Bila orang politik bergaduh dengan orang Istana, rakyat tersenyum. Pergaduhan dan perselisihan dalam sukan, politik, agama dan pelbagai lagi hanya menjadi bahan jenaka untuk rakyat kerana jika pemimpin hanya mampu menyelesaikan masalah dengan cara tidak matang, maka apa lagi yang boleh diharapkan dari mereka?
Terbaru, saya tersenyum sendiri apabila Tan Sri Annuar Musa
menempelak Tunku Ismail agar tidak membawa perkara pelik-pelik kedalam bola
sepak Malaysia.
Tan Sri Annuar Musa memberi panduan agar pengamal bola sepak
ikut sahaja peraturan FAM, sedangkan pada saya FAM adalah punca kepada masalah
mereka. Yang membuatkan saya tersenyum adalah apabila beliau berkata bolasepak
adalah sukan rakyat dan pihak istana tidak perlu masuk campur. Apakah Tan Sri
Annuar Musa lupa beliau juga bukan orang sukan jauh sekali bekas pemain bola
sepak, tetapi seperti Istana beliau juga orang politik yang juga sama, campur
tangan politik lebih banyak membantutkan dan menghancurkan kemajuan sukan di Malaysia.
Lihat sahaja bagaimana politik menyekat dan mempersiakan
bakat-bakat badminton, olahraga, tenis, skuas, basikal, takraw, hoki, bowling dan banyak
lagi.
KAFA di pimpin oleh orang politik dan PBNJ pula oleh Sultan.
Kemelut ini sebenarnya berpunca dari peraturan lapuk FAM. Tunku Ismail mengikut peraturan FAM
begitu juga KAFA dalam isu perpindahan Mat Yo. Peraturan FAM “menghalalkan”
PBNJ mengambil Mat Yo mengikut “jalan belakang” seperti yang didakwa KAFA.
Masalah ini akan menimpa pasukan lain selagi FAM yang
dikuasai hampir sepenuhnya oleh Istana dan Politik tidak mengubah peraturan
sepertimana peraturan FA England.Peraturan FAM juga kadang-kadang boleh
ditafsirkan sebagai diktator kerana menyekat kebebasan bersuara, bersikap pilih
kasih selain telah memecat beberapa individu yang tidak sehaluan mereka. Bola
sepak Malaysia akan jauh berbeza jika Istana dan Politik membiarkan bola sepak
diuruskan oleh ahli sukan sejati seperti Eropah.
Hakikatnya ia tidak semudah itu dan syarat wajib “mengusir”
penguasaan politik dan Istana dari sukan adalah peminat harus bersedia
membenarkan penajaan minuman keras dan syarikat judi. Soalnya, bersediakah
kita? Bersediakah kita “mengusir” Sultan Ahmad Shah dari kerusi Presiden dan
menerima nasib seperti sukan lain yang kurang penajaan? Bersediakah kita
membeli tiket bulanan dan tahunan yang bernilai ribuan malah puluh ribu untuk
menampung perbelanjaan Pasukan Bola dan Stadium? Bersediakah kita mengorbankan
harapan kita mahu melihat anak kita hidup senang menjadi Doktor, Peguam,
sebaliknya menjadikan mereka pemain bola sepak walaupun gaji dan kebajikan
mereka semurah buruh kasar? Makin kuat kita menepuk air, kita sendiri yang
makin basah nampaknya.
Istana dan politik menjadi tarikan untuk penajaan kerana ROI
yang terhasil justeru banyak sukan tidak popular yang merayu golongan Istana
dan Politik menaungi persatuan sukan mereka.
Fikirkan, apakah kita mampu menjual 60% tiket pada setiap perlawanan dan
20% tiket bulanan dan tahunan. Jika kita mampu maka sayalah orang pertama yang
akan menurunkan papan tanda nama Sultan dan Ahli Politik dari semua Persatuan
Bola Sepak Negeri.
Malangnya kita sendiri nak ke Stadium setahun sekali pun
tidak ada, jersi pasukan Negeri pun kita tidak mahu beli, ironinya masih ramai
membeli jersi Pasar Malam, siaran langsung liga tempatan pun kita tidak mahu
tonton, kita melatah-latah apabila syarikat judi dan arak mahu menaja sedangkan
pasukan EPL pilihan kita tidak apa, tetapi ada antara kita jadi gatal dan bodoh
dengan memberi cadangan dan idea yang nampak cantik diluar tapi buruk malah busuk
didalam.
No comments:
Post a Comment