ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, April 30, 2014

Hari Mendung Abah



2 minggu lepas ada satu berita yang menyedihkan sampai kepada saya. Dua adik saya ditangkap polis kerana terlibat dengan najis dadah. Walaupun dari ibu yang berlainan, tapi kami memiliki Abah yang sama, darah keturunan yang sama, justeru mereka adalah adik yang saya wajib jaga dan dipertanggungkan dosanya sebelum baligh. Saya dan Abang bersetuju untuk mengabaikan mereka jika mereka terlibat mengedar dadah. Kerana menyusahkan diri itu satu hal, tapi kalau mengedar dadah mereka memusnahkan hidup orang lain dan kami tidak mahu bersubahat.

Dadah bukan baru untuk Abang dan saya kerana adik Abah juga terlibat dengan najis dadah. Beratus kali kami menyaksikan aksi menghisap dari atas kertas rokok yang disalai atas api. Alhamdulillah, dengan kudrat dan iradat Allah kami berdua tidak terlibat dengannya, merokok pun tidak.

Hari ini selepas disahkan air kencing mereka positif adik kecil dimasukkan ke Pusat Serenti kerana kesalahan kedua dan Adik Besar di lepaskan dengan jaminan polis.

Sedih hati ini. Hancur dan luluh mengenangkan perasaan Abah “disana”.

Semasa Abah hidup dia selalu berkata kepada saya dan abang jika ada antara anak-anaknya menghisap dadah dia akan pancung hidup-hidup. Malangnya dia sudah tiada, dan saya tidak sependapat dengannya walaupun saya tahu itu sekadar kiasan dan ugutan sahaja.

Hari ini hari mendung Abah.

Harapan saya seperti Abang lain berharap agar adik-adik saya dapat berhenti dari najis dadah walaupun saya sedar ia amat mustahil. Sepertimana kata sahabat saya Kpl Abdul Rahman dari IPK Selangor, penagih yang sudah berhenti benci tapi rindu dengan dadah. Perasaan rindu itu tidak terucap dan sebab itu mereka mudah kembali menagih dadah.

Ada ketikanya kami terfikir apakah jika kami tegas, garang dan memukul adik-adik dari kecil selepas pemergian abah mereka akan jadi lebih baik atau sebaliknya. Malahan, kebiasaan drama TV yang memperlihatkan abang-abang dari ibu tua ganas tidak terjadi.

Mungkin jika antara saya dan abang ada yang menagih dadah mungkin adik saya tidak akan hisap dadah.

Entahlah. Wallahualam.

Apa-apa pun, saya berharap dan berdoa tiada antara anak-anak saya dan anak saudara saya yang akan menghisap dadah dan jika boleh jangan hisap rokok.

Kerana peluang untuk kalian menghisap dadah dan ganja lebih tinggi jika kalian seorang perokok. Jika kalian bukan perokok, kemungkinan untuk kalian terlibat dengan dadah amat rendah.

Pada pembaca yang budiman, pastikan anak-anak anda tidak menghisap rokok agar dadah dijauhi. Insya-Allah.

Thursday, April 17, 2014

Karpal Singh Dalam Kenangan


Apa yang dicoretkan berikut bukan untuk menghina Karpal Singh sebaliknya ia adalah sebahagian dari aspirasi beliau yang memperjuangkan kebebasan bersuara serta hak menyatakan pandangan. Apatah lagi jika semua yang dicoret disini adalah berlandaskan fakta dan kebenaran.

Walaupun sudah banyak teori palsu kedengaran di internet seperti daulat Raja Perak, konspirasi politik persis Teoh Beng Hock, Karpal Singh menyimpan dan tahu terlalu banyak tentang satu pihak, Tuhan permudahkan perjuangan hudud Kerajaan PAS Kelantan dan sebagainya ia tidak boleh dipercayai kerana hidup dan mati adalah kerja Tuhan dan bukan manusia.

Karpal Singh sudah mati, legasi dan impiannya terus hidup dan harus didokong dan dihormati oleh ahli keluarga, pengikut serta rakyat Malaysia amnya dan artikel ini adalah bukti perjuangan beliau terus hidup.

Karpal Singh adalah seorang peguam dan seorang Ahli Parlimen. Beliau juga digelar Harimau Jelutong yang tidak meninggalkan belang sebaliknya meninggalkan nama hasil dari perbuatan dan tindakan. Antaranya;

  1. Karpal Singh adalah anak pendatang India Punjabi di Pulau Pinang
  2. Karpal Singh adalah penentang utama kepada penubuhan Negara Islam dan Hudud
  3. Beliau terkenal dengan kata “Langkah Mayat Saya Dahulu” jika Malaysia mahu jadi Negara Islam
  4. Beliau juga menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS yang mahu Malaysia menjadi Negara Islam
  5. Beliau pernah ditampar oleh orang Selayang bernama Arhshad bin Mat Gamat(Arwah)
  6. Karpal Singh adalah individu yang bertanggungjawab menjatuhkan kerjaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri
  7. Karpal Singh adalah orang pertama yang mendedahkan Salahlaku Seks Datuk Seri Anwar Ibrahum kepada umum dalam Parlimen pada 18 Disember 1997(Parlimen Kesembilan, Penggal Ketiga, Mesyuarat Ketiga)
  8. Selepas saranan beliau mendapat perhatian Perdana Menteri hingga Timbalannya dipecat dan di dakwa, Karpal Singh kemudian bertindak sebagai Peguam Pembela kepada kes yang sama       
  9. Karpal Singh adalah seorang pemimpin pembangkang yang hebat disebabkan itu;
  10. Kehebatannya menjadikan Tun Dr Mahathir, musuhnya sebagai pemimpin hebat seluruh dunia.
  11. Karpal Singh individu yang bertanggungjawab mengesyorkan akta mewajibkan penumpang belakang memakai tali pinggang keledar. Usahanya telah banyak menyelamatkan nyawa penumpang kereta dan menariknya beliau maut dalam kemalangan kereta
  12. Beliau adalah pendokong utama menentang hukuman mati di Mahkamah Malaysia
  13. Namun pada Julai 2010, Karpal Singh cadang perogol kanak-kanak dihukum mati              
  14. Karpal Singh adalah seorang rakyat Malaysia yang berani menyaman Raja Johor pada 1986  
  15. Beliau adalah seorang Rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara yang berbunyi “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”, “Keluhuran Perlembagaan” dan lain-lain
  16. Beliau juga terkenal dengan dipetik sebagai berkata Anwar Ibrahim harus bertaubat dipercayai kerana menggalakkan amalan lompat perti yang kemudian memakan diri Pakatan Rakyat  
  17. Malaysia mengenali beliau sebagai seorang yang angkuh melalui kata-katanya tetapi orang yang rapat dengan beliau mengatakan beliau seorang yang baik dan tidak sombong
  18. Semangat Perjuangan beliau perlu dicontohi kawan dan lawan
Karpal Singh amat hebat sehinggakan kematiannya juga dapat digunakan oleh kita sebagai pelajaran dimana apa yang kita ucap, apa yang kita lakukan, apa yang kita perjuangkan akan dinilai sejarah.

Sejarah akan mengingati beliau sebagai seorang yang hebat dalam memperjuangkan apa yang beliau percaya. Sejarah juga akan menilai apa sahaja yang beliau lakukan dan ucapkan.

Tidak perlulah diselami mengapa ada beberapa percanggahan tindakannya diantara fakta diatas, sebaliknya wajarlah kita mengenang sumbangan beliau sambil mendengar lagu yang pernah diharamkan di Malaysia awal 80-an, yang bertajuk Satu Senapang , Peluru Dua dengan lirik popular, “kicik-kicik lembu jaga”.

Akhir sekali, saya mewakili rakyat Malaysia yang lain samada yang menyokong, tidak menyokong atau membenci Karpal Singh ingin mengucapkan takziah kepada ahli Keluarganya dan secara peribadi saya menggangap beliau sebagai seorang yang hebat yang punya jasa, sumbangan dan legasi kepada Malaysia.

Marilah kita ambil yang baik dari beliau, dan yang buruk kita jadikan sempadan dan ingatan agar sejarah mengingati kita sebagai rakyat yang baik dan bukan rakyat yang tidak baik.

PS: Jika Keluarganya tersentuh dengan artikel ini saya minta maaf dan mohon jangan saman saya kerana saya hanya meneruskan perjuangan Karpal Singh iaitu hak kebebasan bersuara.

Wednesday, April 16, 2014

Melayu Kaum Remeh - Tisu

Adakah anda bangga menjadi Melayu??? Sudah tentu. Sebagai bangsa atau kaum yang paling muda dalam dunia, Melayu telah mencapai pelbagai kejayaan. Namun, ia masih jauh jika dibandingkan dengan kaum lain khususnya Cina yang seumpama bayang-bayang dengan Melayu.

Malangnya hanya satu, Melayu terlalu PHD dan jarang menggunakan akal untuk memajukan diri apatah lagi dalam perihal isu remeh seperti tisu. Lebih mengerikan lagi apabila Melayu suka menyalahkan pihak lain dan malas menilai salah diri sendiri dengan tujuan memajukan diri.

Sehinggakan tisu di kedai makan disensasikan sebagai kedekut dan tidak berdaya saing. Peniaga Melayu teruk diseranah pelanggan kerana kedekut tisu dan tidak hygiene dakwa mereka. Sehelai tisu seringan 0.01gram diperbesarkan sehingga yang salah nampak betul, yang betul nampak salah!!! Natijahnya, nilai suka menuding jari dan tidak menggunakan akal fikiran ini membawa kaum kita kearah menjadi kaum haprak!

Melayu yang 99% beragama Islam jarang mendalami makna Al-Quran malahan terjemahan Al-Quran juga hanya dipelajari selepas berpuluh tahun membacanya dalam bahasa Arab. Justeru, Melayu gagal memperlihatkan kualiti serta kesucian Al-Quran dalam kehidupan harian.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa orang Jepun mencuci sampahnya terlebih dahulu sebelum membuangnya, baik sampah kering mahupun basah. Disebabkan itu, ramai yang bercita-cita menjadi Eksekutif Kebersihan kerana ia tidak sekotor sampah di Malaysia. Pendek kata, orang Jepun memperlihatkan wajah Allah dengan senantiasa memajukan diri dalam kehidupan khususnya kebersihan bersama.

Yang peliknya, kedai Mamak sudah lebih 20 tahun tidak menyediakan tisu, malahan hanya 5 helai tisu diletak didalam satu bekas di Kaunter bagi mengelakkan pelanggan mengambil banyak tetapi jarang kita dengar orang Melayu marah Mamak walaupun harga Milo Aisnya adalah RM 2.80 berbanding Kedai Melayu RM 2.00.

Sebelum kita menyalahkan peniaga Melayu yang mengikut jejak Mamak tidak menyediakan tisu perlulah kita gunakan akal dan cermin diri kita. Berapa ramaikah orang Melayu yang membawa tisu, sapu tangan dan air masak bersama mereka? Berapa ramaikah orang Cina, Eropah dan Jepun yang membawa sapu tangan.

Orang Melayu mempunyai kesedaran sivik yang rendah dan menggunakan tisu untuk mengelap tangan, mulut dan hidung. Menjadi tabiat Melayu membuang tisu tersebut diatas pinggan dan dalam gelas minuman. Sewajarnya, tisu ini dibuang sendiri dalam tong sampah bagi mengelakkan sebarang pemindahan virus kita kepada orang lain. Pelayan kedai juga takut untuk memegang tisu tersebut dan terus meletakkannya bersama pinggan lain untuk dibasuh.

Ada orang Melayu peduli jika mereka sebarkan penyakit pada orang lain yang lebih lemah????

Peniaga pula mendapati tisu sering mengakibatkan sinki mereka sumbat. Lebih teruk jika longkang pula sumbat kerana tisu yang basah sukar hancur dan akan bergumpal dengan sisa makanan lain termasuk minyak lalu menghasilkan berjuta mikro organisma lain yang tidak diketahui bahaya kepada kita.

Asasnya, perkara remeh memang bagus diteliti tapi bukan dengan menyalahkan orang lain, sebaliknya berusaha dan mengambil inisiatif membuang tisu kedalam tong sampah, atau lebih baik gunakan sapu tangan sendiri yang lebih terjamin.

Jika orang Melayu menjaga semua perkara remeh dengan berusaha berubah menjadi orang yang lebih baik sejajar dengan agama Islam, maka tidak mustahil Melayu akan dikenali diseantero dunia sebagai bangsa yang mempunyai peradaban tinggi. Insya-Allah.

Memetik pepatah Melayu, "Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan"

Malaysiakini Benci Islam, Hanya Akhbar Melayu Pertahan Islam



Saya adalah pembaca tegar Malaysiakini sejak ia mula beroperasi penghujung 90-an. Cuma saya tidak pernah menyumbang walau sesen pun kerana agendanya yang benci Islam.

Walaupun saya sudah membaca Utusan, Berita Harian, Harakah dan pelbagai akhbar lebih 25 tahun dahulu, Malaysiakini menjanjikan berita yang terkini serta dilihat bebas. Sekurangnya, itu yang pemiliknya mahukan dan yang pembaca mimpikan.

Malangnya, manusia adalah subjek lemah yang ada keperluan.Untuk memenuhi keperluan, manusia mempunyai harga yang berbeza-beza dibataskan secara kolateral antara agama dan prinsip. Secara teknikalnya, selagi pengamal media adalah manusia maka adalah mustahil kebebasan media dicapai melainkan ia hanya retorik dan omong kosong sebagai propaganda melariskan dan mempengaruhi pemikiran pembaca.

Terbaru, Malaysiakini untuk kali keseribu menjual harga diri orang Islam di Malaysia. Mereka galak menghasut Bukan Islam untuk membenci orang Islam dalam isu hak penjagaan anak yang diberi kepada ibu bukan Islam yang kemudiannya “dirampas” oleh bapa muallafnya.

Dikala akhbar cetak lain mengambil sikap sederhana dengan tidak mensensasikan isu tersebut kerana khuatir mengguris hati bukan Islam, Malaysiakini berterusan menyerang kredabilliti anggota penguatkuasa yang berugama Islam yang bertindak mengikut akta yang ada samada Sivil mahupun Syariah. Malaysiakini langsung tidak peduli akan perasaan orang Islam terhadap artikel mereka apatah lagi atas komen mereka yang menggunakan nama samara dalam ruang komen pembaca untuk membakar sentimen benci Islam.                     

Untuk rekod, sebarang pindaan perlembagaan harus dilakukan didalam Parlimen dan selagi ia tidak dipinda wajib untuk kita menjunjung Perlembagaan Malaysia yang meletakkan kuasa sivil dan Syariah setara, melainkan jika kita bukan rakyat Malaysia.

Orang Islam tanpa mengira fahaman politik wajar mempertahankan akhbar Melayu sepanjang masa kerana hanya melalui soladiriti bersama akhbar Melayu Islam mampu diperjuangkan.

Kita harus sedar dan belajar bahawa kemenangan perang hanya boleh dicapai melalui perang memenangi hati dan minda rakyat.

Kegagalan mengawal ideologi rakyat yang dihembus melalui akhbar ke dalam otak manusia telah mengakibatkan Amerika gagal menakluk Vietnam dan Negara kerdil Jepun berjaya menakluki Negara Gergasi China. Instrumen akhbar amat penting dalam menyebarkan bukan sahaja maklumat tapi membentuk pemikiran manusia secara halus dan tanpa sedar.

Sebagai contoh, apa yang cuba dilakukan Malaysiakini amat jelas untuk membentuk pemikiran kebebasan beragama dalam masyarakat Melayu Malaysia dimulai dengan golongan muda dan liberal.
Sejarah membuktikan, melalui akhbar Cina dan English golongan ini berjaya meracuni pemikiran orang Cina supaya memberi pilihan anak mereka memilih agama baru dan meninggalkan agama Buddha. Saya secara peribadi mengenali seorang gadis Cina yang mahu memeluk agama Kristian tetapi ditentang hebat oleh bapanya di Kg Baru Sg Buloh pada awal 2000. Kini sentimen tersebut sudah lenyap dan akhbar berjaya memainkan peranannya melemahkan pengaruh agama Buddha keatas generasi muda.

Kini taktik yang sama digunakan oleh Malaysiakini secara terbuka dan akhbar perdana English secara halus. Serangan berterusan dan terancang ini disasarkan kepada orang Islam diketuai Malaysiakini yang sudah bersuara lama dahulu menyokong dan memihak sesiapa sahaja yang mahu mencabar Islam seperti Lina Joy dan lain-lain.

Persoalannya apakah kita mahu generasi anak kita senasib generasi Cina lewat 90-an yang kini semakin ramai mempunyai nama  Gereja dan sudah menukar agama?

Tolonglah, walaupun kita benci pada Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian, Suara Keadilan dan Harakah, tapi dalam soal kesucian dan hak Islam kita wajib mempertahankan akhbar Melayu yang telah dan akan terus mempertahankan saudara baru kita dan mengukuhkan akidah kita semua.

Ingat, hanya akhbar Melayu akan perjuangkan nasib orang Islam dan mempertahankan kesucian orang Islam maka wajib kita memberi sokongan padu kepada akhbar yang berkenaan dan boikot akhbar yang benci Islam.




Thursday, April 10, 2014

Motor Besar, Kereta Mewah dan Pokok Ekonomi Melayu



Saya biasanya menulis panjang agar maksud saya dapat disampaikan dengan terang dan jelas. Kadang-kadang penulisan saya bosan, tersasar dan selalunya kering idea. Mengekalkan momentum dan air penceritaan bukan mudah apatah lagi bila tiba saat meringkaskan. Saya cuba ringkaskan lagi. :) 

Tajuk diatas sinonim dengan masyarakat Melayu sebaya saya yang gemarkan kereta mewah BMW, Honda, Alphard dan juga motor berkuasa tinggi.

Muda-muda lagi sudah berjaya dan bergaya. Hanya Alhamdulillah mampu saya ucapkan selain tumpang gembiradih kerana dunia saya tidak sebanding mereka. Gembira kerana rakan sudah maju dan senang, sedih kerana ekonomi Melayu masih belum kukuh seperti pokok sebaliknya goyah seperti lalang.

Kebanyakan peniaga yang saya jumpa lebih berusia dari saya masih terkial-kial seperti saya. Kesedaran untuk berniaga atau membina pokok emas lambat datang pada mereka. Dengan makan gaji seperti mengutip buah yang gugur, akhirnya pekerjaan mereka digantikan orang lain barulah mereka sedar mereka hanya menumpang teduh dibawah pokok milik orang lain.

Seharusnya orang Melayu mengukuhkan ekonominya dengan berniaga dan mengelakkan dari kebergantungan terhadap majikan, makan gaji dan simpanan semata. Binalah pokok yang teguh yang mengeluarkan hasil yang lumayan dan berbelanjalah dengan hasil tersebut bukan pokok.

Dengan duit yang dibelanjakan untuk kereta mencecah ratusan ribu ke jutaan, wajib bagi Melayu mengikut cara Cina yang hanya berkereta Proton dalam mengukuhkan pokok ekonomi mereka terlebih dahulu.

Berikut adalah fakta. Jumlah orang Cina yang mempunyai simpanan Tunai RM 1,000,000 adalah dalam nisbah 100 kepada 1 dengan Melayu. Jumlah pemilik kereta BMW dan Motor besar Melayu adalah dalam nisbah 100:1 dengan Cina.

Itu belum masuk cerita Melayu beli kereta dari Cina, baiki kereta dengan Cina, beli alat ganti dari Cina, tukar tayar dengan Cina akhirnya jual pun kepada Cina di Kedai Kereta Terpakai. Buruk kata, tiada Cina Melayu mati!!!

Semoga ramailah Eksekutif Muda Melayu yang berkereta mewah dan bermotor besar sedar dan mula mengorak langkah membina pokok yang teguh agar ramai anak bangsa dapat tumpang berteduh.

Tuesday, April 8, 2014

Dilema PBT Menangani PHD Melayu



Utusan 8 April memaparkan berita IKHLAS atau pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Sederhana Malaysia, mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membangunkan Jalan Kenanga yang dilihat lebih banyak menguntungkan peniaga Kaum Cina. Presidennya, Mohd Rizuan Abdullah turut mempersoalkan kenapa DBKL tidak mencari kawasan Melayu dan Bumiputera untuk dibangunkan tetapi memberi tumpuan kepada Jalan Alor dan Jalan Kenanga yang dikuasai hampir 100% kaum Cina.

Sebelum saya bertemu dengan Tuan Haji Azam bin Mohamad, Ketua Jabatan Bangunan, Majlis Perbandaran Selayang pada Hari Bertemu Rakyat, saya juga tidak punya jawapan kepada soalan Presian IKHLAS itu. Kini, saya jelas bahawa Pihak Berkuasa Tempatan seperti MPS, DBKL, MPAJ, MBBJ, MBSA dan banyak lagi sebenarnya berada dalam dilema.

Ini kerana setiap kali mereka bertindak meroboh atau tidak membangunkan kawasan Melayu, mereka akan dituduh sebagai anjing, sampah, dan segala kata nista. Padahal mereka ditekan untuk bertindak atas laporan dan aduan yang dibuat oleh orang Melayu sendiri.

Sebagai contoh, saya memiliki secebis tanah pusaka 3 ekar yang dikongsi dengan lebih 40 ahli keluarga lain. Masalah faraid dan dengki membantutkan usaha saya membangunkan tanah tersebut dengan jayanya. Apa yang saya mampu lakukan hanyalah membina sebuah Restoran sekadarnya yang diberi nama Rahman Palace di bawah MPS. Kawasan sekitar tersebut adalah Tanah Rizab Melayu dimana penduduk adalah 100% Melayu. Namun, disebabkan PHD orang Melayu, mereka membuat aduan kepada MPS dan MPS terpaksa mengeluarkan notis roboh bangunan yang saya bina demi membangunkan ekonomi Melayu. Apatah lagi dari tanah pusaka terbiar menjadi sarang penagih dan penjenayah, adalah lebih baik saya usahakan walaupun terpaksa merayu dan melutut kepada pihak terbabit.

Tuan Haji Azam yang sebelum ini bertugas di PBT di Kuala Terengganu memberitahu saya bahawa PBT senantiasa beriltizam untuk membantu membangunkan ekonomi orang Melayu. Malangnya, aduan dari orang Melayu berkenaan jirannya ubah suai rumah, jirannya berniaga di rumah, jirannya pakai kereta besar dan parking di luar rumah dan sebagainya membuatkan pihak PBT yang majoritinya Melayu berada dalam keadaan tertekan. Jika tidak bertindak, pengadu tersebut akan kata rasuah dan sebagainya. 

Jika bertindak, orang Melayu yang rugi kerana yang mengadu adalah orang Melayu dan diadu dan bakal dikenakan tindakan juga adalah Melayu.

Sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh menceritakan kepada umum akan fakta dalam tugasan mereka kerana integriti dan akujanji yang dilafazkan. Ia dikatakan menunjukkan setiap tahun 95% dari aduan yang diterima PBT datangnya dari kaum Melayu terhadap orang Melayu sendiri. Hampir tiada seorang pun Cina yang membuat aduan keatas kaumnya sendiri kerana mereka satu hati selain mempunyai hati yang bersih dan tidak busuk seperti orang Melayu.

Barulah saya sedar kenapa dan mengapa Kg Baru Sg Buloh amat pesat membangun sehingga hartanah disana kini bernilai RM 400 sekaki. Begitu juga Kg Lee Kim Sai Rawang sehingga kini ada cadangan membina Pusat Dagangan Terbesar Asia bernilai billion ringgit disana dan banyak lagi.Dan bagi menjawab soalan Presiden IKHLAS, barulah saya faham kenapa lebih mudah DBKL membangunkan Jalan Alor dan Jalan Kenangan dan bukan Jalan Keramat atau Jalan Kg baru.

Barulah saya faham kenapa penempatan orang Melayu kekal sebagai rumah lama walaupun berada di lokasi strategik. Contoh jelas dapat dilihat antara Jalan Selayang Baru yang dipenuhi rumah kedai Cina dan Jalan Selayang Indah yang dipenuhi rumah Melayu lama.

Saya ingin menasihatkan semua Persatuan Peniaga Melayu khususnya Persatuan Usahawan dan Penjaja Kecil supaya mengambil inisiatif mendidik orang Melayu agar membuang perasaan Pentingkandiri, Hatibusuk dan Dengki(PHD) sesama Melayu kerana sebagai orang Islam kita patut saling mendokong ekonomi Islam agar kita menjadi kuat.

Saya juga ingin mengajak kaum saya iaitu Melayu, agar insaf dan tanamlah sifat seperti Cina, jika hari ini jiran anda mengubahsuai rumah kepada 3 tingkat atau membina premis perniagaan, tahun hadapan anda akan mengalahkannya dengan mengubahsuai rumah 5 tingkat dan pusat perniagaan.

Jangan diwarisi sifat busuk yang menjatuhkan kaum sendiri dan akhirnya bila kaum kita lemah, yang disasarkan dan dipersalahkan adalah DBKL, MPS, MBSA, MBBJ dan Kerajaan yang juga dianggotai Melayu. Mereka tiada pilihan kerana pengadu adalah diri anda sendiri. Andalah bertanggungjawab menghancurkan agama dan kaum anda sendiri bukan orang lain.