Dakwah terbaik adalah melalui tauladan.
Saya ada seorang sahabat bernama Musa Ahmad. Dia tidak ada janggut, tidak ada jubah Arab, tidak ada kuta Pakistan/India, tidak ada songkok di kepala.
Lebih merimaskan dia tidak pernah ada Facebook, jadi pastilah statusnya, perkongsiannya tentang agama tidak pernah hinggap di wall saya.
Dia ada Whatsapp tapi dia tidak pula forward text, artikel atau image dakwah.
Dari satu sudut berlainan, keburukan saya berdakwah Whatsapp dan FB ini adalah orang(saya) yang forward adalah seperti Unta membawa AlQuran beribu tahun, saya hanya share atau forward sahaja tanpa hayati dan fahami serta patuh mesej dakwah itu lalu jadilah saya 100% berlainan dari apa yang saya sharekan.
Saya pasti bukan semua begitu kerana kebanyakan yang lain benar-benar seiring dengan mesej dakwah yang diforward/share. Allah dan diri kita sendiri lebih tahu sudah memadai.
Menariknya dakwah Musa, sejak saya kenal dia 20 tahun yang lalu, 9 dari 10 waktunya dia sering ke Masjid atau Surau berjemaah.
Ada ketika dia datang di Meja Snooker kami, ambil kunci kereta kami dan ajak kami tanpa beritahu kemana, rupanya dia bawa kami ke Masjid berdekatan.
Apa lagi, ramai-ramai lah berjemaah walaupun terpaksa termasuk saya.
Kalau mahu lepak sama Musa, kawan-kawan sudah tahu, sampai waktu, kau akan "dipaksa" ke Masjid.
"Paksanya" tidak pernah dengan kekasaran, pandang rendah, leteran mahupun "khutbah".
Riuh antara kami, ada yang lari bila nampak Musa mahu datang lepak bersama. Lucu.
Dia simple, selamba, atau sempoi, sepertimana nama registernya di TIKL atau Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur, KOKYA.
Allah jodohkan kami di Masjid, jika saya terserempak dengannya selepas bertahun tidak jumpa, tiada khabar pasti terserempak di Masjid.
Dia duduk di Kelana Jaya, saya di Selayang, 2-3 kali kami terserempak di Masjid Negeri Selangor walaupun saya jarang ke Masjid, sudah pasti sebab dia sering ke Masjid. :)
Pernah pada Solat Jumaat terakhir sebelum hari besar saya, saya tunaikan di Masjid Wilayah, dan dalam beribu orang, Allah temukan saya lagi dengannya.
Hari ini baru saya sedar. Setiap kali saya solat, saya tidak pernah rasa solat saya adalah yang terbaik, tidak pernah rasa solat saya cukup kerana Musa@Kokya!
Dia ajar saya erti tidak cukup, tidak puas, tidak jemu dalam mencari keredhaan Allah tanpa saya sedari.
Sepertimana yang saya katakan di awal artikel, walaupun dia tidak berjubah, tidak berserban, tidak berjanggut, tidak forward ayat-ayat dalam FB, Whatsapp, tapi dia tidak memandang rendah orang lain yang tidak solat atau sosial.
Kesan dakwah Musa adalah halus.
Ia inspirasikan saya tanpa saya sedar.
Ia bentuk diri saya tanpa saya perasan.
Ia mewajahkan sisi Islam menarik tanpa saya dan semua orang ketahui.
Saya tidak berkata, jangan dakwah di Whatsapp, di FB, di pakaian, di janggut dsb kerana semua jalan asalkan ikhlas pasti ada berkah dan ganjarannya.
Tapi saya katakan, terima kasih Kokya, kerana dakwah halus Musa@Kokya merupakan dakwah yang terbaik.
Dakwah yang terus bercakap ke hati dan melekat disitu selamanya, tanpa ditapis telinga, akal, otak dan "gergasi persepsi" masyarakat.
Itulah dakwah melalui tauladan.
Kita semua boleh lakukan.
Jadi orang yang baik. Jadi anak yang baik.
Jadi suami/isteri yang baik. Jadi Abang/Kakak/Adik yang baik. Jadi Ayah/Ibu yang baik.
Jadi pekerja yang amanah. Jadi pemimpin yang jujur dan tanggungjawab. Jadi Raja yang penyayang.
Jadi jiran yang mesra. Jadi Rakan dan Sahabat yang menjauhi kejahatan.
Apa sahaja kita, miskin atau kaya, pangkat atau penyapu sampah, kita semua boleh berdakwah dengan berkesan dengan menjadi BAIK!
Tanpa kita sedari, semudah menjadi baik ia adalah dakwah yang terbaik.
* InsyaAllah.
PS: Ya Allah, ampunkan dosa sahabatku Musa, berilah dia ganjaran dan rahmatMU atas dakwahnya yang terbaik pada kami. Semoga dia senantiasa dalam inayahMU serta lingunganMU. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment