Kalau saya menentang hudud saya bukan menentang Islam. Jika saya menentang keadilan, maka saya menentang Islam.
Hududullah disebut tidak lebih dari 5 kali seingat saya dalam Al-Quran. Saya bukan dengar dari mana-mana Ulama, tapi saya baca sendiri terjemahan Al-Quran dari mula hingga habis.
Tetapi keadilan disebut berpuluh kali dalam Al-Quran dan sama banyak dengan hudud Allah juga menyebut tentang kemaafan sesungguhnya memaafkan itu lebih baik untuk Manusia.
Malangnya, entah mana silapnya di Malaysia Islam kian dilihat sebagai agama komunis. Orang Islam langsung tidak boleh mengatakan perbezaan pendapat dimana mereka akan dihukum, dikeji, ditekan, diugut dan sebagainya manakala kesangsian bukan Islam langsung tidak dilayan dan diendahkan, sedangkan Islam agama untuk semua.
Kadang-kadang perbezaan pendapat itu dikatakan dalam keadaan saudara dan saudari kita itu jahil, yang mana lebih Islam jika kita gunakan adab kesopanan Islam membimbingnya.
Saya tidak khuatir pandangan orang terhadap artikel saya ini kerana saya lebih khuatir pandangan orang Bukan Islam terhadap Islam. Apakah mereka mahu mendekati Islam yang pantang salah atau pantang tanya sikit terus ugut atau terus guna kekerasan?
Kini lebih ramai tampil mempersoalkan hudud Kelantan yang dikatakan menolak bukti cap jari, DNA dan rakaman video. Sebaliknya mewajibkan saksi. Saya terbaca artikel seorang Cina dalam Malaysian Insider yang dirompak di Kelantan. Polis menyoal apakah perompak itu Islam atau tidak? Berapa harga nilai rompakan? Dan soalan paling terbaik, polis menolak kelayakan mangsa menjadi saksi kerana mangsa adalah Cina sedangkan ketika kejadian mangsa seorang diri!
Diatas hanya sedikit dari beratus kelemahan hudud Kelantan yang jika dipersoalkan, kita akan dikecam menentang Islam, kafir, jahil. ahli neraka dan sebagainya. Bukan sebab hudud itu lemah, tetapi masyarakat belum benar faham sepenuhnya tentang hudud justeru penting menuntun mereka ke penjelasan yang profesional, tenang dan Islamik.
Saya menyeru kepada semua untuk menyokong hudud Kelantan ini tetapi dalam masa yang sama orang Islam perlu lebih terbuka perbincangkan hukum hudud dan hukum faraid yang pelaksanaan dan keadilannya bergantung kepada tangan manusia yang memegang amanah. Sudah terbukti hukum faraid Allah itu adil tapi yang terjadi banyak yang tidak adil, kerana manusia, tuntas samada hudud atau faraid ia perlu lebih terbuka kepada penambahbaikan mengikut zaman.
Saya juga berdoa agar UMNO akan sokong hudud ini dan terus sokong memperbaiki pelaksanaannya agar ia adil dan berharap Kerajaan PAS Kelantan dapat membuka pintu bermusyawarah bukan terus menempelak setiap mereka yang persoalkan keadilan dalam hudud. Perjelaskan kepada orang ramai dengan sejelas-jelasnya kerana jika Kelantan berjaya, ramai Negeri akan ikut, insyaALLAH Malaysia juga akan ikut serta.
Sebelum anda memilih untuk mengecam saya, carilah hudud + mustaqim abdul rahman dan anda akan dapati saya menyokong hudud sejak dulu tapi bukan hudud tidak adil.
Hudud tidak adil adalah hudud manusia. Adil itu barulah hukum Allah atau hududullah. Sama seperti faraid, hukum Allah yang adil tapi lihatlah semua masalah tanah dan harta faraid, hukum Allah yang adil dalam pembahagian harta itu menjadi tidak adil kerana manusia yang memegang amanah tidak amanah.
Dan saya persoalkan keadilan jika seorang fakir miskin tiada duit membeli susu beras anak, dan kali pertama mencuri wang masjid RM 700 tetapi dihukum potong tangan tapi Pemimpin politik dan Pegawai sektor kerajaan pula mengguna kuasa, beri tender pada kroni, dan sebagainya beratus ribu ringgit tetapi tiada saksi dan terlepas.
Apa pesalah fakir miskin mahu buat dengan tangan kudung, bagaimana mahu berkerja? Dia yang baru sekali tersilap langkah akan terpaksa meneruskan hidup dalam dina lautan dosa yang kejam.
Saya persoalkan keadilan bila Kerajaan tidak menapis internet tapi hukum rejam pasangan remaja yang berzina kali pertama, sedangkan mereka jahil walaupun baligh.
Saya cakap ada asas Al-Quran sendiri kerana diakhir ayat bunuhlah mereka, Allah kata boleh merdekakan hamba, boleh tebus dengan nilai yang keluarga mangsa setuju dan akhirnya Allah kata maafkan mereka kerana itu lebih baik buat kamu.
Sistem hudud bukan sistem hukuman tetapi sistem keadilan dan pengajaran. Justeru, pada saya Kerajaan Malaysia sendiri boleh laksana hudud atas kesalahan kali ketiga atau keempat dan pasti akan dipersetujui oleh bukan Islam kerana siapa yang memihak kepada penjenyah yang berkali-kali buat jenayah? Talak dan beberapa laku tebus dan dosa juga diambil kira selepas 3 kali diberi peringatan.
Sebagai contoh, kesalahan pertama curi wang, hukuman hudud potong tangan tapi hukum dunia penjara. Kita ikut penjara untuk kesalahan kali pertama, kedua dan ketiga. Dan kita adakan program bimbingan dalam penjara atau luar penjara untuk si pelaku perbaiki diri dan takuti Allah.
Jelas ia adil, dan orang Bukan Islam pasti akan menyokong sistem keadilan yang adil ini dan barulah ia layak dipanggil hududullah. Jika tidak ia jadi macam faraid, hukum Allah yang pasti ramai setuju tidak adil(kerana manusia) dan layak jadi hukum parit sahaja .
Sebut potong, potong, potong seolah hudud sebab mahu potong tangan orang. Bukan, hudud adalah keadilan, kalau tidak adil bukan hudud tapi huduh.
No comments:
Post a Comment