ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Friday, September 11, 2015

Bersyukurlah Malaysia Walau Najib...

Saya akan berusia 35 tahun beberapa hari lagi. Tiada pencapaian yang boleh dimegahkan, dan hidup duniawi masih lagi belum stabil.

Berbeza dengan rakan sebaya, adik junior serta saudara mara malahan anak saudara yang sudah mengecap pelbagai kejayaan.

Bila melihat kejayaan mereka tipulah saya kalau saya katakan saya tidak cemburu. Tetapi ia untuk 5 saat sahaja, kerana saat keenam saya akan mendoakan mereka, bersyukur serta meyakini aturan Tuhan untuk saya.

Every dog has it day kata "omputih".

Sebagai kenalan, saya tidak pernah meminta apa-apa dari mereka tetapi kini saya ingin meminta kepada mereka dan anda semua satu perkara sahaja.

Bersyukurlah pada Allah.

Ahli politik yang curang dengan pelbagai skandal derma, integriti, nilai dll membuatkan kita berasa amat marah kepada Kerajaan hingga kita lupa bersyukur pada Allah SWT atas nikmatNYA.

Dahulu, semasa kita kecil 30 tahun dahulu ibu bapa kita ramai tidak memilik rumah.

Yang memiliki rumah sebuah sahaja ramai, yang miliki 2 buah kadang-kadang, yang miliki 3 buah jarang, yang miliki 5 buah tiada langsung.

Hari ini ramai rakan dan saudara kita memiliki lebih dari 2 buah rumah, malah ramai yang miliki hingga 5 hartanah.

Dahulu, Bas adalah pengangkutan utama kita semua, ibu bapa, kakak abang, dan adik-beradik untuk kesekolah, U dan sebagainya. Hari ini anak-anak kita tengok bas pun jakun, belum naik lagi. belum tidur berdiri dalam Bas Mini lagi, belum terlepas station kerana lupa tekan loceng lagi.

Dahulu, kita mahu makan ayam adalah perkara mewah, kita sering makan ikan kerana ikan murah.

Hari ini, kalau tiada ayam sehari maknanya Negara sudah gawat.

Untuk peneroka bandar, dan juga para anak kampung, gasolin, karbaid perkara biasa, tumpang TV rumah jiran, elektrik pakai Generator kongsi sekampung, atap bocor hujan menitik, ada ruang rumah yang berlantai tanah, ada dinding dari banner, bilik air free air perkara biasa, telaga dan perigi bukan asing dll.

Lilin, Ubat Nyamuk dan Lampu Suluh wajib ada disetiap rumah berbanding hari ini. Tungku arang masih digunakan untuk masak ketupat malam raya.

Dahulu, dalam satu kampung, kereta hanya sebiji dua, di Bandar mungkin 10 rumah 1 kereta, justeru banyak jalan yang masih merah, Kini hingga pintu rumah pun bertar.

Dahulu, di Sekolah Menengah, bersepah basikal, BMX, sepit udang, Raleigh, Colnago, dll, hari ini bersepah motosikal tersusun diluar sekolah.

Dahulu, bercuti ke Luar Negara bukan norma, melainkan seberang laut Indonesia dan Singapura, hari ini London dan Australia sudah ada mini Malaysia.

Dahulu anak Melayu bergelar Doktor amat sedikit, Engineer, Lawyer dan Eksekutif dibilang jari, hari ini, bersepah hinggakan setiap selang satu rumah pasti ada profesion diatas.

Dahulu Melayu mahu kumpul dana puluh ribu pun susah sampai bergadai emas, hari ini derma dana sebanyak billion dollar mampu diperoleh orang Melayu.

Lihat sahaja kemewahan membeli alat bakar air jadi wap sehingga RM 17,000 dengan wajah bangga berbanding dahulu mahu beli rokok RM 3 Dunhill pun main batang RM 0.20 sebatang, perkahwinan berjuta dengan bangga, tanpa rasa sedikit pun susah, dahulu dihayun jabat tangan dengan sebutan kuat "HUTANG".

Lihat sahaja Surau dan Masjid. Hingga kita terlupa dahulu kita pakai beduk, kolah air pakai air hujan, hari ini paip tersedia mudah, lengkap berhawa dingin.

Banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan tetapi jika kita merenung kembali zaman kita dahulu dan hari ini kita wajib tidak sesekali terlupa bersyukur.

Kita kena bersyukur walau Najib menghina Tun Mahathir yang menyediakan semua diatas dengan bantuan jentera pegawai Kerajaan yang ikhlas berkhidmat untuk Akhirat.

Semua itu sudah menjadi sejarah, diharap Pegawai Kerajaan terus bermotivasi memberikan terbaik dan takutkan Tuhan walaupun Ketua anda menongkat langit seolah langit tidak akan runtuh.

Dilema memilih Najib dengan kemungkinan bukan Melayu berkuasa adalah umpama kita perlu pilih antara Buaya dan Harimau.

Kita kancil, kita rakyat, kita tetap akan terluka dan mereka terus menerima "derma" berbillion-billion ringit.

Apa pun, janganlah kita terpalit kebencian yang dibawa ahli politik dengan kejalangan mereka, kita istiqamah bersyukur pada ALLAH dengan menghargai keamanan dan mengelakkan perbuatan desktruktif yang boleh menghancurkan Negara.

Harapan tergantung pada ahli UMNO, orang Melayu kerana disebalik kesenangan kita, ada saudara kita yang masih miskin khususnya di Kedah, Kelantan, Sabah, Sarawak, malah di Johor, Perak, Perlis, Penang, Melaka, N9, Pahang, Terenggan waima di Selangor KL juga masih ada yang susah kais pagi makan pagi.

Ayuh, syukur ke hadrat Allah. Terima Kasih Allah atas rahmatMU.


No comments: