Hudud datang lagi, biasanya ia datang 5 tahun sekali, atau kadang-kadang lebih awal jika ada PRK di kawasan majoriti Islam dan ditandingi PAS. Selain dari itu, ia senyap tanpa berita.
Hudud jelas ada disebut dalam Quran tapi untuk beberapa kali sahaja dibandingkan keadilan, kesaksamaan serta pertimbangan yang Allah tekankan beratus kali dalam Quran.
Sama seperti aurat atau tudung, ia disebut beberapa kali sahaja dibandingkan dengan solat, zakat, hati baik, percakapan baik, jangan buka aib orang dan sebagainya yang disebut beratus kali juga.
Begitu juga bacalah Al-Quran dengan tahmid dan tasjid yang betul hanya disebut sekali sahaja tetapi seluruh umat Islam dengan program-programnya begitu menekankan bacaan yang betul serta suara yang sedap berbanding memahami Al-Quran.
Beratus kali Allah sebut dalm Quran "Tidakkah mereka memahami?" dan disebut lagi, Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Cina supaya kamu mudah memahami. Kata kunci Allah bukan Bahasa Arab atau Cina tetapi fahami Al-Quran.
Hududullah atau Hudud atau Undang-undang Allah disebut beberapa kali dan antaranya disebut juga potong tangan kaki dan sebagainya. Begitu juga yang mati dibunuh perlu dibalas dibunuh atau memerdekan seorang hamba dan sebagainya. Begitu juga mata dengan mata, telinga balas telinga dan jika mampu maafkan sahaja kerana itu lebih baik bagi kamu dan sebagainya. Kata kunci dalam semua ayat Quran ini adalah keadilan dan juga pertimbangan.
Setiap orang Islam wajib menyokong hudud kerana ia adalah hukum Allah tetapi olahannya dari Al-Quran perlu mengambil tegas perkara keadilan dan kesaksamaan dalam Islam. Juga Allah suka pada mereka yang perbaiki amalan dan memajukan diri.
Kata kunci Allah tentang hukuman dalam Islam adalah keadilan dan juga kemaafaan.
Justeru adalah penting mengutamakan keadilan dalam hukum Allah hudud dan jika diperlukan 4 saksi menyaksikan dan saksi itu juga perlu saksi yang layak maka ia tidak adil.
Begitu juga potong tangan, jika seorang Penjawat Awam memperoleh gaji RM 10,000 sebulan, rumah 5 buah, kereta 3 buah, simpanan berpuluh ribu ambil rasuah walaupun seringgit potong tangannya kerana ia mencuri hak orang lain.
Tetapi jika pelaku bergaji RM 1,000, rumah sewa RM 700, belanja anak RM 200, makan RM 300, api air RM 200, harta tiada, pergi kerja naik motor kapcai hutang, simpanan RM 1.34 dan beliau ambil rasuah atau curi RM 1000 janganlah potong tangan dia.
Allah sebut suruh potong tangan sekali sahaja dalam Quran tapi Allah sebut berlaku adil, jangan menzalimi diri sendiri, jangan ingkar suruhan Allah beratus-ratus kali.
Saya tidak bimbang dengan hudud sebab saya percaya pada keadilan Allah, tapi yang saya bimbang nilai orang Islam yang baca Al-Quran tanpa memahami. Jika saya beri sepotong ayat dalam Bahasa Cina dan orang Islam baca, baca dan baca tanpa fahami walaupun maksudnya baik, mahukah anda?
Terbaru, Datuk Noor Farida menjadi mangsa netizens Facebook yang merendahkan kelayakan beliau mempersoalkan hudud Kelantan disebabkan beliau tidak menutup aurat?
Islam di Malaysia sudah jadi seperti komunis!!! Tidak ada tauliah tidak boleh sampaikan walau satu ayat. Tidak pakai tudung tidak boleh sertai soal jawab agama!!! SIS diharamkan tapi dihina hanya kerana bertanya pada Mahkamah sebab dia diharamkan!!! Apatah agama Islam tidak boleh dipersoalkan? Jika dipersoalkan juga akan ditangkap, dihina, didakwa dan dipenjara yang mana hampir sama seperti Komunis.
Sedangkan Allah kata Islam adalah Agama yang sempurna. Makin disoal makin disempurna. Sesiapa boleh persoal Al-Quran, Allah, Islam kerana yang mereka akan jumpa adalah keagunganNYA.
Sebaliknya di Malaysia tindakan mengunci mulut dan pemikiran orang Islam dilakukan agar umat islam takut, agar mereka patuh dan taat seperti lembu yang dicucuk hidung tanpa bertanya ikut sahaja kemana ditarik oleh Gembala.
Saya tidak layak untuk sembang dengan agamawan samada tulen, palsu,ekspress, politik ataupun kami ampu dalam hudud ini, kerana saya berjati diri Kebangsaan tapi tiada kenegerian, saya rasis Melayu tapi hormati hak kaum lain, saya agama Islam tetapi bukan dari Ibu Bapa sebaliknya kerana saya baca, fahami AlQuran dan paling utama diberi rahmat oleh Allah untuk jadi muslim sederhana.
Tapi walaupun tidak layak, saya ingin bertanya apakah adil jika rakan saya ditangkap kerana zina sedangkan umurnya baru sahaja 15 tahun, bersekedudukan perkara biasa dalam masyarakat Malaysia, kerajaan tidak menapis internet dan rangsangan mudah didapati berbanding zaman dahulu, begitu juga dengan arak yang dijual merata, judi yang berleluasa belum kira rumah urut di Selangor dan KL.
Adilkah dan sebagai orang yang dihukum rejam, potong tangan, dan sebagainya, apakah Islam menafikan alasan saya Kerajaan dan juga pemimpin agama yang salah kerana gagal membendung bahan-bahan lucah, penjualan arak, judi dan dadah malahan rumah urut dan pelacur juga.
Justeru sebagai pejuang dan pendukung hudud Melayu saya pinta Islam membuka pintu rundingan serta keterbukaan seperti yang dituntut Quran dan ditunjukkan Rasulullah SAW. Jangan asal kami buka mulut menentang sahaja terus dihukum kami ini.
Hudud Melayu adalah hudud sebenar yang ditekankan Allah yakni keadilan, pertimbangan dan kemaafan. Saya cadangkan pesalah curi mengambil kira faktor kewangan pesalah dan diberi 3 kali hukuman penjara dan kesalahan yang keempat baru potong tangan. Begitu juga zina, dan lain-lain kesalahan perlu mengutamakan keadilan yang Allah mahu.
Penggunaan DNA, kamera kotak besi dan teknologi lain juga perlu diakui kerana sains dan teknologi menjelaskan keagungan Islam bukan Islam menjelaskan kehebatan sains dan teknologi.
Pada orang Melayu saya harap hentilah membunuh dan menyerang karakter orang, sebaliknya buka minda, buka akal berbincang seperti orang Islam. Jangan baca Al-Quran dari kecil malah khatam ada yang hafiz tetapi rasa sudah faham sebab orang Arab sendiri pun tidak faham maksud Quran.
Fahami AlQuran bukan baca AlQuran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment