ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Sunday, May 22, 2016

Menyesal Tolak Rasuah RM 100 Ribu Tanah Lot 2357

Lot 2357 adalah Tanah Warisan Nenek saya yang tidak saya kenali, tapi saya pasti jika beliau hidup semula hari ini pasti dia akan kecewa kerana selepas 50 tahun dia mati, tanah peninggalannya masih gagal memanfaatkan sesiapa akibat EGO!

Lebih lagi jika Nenek saya tahu tanahnya kini jadi sarang penagih, sarang penjenayah, pusat pembiakan aedes yang melahirkan pembunuh senyap yang membunuh dan menyusahkan hidup orang lain, mereka pasti sangat kecewa.

Sebagai Generasi Ketiga pewaris tanah tersebut, saya dan Abang tidak warisinya secara faraid atau percuma, sebaliknya, kami beli guna wang ringgit dari keringat kami.

RM 60,000 untuk dua Bahagian yang sudah dijual oleh Abah dan Pak Cik pada tahun 2001 amat besar nilainya pada masa itu.

Pak Cik dinasihatkan berkali-kali untuk meminjam dari Abangnya untuk beli semua, atau serah hak pada Abang Kandungnya terus, tapi dia enggan walaupun didesak lebih dari 10 kali oleh kami.

Itu sejarah.

Tujuan saya menulis, adalah untuk berkongsi "penyesalan" dengan anak dan cucu saya, serta saya mahu "brag" tentangnya bila saya jumpa Haji Nurut(Atuk) yang ternama dengan kejujuran.

Tentang bagaimana saya, seorang yang tiada pendapatan bulanan dan miskin mampu bertindak "bodoh" menolak rasuah RM 100,000.

Pada tahun 2015, saya upah Juru Ukur bertauliah dengan kos RM 7000 untuk sahkan Tanah kami Lot 2357 diceroboh oleh 4 Pemaju sejak tahun 2006 tanpa sebarang tindakan oleh panglima-panglima Keluarga.

Mungkin memang resam keluarga kami, bacul dengan orang luar, menyinga dengan saudara sendiri. Jantan kami disimpan dalam almari sebagai perhiasan, kias orang tua.

Saya ambil langkah "tidak matang" dan utus surat pada pihak berkenaan MPS, Kerajaan Negeri, PTG, MB, KSU, Sultan Selangor, dan semua berkaitan.

Pemaju Halamanda Gombak yang ceroboh tanam paip tekanan tinggi SYABAS mereka dalam Tanah Lot 2357 kami "terpaksa merayu" saya kerana mereka berada pada 90% completion projek perumahan ratusan juta mereka.

Pertemuan empat mata antara wakil Syarikat dan saya diadakan di Jalan Duta, KL.

Pihak Pemaju mahu kes ini tidak dipanjangkan, dan telah sediakan RM 100 RIBU sebagai imbuhan kepada saya kerana mereka terdesak mendapatkan CFO dan "pendedahan" saya akan buatkan mereka rugi teruk.

Saya berfikir lebih 2 minggu.

Demi Allah saya mahu ambil duit itu, dan jadi "kaya seperti orang lain". Beli Motor besar, beli Kereta besar, atau memulakan semula perniagaan.

Iman saya tergugat, saya tidak nafikan. Saya juga tidak nafikan sebahagian dari diri ini masih menyesal tidak ambilnya.

Alhamdulillah. Allah selamatkan saya.

Syukur juga, kerana saya berdarah Nurut dan Wong, dilahirkan ibu bapa, dibesarkan kakak dan abang, dimatangkahwin dengan keluarga mertua yang juga jujur justeru saya buat satu keputusan yang saya "menyesal" hingga hari ini.

YA! Saya menyesal tolak "rasuah" RM 100 Ribu pada saya. Lebih lagi Peguam saya pula bertindak menipu halal saya(Peguam tidak menipu haram, tapi mereka suka menipu halal atau mislead) dengan menangguh kes lebih 2 tahun berkemungkinan Peguam saya dibeli.

Saya sungguh menyesal dan saya mahu jadikan penyesalan saya satu pengajaran pada anak, cucu dan semua pembaca.

Saya mungkin tidak kaya, tapi saya tidak pernah ambil hak orang lain, tidak menipu dan tidak makan harta anak yatim. Saya yakin benar akan berdiri, salah akan jatuh, apatah lagi jika kami terguna bahagian saudara kami, kami ada bayar mereka "sewa" setiap tahun.

Kita akan jumpa kelak dihadapan Allah, pada masa itu, kebenaran dan cerita kebodohan dan penyesalan saya ini akan dibuktikan pada masa itu samada berbaloi atau tidak.

Walaupun saya miskin RM 100 Ribu, tapi Allah ilhamkan keluarga saya dan keluarga mertua senantiasa sokong dan bantu saya. Mungkin Allah perintahkan Malaikat jangan bawa penyakit dan bencana pada saya dan keluarga, mungkin. Wallahualam.

Yang pasti, Allah tidak tipu, percayalah! Yakinlah!

Pada kalian pembaca, tolaklah rasuah kerana ia bukan sekadar nama baik keluarga anda, tapi nama baik agama Islam dan anda akan dipertanggungjawabkan atas itu.

PS: Saya tahu tulisan ini tiada impak khususnya pada pemakan dedak kelas A.

Tapi Emak ajar saya untuk percaya jika saya tiup sebatang pokok balak dari jarak 1km setiap hari selama berpuluh tahun sekalipun pokok tetap tidak akan rasai angin tiupan itu dan tidak akan berubah kedudukan, tapi tetap satu hari nanti pokok pasti akan rasai usaha saya.

Usaha saya bawa perubahan dengan menolak rasuah RM 100 Ribu *Hati masih bisik kenapalah kau tidak ambil Acai? ;p

No comments: