Semua orang ada Emak/Ibu.
Semua orang sayang Emak/Ibu mereka.
Saya bukanlah istimewa, anak soleh atau apa sahaja gelar yang disebut baik atau buruk, saya cuma mahu bahagiakan dia, tidak lebih dari itu yang saya harapkan.
Setiap hari saya doa pada Allah bagi dia Syurga, kerana Syurga sahaja yang mampu balas jasa dan penderitaannya kerana saya. Bukan wang ringgit, bukan rumah atau kereta, bukan dunia yang sementara.
Emak saya Cina, tinggalkan agama yang dianuti sejak lahir, dibuang Keluarga, Rakan dan Masyarakat demi seorang lelaki Melayu.
Apatah lagi mereka bercinta diambang 13 Mei dan berkahwin 4 tahun selepas itu, ketika semua Cina membenci Melayu dan semua Melayu membenci Cina.
Jika Emak/Ibu anda menderita, mereka masih ada adik, kakak, ibu, bapa, abang, pakcik, jiran, kawan dll. Emak saya tiada siapa!!!
Bahagia Emak tidak berpanjangan.
Abah kahwin lain.
Bayangkan jika anda ditempatnya.
Anda tinggalkan agama.
Anda tinggalkan ibu bapa anda sendiri.
Anda tinggalkan abang, kakak, adik, kawan, saudara anda sendiri.
Hanya untuk Allah uji anda dengan poligami?
Emak terhempas! Hancur berderai!
Siapa peduli? Melayu bukan kaum yang peduli kesengsaraan orang lain melainkan untuk bergosip sahaja!
Cina sudah tentu tidak peduli, perempuan ini khianati agama dan kaum mereka apatah lagi selepas 13 Mei.
Melayu sudah tentu pihak pada Abah kerana selain poligami dibenarkan Islam, penderitaan orang itu hal orang, bukan hal "saya".
Akhirnya, sejak Emak ucap Syahadah bersaksi tiada Tuhan di sembah melainkan Allah, Emak seorang. Walaupun ada 6 anak, mereka masih kecil.
Saya menangis bila Emak menangis.
Menyiku air matanya bila di menangis.
Saya bongsu, dan tidak akan panggil siapa-siapa Emak selain dia.
Nasib baik Emak Mertua saya dipanggil Ibu kalau tidak, gawat!
Selepas berkahwin, saya masih anak Emak.
Orang kata saya zon selesa ker, orang kata saya manja ker, orang mahu kata apa sahaja, saya tidak baca pula di Quran mengatakan berdosa jadi anak Emak dan hari-hari berjumpa Emak.
Tidak apa. Saya tidak mahu jadi barat. Modern, terbuka, minda kelas pertama, tapi dianggap HINA bila masih duduk dengan Emak, dianggap lemah jika setiap minggu balik berjumpa Emak.
Saya hanya mahu jadi anak yang mampu bahagiakan Emak dia, lagipun saya antara sedikit yang tinggal yang masih percaya bukan hanya duit boleh bahagiakan orang.
Ketika berkerja sebulan di Dubai, saya juga dapat tawaran kerja disitu.
Ketika di Malaysia, banyak peluang untuk saya berhijrah, KT, PP, Sabah, Sarawak. Sebut sahaja.
TAPI;
Saya tidak mampu tinggalkan dia seorang.
Membawanya bersama saya adalah mustahil, kerana 7 rawan rohnya, tiap satu ada pada 7 Anaknya.
Semasa dia kematian bayinya, dia telah kehilangan satu rohnya. 3 Bulan dia meracau gila kata Abah. Juga seorang tanpa saudara, kawan, adik beradik, ibu bapa beri sokongan.
Saya tahu, mungkin saya boleh disisinya setiap hari, tapi saya mungkin tiada disisinya bila dia mati kerana kawan saya pernah jaga ibunya 10 tahun, setiap hari. Baru sehari dia pergi Umrah, Ibu dia meninggal.
Dari kecil hingga kini, satu doa sudah saya gugurkan kerana saya baru tahu bahawa Syurga dan Neraka itu atas amal sendiri tidak boleh ditebus, tapi satu lagi doa saya adalah saya tidak mahu lihat dia mati, biar saya mati dahulu.
Bila baca terjemahan AlQuran surah Yusof, saya sedar, saya pentingkan diri.
Emak juga pasti tidak sanggup lihat saya mati lebih dahulu dari dia seperti Nabi Yaakob.
Hari ini saya masih seorang yang gagal.
Tidak berkerja, perniagaan gagal, tiada harta dan masa hadapan.
Tapi saya masih anak Emak.
Mahu saya migrate? Tunggu dia mati dahulu!
Jika tidak, maka kebumikan sahaja saya di Tanah Melayu yang tidak sehebat barat ini.
Ya Allah, tempatkanlah Emak dalam Syurga, kekal bersama Abah. Semoga dapatlah Aku, Isteri dan Anak-Anakku berserta mereka, berserta Anak-Anak Emak yang lain. Amin.
Minta maaf Emak, saya "belum" mampu beri Emak material, hanya harapan dan doa mampu dipanjatkan. Amin.
PS: Pada anak-anak Emak/Ibu/Abah/Ayah/Papa/Mama/Daddy/Mammy/Abi/Umi yang migrate dan berada di luar Negara. Semoga Tuhan bersama kamu, disini biar aku di sini berlapik alasan Emak, aku tidak peduli apa orang mahu kata, aku hanya peduli apa Allah akan kata tentang aku.
Ingat! Sebarkanlah Islam agama Allah. Action is louder than talk. Zakir Naik talk(itu caranya) tapi action kita(ini cara yang kita mampu) adalah dakwah terbaik.
Dakwah paling berkesan adalah melalui budi pekerti yang mulia yang boleh ditunjukkan pada bukan Islam. It goes direct to their heart!
Make them believe, dont let them make us believe.
Wallahulam.
PS Kedua:
Pada anak-anak Emak/Ibu/Abah/Ayah/Papa/Mama/Daddy/Mammy/Abi/Umi yang masih berada di Malaysia, telefonlah Emak/Ibu anda.
Jika kita boleh bodek, puji, kipas Bos, kenapa tidak boleh bodek, puji, kipas Emak/Ibu.
Jika kita boleh hipokrit untuk jaga hati suami, isteri, anak, kawan, jiran, bos dll. Kenapa kita tidak boleh hipokrit jada hati Emak/Ibu.
Jika berselisih dengan jiran, suami, isteri, kawan kita boleh mengalah dan berbaik semula kenapa biarkan perselisihan dengan Emak/Ibu berlarutan. Mengalah dengan Emak/Ibu adalah kemenangan yang sebenar!
Jangan lebih dari 40 hari tidak berjumpa, jangan biar 3 hari tanpa telefon tanya khabar.
Dulu, saya ada beberapa kekasih Cina, bila masuk keperingkat serious, saya sering berkata pada mereka. I rather lose my love, than world lost a good daugther.
Saya tidak boleh cakap macam itu pada isteri, tapi saya sering berkata pada Isteri, saya lebih rela dilukakan, dari lihat dia melukakan ibu dan bapanya sendiri.
Tidak kira dimana jua anda berada, berdoalah pada Tuhan kalian berilah Ibu Bapa kita Syurga, kerana ia kekal selamanya dan itulah kebahagiaan yang sejati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment