ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Sunday, March 29, 2015

Kejujuran Pekerja Melayu - Solat Jumaat dan Asar

Sah ke Solat dalam waktu berkerja?

Dalam Al-Quran Allah ada sebut tentang perjanjian bertulis, saksi dan kepentingan mematuhi termasuk berlaku adil.

Begitulah bila kita menandatangani kontrak pekerjaan Awam dan Swasta. Antara terma yang kita biasa bersetuju adalah kita akan berkerja dari Jam 8.00 atau 9.00 pagi sehingga 5.00 atau 6.00 petang.

Dan ditetapkan dalam perjanjian bahawa waktu rehat yang diberikan adalah 1 jam samada jam 12.00 hingga 1 petang atau jam 1 petang hingga 2 petang.

Bagaimana dengan masa rokok, "take 5", masa kopi, "time out", "pantry time" dan lain-lain. Di Malaysia istilah ini semua amat popular tetapi di Negara Budaya Tinggi, pekerja mereka berkerja dengan jujur melengkapi 8 jam waktu berkerja termasuk 1 jam rehat, tidak kurang seminit pun waktu berkerja seperti yang pekerja tandatangani dalam kontrak pekerjaan.

Pekerja Negara Budaya Tinggi ini bukan sahaja jujur berkerja melengkap setiap minit dalam 8 jam malah mereka juga amanah dengan tidak menggunakan masa untuk buat kerja peribadi, photostat dokumen peribadi, menggunakan pencetak pejabat, kertas pejabat,pen pejabat dan lain-lain.

Dan Negara yang mempunyai ramai pekerja seperti ini bukan Negara Islam. Pelik bukan?

Di Malaysia, senarionya lebih parah. Semasa saya berkerja di Fujitsu (M) Sdn Bhd dari 2000-2010 saya dihantar ke semua sektor pelanggan kami antaranya Kilang Panasonic AVC, Sony SPEM, JVC, Shinetsu, Spansion, Infineon, NZMilk, Fronterra, WD, Motorola, Sony Penang, Epson Johor, dan beberapa kilang di Melaka. Antara korporat adalah EDS, Lufthansa Airlines, America Airlines KLIA, Deutche Bank, Tokyo Mitsubishi Bank, Insurans, Microsoft KLCC, Maxis, Digi, CIMB, AIA, Hong Leong, Hospital, National Library, KDN, seluruh kontijen Polis Malaysia, Pejabat Peguam Negara, EPU, JPM, KKLW, KKPDN, DBP, dan banyak lagi justeru saya mempunyai banyak pengalaman berkerja dengan sektor pelbagai.

Disini saya ingin bertanya tentang Solat Jumaat dan Solat Asar?

Kerana pengalaman beberapa kali berurusan dengan pejabat Kerajaan pada Hari Jumaat mengusik jiwa saya terutama bila melihat orang tua bukan Islam terkulat-kulat kerana masa tutup kaunter hari Jumaat amat panjang.

Semua tahu bahawa kaunter Kerajaan tutup untuk Solat Jumaat antara dari jam 11.45 atau 12.00 hingga 2.30 atau 2.45 petang. Hampir 3 jam!!! Solat Jumaat adalah untuk lelaki sahaja, jadi saya ingin tanya kepada Tan Sri KSN dan Dato Seri KSU Negeri-Negeri khususnya yang mahu merubah sikap penjawat awam, kenapa tutup kaunter sedangkan kakitangan wanita tidak perlu pergi Solat Jumaat.

Jikalau memang Penjawat Awam Wanita yang tidak pergi Solat Jumaat rehat sama lama dengan Lelaki yang perlu pergi Solat Jumaat, kenapakah rehat begitu panjang diberikan pada mereka?

Berapa jam rehat untuk kakitangan awam wanita pada hari Jumaat seperti dalam kontrak kerja mereka perlu diperjelaskan?

Tidak bolehkah Kaunter dibuka dan kakitangan wanita termasuk barisan pengurusan turun ke kaunter mengganti kakitangan lelaki? Ini kerana khidmat mereka diperlukan oleh rakyat justeru ia jadi pertikaian serius dalam pemikiran Bukan Islam. Mereka tidak berani sebut kerana khuatir didakwa rasis atau dengki dengan Islam.

Setahu saya pekerja wanita lebih ramai dari pekerja lelaki dalam Sektor Awam, berapa nisbahnya?

Dari pengalaman saya kakitangan wanita juga rehat seperti kakitangan lelaki pada hari Jumaat dalam sektor Kerajaan, tetapi tidak di sektor swasta.

Lebih lagi jujurkah pekerja Islam menggunakan masa yang diberi untuk beribadah, rehat dan makan itu samada lelaki atau perempuan?

Itu Solat Jumaat, bagaimana dengan Solat Asar.

Pekerja Kilang-kilang Jepun menampal beberapa notis di Surau mereka agar tidak tidur di ruang solat dan ramai yang patuh ada yang tidak.

Untuk solat Zohor, apakah Masa Solat adalah termasuk dalam masa makan atau masa solat dimetrikan berlainan dengan masa makan dalam perjanjian kerja?

Untuk Solat Asar saya pasti tiada  masa rehat diperuntukan dalam semua kontrak pekerjaan kerana masa berkerja tamat pada jam 5.00 atau 6.00 petang.

Soalan saya sekali lagi pada Tan Sri KSN, dan Dato Seri KSU apakah Surau ditutup dan hanya dibuka selepas jam 5 petang atau ia dibuka dan digunakan sepenuhnya termasuk solat Jemaah sebelum jam 5.00?

Saya adalah orang Islam, tujuan saya menulis artikel ini bukan dengki dengan masa kerja, gaji, atau keselesaan Saudara Islam saya, mahupun semua boleh berkata asal kerja siap, semua pun boleh, Bos tidak marah tetapi bagaimana dengan Tuan Punya Duit yang digunakan untuk membayar gaji kita.

Lagipun, Al-Quran tidak kata begitu. Al-Quran kata ada perjanjian, kita setuju dan tandatangan ada saksi dan kita pasti patuh.

Justeru adalah molek, jikalau Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri yang mengaku Negara dan Negeri Islam menukar kontrak pekerjaan dengan memperuntukan masa solat Zohor dan Asar dalam perjanjian kerja. Dan letak klausa ganti masa yang mana dapat menyuraikan trafik "jam" sekiranya pekerja Islam ada yang balik jam 5, ada yang Solat di pejabat dulu dan balik Jam 5.30, ada jam 6.00 ada jam 6.30 mengikut keperluan dan tanggungjawab seperti anak sekolah dan lain-lain.

Dengan ini setiap sen yang kita perolehi lebih berkat dan halal dan masyarakat dunia akan memandang tinggi terhadap kejujuran, amanah, kerajinan, dan kecekapan pekerja Melayu yang mana mereka hakikatnya mereka sedang memandang rendah terhadap pekerja Islam sekaligus mereka mudah menyalahkan Islam sedangkan Islam tidak ajar begitu.

Dari tahun 2005-2007 saya terlibat dengan projek Police Reporting System atau PRS di semua Balai Polis, IPD dan IPK di Malaysia termasuk Bukti Aman. Untuk tempoh 1000 hari saya tidak pernah bercuti, tidak pernah MC dan berkerja selama 1000 hari tanpa rehat seharipun termasuk Hari Raya. Cuma Hari Raya saya standby jadi walau tidak dipanggil tetapi dibayar kerana berkerja.

Dan jelas Bukan Islam menerima saya dengan baik dimana saya berharap saya dapat mengubah pandangan mereka terhadap pekerja Islam yang sering EL, MC, Ular, Hilang, MIA, dan lain-lain. Pada saya ia fardu kifayah untuk kita semua berusaha merubahnya!!!

Untuk rekod DEB mensyaratkan Syarikat MNC dan Public Listed perlu ada management orang Melayu. Orang Melayu mengisi kuota ini kerana DEB bukan kerana merit kerana semua MNC yang saya pergi semua barisan pengurusan dipilih berdasarkan merit dan hanya ada seorang sahaja Melayu DEB, tidak pernah lebih dari seorang kerana mereka mempunyai tanggapan buruk terhadap pekerja Melayu.

Dr Zakir Naik kata Jihad itu adalah strive dan struggle bukan berperang maka marilah kita jadi orang Islam yang patuh pada Al-Quran, jom Jihad diri sendiri dulu khususnya dalam pekerjaan yang kita setuju dengan syarat-syarat kerja itu. Jom ubah sikap, ubah tabiat maka terubahlah nilai masyarakat Islam Malaysia. InsyaAllah.

No comments: