ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Friday, March 13, 2015

Jangan Nilai Kebaikan Dan Iman Wanita Dari Tudungnya! Bertudung Tak Semestinya Baik, Tak Bertudung Tak Semestinya Jahat!

Percayalah saya pernah membenci semua wanita yang bertudung sejak kecil hinggalah umur dewasa.

Sebab apa? Sebab mereka yang bertudung selalu memandang rendah kepada Emak saya yang tidak bertudung. Dan demi Allah, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa baik, suci, murni dan bersihnya jiwa Emak. Kerana saya anak ke 6 dari 10 orang anak termasuk 3 anak Mak Muda saya yang beliau jaga, saya ada hak untuk kata Emak saya lebih baik dari orang yang bertudung.

Orang bertudung bukan sahaja memandang rendah pada orang tidak bertudung malah menghina, dan mengeluarkan kata cacian. Saya ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, saya tanya Emak boleh ke makan Telur Penyu ini, Emak saya terus bertanya kepada penjual dan mereka tidak layan Emak saya, dihadapan saya, kerana Emak tidak bertudung. Tidak cukup dengan itu, mereka halau kami dan caci Emak saya dikhalayak ramai.

Begitulah bagaimana tudung memainkan peranan signifikan dalam masyarakat Islam Malaysia.

Malangnya, banyak rakaman CCTV merakamkan pencuri Islam, ramai juga yang bertudung.

Malangnya, yang kena tangkap basah, yang ditemui bogel di Taman Awam, yang berkelakuan sumbang seluk menyeluk, ramai juga yang bertudung.

Malangnya, yang terkinja-kinja, yang tergedik-gedik, yang menari dengan asyik, ramai juga yang bertudung.

Malangnya, yang menyara hidup dengan aurat suara, kini ramai juga yang bertudung.

Malangnya, yang berbaju ketat menampakkan buah dada, bentuk kaki, bentuk punggung dll, malah ada seluar menampakkan V mereka, ramai juga yang bertudung.

Malangnya yang sombong di kaunter-kaunter Pejabat, ramai juga yang bertudung.sedangkan Allah dalam Quran kata jangan sombong.

Malangnya, yang suka maki memaki, keji mengkeji, megeluarkan kata buruk ramai juga yang bertudung.

Malangnya, yang mengamuk kerana kereta dilanggar orang tua Cina pun bertudung.

Malangnya, yang memegang anjing atas nama kebebasan pun bertudung.

Malangnya, yang rela dipeluk lelaki K-POP semua bertudung.

Malangnya, dan teramat malang, sangat malang apabila masyarakat Melayu dan Islam masih tidak berubah sejak berpuluh tahun dahulu dengan menjadikan tudung sebagai kriteria utama menilai kebaikan orang.

Bukan sahaja kebaikan, iman seseorang juga mereka nilai dan hukum dengan tudung.

Dan semua yang tidak bertudung akan dihina, dikeji, dikatakan jahil agama, dosa besar, ahli neraka, kafir dan sebagainya, semuanya kerana kebodohan diri mereka sendiri gagal menterjemah dan mendalami Kalam Allah dalam Kitab Suci Al-Quran.

Aurat, labuhkan baju mereka menutup aurat hanya disebut kurang dari 10 kali sahaja dalam Quran dan paling banyak Allah sebut pentingnya berbuat baik, berhati baik dan mengabdikan diri pada Allah.

Isteri saya, sebelum kahwin tidak bertudung, tetapi selepas kahwin beliau meminta kebenaran saya memakai tudung. Saya jawab, "kalau awak pakai tudung kerana saya, tidak perlulah awak pakai tudung kerana Allah Lebih Besar dari saya, jangan jadikan saya lebih besar dari Allah, jadi pakailah tudung kerana Allah".

Jawapan saya tetap sama sehingga hari ini bila setiap kali isteri menghadapi dilema memilih pakaian dan tudung yang sesuai. Saya tetap akan kata, "kalau awak mahu cantik, bukalah tudung, kerana awak lebih cantik tanpa tudung, tapi kalau bertudung kerana Allah teruskan bertudung samada cantik atau tidak". Walaupun saya sedar tidak salah untuk isteri mahu cantik, tetapi saya mahu beliau istiqamah dalam keputusannya memakai tudung iaitu kerana Allah bukan kerana saya atau sesiapa.

Hakikatnya, lebih dari 90% orang Islam bertudung di Malaysia bukan kerana Allah tetapi kerana;

1. Ibu bapa/Suami/Anak paksa atau terpaksa
2. Peraturan Sekolah/IPT
3. Rambut tidak cantik
4. Trend
5. Pandangan/Mulut Masyarakat, Jiran, Kawan dan Keluarga
7. Mahu dihormati
8. Lebih cantik bertudung dari tidak bertudung
9. Fesyen
10. Fesyen
11. Fesyen
12,13,14,15,40,100,404..................
1001. Fesyen

Dan hanya 10% sahaja memakai tudung kerana takut pada Allah itupun dari 10% ini hanya 0.01% sahaja tahu Allah suruh pakai tudung ayat berapa, surah apa, juzuk apa!!!

Natijahnya majoriti wanita yang bertudung hanya berjaya menutup kepala tetapi gagal menutup kepala hati dan kepala jiwa mereka dari membusuk dan bernanah.

Ia dapat dilihat dengan jelas saban hari dihadapan kita, dari mulut pemakai, pakaian pemakai, tingkah laku pemakai, gerakgeri pemakai, adab pemakai, fitnah, dengki, sombong pemakai, batas pergaulan pemakai, kelaku pemakai, kerja pemakai, dan banyak lagi.

Mereka bertudung kerana tidak mahu atau malu dan segan orang lain nampak rambut mereka, tetapi mereka tidak malu dan segan Allah melihat kebrorokan dan kebusukan hati mereka serta kekejian perbuatan mereka.

Saya rayu kepada semua yang bertudung teruskan bertudung dengan betulkan niat kerana Allah, jika sudah betul tiada salahnya lafaz sekali lagi demi menebalkan tauhid.

Saya juga rayu wanita lain bagi yang belum bertudung mulailah bertudung dan bertudunglah kerana Allah. InsyaAllah, jika ia dibuat kerana Allah, Allah akan meleraikan semua kesulitan yang anda pertimbangkan.

Jika wanita bertudung kerana Allah, kerana takut pada Allah sudah pasti pemakai tudung akan takut juga dengan larangan Allah yang lain termasuk jauhi zina, arak dan judi, jauhi riba, tunaikan Solat dan Zakat, berkata yang baik jika tidak lebih baik diam, berbudi kepada kedua ibu bapa, jangan menceroboh, bersabar, bersabar dan bersabar dan banyak lagi perintah Allah yang diulang beratus kali berbanding tutuplah aurat yang disebut beberapa kali sahaja.

Saya menutup kisah ini dengan berbangga Emak saya memakai tudung kerana Allah, setahun sebelum Allah memilih beliau menjadi tetamunya di Tanah Haram ketika usianya 50 tahun. 50 tahun dahulu pun beliau jadi orang Islam kerana Allah dengan meninggalkan agama Buddhanya, beliau bukan Islam kerana ibu bapanya Islam tetapi kerana Allah. Amat penting segala yang kita lakukan bukan kerana asbab munasabab lain selain dari Allah, itu nasihat beliau pada saya yang akan saya genggam hingga mati.

Anda bagaimana????

2 comments:

Anonymous said...

Arwah ibu saya tidak bertudung tetapi pengorbanan beliau semasa hidup tidak ada tandingannya, tidak perlu saya ceritakan. Semasa beliau dijemput Allah, beliau meninggal dalam keadaan tersenyum. Tambah lagi kerana tidak dapat dikuburkan cepat lebih dari 24 jam kerana undang undang negara, badan arwah tetap lembut. Ustazah yang mengendalikan mayat melafazkan, inilah kelebihan arwah yang kita mesti lihat. Setelah dikapan, semua yang hadir agak terkejut kerana arwah nampak sangat muda sedangkan beliau sangat sakit dan merana lebih 15 tahun. Beliau pergi semasa 64 tahun. Saya ingin mengingatkan bahawa Allah tahu apa yang kita buat setiap detik dan saat. Tidak boleh sembunyi dibelakang jilbab atau status atau pangkat. Saya berdepan dengan ramai yang berjilbab yang berpakaian tidak sopan tetapi saya tidak pernah menilai mereka. Ada satu wanita berjilbab yang berjalan sebelah saya yang belum berjilbab dan semakin dekat, dia cuba bercakap sekuat hati dan menuding kan jarinya. Saat dia hampir disebelah saya, beliau jatuh ke lantai kerana terpelecok. Alquran adalah sahabat saya dan mempelajari dan memahami semua surah dan saya masih terus belajar. Sehingga hari ini saya tidak boleh mendengar muzik kerana telinga akan rasa sakit. Saya percaya dengan sepenuh hati bahawa Allah menjaga saya setiap saat selagi saya masih dalam rahim ibu saya. Sekadar berkongsi pengalaman saya.

Anonymous said...

Saya tidak bertudung sudah sitempah neraka awal2 oleh orang yg merasa neraka itu tidak layak untuk mereka.. Siapa mereka nak memaki hamun sesama Islam? Itu bukan ajaran Islam.. Nampaknya mereka juga masih lemah dalam memahami Islam..