Saya pohon dan rayu kepada PAS, khususnya Dato Seri Abdul Hadi Awang, Dato
Seri Nik Aziz Nik Mat, Dato Seri Haron Din, Ketua Pemuda termasuk golongan
pendakwah bebas atau berparti serta umat Islam semua menghentikan sebarang
perbalahan mengenai hudud.
Orang bukan Islam sudah mula mentertawakan kita kerana kita memperbodohkan
diri sendiri dan orang lain dengan perjuangan hudud kita. Mereka memanggil kita
bodoh kerana orang Islam Malaysia tidak tahu bagaimana caranya hudud boleh dilaksanakan di Malaysia. Kita kata kita takut Allah dan agama kita suci tetapi kita gunakan hukum Allah tersebut untuk meraih simpati dan sokongan undi orang
Islam atas nama perjuangan Allah.
Mereka(bukan Islam) bijak dan pandai tahu PAS tidak ikhlas mahukan hudud dan berkali-kali
meminta PAS menghentikan isu hudud bagi meraih undi.
Dalam dunia ini hanya ada dua jalan sahaja umat Islam boleh melaksakan hudud
yang secara automatiknya meletakkan kuasa Mahkamah Syariah diatas Mahkamah
Sivil dan menghampiri Negara Islam.
Cara yang pertama adalah cara yang sah lagi dihormati iaitu melalui undian
2/3 Ahli Parlimen. PAS, dan sekalian Dato yang saya sebut diatas cara pertama
ini adalah mustahil melainkan jika UMNO dan PAS bersatu. Kerajaan Perpaduan
akan membolehkan pemimpin Islam bersatu untuk menguasai 2/3 atau 144 kerusi
Parlimen.
PAS dan sekalian Dato diatas juga sedar melalui Pakatan Rakyat pada 2008,
PAS mempunyai 23 kerusi dari 66 kerusi yang ditandingi, dan PKR hanya mempunyai
16 Kerusi orang Islam dari 97 Kerusi yang bertanding,
Ini bermakna kerjasama melalui Pakatan Rakyat
hanya membolehkan PAS mempunyai sekitar 49 kerusi Parlimen sahaja untuk
menyokong pelaksanaan hudud.
Tindakan PAS dan Dato-Dato diatas menyalahkan UMNO kerana menolak hokum hudud
dan tidak melaksanakan hudud juga adalah menyamai sifat fasik dan cubaan menipu
Allah kerana UMNO hanya mempunyai 77 kerusi Parlimen pasca PRU 12. Jika semua
Ahli Parlimen beragama Islam dapat diyakini untuk menyokong pelaksanaan hudud
sekalipun, Islam hanya mempunyai 126 kerusi sahaja dimana undi 18 Ahli Parlimen
Bukan Islam diperlukan.
Pada PRU 13, sekali lagi PAS menjanjikan hudud dan menyatakan komitmen serta
janji untuk melaksanakan hudud jika menang pada PRU 13 kelak. Mereka cuba
menipu Allah dan orang Islam dimana sebenarnya mereka menipu dan memperbodohkan
diri mereka sendiri. Sebagaimana yang kita tahu, Presiden PAS sudah
menandatangani Perjanjian Pakatan Rakyat yang dengan JELAS tiada hudud mahupun
Negara Islam jika PR menang di PRU 13.
Hudud terus dibahankan sebagai alat utama untuk memperdaya orang Islam
mengundi PAS. Kerana pada 5 Mei ini, jika ditakdirkan Allah semua kerusi
ditandingi orang Islam UMNO dan PAS dan PKR menang, tanpa kesatuan dan perpuan ummah Malaysia tidak mungkin mampu menggubal undang-undang di Parlimen.
Kita andaikan semua kerusi yang ditandingi orang Islam menang samada PAS
menang lawan
UMNO, atau UMNO menang
lawan DAP adalah Perlis (3/3), Kedah (13/15), Kelantan (14/14), Terengganu(8/8),
Penang (5/13), Perak (13/24), Pahang (12/14),Selangor (13/22), WPKL (6/11), WPPutrajaya
(1/1), WP Labuan (1/1), Negeri Sembilan (6/8), Melaka (4/6), Johor (19/26),
Sabah (14/25), dan Sarawak (10/31).
Ini bermakna ada 152 dari 222 kerusi orang
Islam yang membolehkan hudud dilaksanakan.
Namun, dari 152 kerusi ini datangnya dari UMNO, parti kompenen BN di Sarawak
dan Sabah, PAS serta PKR.
Sebenarnya,
jika UMNO dan PAS bersatu maka mereka boleh meletakkan seramai 222 calon di
semua kerusi dan akan mendapat sokongan lebih 70% undi rakyat Malaysia yang
beragama Islam.
Mungkin ramai yang memuja dan memuji Dato Seri Nik Aziz Nik Mat dan ramai
yang menghina dan memperkecilkan Dato Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden boneka.
Namun, Allah tahu dan hanya ALLAH dapat membalas jasa beliau kerana telah
berusaha mewujudkan Kerajaan Perpaduan.
Bangkit dari tidur dan sedarlah hanya perpaduan PAS, UMNO, PKR dan Parti Komponen Islam
sahaja yang membolehkan hudud dilaksanakan. Dato Seri Nik Aziz penentang utama
kerajaan perpaduan adalah penentang utama hudud di sisi ALLAH.
Cara yang kedua adalah kekerasan. Islam agama toleransi dan menghormati
manusia yang tunduk pada penciptaNYA, namun kekerasan seperti pelaksanaan
undang-undang perlu apabila manusia tidak tahu menghormati diri mereka sendiri.
Usahkan Bukan Islam, orang Islam sendiri jika tiada penguatkuasaan
undang-undang sudah pasti ramai juga akan berjudi, minum arak, berzina dan
sebagainya.
Kekerasan melalui ketenteraan sepertimana kata Presiden PAS di Youtube di perlukan
untuk melaksanakan hudud. Katanya lagi, PAS tidak melaksanakan hudud di
Kelantan dan Kedah kerana mereka tidak mempunyai kuasa tentera dan polis
sepertimana kerajaan pusat UMNO. Jawapan beliau jelas menunjukkan hudud hanya boleh
dilaksakan melalui kekerasan dan paksaan sebagaimana perintah Allah yang lain
kerana sifat serba kurang manusia itu sendiri.
Walaupun PAS memberi jaminan bahawa hudud hanya akan dilaksanakan keatas
orang Islam sahaja, namun pengamal undang-undang serta pendukung keadilan sedar
ia adalah mustahil untuk menjatuhkan hukuman yang berbeza keatas dua pelaku
jenayah yang sama. Malahan, satu soalan besar belum dirungkai dimana jika si
pesalah Islam mengisytiharkan keluar dari Islam dan mengakui kesaliban Isa,
apakah undang-undang hudud tetap akan dilaksanakan keatas saudara baru Kristian
tersebut? Jika YA, apakah reaksi dan mahukah Kristian merelakan hukuman hudud
termasuk hukuman mati.
Rakyat Malaysia sedar pilihan yang kedua amat kabur dan akan mengundang
banyak masalah dari penyelesaian.
Kesimpulannya hudud hanya digunakan sebagai alat untuk menarik sokongan
orang Islam oleh segelintir pemimpin Islam yang berusaha mahu menipu tetapi
mereka tidak boleh menipu Allah.
Setiap pembaca yang beragama Islam harus hudud adalah tanggungjawab kita
semua. Melaksanakan di peringkat Negara adalah wajib keatas pemimpin Islam
dimana di konteks Malaysia, hanya Kerajaan Perpaduan sahaja membolehkan Negara
melaksanakan hudud.
Melaksanakan di
sekeliling kita adalah wajib ke atas kita. Jika anak kita mencuri, kita wajib
memotong tangan mereka, jika mereka berzina, kita wajib merejam mereka sampai
mati, jika mereka berjudi dan minum arak, kita wajib merotan mereka dan
sebagainya.
Dalam sibuk kita menyalahkan orang lain, kita lupa, kita sendiri jangan katakan
potong tangan, mahu merotan anak sendiri kerana mencuri dan menipu pun kita
tidak mampu. Jika Guru atau jiran yang merotan kitalah paling kuat melenting
dan terus membuang hukum Allah lalu mencari Mahkamah Sivil sebagai Hakim.
Di akhir kata, sejak saya pandai membaca setiap kali musim
Pilihanraya PAS pasti akan mendendangkan lagu hudud dan kita semua akan tertipu
untuk berjoget sama. Bukan sahaja orang Bukan Islam, saya sendiri sebagai orang
Islam pun sudah jelik, penat dan menyampah dengan isu ini. Jika mahu
dilaksanakan, laksanakan. Jika cakap sahaja mahu melaksanakan tetapi tiada
pelan, tiada draf, tiada perancangan, tiada musyakarah di peringkat sekolah
mahupun IPTA, tiada kempen penjelasan, tiada “”blueprint”, tiada strategi
samada mahu ketenteraan atau mahu Islam bersatu bagi membolehkan ia menjadi
kenyataan di Parlimen maka tindakan PAS dan orang Islam menjual hudud seperti
Anjing Menyalak Bukit. Ingat, jangan tipu ALLAH, ALLAH tahu apa yang kita
sembunyikan.