ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, April 11, 2015

Surat Terbuka Pada IGP Polis Dan PM- Benarkan Tarekat Bantu Bendung IS

Sebelum saya bermula saya memohon Tan Sri IGP dan YAB tidak menahan saya kerana niat saya hanya memberikan cadangan.

Tahukah orang ramai berapa ramai rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS dimana tidak mustahil satu hari nanti KLCC, KL Sentral atau Stesen Masjid Jamek akan di bom oleh pengebom berani mati.

Hakikatnya orang ramai sebenarnya tidak tahu bahawa jumlah mereka yang sudah dan akan menyertai IS jauh lebih ramai dari sangkaan kita semua.

Persoalannya bukan berapa dan siapa tetapi KENAPA?

IS berkaitan rapat dengan jihad, syahid dan syurga. Menentang kezaliman dan ketidak adilan adalah kata kunci “mereka” untuk menarik minat rakyat Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia terlibat dalam IS bukan kerana pesertanya kejam, zalim, mahu membunuh, dan membuat jenayah sebaliknya mereka hanya keliru. Keliru dengan suruhan Allah dalam Al-Quran kepada manusia agar mengimbangi dunia dan akhirat dengan seimbang dan sederhana.

Mereka keliru kerana di Malaysia mereka tidak mempunyai platform untuk berbakti dan berkhidmat kepada Allah. Pegang kata kunci saya iaitu mereka keliru.

Pada Mei 2013 saya ada menulis satu artikel yang ditujukan kepada YAB Perdana Menteri dengan tajuk “Masa Kerajaan Membenarkan Tarekat Semula Untuk Mengimbangi Dunia Dengan Akhirat”.

Ya! Tarekat atau ilmu hakikat adalah penyelesaian tunggal dan hakiki dalam usaha Tan Sri dan YAB Perdana Menteri menghadapi IS.

Ada satu jalan lain kerana orang Islam yang menyertai IS hanya mempunyai satu tujuan sahaja iaitu mati, maka jalan lagi satu adalah “tembak hingga mati” dimana ia tidak adil dan tidak perikemanusiaan kerana satu-satunya jenayah mereka adalah mereka keliru dengan definisi jihad.

Jihad mudah selalu diertikan sebagai perang suci menentang kezaliman kerana tidak banyak yang boleh umat Islam jihadkan di Malaysia kerana platform agama Islam di Malaysia terlalu kecil untuk dikembangkan.

Masjid dan Surau sunyi selepas jam 10 malam maksima tetapi Kedai Restoran Mamak tempat melepak beroperasi sehingga ke Subuh hari.

Semua program agama disekat, dipantau malah perlu ada tauliah jika tidak didakwa dan ditangkap.

Jadi yang tinggal adalah Solat 5 waktu yang mereka dipermudahkan memenuhi tanpa gagal, wirid pendek, ceramah sehala, ceramah bertindih oleh Ustaz berbeza, tazkirah dan kadang-kadang Qiamulail.

Lagi satu jalan mengabdikan diri pada Allah adalah menyertai parti Politik yang memperjuangkan Islam yang mana limitasinya kian hari makin terhad kerana beberapa sebab tertentu serta bangkangan dari rakan bukan Islam.

Jangan salah faham. Saya bukan katakan tiada Tarekat sesat tetapi Arwah Bapa saya berpesan selagi Tarekat itu melaksanakan 6 Rukun Islam dan berpegang teguh pada 5 Rukun Iman tanpa mengubahnya, maka ia tidak sesat.

Sebenarnya, Kerajaan mengharamkan “Tarekat” pada masa itu kerana ia sukar dipantau. Seperti di Besut, Gua Musang, Parit, Grik, Muar, Gemas, Pelangai, Marang, Ijok, Jelebu, dan banyak lagi di ceruk-ceruk penempatan yang sukar untuk Pihak Berkuasa pantau apatah lagi kebiasaannya aktiviti beribadat adalah pada waktu malam.

Lagipun, teori yang mengatakan bila manusia berkumpul maka mereka cenderung untuk melakukan sesuatu di luar batas mereka biasanya tepat seperti Rusuhan, Demonstrasi, Penyokong di Stadium dan lain-lain. Maka Kerajaan khuatir jika mereka berkumpul pada waktu malam, perkara tidak diingini akan berlaku pada mereka, keluarga dan masyarakat setempat.

Lebih lagi bila cukup bukti, Kerajaan juga sukar untuk mengenakan dakwaan kerana biasanya “sesat” dilakukan oleh pengikut dan murid yang taksub bukan Guru mereka, walaupun tidak dinafikan memang ada juga Guru yang sesat tetapi pandai menutup dan menghilangkan bukti.

Tapi itu zaman sebelum adanya Facebook, Instagram, Twitter, dan internet.

Hari ini jika Kerajaan membenarkan Tarekat atau Hakikat diajar secara terbuka dengan syarat mereka perlu memohon, mendaftar dan melaporkan pada pihak Berkuasa, kuasa FB, Twitter dan Instagram akan membantu Kerajaan dan orang ramai memantau aktiviti mereka yang dikategori sebagai ancaman kecil atau besar jika ada.

Lagipun, tiada gunanya Kerajaan menyekat Tarekat di Malaysia kerana di dunia maya terutamanya Youtube dengan mudah orang ramai bebas menonton ceramah agama dan mempelajari Syiah, Qadiani, Tarekat, Hakikat, malahan panduan buat bom pun ada di internet. Semuanya dipelajari mereka tanpa bimbingan dan pemantauan orang yang lebih arif.

Sebenarnya, tindakan Kerajaan membenarkan semula Tarekat akan membantu Kerajaan membendung IS, menyatukan orang Islam, meningkatkan nilai masyarakat Islam, menurunkan aktiviti sosial serta penyakit hati, dan banyak lagi.

Lebih lagi orang Bukan Islam akan berasa hormat terhadap orang Islam yang beriman. Syiar Islam bersinar cahaya dalam gelap malam yang gelita.

Mutakhir ini dengan jelas kita dapati semakin Kerajaan menyekat syiar Islam dikembangkan semakin banyak kifarah Allah menimpa Malaysia.

Secara peribadi saya berpandangan tiada ubat untuk menyekat IS walaupun jika ISA dikuatkuasakan semula. Kerana pemikiran mereka sudah diracuni untuk satu tujuan iaitu mati dan mendapat Syurga walaupun terpaksa “menghapuskan” orang Islam sendiri waima ibu bapa mereka sendiri jika terpaksa.

Justeru, hanya Tarekat atau platform yang lebih luas untuk orang Islam Malaysia berjihad mengembangkan Islam di Malaysia dengan cara yang benar lagi benar sahaja caranya. Lagipun Kerajaan boleh memantau dengan mudah di zaman dunia tanpa sempadan ini. Izinkan saya menggunakan kiasan yang popular walaupun tidak menggambarkan sepenuhnya senario ini, “The devil you know is better than the devil you don’t”



2 comments:

ibnu Rejab al-jawi said...

assalammualaikum...
5 rukun Islam dan 6 rukun Iman.

Mustaqim Abdul Rahman said...

wassalam dan assalammualaikum...

terima kasih atas pembetulan...:))......alhamdulillah