ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, October 26, 2013

Hiruk Pikuk Bajet 2014

Riuh. Itulah suasana di Twitterjaya dan Fbjaya sejurus Bajet 2014 diumumkan Perdana Menteri. Kalau semua komen dan status tersebut berbentuk suara maka macam pasarlah gamaknya. Ada yang lebih pandai dari pakar ekonomi, ada yang lebih bijak dari semua orang, yang pasti tiada seorang pun yang mengaku bodoh. Sebenarnya ia terjadi saban tahun setiap kali Bajet diumumkan, dan ia akan terus terjadi sampai bila-bila jika kita tidak mahu berusaha keluar dari kejahilan diri.

Hakikatnya, mengurus kewangan Keluarga pun masih ramai yang tersasar, malah masih ramai ibu bapa sendiri tidak mampu diberi "peruntukan" tetap setiap bulan, jauh sekali Surau dan Masjid tapi mengkritik Bajet Negara Malaysia nombor satu paling hadapan.

Yang pasti, kita maklum kita tidak mampu memuaskan hati semua ahli keluarga kita, apakah Perdana Menteri mampu memuaskan hati hampir 30 juta rakyat Malaysia. 

Pengkritik sebenarnya gemar mengkritik hanya untuk nampak dia tahu semua, dia lebih baik dan hebat dari orang lain, justeru semua benda hendak dikritik sehinggakan tonasi, tatabahasa, dan gaya percakapan Perdana Menteri pun jadi bahan kritikan.

Paling riuh adalah harga Gula dan GST, paling kurang riuh adalah BR1M dinaikkan malah had kelayakan juga ditambah kerana tidak hebat bercakap kehebatan orang lain, tapi kalau cakap kelemahan orang lain, pada hematnya, dirinya akan nampak hebat. 

Tidak kurang ada yang kritik kata Bajet kali ini tidak memanfaatkannya. Pelikkan? Kalau dia duduk di atas awan pun Bajet 2014 masih memanfaatkannya, mungkin dia duduk 6 kaki bawah tanah sebab itu tidak bermanfaat.

Sebenarnya, inilah "nilai" Rakyat Malaysia yang berjaya dipupuk oleh Pembangkang pimpinan Ketua Pembangkang sejak 1998. Apa diri sendiri semua buat dalam dan untuk Kerajaan semua betul, apabila bukan berada dalam Kerajaan, semua yang Kerajaan buat semua salah. 

Pokoknya, asal apa yang keluar dari mulut Perdana Menteri, apa sahaja dasar Kerajaan, wajib bangkang. Apa sahaja bangkang. Rakyat pun ikut sama perangai bangkang, bangkang, bangkang.

Kalau saya seorang usahawan berjaya sekalipun, sudah pasti ia bukan kerana kebolehan saya tetapi kerana sokongan keluarga, rakan, masyarakat dan juga rahmat Allah. Samalah dengan Bajet 2014, diubah dan diolah bagaimana sekalipun, ia hanya akan berjaya dengan sokongan Rakyat, masyarakat pedagang dan pelabur dan sudah tentu ketentuan Tuhan.

Sokong atau tidak, manfaat atau tidak, sebagai Rakyat Malaysia kita wajib sokong Bajet 2014 agar kesemua lima teras utama mencapai sasaran.

Sebagai tanda bersyukur pada nikmat Tuhan, kita berterima kasih pada Perdana Menteri kerana telah berusaha untuk Bajet 2014 yang mana kejayaannya terletak diatas bahu pelaksana yakni kakitangan Awam dan juga rakyat. Jika ada khilafnya itu sudah pasti kerana tiada siapa yang sempurna.

Teringat lagu KRU dulu-dulu, "fikir cara terbuka, jangan pandang negatif sahaja".

Pesan orang tua, bercakap lebih senang dari berfikir, sebab itu lebih ramai yang bercakap dari berfikir. Jom renung dan muhasabah diri bersama-sama. 

No comments: