ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, April 10, 2013

Manifesto PR VS AkuJanji BN


Pada PRU 13 ini saya sebenarnya malas mahu memberi komen tentang manifesto bukan janji ini. Malas kerana selepas 12 Pilihanraya Umum, rakyat masih belum faham bahawa manifesto politik bukanlah sebuah janji yang AKAN ditepati sepenuhnya. Namun pada orang Islam, Allah mengharuskan umat Islam mengotakan janji yang terbit secara sedar atau tidak dari mulut kita selain menjaga nama baik agama Islam dengan tidak memungkiri janji.

Justeru, samada manifesto atau aku janji pada sudut Islam ia adalah hutang yang ALLAH AKAN TUNTUT, dan dari sudut bukan Islam, ia sekadar sebuah janji yang tidak semestinya dipenuhi.

Manifesto PR selayaknya di bakul sampahkan. Manakan tidak, PR mahu mengambil alih sebuah Negara dan bukan sebuah Kedai Runcit tetapi mereka cuba meyakini rakyat dengan manifesto yang jika ditaip atau ditulis tidak habis sehelai kertas A4 pun. Logiknya, jika kita mahu mengambil alih sebuah keluarga, sebuah rumah, sebuah tender, sebuah projek, sebuah bangunan, sebuah Persatuan samada dari bahasa Akaun, Artitek, Peguam, Doktor, Guru, dan Syarikat Swasta,  ia memerlukan lebih dari sehelai kertas A4 yang dikenali sebagai "Blueprint, Whitepaper, Manual, Proposal", Kertas Cadangan, Unjuran Bajet dan pelbagai lagi.

Seharusnya, manisfesto PR sebagai pihak yang tiada pengalaman tetapi berminat mengambil alih Putrajaya harus dilengkapi dengan "blue, white, black, red print" lengkap dengan usul, cadangan dasar baru dan penambahbaikan dasar sedia ada Kerajaan sekarang sebagai contoh DEB, Hak Orang Melayu, Sistem Raja, nasib penjawat awam tetap dan kontrak, bonus kerajaan, BR1M, kawalan harga barang, kaedah mengatasi masalah petrol, implikasi dan pelan tindakan mengurangkan harga kereta yang jika dibaca samadengan menyesakkan jalan raya dan menyempitkan ruang parking, cukai korporat dan individual, sistem pendidikan, dasar kewangan, prinsip ekonomi, kedudukan Islam, peperangan rasuah termasuk hukuman mati untuk perasuah, kronisme, nepotisme, masalah alam sekitar, kebanjiran warga asing, pencegahan jenayah, FDI, dasar luar negara dan banyak lagi.

Kalau sekadar sehelai kertas ia lebih sesuai dinamakan manifesto'O atau janji kosong sepertimana yang mereka lakukan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Parlimen di Kuala Lumpur.

Akujanji BN tampil lebih menarik dan lengkap memandangkan BN mempunyai rekod pentadbiran lebih 50 tahun justeru blueprint tidak diperlukan tidak seperti PR yang harus menunjukkan keseriusan mereka mengambil Putrajaya dengan blueprint yang jauh lebih lengkap dari BN berbanding sehelai kertas.

Namun, Akujanji BN tampil sebagai janji setengah masak kerana antara PRU 12 ke PRU 13 ada 16 Pilihan Raya Kecil(PRK) bermula di PRK Permatang Pauh dan berakhir di PRK Kerdau. Hakikatnya, BN tidak memenuhi kesemua janji PRK mereka di 16 PRK ini samada di bawah pentadbiran Pak Lah mahupun Dato Seri Najib Razak.

Akujanji setengah masak BN ini hanya akan masak sepenuhnya jika BN diberi peluang oleh rakyat untuk mandat pada PRU 13. Sungguhpun demikian, BN menunjukkan iltizam yang tinggi dan mengemukakan ikrar Akujanji mereka selepas mengukur keupayaan sendiri. Diatas kertas dan secara teorinya, BN mampu melaksanakan semua janji yang terkandung dalam Akujanji Manifesto PRU 13. Lebih dari itu, sudah pasti BN dan PM amat teruja untuk melaksanakannya kerana mereka bakal dihukum pada PRU 14 jika mereka memungkiri akujanji  PRU13.

Sekali lagi, orang Islam yang membentuk lebih 70% rakyat Malaysia percaya ada dua faktor akan memastikan kejayaan Akujanji BN pasca PRU 13 kelak, jika diizinkan Allah.

Faktor pertama adalah faktor manusia merancang dan berusaha menjayakan manifesto akujanji BN, ALLAH YANG MENENTUKAN.

Faktor kedua adalah faktor kerjasama. PM, Menteri dan Timbalan Menteri adalah ahli politik yang memerintah tetapi pelaksana adalah kakitangan kerajaan. Kejayaan Akujanji Manifesto BN kebanyakan, malah secara "total" ditentukan oleh kesungguhan kakitangan kerajaan dalam menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas.

Sedar atau tidak, PM dan BN menentukan pelbagai dasar dan kerangka kerajaan termasuk hala tuju Negara, tetapi pelaksana adalah kakitangan kerajaan. Saya ambil sebuah contoh, Kerajaan mengumumkan beratus juta untuk pengusaha IKS, tetapi SME Bank, MARA dan lain-lain institusi kewangan amat liat untuk memberi pinjam kepada usahawan tulen.  Kerajaan mengumumkan Kaunter OKU dan Warga Emas, tetapi kita masih lihat golongan ini beratur panjang bersama kita di kesemua kaunter perkhidmatan Kerajaan. Kaunter OKU dan Warga Emas masih ada tetapi dijadikan Kaunter Hantu. Kerajaan telah menjanjikan pendidikan sekolah percuma dan memberi bantuan anak Sekolah sebanyak RM 100 setahun seorang anak, tetapi jumlah yang diminta oleh pihak sekolah untuk pelbagai alasan termasuk langganan akhbar dan caj photostat mencecah RM 300. Kerajaan menghadkan tempoh pemprosesan Tanah dan urusan PBT tidak lebih dari 2 minggu, tetapi apa yang terjadi berbeza-beza mengikut pengalaman sendiri. Kerajaan berusaha membangunkan Tanah Pusaka, Tanah Rizab Melayu dengan menggubal pelbagai undang-undang Kanun Tanah Negara, tetapi PBT enggan membantu dan menyokong usaha anak Melayu membangunkan tanah pusaka ini. Kerajaan memperkenalkan Lorong Bas untuk mengurangkan kesesakan dan mengalakkan rakyat menggunakan kemudahan awam, tetapi penguatkuasa membiarkan lorong bas menjadi lorong fast. Kerajaan memperuntukkan berjuta beratus juta membina Masjid, tetapi rakyat berebut-rebut menjadi Imam sehingga Azan disamakan Karaoke oleh Namewee. Kerajaan membina PPRT untuk rakyat beli dengan harga patut tetapi rakyat menyewakan pada pihak lain dan kembali ke setinggan. Kerajaan menaik taraf BPR kepada SPRM tetapi penjawat awam dan rakyat tetap memberi dan menerima rasuah. Jelas, kejayaan apa jua usaha Kerajaan bergantung pada pelaksana iaitu kakitangan kerajaan dan rakyat sendiri sebagai pemantau.

Akujanji BN adalah janji separuh masak yang akan masak sepenuhnya selepas BN mendapat mandat. Namun, samada kita dapat makan selepas ia masak sepenuhnya atau tidak, bukan terletak di bahu BN semata-mata, tetapi kita juga harus membantu dengan melaksanakan tugas kita dan memberi khidmat terbaik dengan AJI kepada mereka yang memerlukan, dan rakyat pula perlu memantau dan menyokong kakitangan kerajaan menjalankan tugas dengan AJI. Parti Politik dan Kerajaan umpama sebuah Kereta, PM dan Kabinetnya adalah Pemandu, Rakyat adalah Penumpangnya, Pembangkang adalah Tayarnya, tetapi kereta tidak akan sampai ke destinasinya tanpa stereng dimana kakitangan kerajaan adalah sterengnya.






No comments: