiar Islam bersinar cahaya dalam gelap malam yang
gelita.
Mutakhir ini dengan jelas kita dapati semakin Kerajaan
menyekat syiar Islam dikembangkan semakin banyak kifarah Allah menimpa
Malaysia.
Secara peribadi saya berpandangan tiada ubat untuk menyekat
IS walaupun jika ISA dikuatkuasakan semula. Kerana pemikiran mereka sudah diracuni
untuk satu tujuan iaitu mati dan mendapat Syurga walaupun terpaksa “menghapuskan”
orang Islam sendiri waima ibu bapa mereka sendiri jika terpaksa.
Justeru, hanya Tarekat atau platform yang lebih luas untuk
orang Islam Malaysia berjihad mengembangkan Islam di Malaysia dengan cara yang
benar lagi benar sahaja caranya. Lagipun Kerajaan boleh memantau dengan mudah
di zaman dunia tanpa sempadan ini. Izinkan saya menggunakan kiasan yang popular
walaupun tidak menggambarkan sepenuhnya senario ini, “The devil you know is
better than the devil you don’t”
2 comments:
assalammualaikum...
5 rukun Islam dan 6 rukun Iman.
wassalam dan assalammualaikum...
terima kasih atas pembetulan...:))......alhamdulillah
Post a Comment