ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Monday, July 4, 2016

Jom Main Bunga Api Di Kuburan Di Pagi Raya!

Raya datang lagi.

Seperti bulan puasa dan raya sebelum ini, soalan sama masih menjadi modal pendakwah yang sama.

Soalan yang tidak mencabar seperti apa hukum gosok gigi, korek hidung, tidak sahur, lupa niat, terkentut masa Terawih, puasa 6 dan bermacam lagi.

Mungkin memang ada yang tidak tahu sebab itu soalan yang sama ditanya pada penceramah yang sama setiap tahun.

Alhamdulillah, Ulama jawab dengan hujah yang lengkap ikut tertib keutamaan iaitu 1) Firman Allah dalam AlQuran, 2) Hadis Nabi berkaitan Nabi sendiri 3)Sunnah Nabi berkaitan diri Nabi sendiri, 4) Hadis Nabi berkaitan orang lain dan  5) Sunnah Nabi berkaitan orang lain.
Malangnya, ada juga Ulama yang langsung tidak tampilkan firman Allah sedangkan ada, malah mereka terus sandarkan pada Hadis atau Sunnah semata.

Lebih teruk lagi, diruangan komen, perkelahian yang hasilkan permusuhan dan kesesatan tercetus.

Masing-masing dengan hujah Ustaz saya kata, malah ada yang keluar fatwa baru dari carian Kitab Google mereka, ada pula yang terus mencemuh dan merendahkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menjadikan seolah agama Islam ini agama Komunis yang harus dibunuh jika sedikit berbeza. Macam-macam!

Tanpa mereka, kita malah Ulama sedari, dari afdal, bertukar jadi makruh dan terus jadi haram.

Dari pahala, dapat dosa. Dari Majlis Ilmu menjadi Pesta Syaitan dan Iblis meraih pengikut. Wallahualam.

Saya sarankan para Ulama yang gunakan media sosial untuk berhujah menjawab soalan khususnya soalan berkaitan hukum jelas keluarkan satu notis dibahagian bawah yang berbunyi sebarang komen terbuka tidak dialukan kerana hukum ini sudah jelas, jika ada sebarang kemusykilan sila PM dan kita bincang secara tertutup.

Antara soalan paling popular pada hari raya adalah soalan apakah hukum ziarah kubur di pagi raya!

Jawapan paling menarik dan popular sudah pastilah yang menegah, kerana pada pagi raya haram hukumnya bersedih di hari Raya.

Kesimpulannya Raya adalah sambutan kemenangan meraikan kejayaan umat Islam di bulan Ramadhan juga bulan dosa manusia dengan manusia dihapuskan melalui konsep bermaaf-maafan.

Atau dalam pemahaman kasarnya siapa yang berjaya di Ramadhan harus bergembira dan siapa yang tidak berjaya di Ramadhan wajib bersedih. -Saya bergurau.

Firman Allah:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(maksudnya) “..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur". (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.


Saya TIDAK LAYAK untuk ulas firman, hadis mahupun Sunnah. Terbaik bagi kita merujuk kepada Ahli Agama juga ikut tertib keutamaan lokasi, bukan pada Kitab Google.

Tapi saya layak berkongsi pengalaman berhari raya bersama Arwah Ayahanda tercinta Abdul Rahman Mohd Nurut yang mana beliau mewarisi cara sambutan Raya ini dari Atuk saya, Mohd Nurut Fakeh Hayat.

Usai(Bahasa Arab tapi saya Melayu), atau selepas Maghrib berjemaah, maka kami mula bertakbir sehingga Isyak.

Ada masa Abah bertakbir dengan tangis, sedu.

Kenapa? Saya juga bertanya, dia kata, Syawal adalah Hari Kemenangan Manusia beribadat pada Bulan Ramadhan, dan dia sedih andai Allah takdirkan ini Ramadhan terakhir buatnya.

Selepas Isyak, yang perempuan sibuk berketupat, berendang dan segala persiapan.

Yang lelaki pula akan sibuk bertakbir di rumah jiran semua hingga lewat malam.

Esok, usai- saya MELAYU saya guna selepas boleh ya, selepas Subuh selepas berjemaah, kami bertakbir dan akan menjalani upacara yang "menyiksakan", yang dipanggil tradisi.

Tradisi Raya ini hanya diamalkan segelintir keluarga termasuk kami, iaitu ceramah agama oleh Abah.

Dan kemudian bermaaf-maafan. Disini juga kita merosakkan kegembiraan hari raya, kerana menangis minta ampun dari ibu dan bapa, yang mana dosa kita masih ditanggung mereka.

Saya fikir, air mata sedih juga mempunyai dua kategori.

Satu kita bersedih kerana kecewa.

Satu lagi kita bersedih kerana gembira. Gembira di kuburan ibu bapa kita, kita makin menghampiri mereka. Tahun ini Raya yang ke 36 saya, sudah 19 tahun beraya tanpa Abah, dan saya gembira sedih kerana sudah semakin hampir setahun untuk disatukan semula dengannya. Jika diizinkan Allah.

Satu lagi kebaikan menziarah di Pagi Raya yang saya perhatikan adalah siratulrahim.

Saya kurang pasti anda, tapi saya seperti kata P.Ramlee sedangkan lidah lagi tergigit ini pula saudara mara, kami punyai perselisihan keluarga.

Ada saudara yang sudah berpuluh tahun tidak bersua, kami bersua di kuburan, dihadapan pusara Atuk dan Nenek yang sama.

Secara tidak langsung dan tanpa disedari, Kuburan di Pagi Raya bukan sekadar bersedih dan menziarah, tapi juga tempat pertemuan saudara khususnya saudara jauh 2-3-4 pupu.

NAMUN, jika tetap berdosa bersedih di kuburan apatah lagi di Pagi Raya, maka moleklah kita semua bawa bunga api. Boleh bergembira main bersama.

Di artikel terakhir bulan puasa ini, izinkan saya undur diri dengan ucap Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Yang buruk dari saya, yang baik dari Allah untuk kalian semua.

Apa pun, teruskan tradisi di pagi hari Raya, ziarah, bermaafan dan menyambut kemenangan waima dengan air mata kesedihan sekalipun apatah lagi sedih memikirkan satu-satunya harapan Nabi SAW dipersetankan kita, iaitu Baginda amat sayang pada UmatNYA, jika kita sayang pada Baginda, sewajibnya kita sayang pada umat Baginda, bukan saling bercakaran apatah lagi untuk perkara kecil.

No comments: