ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, March 28, 2013

Bertawakal Tawakal



Saya baru menimang cahaya mata yang ketiga. Kesemuanya di KPJ, Tawakal. Dan kesemuanya lahir pra-matang 33,31 dan 33 minggu kerana isteri saya mempunyai darah tinggi semasa mengandung. Alhamdulillah, walau apa jua cabaran saya sudah berusaha setakat termampu selebihnya bertawakal pada Allah. Doktor Bidan bertindak cemerlang dengan memberi keutamaan kepada nyawa ibu berkeputusan membedah isteri saya tiga kali. Semuanya selamat, Alhamdulillah.

Tujuan saya menulis ini bukan mahu menuduh sesiapa, jauh sekali menyalahkan sesiapa lebih-lebih lagi saya tiada apa-apa bukti. Tulisan ini sekadar renungan pihak berkenaan, jika ada wujudnya salah laku samada salah etika kedoktoran atau etika perniagaan, maka mana-mana yang salah sekiranya ada harus diperbetulkan.

Izinkan saya berkongsi kelahiran anak kedua saya di Tawakal pada 2011. Selepas bayi tersebut lahir, dia dimasukkan kedalam Nursery dan saya sendiri menyaksikan dia mampu bernafas sendiri untuk 3 jam pertama. Pada jam 1petang, dia dimasukkan kedalam ICU atas alasan tidak mampu bernafas sendiri dan oksigennya menurun. Bayi memakai beberapa tiub bagi membantunya yang berusia 31 minggu dan tidak sempat mendapatkan suntikan mematangkan paru-parunya.

Sebelum itu, perlu dijelaskan, bayaran dan bill Hospital dan Doktor adalah berasingan. Saya difahamkan jururawat bekerja dengan Hospital manakala Doktor adalah "rakan niaga dan bekerja" dengan Hospital.

Pada hari kedua, saya tidak berada di ICU dan kejadian yang tidak dingini terjadi kerana oksigennya dikatakan menurun ke paras 70% dan dia sudah mula biru. Ia bermula pada jam 3 petang dan saya hanya mendapat tahu pada jam 8 malam kerana tidak dibenarkan masuk semasa proses tersebut. Doktor memaklumkan pembedahan dilakukan kerana tekanan udara dalam paru-parunya tinggi dan satu tiub dicucuk ke paru-parunya agar udara tersebut keluar. Doktor menjelaskan menggunakan bahasa perubatan dengan terperinci dan sebagai bapa yang jahil tentang perubatan sudah pasti saya amat berterima kasih padanya dan menurunkan tandantangan persetujuan yang sepatutnya diambil sebelum pembedahan dilakukan. Asalkan anak saya selamat, apa yang lebih penting dari itu?

Pada hari kesepuluh, Doktor telah membenarkan kami membawa anak kami pulang. Seperti biasa proses “discharge” dan mencaj memakan masa yang agak lama, dan saya sempat berjumpa dengan seorang Doktor bayi lain yang melakukan rutin wad dan beliau mengatakan pada saya anak saya amat kritikal, tidak boleh balik, tiada harapan dan banyak perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. Pada ketika itu, saya hanya boleh menganggap Doktor ini tersalah bayi walaupun hakikatnya hanya anak saya bayi kritikal di situ sepanjang minggu itu. Dengan bil mencecah RM 37,000 saya berusaha meminjam dari keluarga, tanpa dilindungi mana-mana insurans, tidak mengapa, tidak ada yang boleh diganti dengan nyawa anak.

Takdir Allah kali ini membawa saya ke Tawakal sekali lagi. Serik? Pastilah tidak kerana saya menganggap Doktor yang menyelamatkan nyawa anak kedua saya sebagai wira. Lebih-lebih lagi pelbagai cerita yang kita dengar terjadi di Hospital Kerajaan dan Swasta lain yang jelas menakutkan, maka RM 37,000 serta kesinambungan anak saya itu “saya anggap” satu rahmat buat kami. Namun, disebalik pasrah menerima ujian Allah, dosa diri tetap diteliti. Puas juga saya berfikir apalah dosa saya setiap kali mendapat anak pasti diuji, dan jika benar kerana dosa, saya terima dengan insaf, jika dugaan pun saya terima.

Terkini, anak ketiga saya lahir minggu ke 33 kerana plalette darah isteri saya rendah. Doktor Bidan melakukan kerjanya dengan baik sekali lagi. Sepertimana dahulu, saya dan isteri sepakat memilih Doktor anak kedua saya, untuk menjadi wira saya sekali lagi jika perlu.

Manusia merancang, Allah menentukan.

Doktor tersebut cuti dan saya memilih seorang Doktor lain. Doktor kali ini cuba untuk membiarkan anak saya bernafas sendiri namun atas pendapatnya, anak ketiga juga dipindahkan ke ICU. Memakai mesin yang mungkin serupa dengan anak kedua, saya berjumpa dengan Doktor untuk penjelasan. Doktor ini adalah professional, beliau tidak langsung menyalahkan mana-mana pihak jauh sekali menyebut nama sesiapa. Tetapi beliau memberi penjelasan yang merintis kemungkinan berbeza dimata saya apa yang terjadi semasa anak kedua dulu.

Beliau mengatakan beliau menggunakan mesin dengan tenaga paling rendah bagi menolak oksigen kedalam paru-paru anak ketiga agar ia kembang dan boleh menyedut oksigen persekitaran. Jika digunakan tenaga yang tinggi ia boleh mengakibatkan apa yang terjadi pada anak kedua saya iaitu tekanan paru-paru tinggi dan akhirnya paru-paru perlu ditebuk. Terkejut, saya mengatakan ia terjadi pada anak kedua saya disini dan adakah Doktor berpendapat Doktor wira saya dahulu menggunakan tenaga yang tinggi pada mesin tersebut? Doktor tersebut tidak menjawab sebaliknya bertanyakan pada saya apakah anak kedua saya keluar dari perut ibu terus masuk tiub untuk bernafas atau bernafas sendiri? Fikiran saya terus bercelaru mencungkil segala memori yang ada 2 tahun lepas, sambil hati tetap melekat dengan perkembangan bayi ketiga ini. Saya akhiri perjumpaan dengan Doktor ini dengan fikiran yang masih menerawang, untuk dua tiga hari berikutnya, sekurangnya.

Bayi ketiga saya tidak perlu ditebuk dan dibenarkan balik selepas 4 hari di ICU dan sehari di Nurseri dengan kos RM 18,000. Kali ini, meminjam lagi, sebagai seorang Ayah, duit boleh dicari,hutang boleh dibayar, 
nyawa anak mana ada ganti. Semasa membayar bil isteri saya cuba meminta diskaun sepertimana saya mendapat diskaun untuk anak kedua, tetapi dimaklumkan hanya RM 30,000 keatas diberi diskaun. Namun, semasa membayar bil bayi ketiga saya, saya tetap mencuba mendapatkan diskaun dan diberi jawapan yang sama tetapi dengan satu soalan yang mengejutkan. Apakah anak saya terus masuk ICU di hari pertama? Saya jawab ya, dan saya akhirnya diberi diskaun. Pelikkan!!!

Untuk ringkasan, hati saya sudah mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengan beberapa kejadian pelik;

Pertama : Ketiga-tiga anak saya lahir pra-matang dan dimasukkan ke ICU bagi membantu ia bernafas apakah ia kebetulan untuk semua bayi pra matang atau…

Kedua : Doktor anak kedua saya melakukan operation yang saya tidak dibenarkan masuk dan tidak meminta kebenaran saya samada menelefon kebilik isteri dan bimbit saya. Doktor sedia maklum saya membayar menggunakan duit sendiri dan batasan duit saya tetapi tetap melakukan operation. Kebajikan atau…

Ketiga : Doktor yang melakukan rutin wad memberi maklum balas “tiada harapan” dan banyak perlu dilakukan, sedangkan rakannnya memberi kebenaran anak saya pulang. Tersasul atau… 

Keempat : Mereka bertanyakan saya adakah anak saya terus dimasukkan ke ICU seolah-olah ia melayakkan saya menerima diskaun walaupun tidak mencecah RM 30,000. Memang perlu anak pramatang masuk ke ICU atau…

Kelima : Kenapa caj dan Bill Doktor dan Hospital diasingkan. Jika Doktor berpegang pada etika keDoktoran, Hopital berpegang pada etika perniagaan. Jika nyawa yang menjadi pertaruhan, etika mana yang diutamakan. Etika keDoktoran atau…

Atau dot dot dot dibiarkan untuk anda menggunakan imaginasi sepertimana saya. Sudah pasti saya mahu berfikir yang baik kerana yang penting anak saya selamat. Tetapi jika atau dot dot dot tersebut membabitkan isu etika, mungkinkah wujud mana-mana pihak menggunakan nyawa manusia untuk meraih untung, dalam kes ini, seorang bayi pula.

Sekali lagi, saya ingatkan saya tidak menuduh jauh sekali menyalahkan. Ambil begini, pistol mula-mula dicipta untuk mempertahankan diri tetapi sebaliknya hari ini ramai menggunakannya untuk membunuh, pisau digunakan untuk memotong tetapi ramai yang menggunakan untuk menyerang, dadah dicipta untuk perubatan dan rawatan, tetapi ramai yang menggunakan untuk membunuh dan merosak diri dan banyak lagi yang menggariskan dan membezakan kita antara batil dan hak.

Justeru, mungkinkah jika dahulu sektor perubatan di Malaysia adalah untuk mengubati pesakit kita digunakan untuk “membunuh” pesakit??? Dahulu adalah untuk meringankan “beban” pesakit, kini menambah “beban” pesakit? Saya hanya berkata secara ringkasnya disini, jikalau ada lakukan sesuatu sebelum perubatan terus digunakan untuk mengubat penyakit bukan sebaliknya.

Dalam setandan pisang pasti ada yang busuk, begitu juga pengamal perubatan dan pengendali Hospital, saya maksudkan di semua Hospital. Namun, anda(Doktor dan Pengurusan) boleh mengubahnya,sebagai manusia kita semua berusaha dan bertawakal. Etika perniagaan atau Etika kedoktoran kedua-duanya seharusnya menjunjung prinsip perubatan dan bukan mencari untung.
  

No comments: