Allah pun mencarut. Saya tidak perlu menerangkan siapa yang buat kenyataan terbuka ini kerana di Youtube beratus ceramah agama yang dikupas Ustaz menyokong kenyataan Murabbi Ummah(gelaran diberi orang padanya).
Walaupun pada saya kenyataan mantik ini ada benarnya tapi kerosakan khususnya pada minda pembaca tetap tidak dikawal.
Inilah masalahnya bila kita pilih penulisan berbanding lisan untuk berbincang soal agama, Wartawan salah, akhbar salah, ahli politik salah, kadang-kadang Ulama pun salah. Kita semua tetap manusia yang tidak bebas dari kesalahan yang tidak disengajakan tapi akhbar memang sengaja pilih tajuk yang sensasi bagi tujuan melariskan selain agenda kepartian.
Aisyah Tajudin dan Kassim Ahmad adalah orang Islam. Mereka telah dan bakal didakwa atas tuduhan menghasut, mendatangkan perasaan tidak senang pada orang Islam dan sebagainya.
Kesalahan Aishah hanya kerana ia mempersoalkan hukum Islam dan dia bakal dijatuhi hukuman. Malahan ugutan bunuh, tekanan emosi serta segala cacian dan kejian saban hari dilemparkan kepada Aishah.
Tindakan Pihak Berkuasa dan orang Islam terhadap Aisyah hanya membuktikan pada dunia khususnya barat dan bukan Islam bahawa Islam sama dengan Komunis.
Dulu masa China diperintah Komunis Mao Zedong tiada siapa boleh persoalkan segala konsep komunisma langsung. Jika dipersoalkan, maka mereka akan dikeji, dihina dan dibunuh.
Benarkah Islam itu Komunis?
Pada saya Islam adalah agama sempurna dan sederhana. Jika benar Aisyah salah dan jahil dalam Videonya, tegurlah dengan tertutup, kaunseling dengan tertutup atau terbaik bimbinglah dia ke jalan yang betul dengan akhlah Baginda SAW.
Terangkan padanya dengan ilmu dan keperibadian Islam bukan dengan makian kejian dan ugutan.
Sebenarnya, banyak lagi kes Komunis seperti ini, di Malaysia Islam sudah dijadikan komunis. Tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh diragui, setiap orang Islam mesti kena ikut walaupun tidak faham, sama macam lembu. Orang Islam bukan lembu, kita diberi akal.
Islam menekankan keadilan serta hak setiap individu, Tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah dengan saksi dan Allah suruh kita perbaiki amalan dan kita akan terima CCTV, DNA dan sebagainya sebagai bukti kerana ilmu Sains adalah ilmu Allah bukan ilmu Jin dan Manusia.
Keadilan adalah sendi utama Islam dan keterbukaan untuk dikritik serta ditegur adalah rahsia kepimpinan hebat Baginda Rasulullah SAW.
Apa yang dikata Aisyah sebenarnya dikata dan dirasa ramai orang termasuk saya, cuma Aisyah punya keberanian untuk mengajak orang Islam berfikir luar kotak buruk dan lusuh iaitu kotak "saya Islam sebab Ibu Bapa saya Islam".
Saya sendiri takut untuk bertanya soalan apatah lagi secara sensasi seperti Aisyah. Namun, wujud keperluan untuk bertanya seperti Aisyah kerana hudud adalah isu yang amat besar malahan keadilannya sering dipersoalkan oleh orang bukan Islam termasuk Tun Dr Mahathir sendiri. Jadi kita perlu melayani setiap persoalan orang Islam dan Bukan Islam termasuk melayani persoalan Aisyah dengan adil kerana itulah hudud, adil.
Malangnya, kita menolak orang yang berbeza pendapat dengan kita seperti Aisyah tanpa mendengar apa yang beliau tidak faham dan cuba sampaikan. Ini bukan cara menerangkan hudud kepada orang ramai dan bukan cara menegakkannya dan bukan cara menyokong hudud.
Sokong hudud dengan perjelaskan kepada orang yang tidak faham dengan akhlak yang baik. Kita hendak tegakkan hukum hudud Allah tapi kita langgar hukum Allah yang lain.
Kebenaran berdiri dengan sendiri tanpa perlu nafsu amarah, fitnah, syak, cacian dan makian, ugut, bunuh, provokasi dan sebagainya. Senyum, dan yakinlah padaNYA.
Jom kita buktikan, Islam bukan komunis kerna ia tanggungjawab kita selepas Islam dicap sebagai pengganas oleh Barat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment