ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, August 15, 2009

H1N1: MURKA ALLAH PADA UMAT MELAYU DAN MASA UNTUK HIJRAH

Persoalan mengenai H1N1 masih banyak belum terjawab. Apa yang pasti tidak mungkin ia boleh disembunyikan buat selamanya. Namun, tujuan kerajaan murni, untuk mengelakkan rasa panik, dan khabar angin yang tidak bertanggungjawab yang boleh membawa huru hara. Saya percaya kerajaan sedang bekerja keras untuk menangani wabak ini.

Dalam pada itu, kedengaran suara yang menyesatkan, yang menyatakan vaksin terbaik untuk mengelak dari wabak ini adalah dengan memakan daging babi. Kononnya virus ini sudah menjangkiti dan membunuh beratus ribu babi pada tahun 2006 dan kini darah babi sudah mempunyai antibodi menentang virus tersebut. Khabar angin ini disokong dengan jumlah kematian Melayu yang tidak makan babi mendahului peratusan korban H1N1 dan harga daging babi dipasaran pula melambung disebabkan permintaan yang meningkat.

Tidak kurang pula dengan pelbagai nasihat tidak professional, lambakan ubat vaksin palsu, risalah doa palsu dan bermacam-macam lagi yang digunakan untuk mengaut keuntungan atas kerisauan masyarakat.

Dalam Al-Quran, Allah dengan jelas berfirman di akhir zaman akan muncul banyak wabak yang tiada ubat. Lupakan dunia luar, bercakap mengenai Melayu, H1N1 merupakan kemurkaan Allah pada umat Melayu. Umat Melayu ditunjangi oleh Agama Islam dan bumi Malaysia disokong oleh amalan ibadah dan kemasyhuran Islam sebagai agama rasmi. Tidak kira apa sahaja hujah orang politik, yang pasti, Malaysia dibawah pemerintahan 50 tahun BN aman dan damai. Semua penganut agama bebas mengamalkan upacara agama masing-masing tanpa khuatir keselamatan mereka di ancam. Walaupun UMNO difitnah menolak Islam,, tetapi tiada seorang pun daripada kita tidak dapat melaksanakan Rukun Islam dengan bebas tanpa dipaksa. Malah, ramainya umat yang masih sujud di bumi ini, maka Allah haramkan bumi Malaysia dari sebarang bencana alam dan wabak yang meragut nyawa.

Namun, kini segalanya sudah berubah. Allah murka dengan perpecahan umat Islam berbangsa Melayu. Seolah-olah taksub dengan kelulusan Arab, orang Melayu diresapi ramuan perpecahan dan persengketaan beribu tahun kaum Arab berugama Islam. Di Tanah Anbiya itu, puak Syiah dan Sunnah masih lagi terus berpecah dan berbunuhan sesama Islam hanya untuk menegakkan saya benar dan dia salah. Malang buat kaum Melayu, itulah satu-satunya nilai yang dipelajari oleh pemimpin Islam kelulusan Arab. Bagai tidak takut dengan azab Allah, ramai orang Islam berani menjual agama untuk nikmat dunia yang sedikit, tidak berani mempertahankan Islam apabila Islam dihina, hilang adab dan sopan, dan yang paling menyedihkan hilangnya NILAI dalam jiwa Melayu.

Tiada lagi layanan khas dari Allah untuk kita. Siapa yang salah? Kita semua yang salah!! Dari rakyat biasa hinggalah kepemimpin dan Iman-Imam, kita semua tidak akan dilepaskan dari tanggungjawab kita atas kesalahan ini. Kita mengagungkan hiburan ditatkala Tilawah Al-Quran berlangsung, kita memuja artis dan menangis apabila anak-anak kita kalah dalam pertandingan berlakon, kita mengagungkan artis apabila mereka mati tetapi kita biarkan golongan agama mati kesejukan, kita bertepuk tangan apabila anak-anak kita berpeluk dengan wanita yang lebih tua dari mereka apabila kalah dalam pertandingan menyanyi, kita makan makanan yang dimasak oleh bukan Islam walaupun premis tersebut mendapat pengesahan sijil halal, kita sibuk membawa anak-anak kita ke Megamall tapi tidak ke masjid, kita kosongkan surau dan masjid dan biarkan golongan pencen memeritkan tekak yang kering, kita halalkan sumbang mahram, kita benarkan maksiat berleluasa, kita makan hasil riba, kita nikmati hasil bunga, kita biarkan arak bermaharajalela di kedai serbaneka yang bisa diakses dengan mudah oleh anak-anak kita, kita biarkan arak dijual dan diminum secara terbuka di KLCC dan Café-café, kita biar anak kita berpelesaran di Internet Café, di kedai mamak, di jalanan merempit, ronda-ronda sepanjang malam, kita hias malam dengan maksiat, kita sulam hari kita dengan kesibukan dunia, kita tidak menoleh lagi kemasjid kecuali pada hari Jumaat, dan hari ini, H1N1 Allah turunkan untuk bangsa Melayu hadapi.

Marilah kita berhijrah. Insaflah yang Maha Kuasa masih menyayangi kita dan hanya menghantar amaran kecil yang pertama. Jika kita masih alpa, wabak yang lebih besar bakal melanda sehingga turunnya Nabi Isa, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, dan Imam Mahdi. H1N1 membawa kesan yang amat parah dan menjadikan Melayu Islam sebagai sasaran utama. H1N1 bisa merebak dengan mudah melalui pernafasan dan sentuhan. Dari Megamall yang sibuk dan tercemar, marilah kita bawa anak kita penuhi masjid. Dari bersentuhan dan berpelesaran malam hari, kita bawa anak-anak kita sembahyang malam, mengaji, dan isi sepertiga dari malam dengan ibadah, dari beriadah di tempat terbuka atau awam, kita beriadah bersama keluarga di rumah dan isi dengan zikir-zikir, dari sibuk dengan hiburan, dari mengangkat dan memuja artis, kita minta pada ustaz-ustaz, guru-guru, ulama-ulama berdoa pada Allah dan kita minta dan kita sertai program ibadah setiap malam hari di bulan Ramadhan dan kita teruskan kebulan-bulan seterusnya sehingga wabak H1N1 ini berakhir. Kita kembali kepadaNYA dan kita minta pada Allah dan tunjukkan semula yang kita, umat Melayu, tidak akan sesekali berpaling dari Allah dan Rasulnya dari apapun termasuklah nikmat dunia yang sedikit.

Kita minta pada pemimpin politik beragama Islam dari UMNO, PAS, dan PKR hentikan sengketa, hentikan cerca, mengejii, menghina sesama saudara, maafkan sesama saudara, jalinkan perpaduan, bersatu dan tegakkan Islam apabila ia ditindas dan dihina. Kita lupakan sementara semua ideologi dunia ini dan kita berdiri sebagai satu iaitu Islam yang bertuhankan Allah Yang Esa, dan Berasulkan Muhammad SAW. Marilah kita semua berhijrah dan semoga Allah masih kasihan pada kita dan tunjukkan kepadaNYA yang kita ikhlas untuk berhijrah. Kita boleh sesungguhnya kita umat Nabi YANG MULIA.

No comments: