Saya amat tertarik dengan kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa tiada keadilan jika dua pelaku curi yang sama, seorang di potong tangan dan seorang tidak didalam hudud.
Kenyataan ini kemudian dibalas secara ilmiah oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang mengatakan adalah adil jikalau dua pencuri berlainan agama yang bersama mencuri, pencuri Islam dipotong tangan dan pencuri bukan Islam hanya dipenjarakan mengikut hukum sivil.
Sebenarnya, di alam maya khususnya Facebook, perkara tersebut telah menjadi pertikaian dan perbincangan dengan masing-masing mengaku pandai.
Izinkan saya mengaku bodoh dan orang bodoh ini ingin bertanya pada Timbalan Menteri Besar Kelantan, jikalau seorang Islam yang ditangkap mencuri dan berzina kemudian dibicarakan dimana jika didapati bersalah sipelaku akan dijatuhi hukuman potong tangan dan rejam sampai mati. Bayangkan, sekiranya ketika ditangkap, atau semasa proses perbicaraan atau selepas hukuman dijatuhkan, sipelaku mengisytiharkan dirinya memeluk agama Buddha, Kristian dan Hindu, yang secara otomatisnya sipelaku keluar dari Islam.
Apakah sipelaku yang baru menukar agama akan dihukum potong tangan dan rejam sampai mati? Jikalau hudud hanya digunapakai atas orang Islam sahaja maka jelaslah sipelaku yang mengisytiharkan keluar Islam ini tidak akan dipotong tangan dan direjam sebaliknya dibicarakan dan dihukum mengikut undang-undang sivil.
Bagi setengah golongan amat mudah menjawab, darah si murtad adalah halal disisi Islam yang membawa makna, pelaku mencuri dan zina yang sama yang mahu mengelakkan tangannya dipotong dan direjam sampai mati kemudiaanya mengaku murtad akan dihukum pancung sampai mati.
Tapi jawapan tersebut hanya membawa kepada satu persoalan lain, apakah orang Hindu, Kristian dan Buddha di Malaysia rela membiarkan "saudara baru" mereka dibunuh hanya kerana mengaku mempercayai agama baru mereka?
Maka jelaslah mengapa hudud hanya dilaksanakan di Negara lebih 90% Islam sahaja seperti Arab Saudi, Pakistan, Afghanistan dan terbaru Brunei.
Bagaimana caranya kita mahu melaksanakan hudud di Negara Berbilang agama seperti Malaysia? Caranya mudah dimana kita perlu memberitahu dan menerangkan kepada bukan Islam bahawa hudud ini untuk semua, dan mereka tidak perlu takut jika mereka tidak buat salah. Sebaliknya jika hudud hanya untuk Islam sahaja, kita perlu menerangkan pada mereka sekiranya ada orang Islam yang memeluk agama mereka, mereka perlu terima apa sahaja hukuman keatas seorang murtad termasuk mati.
Jika diimbas kembali, ramai orang Islam sanggup mengaku bukan Islam bukan sahaja di bulan puasa, di kedai nombor ekor, di bilik hotel, malahan seorang Ustazah yang juga pengikut Ayah Pin juga mengisytihar keluar dari Islam supaya Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan dan menjatuhkan hukuman atasnya.
Untuk mengelak hukum penjara pun mereka sanggup keluar Islam, apatah lagi dipotong tangan dan direjam? Fikir-fikirkan dan selamat beramal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment