ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, April 30, 2014

Hari Mendung Abah



2 minggu lepas ada satu berita yang menyedihkan sampai kepada saya. Dua adik saya ditangkap polis kerana terlibat dengan najis dadah. Walaupun dari ibu yang berlainan, tapi kami memiliki Abah yang sama, darah keturunan yang sama, justeru mereka adalah adik yang saya wajib jaga dan dipertanggungkan dosanya sebelum baligh. Saya dan Abang bersetuju untuk mengabaikan mereka jika mereka terlibat mengedar dadah. Kerana menyusahkan diri itu satu hal, tapi kalau mengedar dadah mereka memusnahkan hidup orang lain dan kami tidak mahu bersubahat.

Dadah bukan baru untuk Abang dan saya kerana adik Abah juga terlibat dengan najis dadah. Beratus kali kami menyaksikan aksi menghisap dari atas kertas rokok yang disalai atas api. Alhamdulillah, dengan kudrat dan iradat Allah kami berdua tidak terlibat dengannya, merokok pun tidak.

Hari ini selepas disahkan air kencing mereka positif adik kecil dimasukkan ke Pusat Serenti kerana kesalahan kedua dan Adik Besar di lepaskan dengan jaminan polis.

Sedih hati ini. Hancur dan luluh mengenangkan perasaan Abah “disana”.

Semasa Abah hidup dia selalu berkata kepada saya dan abang jika ada antara anak-anaknya menghisap dadah dia akan pancung hidup-hidup. Malangnya dia sudah tiada, dan saya tidak sependapat dengannya walaupun saya tahu itu sekadar kiasan dan ugutan sahaja.

Hari ini hari mendung Abah.

Harapan saya seperti Abang lain berharap agar adik-adik saya dapat berhenti dari najis dadah walaupun saya sedar ia amat mustahil. Sepertimana kata sahabat saya Kpl Abdul Rahman dari IPK Selangor, penagih yang sudah berhenti benci tapi rindu dengan dadah. Perasaan rindu itu tidak terucap dan sebab itu mereka mudah kembali menagih dadah.

Ada ketikanya kami terfikir apakah jika kami tegas, garang dan memukul adik-adik dari kecil selepas pemergian abah mereka akan jadi lebih baik atau sebaliknya. Malahan, kebiasaan drama TV yang memperlihatkan abang-abang dari ibu tua ganas tidak terjadi.

Mungkin jika antara saya dan abang ada yang menagih dadah mungkin adik saya tidak akan hisap dadah.

Entahlah. Wallahualam.

Apa-apa pun, saya berharap dan berdoa tiada antara anak-anak saya dan anak saudara saya yang akan menghisap dadah dan jika boleh jangan hisap rokok.

Kerana peluang untuk kalian menghisap dadah dan ganja lebih tinggi jika kalian seorang perokok. Jika kalian bukan perokok, kemungkinan untuk kalian terlibat dengan dadah amat rendah.

Pada pembaca yang budiman, pastikan anak-anak anda tidak menghisap rokok agar dadah dijauhi. Insya-Allah.

No comments: