ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, April 25, 2015

Surat Terbuka Pada TMJ- Anak Raja lebih baik dari Ahli Politik?

Ini adalah surat terbuka saya yang kedua kepada Tuanku TMJ.

Pada surat pertama, saya nyatakan sokongan saya kepada usaha TMJ serta beberapa pandangan dari saya yang hina ini.

Saya masih lagi menyokong usaha Tuanku TMJ untuk rakyat Johor khususnya dan untuk pembangunan bola sepak Negara amnya.

Namun, saya terpanggil memberi teguran kepada Tuanku TMJ selepas membaca "serangan" Tuanku TMJ pada penyokong Selangor.

Saya adalah penyokong fanatik Selangor tetapi selepas format ditukar kepada Liga Super dan sebelum itu timbal balik 3 kali saya jadi jelik dengan FAM dan semangat kesukanan orang Malaysia.

Saya tidak kisah jika Selangor kalah, tapi directive pasukan Negeri Malaysia yang kabur dan tiada kesungguhan dari pemain tempatan membuatkan saya rasa seperti lebih baik menonton Maharaja Lawak Mega berbanding Liga Super Malaysia.

Saya meminati Tuanku TMJ dan merasakan Tuanku TMJ boleh menjadi seperti Julius Caesar dalam bola sepak. I come I see and I conquer.

Tapi Tuanku TMJ sering terbawa emosi dalam sukan. Kadang-kadang kedengaran suara Tuanku TMJ seperti budak-budak menghentak kaki merajuk dengan berkata "Saya budak mentah mahu urus pasukan bola" yang dipercayai merujuk kepada kata-kata menghina Tuanku TMJ oleh golongan Istana lain.

Perkataan serta tindakan Tuanku TMJ membentuk laku penyokong JDT yang memuja Tuanku TMJ. Apa yang Tuanku ucapkan disalah faham secara pelbagai oleh peminat. Pengaruh separa sedar ini dapat dilihat mudah di Hospital, jika Hospital dianggotai oleh Doktor yang ceria, yang peramah, yang mesra secara automatisnya Jururawat dan semua kakitangannya adalah mesra. Jika Hospitak dianggotai Doktor yang garang, tegang, sombong, dan angkuh secara automatisnya Jururawat dan kakitangan lain juga sombong.

Sepertimana kes FA Selangor yang berlegar dalam FB tentang JDT sedang dalam usaha mencuri pemain, Tuanku TMJ terlalu cepat respons dan mencemar diri melayan masyarakat yang celaru ini.

Pada saya, sebagai Tuanku TMJ yakni bakal Sultan kepada Johor, Tuanku TMJ mempunyai nilai, kelapangan, wawasan serta nilai mulia setinggi Matahari.

Mungkin kerana emosi dan punasihat Tuanku TMJ terbawa-bawa dan melakukan sesuatu yang kurang tepat sebagai pemimpin yang memimpin dengan tauladan.

Tuanku TMJ,

Tidak lama dari sekarang saya percaya Tuanku TMJ akan menjadi Presiden FAM. Hari pertama sebagai Presiden FAM kelak harus dijadikan tahun kesepuluh.

Pelbagai perancang untuk bola sepak Malaysia harus difikirkan sekarang supaya bila Presiden baru ambil alih, kita sudah berada di "gear lima".

Saya ingin melihat Tuanku TMJ menjadi lagenda dan dikenang lebih dari seorang Sultan yang dilahirkan dalam dulang emas.

Mungkin Tuanku TMJ masih ingat tentang seorang ahli politik muda yang lantang dalam mengkritik, agresif serta berwawasan. Pelbagai program realiti bola sepak, pelbagai pembaharuan serta pendekatakannya menjadi aspirasi serta harapan rakyat Malaysia.

Beliau turun ke jalan berdemonstrasi menentang Amerika dan pelbagai lagi kedinamikan beliau ditonjolkan.

Akhirnya bila dilantik menjadi Menteri, beliau membuktikan beliau sama seperti Menteri lain, ahli politik biasa yang bercakap dari otak bertindak dari perasaan. Bukan seperti Tuanku TMJ yang bercakap dari akal dan bertindak dari hati.

Menteri itu tidak bisa melakukan sebarang perubahan untuk anak muda di Malaysia yang lebih gemar merempit, melepak di Kedai Mamak dan membuang masa tanpa buku ditangan. Yang ada Smart Phone di tangan bermain permainan game ciptaan barat yang mengisi masa luang untuk beribadat kepada lalai dan sebagainya.

Tuanku TMJ,

Istilah curi pemain pada saya adalah kata orang tidak berpelajaran. Siapa boleh curi jika tuan punya badan tidak rela? Pemain bukan alat ataupun hak milik sesiapa melainkan dirinya sendiri dan Allah mutlaknya.

Isu curi serta pelbagai kata "undermine" Tuanku TMJ adalah tidak penting buat TMJ ketika ini.

Yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu memajukan Bola Sepak Malaysia dan Negeri Johor sendiri.

Justeru berikut adalah beberapa cadangan saya yang hina kepada Tuanku TMJ.

1. Sponsorship atau Tajaan.

Saya pernah menulis tentang bagaimana Liga 80-an lebih meriah dengan tajaan syarikat rokok. Namun WHO menetapkan tiada tajaan syarikat rokok dibenarkan. Tapi minuman keras masih dibenarkan begitu juga judi.

Bagi menjaga sensitiviti orang Islam yang tinggi beberapa syarat pengiklanan judi dan arak boleh digariskan seperti larangan pada orang Islam pada banner mereka, tajaan mereka digunakan untuk pembangunan struktur dan kemudahan asas stadium dan pemain bukan Islam serta memberi elaun khas kepada pemain yang mengisytiharkan dirinya bersih dari arak dan judi.

Secara peribadi saya tidak rasa iklan yang akibatkan orang Islam berjudi dan minum arak kerana tanpa tajaan mereka selama 30 tahun masih ramai umat Islam minum arak dan berjudi.

Mungkin ramai yang kata tanpa tajaan judi dan arak pasukan Bola tetap boleh hidup. Betul, tapi tidak boleh membangun.

Pemain tidak diransang oleh hadiah wang ringgit, nilai tajaan, serta insentif yang bernilai jutaan ringgit hasil peningkatan mereka dimana jika diharap dari kehadiran peminat di Stadium dan poket peribadi orang persendirian, nilainya bukan sahaja tidak cukup malah tidak kompetitif dari segi "desire".

2. Jadikan Kerjaya Bola Sepak Pilihan Utama Rakyat

Dari 100,000 pengomel sukan yang mengaku meminati bola sepak, yang mengaku peminat setia dan kata pong pang lain, hanya seorang sahaja yang rela membenarkan anak mereka memilih bola sepak sebagai kerjaya.

99,999 lain hanya pandai bercakap tentang kegagalan orang lain tapi terlupa diri sendiri gagal berkorban untuk bola sepak dan mereka mahu anak menjadi Doktor, Engineer, Peguam bukan pemain bola. Jadi siapa yang mahu main bola? Siapa yang mereka harapkan untuk memuaskan hati mereka di padang?

Perlu diingatkan antara faktornya adalah pemain Bola sepak tiada masa hadapan kerana 9 dari 10 mereka hanya boleh bermain secara kompetitif sehingga umur 30 tahun sahaja. Selepas 30 tahun mereka tidak ada kerjaya dan tiada masa hadapan samada di padang atau di luar padang.

Tuanku TMJ boleh memulakan di Johor dan di FAM kelak. Keluarkan satu blueprint GAH Menjadi Pemain Bola.

Semua pemain bola sepak akan diserapkan sebagai kakitangan Kerajaan, Bank dan Swasta(yang ada MOU) secara automatik dengan gaji dan pangkat yang setimpal dengan sumbangan mereka atas padang.

Beri mereka latihan kerjaya selepas pencen dari bola sepak. Dan bagi yang mahu melanjutkan pelajaran menjadi Peguam, Doktor dan lain-lain sediakan Dana untuk mereka dari pelepasan cukai korporat.

Dengan ini saya sendiri merelakan ketiga anak lelaki saya menjadi pemain bola sepak.

3. Tulang Keting India sekeras besi (Bola Malaysia Majmuk)

Atas sebab nombor dua dan mungkin sebab lain Bola sepak dijadikan pilihan terpaksa oleh ramai orang. Terutama bangsa bukan Melayu. Malaysia seperti Singapura, 90% pemain mereka adalah Melayu kerana orang Cina dan India tidak berminat kerana tiada masa hadapan.

Tahukah peminat bahawa tulang keting India dan Orang Asli sekeras besi. Mungkin disebabkan pemakanan, mereka ini mempunyai otot kuat, tulang keras serta kulit lasak. Cina pula mempunyai elastik badan yang lebih lentur serta stamina lebih dari Melayu yang gemar makanan berasas minyak.

Saya juga masih teringat tentang catatan pendaki Kota Kinabalu yang mengatakan juara sebenar pendaki Kinabalu adalah orang asli disitu yang mendaki puncak setiap hari membawa tong gas turun dan naik tanpa gagal.

Hakikatnya, saya pernah bermain bola sepak dengan orang Asli dan India.

Justeru, Tuanku TMJ boleh lancarkan pencarian bakat melalui liga sekolah yang lebih kompetitif dan lumayan.

Setiap pasukan harus dianggotai oleh Cina, India dan Melayu dari satu daerah yang sama serta orang Asli sendiri. Hadiah lumayan berjuta ringgit samada tunai atau berbentuk tanah kosong, tanah sawit, hartanah rumah dan lain-lain akan menjadi tarikan utama untuk mereka.

Ini secara tidak langsung akan menyemai semangat majmuk masyarakat 1Malaysia.

4. Klinik Badan dan Jasmani Bebas

Jasmani dan Fizikal mudah dipelajari berbanding minda.

Ramai anak muda mempunyai bakat dalam jasmani dan fizikal.

Mereka boleh belajar dari internet dengan mudah dan mengajar dengan mudah. Tetapi mereka tiada lesen dari FAM dan tiada kelayakan justeru mereka akhirnya merempit atau jual burger ganja.

Tuanku TMJ boleh hantar sekumpulan 50 anak jati Johor ke Luar Negara untuk belajar pembangunan atlet yang terbahagi kepada banyak kategori seperti makanan, otot, stamina, kawalan, emosi, hidup sihat, disiplins sukan, integriti sukan, pengurusan dan lain-lain.

Mereka ini akan mengajar pula anak-anak muda di Kampung yang berminat secara percuma.

Dan anak muda ini boleh membuka Klinik perkhidmatan atau paling tidak berkhidmat di semua Sekolah sebagai kaunselor badan dan jasmani untuk atlet dan juga untuk pelajar akademik biasa.

Mereka juga boleh menjadi para "scout" yang mencari bakat terpendam anak kampung yang mempunyai kaki dan otot yang kuat hasil menoreh getah, mengait sawit, menebar jala dan lain-lain.

5. Sukan adalah Jihad dan Ibadah

Antara faktor sukar membangunkan sukan di Malaysia adalah kerana kekangan agama.
Ramai keliru tentang maksud AlQuran yang menyeru umatnya berjihad dan sukan adalah jihad.

Lihat bagaimana England, Spain, Itali, France, Amerika, dan semua berjuang dalam peperangan atas padang bagi menggantikan peperangan berdarah yang mereka alami sejak beribu tahun dahulu.

Pemain bola sepak seperti para Ustaz berjuang demi agama Allah dengan membuktikan pada dunia Islam adalah agama ulung dari semua sudut dan segi.

Bayangkan jika pasukan Islam Malaysia menjulang Piala Dunia, Islam adalah agama untuk semua.

Mentaliti lebih baik mengaji dari bermain bola atau bersukan perlu dikikis dari masyarakat.

Saya berharap Tuanku TMJ dapat perhalusi dan kembangkan lagi cadangan saya kerana Tuanku TMJ lebih bijak dan kreatif.

Pada pembaca yang kata saya bodek, ya saya bodek Tuanku TMJ tapi bukan untuk tujuan peribadi waima sesen pun, sebaliknya untuk kemajuan sukan Negara. Hyprocite in good course, God KNOWS.

PS: Mohon maaf dan ampun sekiranya surat ini melukakan hari Tuanku TMJ tapi saya yakin pada kepimpinan Tuanku TMJ yang berlapang dada pada teguran dan bersifat tenang serta memaafkan.

No comments: