ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, September 30, 2014

HAPUSKAN TANAH RIZAB MELAYU DI ZON KRITIKAL


Hapuskan sahaja terus Tanah Rizab Melayu di zon atau kawasan kritikal atau naikkan status Tanah Pertaniannya kepada Perumahan atau industrial secara percuma dan automatik.

Saya anak Melayu yang memegang beberapa Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor menyarankan supaya semua Tanah Rizab Melayu zon kritikal dihapuskan serta merta kerana tidak relevan, mengakibatkan Tanah terbiar apatah lagi undang-undang Negeri sedia ada menghalang pembangunannya.

Secara ringkas, Tanah Rizab Melayu yang terkandung dalam wasiat raja terakhir direbut dan dimiliki oleh orang Melayu sejak 60 tahun dahulu semuanya berstatus Tanah Pertanian. 1 ekar Tanah Rizab Melayu yang dimiliki seorang penama pada 60 tahun dahulu kini dimiliki oleh antara purata 50 pemilik pada hari ini atau  kurang 800 kaki persegi seorang.

Soalannya apa yang boleh dibuat dengan keluasan tanah 800 kaki persegi seorang selepas Undang-undang Negeri pula memaksa pengambilan longkang dan jalan maka yang tinggal hanya kurang 500 kaki.

Dengan masalah faraid yang membelenggu Tanah Rizab Melayu sehingga mengakibatkan RM 40 billion hartanah Islam beku.

Beberapa usaha oleh pemilik Tanah Rizab Melayu seperti saya juga menemui jalan buntu apabila PBT tanpa ragu menolak permohonan membina rumah dan kedai kerana perlu menukar status pertanian kepada status perumahan terlebih dahulu. Di peringkat awal permohonan menukar status di Pejabat Tanah, anda akan dijadikan bola disepak kesana, dilambung kesini kemudian berpusing-pusing akhirnya kembali ketempat mula-mula anda datang yakni Bahagian Pusaka Kecil.

Ada juga PBT yang berakal tidak menghalang pembinaan rumah atau kedai di Tanah Pertanian namun ia membiarkan pemilik melanggar undang-undang dimana bila perlu PBT akan mengambil tindakan roboh disebalik nama undang-undang salah guna status tanah.

Saya mengalami kerugian yang teruk, dan trauma kekal akibat cuba membangunkan Tanah Rizab Melayu saya dimana usaha saya bermula pada 2004 cuba menukar status tanah pertanian dengan menjejaki, berbincang dan bergerak dengan 50 pemilik dalam Keluarga berlainan. Selepas 4 tahun dibolakan Pejabat Tanah akhirnya saya kembali ke tempat mula-mula saya datang iaitu ARB atau Bahagian Pusaka Kecil. Bila ke PBT, semua permohonan bangunan perlu mendapat tandantangan semua 50 pemilik Tanah  samada hidup atau mati, yang mati perlu surat dari Pejabat Tanah, Bahagian Pusaka Kecil lagi.

Kini nasib Tanah Rizab Melayu bergantung sepenuhnya pada keikhlasan NGO seperti PERKASA, PPIM, DPMM dan parti politik seperti UMNO, PKR dan PAS serta NGO lain termasuk Ke Bawah Duli Yang Di Pertuan Agung melalui Majlis Raja-Raja menukar status tanah pertanian Tanah Rizab Melayu secara automatic dan percuma kepada Perumahan atau Industri kerana itulah satu-satunya cara untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu. Jika Perdana Menteri boleh menjanjikan naik taraf status tanah pertanian kepada komersil secara percuma kepada masyarakat Cina di Sg Buloh sebelum PRU 13, ia juga boleh dilakukan untuk kemashalatan orang Melayu Islam.

Jika usaha tersebut menemui titik noktah jua, saya menasihatkan semua pemilik Tanah Rizab Melayu jangan sesekali cuba usahakan Tanah anda dan paling mudah jual sahaja kepada Melayu AliBaba Cina atau kepada Orang Kaya Melayu yang semakin kaya. Paling penting untuk tahu, tiada guna anda memiliki Tanah Rizab Melayu selain untuk digunakan sebagai modal raih undi anda 5 tahun sekali.


Kesimpulannya, Tanah Rizab Melayu perlu dihapuskan demi pembangunan Negara atau diubah statusnya supaya pembangunan dapat dilakukan oleh pemiliknya tidak seperti sekarang adalah mustahil untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu tanpa menghadapi gangguan dan kacauan dari PBT.

No comments: