ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, June 22, 2016

PM Tolong Pertimbangkan Permohonan Saya Untuk Jawatan Ketua Polis Negara.



Saya Mustaqim Abdul Rahman ingin memohon jawatan Ketua Polis Negara sekiranya terdapat kekosongan.

Saya terlibat dalam Projek Sistem Laporan Polis selama 5 tahun dan sepanjang tempoh itu saya sudah pergi ke semua Balai Polis di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, KL selain lebih separuh Balai Kontijen Johor, Penang dan Perak. Sambil mata tertutup saya boleh lukis pelan lantai IPK, IPD Usang Johor, dll Balai.

Selain “bertugas” di peringkat akar umbi Polis, saya memahami nadi denyut polis termasuk perjuangan Tun Haniff Omar dan khususnya Tan Sri Rahim Noor yang dikagumi ramai anggota.

Saya hanya kenali IGP KBAB51 melalui Twitter dan saya sokong penuh jawatan beliau dilanjutkan berpuluh tahun lagi kerana beliau seorang yang hebat.

Kehebatan beliau dipercayai mampu tingkatkan keupayaan Sistem Laporan Polis(PRS) agar satu hari nanti pengadu tidak perlu mengadu di Balai sebaliknya memadai dengan Twitter pada OCS, AIO, IO, SIO, J, KBND, OCPD, KP, IGP dll.

Untuk rekod pada awal 2000 dahulu Kontijen Negeri Sembilan arahan Ali Hanafiah pernah merintis idea ini dimana IO bawak komputer Riba dan Printer supaya pengadu tidak perlu pergi ke Balai, tapi dihentikan kerana sebab tertentu.

Tapi, jika YAB PM berkeputusan untuk tidak sambung khidmat beliau, saya ingin memohon jawatan Ketua Polis Negar tersebut.

Saya layak kerana saya juga mampu Tweet malah Motto yang akan saya guna, ”padan muka dengan mereka yang tiada Twitter”.


Saya juga mampu arah anggota saya di Twitter untuk tangkap siasat orang ini, dan jika saya rasa saya tidak mahu jawab soalan wartawan(saya juga benci soalan provokasi wartawan) saya akan kata saya tidak perlu jawab. Isu tamat.

Sistem kerja saya juga mampu banteras kes penculikan di Malaysia dengan penuhi semua permintaan penculik termasuk wang tebusan. Saya mampu kawal wang tebusan keluarga mangsa tanpa kurang satu sen pun, jauh sekali kurang berjuta.

Selain itu, saya akan banteras kes rasuah dengan serbu rumah Pegawai Pencegahan Rasuah dan merampas dokumen mereka.

Anggota bawahan saya yang enggan ikut cara saya akan ditukar ke jawatan lebih baik dan diberi hadiah peti ais beku bagi hargai sejarah khidmat cemerlang mereka.

Konsep kerja ciptaan saya yang JITU ini juga mampu selesaikan banyak kes dengan kaedah tangkap pengadu dan biarkan yang diadu. Selesai kes, tutup IP Indeks Jenayah yang dibuka tadi dalam masa SOP yang ditetapkan.

Cukup masa, Audit Kepolisan pasti akan catatkan kecemerlangan berganda untuk PDRM bawah pentadbiran saya.

Saya juga punyai kebolehan toleransi tinggi khususnya dengan kroni, orang politik dan akhbar. Undang-undang dibawah saya akan dikuatkuasakan pada mereka yang lemah dan bernasib malang, dan mereka yang berkuasa akan dilepaskan melalui kaedah kesilapan teknik.

Merit peribadi saya pula, saya tidak pernah sokong mana-mana Kelab Bola seperti MU, Arsenal, Chelsea, Liverpool, RM, Barca, Munchen dll kerana saya setia pada Selangor sejak lahir. Terbukti jelas saya adalah orang yang setia malah lebih setia dari anijng yang pasti tidak akan gigit tangan tuannya.

Sebagai anak campur Melayu Cina, saya mampu tewaskan penjahat sehebat Botak Chin dalam sehari dengan prinsip derma ke akaun peribadi tidak salah.

Prinsip saya ini akan mudahkan orang Cina derma pada akaun orang Melayu.
Cara ini juga mampu menyatukan Cina dan Melayu kerana wang derma itu bukan sahaja mampu untuk minum kopi tapi banyak lagi.

3 anak lelaki saya akan dididik menjadi Polis dan dilantik ke jawatan-jawatan penting supaya ia kelak akan di warisi oleh cucu cicit saya kelak <– Yang ini bukan idea saya, ini sudah banyak dilakukan di kalangan JUSA yang bersara, anak dan cucu mereka dilantik menjadi CEO GLC dan Swasta(yang terlibat tender Kerajaan),  apa salahnya kalau saya terapkan formula sama dalam sektor “penguatkuasaan”.

Jika saya ada anak perempuan, saya akan galakkan beliau untuk sertai bidang pembekalan senjata tetapi tidak akan benarkan beliau sertai mana-mana tender Kerajaan. Kalau beliau mahu jual senjata pada bukan Polis, saya akan “babab” dia!

Konsep saya ini seperti yang dinamakan P.Ramlee adalah konsep demokrasi terpimpin. Tiada satupun penjenayah akan terlepas dari saya, hingga "pistol air" mereka sekalipun saya ada auditnya.

Bagi banteras pengganas, persetankan kaedah “loose and catch” CIA dimana CIA yang lepaskan dan biarkan pengganas masuk ke Malaysia, Paris, Turki, Indonesia, Amerika dll.

Kemudian CIA juga yang akan bagi maklumat hingga pengganas berjaya bom atau Berjaya ditangkap di Negara berkenaan dan tujuan utama menakutkan rakyat tempatan berjaya. Rakyat tempatan juga berjaya diyakinkan untuk sokong CIA dan benarkan “penjajahan” mereka.

Media tempatan yang kononnya bebas pula membantu kempen menaikkan imej  mereka dan tanpa kita sedari mereka yang akan tentukan siapa pengganas(Islam) dan siapa tidak(Barat). – Kaedah CIA ini bukan rahsia dan boleh ditonton dalam filem Holywood mereka sendiri.

Sebaliknya saya akan banteras pengganas IS yang dicipta mereka melalui kaedah “fight war on terror with heart to heart dan eye to eye”.

Kaedah H2H dan E2E ini akan benarkan semua Masjid dan Surau terlibat dibuka untuk aktiviti ibadah sepanjang malam.

Kos operasi PDRM tidak akan meningkat dimana pihak Masjid dan Surau terlibat diwajibkan Tweet/Whatsapp pada polis aktiviti sebelum, semasa dan selepas untuk pemantauan. Pihak Jabatan Agama boleh pantau silang mereka jika perlu kerana Jabatan Agama memang punyai anggota ronda malam untuk menghendap.

Hasutan IS ini biasanya dilakukan di kawasan Kampung dan mereka mencari rekrut dari golongan muda di Masjid dan Surau.


Selain berfungsi untuk balas rekrut mereka dengan aktiviti pengisian jiwa, Masjid dan Surau ini juga akan menjadi mata untuk pihak saya jika dilantik menjadi IGP atau Punasihat. Bukan sahaja mata untuk banteras pengganas, tetapi juga penjenayah dan penculik yang hilang duit tebusan berjuta.

PM tidak perlu khuatir samada saya akan khianati PM selepas bersara seperti G25 dan setengah polis lain kerana saya akan bertindak ketika kuasa ditangan, bukan melalak selepas kuasa tiada ditangan.

Prinsip saya , jika saya tidak mampu bertindak ketika kuasa ditangan, maka saya akan diam sediam-diamnya bila kuasa tiada ditangan kerana saya tahu malu.

Oh ya, sebagai extra merit, atau rekomendasi tambahan, saya berprinsip “ A man will do, what a man needs to do” dan “If I know someone else do this dirty job its catastrophic, so I sacrificed myself to reduce the damage though people call me evil”.

Yang paling penting adalah agenda kita, baik atau buruk. Dan pendapat peribadi saya, agenda saya dan saya percaya agenda IGP Khalid adalah baik.

Mohon dipertimbangkan.

PS: Dulu saya pernah pohon jawatan ini kepada Tun Dr Mahathir masa beliau masih lagi PM, tetapi ditolak, Saya yakin Dato Seri Najib lebih bijak dari Tun, lagipun mengikut jawapan kebanyakan pemimpin UMNO mereka memegang taklik kalau Mahathir boleh "kroni", kenapa Najib tidak boleh "kroni" dsb!

Jangan marah Dato PM, bulan puasa ini adalah baik jika dipenuhi permohonan saudara sesama Islam seperti yang selalu di post di wall PM.:)

No comments: