20 tahun yang lepas, sering ditanya kenapa tiada pendakwah ke Kelab Malam untuk berdakwah?
Kenapa Para Tabligh tidak masuk kedalam atau diluar pintu Kedai Judi dan tarbiah?
Kenapa Tok Imam tidak masuk ke Pusat Dangdut dan Azan?
Mungkin pernah ada insan yang melakukannya, mungkin? Persoalan penting adalah sejauh mana keberkesanannya?
Apakah jika hari-hari kita ke Kelab Malam, Dangdut, Pusat Judi dsb
mereka akan ikut kita dan tinggalkan aktiviti mereka? TIDAK!! Mereka
akan lari dari kita!
Dahulu bila ada Konsert Metal di Stadium Merdeka, PAS akan menggerakkan Pemudanya untuk mengedarkan Brochure di laluan utama ke Stadium.
Lama kelamaan tiada lagi dilakukan kerana orang yang menerima brochure itu tiada seorang pun berpatah balik membatalkan tujuan mereka.
Begitu juga kisah KP Pemuda PAS, Nasharudin Tantawi yang mahu gempur Genting Highlands, tiada sambutan dan tiada kesan!
Hakikinya,tugas dakwah bukan mudah. Nabi sendiri menghadapi kesukaran berdakwah dengan si kafir, dan lebih sukar berdakwah dengan orang yang "wayang lebih".
Sedarkah kita yang bukan ahli dalam bidang dakwah, kita sebenarnya memberi masalah pada kerja pendakwah sebenar dengan forward apa sahaja yang mereka terima.
Setiap hari, malah ada setiap jam.
Sewajarnya, bila kita menerima dakwah itu, kita patut makan dahulu dakwah itu, kunyah dan kemudian telan. Bila sudah hadam, dan sendawa barulah Alhamdulillah dan sampaikan kepada yang lain. Prinsip ini bukan direka, tetapi diamalkan oleh setiap Pendakwah Tulen dan Ulama.
Proses prinsip diatas bukan sehari dua, malah ada yang berminggu. Malah ada yang berbulan dan memerlukan kita mengamalkannya, barulah kita boleh "sampaikan ayat SAW, walau satu ayat".
Kadang-kadang yang diforward itu terlalu panjang, sepanjang-panjangnya. Siapa yang membaca bukan masalah, tapi siapa yang mengesahkan isinya?
Untuk rekod Ahmad Deedat dan Zakir Naik membongkar kesalahan Yahudi dan Nasrani melalui perbuatan mereka menukar-nukar dan membuang ayat Injil. Mereka tukar sepotong ayat sahaja, Begotten Son jadi Unique Son sudah jadi makna yang jauh berbeza.
Apakah Syaitan sedang melakukan sama dalam Islam pula dan kita sebagai alatnya untuk menukar ayat AlQuran dan diforward-forward?
Lebih penting, adalah Syaitan menghalalkan kita kepada konsep pengabaian!!!
BILA sudah terlalu kerap, setiap jam mesti ada seorang yang forward status panjang dalam Whatsapp Group, setiap setengah jam di FB, maka makin banyak, makin pembaca mengabaikan.
Senario ini seolah kita bagi Al Quran kepada Monyet dan Lembu!!! Dengan harapan yang sama kita forward di FB dan Whatsapp supaya ada antaranya yang dengar.
Subjek utama bukan Monyet dan Lembu, tetapi subjeknya adalah kita merendahkan dan menghina nilai AlQuran.
Al-Quran Kitab Suci hingga jika dibacakan/diturunkan kepada Gunung, hancur Gunung kerana takjub, dan takut.
Tapi kita lelong Al-Quran ini. Kita jadikan AlQuran pengemis, mengemis kepada telinga yang tidak mahu mendengar.
Mungkin ada yang kata, lama-lama pasti dengar yang penting usaha. Benar, tapi yang ramainya, makin pekak, dan yang mahu mendengar pula lama-lama sudah tidak mahu dengar.
Mungkin anda tidak tahu bila kita menerima satu status panjang dari seorang Saudara yang dihormati, kita berfikir, dalam usia 70 tahun dia begitu gigih menaip panjang-panjang ini demi saudaranya.
Selang seminit selepas itu, kita terima Whatsapp yang sama dari Group lain dan berkata "Forward rupanya, siapa pun boleh forward"!!! Nilai hormat runtuh, berkat hilang, dan ilmu jadi kosong.
Keberkatan hilang bila kita forward, umpama kita dapat ilmu kita forward sahaja pada orang lain tanpa membuka, membaca dan menjiwainya. Lebih teruk, kita tidak bercakap dari hati dan jiwa, kita forward sahaja.
Anda bijak, pasti anda tahu beza seorang Cikgu yang ajar dari hati dan jiwanya, berbanding yang forward sahaja pengajaran dari Buku Teks.
Hakikinya, kalau kita tulis semula, itu lebih berkah. Bukan saya kata, sains yang kata. Bila kita menulis, jiwa kita membaca dan menjiwai. Bila kita menjiwai, kita ajar orang lain dari hati yang dalam, walaupun dalam bentuk Whatsapp berkah dia ada, insyaAllah sampai dari hati ke hati.
Sebaliknya, bila kita hanya baca dan forward, sama macam Cikgu masuk kelas dan berkata buka Buku Teks, baca mukasurat 20-30. Noktah.
Selepas berjela artikel ini, wajib disemat dan harus diperingat, saya tidak kata JANGAN forward, JANGAN dakwah, tiada satupun perkataan jangan diatas ayat ini.
Saya kata TOLONG!!!
Tolong teruskan aktiviti forward di Whatsapp dan FB, TETAPI;
Tolong dakwah dengan cara yang betul bukan seperti pengemis. Nabi SAW berdakwah bukan mengemis. Hingga Allah kata, kalau mereka tetap tidak mahu dengar SAW tidak perlu jadi pengemis yang sedih orang tidak beri/derma hatinya kerana Allah lepaskan SAW dari itu.
Allah bukan pengemis, Nabi bukan Pengemis, Malaikat bukan Pengemis, tapi kenapa kita jadikan ayat AlQuran seperti pengemis?
Tolong amalkan prinsip para ulama, bila sampai kepada kamu satu ayat sampaikan bila kamu sudah hadam, sudah khatam. Jangan belum makan terus forward.
Makan dahulu, kunyah, telan, kemudian jiwai proses penghadaman. Sudah sendawa, ucap Alhamdulillah, baru forward.
Ramai tidak rimas dengan forward yang banyak kerana jujurnya jika terlalu panjang kita tidak baca pun. Ramai lebih suka ambil masa tersendiri bersama "Guru" untuk membaca ilmu dan bertanya padanya. Guru kita ramai, isteri, anak, abah, emak, jiran, ibu mertua, abang ipar, abang, kakak, adik, siapa sahaja boleh jadi Guru kerana kita seharusnya tidak malu untuk bertanya.
Jujurnya, sifat manusia bila membaca akan baca 3 perkataan pertama, tengah dan akhir, dan tidak akan baca dengan penuh. Mungkin yang warak dan alim akan baca penuh, tetapi kerana sedang sibuk hal lain maka ia akan baca dalam keadaan cepat dan terburu-buru dan mungkin tertinggal sepatah ayat.
Soalannya, BOLEHKAH kita baca AlQuran seperti itu??????????????????????
PS: Sifat manusia, bila dia kembali pada AlQuran, biarlah dia kembali dengan rela dan menyerahkan masa dunianya, bukan dicuri secebis masa dunianya untuk diberikan pada AlQuran itupun dalam Whatsapp bukan dalam Buku Suci itu. Kerana AlQuran itu dan Ayatnya tinggi darjatnya, hingga Gunung pun tidak mampu memikulnya. Kita pula ringankan, kemudian abaikan keraan forward datang tidak kira masa.
Wallahualam, Yang buruk dari saya dan anda, yang baik dari Allah melalui Rasul, Malaikat dan Kitabnya. Jangan nanti bila ditanya "Nikmat Allah yang mana yang kamu dustakan?" kita jawab Al-Quran di Whatsapp dan di FB!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment