Salam Tan Sri,
Saya bukan seorang “anggota”. Juga bukan seorang “civilian”
atau setengah tempat memanggil “awam” bagi merujuk kakitangan PDRM bukan
anggota.
Tetapi sepanjang tahun 2004-2006, hampir setiap hari saya
mendedikasi hidup saya kepada Polis Diraja Malaysia.
Saya lebih hebat dari akar umbi Polis kerana tiada seorang
Polis pun pernah pergi ke Balai Polis sebanyak saya. Sebagai pekerja Syarikat
Fujitsu, komputer yang digunakan Polis, semua Balai Polis dan IPD di segenap
Negeri Johor , Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur telah saya
lawati.
Selain dari IPK disebut diatas, saya juga pernah ke IPK
Penang, IPK Kedah, IPK Perak, IPD Raub, IPD Selama, IPD Teluk Intan, Balai Sg
Air Tawar dan banyak lagi. Bagi yang tidak tahu, susun atur dan rekabentuk
Bangunan Balai Polis dan IPD adalah berbeza mengikut Negeri, dan YA, Johor
adalah antara yang paling “antik”.
Dan mungkin ramai tidak tahu, Balai Polis Temoh, Tapah Perak
adalah Balai Polis paling kerap dipanah petir. Saya berada disitu 1jam dan
Balai dipanah petir lebih 10 kali. Juga, IPD Dang Wangi terletak di Kelantan.:)
Pengetahuan saya terhadap operasi Polis juga meluas seperti
Buku Aktiviti 24 jam, Semboyan, Long Hour, Standby, Luar Kawasan, J, D, N, KBJN,
OCS, OCPD, OC, IG,IO, AIO, SIO, D9, D10, D11, Bilik Gerakan, PRS, pelbagai elaun
termasuk Hotel hinggalah ke tangga gaji mereka.
Saya sempat merasai keperitan mereka ketika gaji satu calit
hanya RM 600. Bayangkan yang tiada calit hanya menikmati gaji RM 400 sahaja dan gaji kecil ini adalah termasuk nilai nyawa yang dirisikokan.
Mungkin Tan Sri IGP sendiri tidak tahu, saya pernah jumpa
anggota “otai” yang hampir bersara tanpa calit(Konstabel). Bagaimana
pentadbiran polis boleh terlepas pandang saya tidak tahu, tapi saya anggap dia
istimewa dan berjiwa besar kerana sanggup berkhidmat di Melaka walaupun dia
bukan asal Melaka.
Apa yang saya tidak pernah jumpa di Balai Polis, jari putus
masih berdarah, ratusan penagih dan pelacur, tukang tarik kereta, gangster, wang tunai RM 100,000, dadah, pedang samurai
di Bukit Aman, Polis tembak Komputer, komputer hilang, heboh di IPK KL bahan
bukti hilang dari bilik bukti, bil telefon Balai ribuan ringgit sebulan dan
kemudian minta “Taukey Cina” bayarkan dan banyak lagi cerita yang tidak mengaibkan kontinjen polis.
Percayalah, ia tidak mengaibkan jika kalian memahami keperitan,
kesusahan, pengorbanan serta kegigihan anggota Polis bertugas 24 jam untuk
memastikan rakyat Malaysia tidur lena pada malam hari.
Bila saya kata 24 jam, saya maksudkan, kerana saya juga
berada disana jam 3-4-5-6 pagi, dan mereka memang tidak tidur. Tidur ayam itu
perkara biasalah, kitakan manusia bukan mesin.
Saya kagum, tabik, dan bersyukur kerana kebanyakan anggota,
walaupun ada kurang dan silap, semangat mereka tetap sama, “undang-undang”
tetap dijunjung, tugas tetap dilaksana.
Bab duit tepi atau bawah meja dengan jumlah tidak besar,
pada saya selagi tidak menyusahkan sesiapa, termasuk pihak ketiga- keseratus,
saya abaikan. Apatah lagi jika ia kesalahan kecil pertama pesalah bukan jenayah
berat.
Untuk pengetahuan umum, gaji polis dilapangan sebenarnya
masih tidak cukup walaupun sudah naik hingga RM 3-4 ribu termasuk elaun.
Ini kerana bila mereka keluar menyiasat, bila mereka perlu
beli untuk tujuan siasatan, bila mereka perlu tenaga untuk berkerja 24 hingga
48 jam untuk siasat, mereka boleh “claim”(walaupun tidak semua ie mereka tidak
boleh claim rokok, minuman tenaga dan makan minum untuk berjaga 48jam) malah
boleh claim itu tidak seperti swasta yang dapat pada bulan seterusnya.
Kadang-kadang
mereka sendiri malas mahu “claim” kerana banyak lagi kerja dari melayan karenah
“birokrasi” dan “pelbagai dokumen” PDRM.
Jadi, kebanyakan masa D, AIO, IO dan SIO menggunakan wang
sendiri untuk menyiasat dan menanggung kos barang dan aktiviti tidak rasmi untuk tujuan siasatan.
Malahan jauh di Balai pendalaman di temani kambing, mereka
tetap berdisplin menjalankan tugas.(Balai Hutan Percha Alor Gajah memang ada
kambing suka di pintu EO sebab ada aircond agaknya) Di Balai luar bandar lebih
tenang bila jam 12 malam pagar ditutup dan ada anggota bersenjata berkawal, di
Balai pendalaman anggota seorang diri sahaja.
Penderitaan, kegigihan dan pengorbanan Polis amat saya rasai
dan takjubi. Terima kasih Polis.
Anggota Polis serahkan jiwa dan hidup mereka demi selesaikan
IP Jenayah di kawasan mereka.
Peratusan IP Jenayah kes yang ditutup mesti
mencapai lebih 80% jika mereka tidak mahu “dihentam” atau menjadi mangsa
“ditukarkan” ke tempat menurun prospek. Untuk itu, saya sendiri turut berasa
geram dan benci dengan “server” IP Jenayah di Bukit Aman kerana sering susahkan
anggota. Untuk rekod, pencapaian kontinjen Polis Malaysia diukur oleh peratusan
IP Indeks Jenayah yang diselesaikan yang diaudit setiap tahun.
Mungkin Tan Sri IGP tidak tahu tekanan yang mereka terima
bila gagal selutup(selesai tutup) kes tersebut, atau cuba selutup kes yang
sudah dibuka berpuluh tahun tapi gagal ditutup, tapi saya tahu.
Lebih malang lagi, Tan Sri IGP tidak balas pengorbanan
mereka dengan imbal.
“Kepimpinan melalui tauladan”!
Tan Sri IGP tidak tahu mereka amat menghormati Inspektor
General Police. Bukan takut, tapi hormat!
Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh amat menghormati
orang yang mereka mungkin langsung tidak pernah bertemu 4 mata, tapi mereka
benar-benar hormat pada Tan Sri IGP dan ya, mereka “takut” pada perkataan
“Bukit Aman”.
Acap kali saya sedar kerja saya boleh jadi amat mudah jika
saya berkata saya dihantar oleh Bukit Aman tapi tidak pernah sekali saya
lakukan kerana saya mahu bergaul mesra dengan mereka. Saya rajin bertanya, tanya
anak mereka kerja apa, tanya gaji mereka, kes mereka, asal kampung mereka,
keluarga mereka dsb.
Dari tabiat suka bertanya ini, saya tahu mereka amat sayangi
KPN terutamanya Tan Sri Rahim Noor. Tun Haniff Omar tegas dalam soal gaji dan
tidak hairan jika pekerja tidak suka pada Bos yang tidak naikkan gaji.
Kebijaksanaan Tan Sri Rahim Nor memecah sistem gaji Polis
dengan formula satu calit bagi setiap kadet pada hari tamat kursus mereka
dikenang(saya percaya ramai anggota baru tidak tahu sejarah ini) . Banyak beza gaji dan kelayakan elaun yang
tidak dinikmati Konstabel tetapi dinikmati Lans Koperal.
Siapa sahaja IGP, anggota Polis bersemangat berkerja setiap
kali IGP mempamerkan displin kerja yang sama.
Pemerhatian saya, di peringkat Kursus, modul Kursus berjaya menimbulkan rasa hormat Anggota Polis pada Lambang, Warna dan IGP Polis jadi jika IGP kerja keras dan displin, mereka akan ikut.
Pemerhatian saya, di peringkat Kursus, modul Kursus berjaya menimbulkan rasa hormat Anggota Polis pada Lambang, Warna dan IGP Polis jadi jika IGP kerja keras dan displin, mereka akan ikut.
Walaupun saya sudah tidak bersama mereka, tapi saya tahu,
keazaman mereka masih sama sejak dahulu hingga hari ini dan ia dicetus oleh tahap
keazaman KPN mereka dalam menegakkan keadilan.
Justeru, bila saya melihat banyak laporan polis dilayan
sambil lewa oleh IGP hari ini maka saya berasa sedih dan bimbang untuk mereka.
Setiap Laporan Polis tetap wajib ditutup dengan
displin,asas, dokumen dan bukti yang kukuh walaupun ianya laporan mengarut
seperti dibuat Rani Kulup.
Dari gambaran luaran yang dipamerkan IGP, saya berpendapat “Bukit Aman” ada arahkan semua
kes yang dibuka memadai ditutup tanpa dokumen, bukti dan asas yang “kukuh”.
Lihat sahaja pada jawapan Tan Sri IGP ketika Azwan Harun
buat “laporan palsu”, Tan Sri IGP kata tiada kes atau siasatan lanjut! Atas
asas apa IGP putuskan NFA(no further action) sedangkan jika saya rakyat biasa
buat laporan palsu, pengadu akan didakwa dan dipenjarakan?
Berapa banyak laporan polis keatas ahli politik dan semuanya
Tan Sri IGP tidak layan malah jawab dengan angkuh, politik bukan urusan saya!
Mungkin, pada rakyat biasa, malah pada Tuan Pemberi Gaji Tan
Sri IGP, kata-kata IGP selaku “I am the Law” adalah norma dan tugas rutin
anggota polis mengikut arahan.
TETAPI, IGP tidak sedar, kata-kata IGP= KPN=KP= IG=Inspektor
General(sebutan dikalangan anggota berbeza mengikut IPK, IPD dan Pusat) pada semua
anggota polis adalah nyawa mereka.
Jika IGP tegas, mereka tegas.
Jika IGP teguh dan berdisiplin, mereka teguh dan berdisplin.
Begitulah seterusnya kedinamikan Polis Malaysia.
Saya tidak nafikan ada anggota yang sebaliknya, tetapi keutuhan
IGP bagai ombak membadai mereka yang tidak berdisplin ini. Hampir 99% anggota
bernadi dan bernada IGP.
Saya tidak mampu bayangkan apa mereka jika IGP mereka tidak
tegas?
Saya tidak mampu bayangkan apa mereka jika IGP mereka tidak
teguh dan berdisplin?
Saya tidak mampu bayangkan apa mereka jika IGP mereka tidak
ikut peraturan dan undang-undang yang beliau sendiri tetapkan?
Saya tidak mampu bayangkan apa mereka jika IGP mereka rasuah,
penakut, pengkhianat, macai ahli Politik dan gagal menjalankan tugas menegakkan
undang?
Saya tidak mampu bayangkan kesan dan impak pada mereka,
terus pada masyarakat yang mereka lindungi sekiranya kod-kod dan ikrar Polis
dicabuli oleh Polis sendiri?
Dan semua tanda soal diatas yang saya tidak mampu bayangkan,
sebaliknya ia MAMPU dielakkan dengan “re-vow” atau jaminan dari mulut Tan Sri
IGP sendiri.
Saya percaya Tan Sri IGP ada alasan sendiri berbuat demikian
demi keselamatan Negara(hakikinya penagih dadah pun ada alasan sendiri juga)
tetapi apa yang dibuat dan diucap Tan Sri IGP secara kasarnya mudah
disalhtafsir oleh anggota hingga mereka tidak lagi bermaya berkerja, bertugas
dan menjunjung prinsip-prinsip murni dan suci Polis.
Saya sendiri, membaca kenyataan angkuh Tan Sri IGP yang mudah
“dismiss” kes, yang “syok” arah tangkap orang ini itu dan sebagainya di Twitter(tangkap
orang perlu ada laporan polis kemudian baru polis termasuk IGP boleh keluar
arahan tangkap-sepatutnya IGP suruh siasat bukan tangkap). Saya sendiri merasa
tidak selamat sebagai rakyat.
Maka saya tertanya akan keberadaan sahabat-sahabat saya
dalam polis yang sejak dahulu berjuang melawan anasir jahat yang senantiasa
berusaha menjatuhkan mereka, mungkin mereka kini telah lemah semangat dan
mungkin ramai yang telah menyerah melutut pada anasir jahat itu!
Akhir kata, Tan Sri IGP, sebagai Inspektor General kepada
ribuan anggota kepentingan diri harus diketepikan, dan kepentingan anggota dan sistem
yang adil telus dan saksama harus dipertahankan dari campurtangan Tunku,
mahupun dari Mahathir, Pak Lah atau Najib sendiri.
Saya juga ingin ambil kesempatan mengajak semua rakyat bertafakur 9 saat memikirkan anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan kita selama kita hidup didunia. Ribuan anggota polis mati dalam tugas ini wajar disanjung(layaknya lebih tinggi dari pemenang Olympik disanjung).
Wallahualam.
PS:
Di Bukit Aman, ada server gaji Polis, server itu berusia
lebih 40 tahun(saya tidak pasti masih beroperasi atau tidak). Setiap bulan saya
akan masukkan cakera gaji(tape gulung wayang lama) ini kedalam server tersebut untuk
dihantar ke Putrajaya, dan saya amat-amat gembira setiap kali memasukkannya
kerana itu sedikit “sumbangan” saya pada anggota yang telah banyak berkorban
dengan tidak melambatkan gaji mereka.
Sebenarnya, dari pemerhatian saya, Jabatan Kerajaan yang
gajinya masih datang dari kelulusan Putrajaya setiap bulan terpaksa tunduk
kepada Putrajaya, kerana jika Putrajaya lambatkan sehari sahaja gaji, maka
operasi Jabatan akan tergangggu. Bayangkan jika Putrajaya lewatkan 1 minggu, boleh
runtuh semangat dan kelicinan Jabatan tersebut.
Walaupun Polis mempunyai hasilnya sendiri, tetapi pembayaran
gaji tiap bulan masih diKAWAL Putrajaya.
Kerajaan yang telus(tanggungjawab PM
dan KSN) harus bebaskan semua Jabatan
khususnya Penguatkuasaan dari karenah birokrasi dan “ugutan halus” dengan
menyerahkan KAWALAN gaji pada Jabatan tersebut sendiri ie beri Jabatan
Penguatkuasaan(Polis, SPRM dll) Gaji Penuh Tahun 2017 pada selewatnya Jun 2016
dan ini akan mengelakkan kebergantungan mereka setiap bulan pada Putrajaya.
Keengganan dan kegagalan Kerajaan berbuat demikian boleh
disalahtafsir badan Polis dikawal IGP, tetapi jiwa Polis dikawal PM dan KSN.
Mungkin 50 tahun dahulu adalah sukar untuk Polis uruskan
akaun sendiri kerana harus tumpukan perhatian memerangi jenayah dan komunis,
tetapi pada zaman IT Teknologi hari ini ia bukan pilihan lagi!
No comments:
Post a Comment