Manusia adalah binatang jika tidak punyai akal dan lebih
keji dari haiwan jika tidak menggunakannya. Sifat dan wajah binatang manusia
hanya dapat dilihat apabila mereka kebuluran. Ini bukan andaian, tetapi hakikat
yang dikongsikan beratus buku oleh Barat yang menceritakan sifat manusia
dalam keadaan darurat yang ditulis berdasarkan kisah benar. Malahan, berpuluh filem
menggambarkannya antaranya Titanic, Life of Pi, 2012, dan banyak lagi.
Syukur ke hadrat Allah kerana Malaysia tidak pernah ditimpa
musibah dan bencana alam. Paling teruk adalah banjir dan diberitakan banjir di
Pahang pada tahun 2013 ini adalah paling teruk dalam sejarah 100 tahun Negara.
Dalam keadaan darurat dan kecemasan seperti ini maka
terlihatlah sifat haiwan manusia, peliknya ia bukan dimulakan oleh mangsa
banjir, sebaliknya keyboard warrior yang dari beratus kilometer jauh dari
kawasan bencana, dengan ditemani hawa dingin dan lampu elektrik membuat
pelbagai andaian dan tuduhan.
Mangsa banjir yang pada asalnya pasrah dan memahami
kesulitan Petugas dan Sukarelawan dalam menyampaikan Bantuan akhirnya terikut
rentak manusia bengkeng yang jiwanya membangkang ini.
Dari tagih ditukar pada tuntutan, dari bantuan ditukar pada
tanggungjawab, dari keinsafan ditukar pada hak dan penting diri, dari kesedihan
ditukar pada kemarahan dan semua ini dihalakan pada pihak yang mudah
dipersalahkan yakni Bomba,Polis, MKN dan Kerajaan.
Nilai masyarakat dan bangsa Malaysia mampu dibangunkan melalui
pembacaan. Sumber-sumber yang terdapat dalam buku pengalaman bencana Negara
lain dan “survivor” hidup manusia serta batas-batas yang memisahkan manusia dan
haiwan semuanya boleh diperolehi melalui pembacaan buku-buku.
Malangnya, buku-buku ini dijual dalam bahasa asalnya iaitu
English. Lebih malang lagi, masih ramai rakyat Malaysia khususnya di luar Bandar
tidak mampu menghabiskan sebuah buku bahasa English samada secara paksa jauh
sekali minat.
Atas sebab itu, pemimpin perlu membuat pilihan yang jelas dan kuat. Mereka perlu memilih antara dua, samada fokuskan dalam melahirkan masyarakat dengan kadar literasi English yang tinggi atau berusaha menterjemahkan semua buku dan sumber ilmiah kepada Bahasa Melayu apatah lagi dalam bidang kritikal seperti Sains, Teknologi dan Komputer.
Samada Bahasa Melayu atau Bahasa English yang dipilih Jemaah
Menteri, Kerajaan tetap perlu istiqamah dalam memupuk sifat membaca dengan
menyebarkan bahan bacaan mudah baca kepada masyarakat Malaysia kerana hanya melalui
pembacaan nilai masyarakat dan bangsa dapat di tingkatkan. Harapannya, Negara Maju
berpendapatan tinggi akan seiring dengan Nilai Masyarakat yang tinggi.
No comments:
Post a Comment