ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, August 17, 2010

Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Salam 1Malaysia Datuk,

MCA pimpinan Datuk merupakan sebuah Parti kedua terbesar selepas UMNO dan mewakili kaum Cina di Malaysia. Kaum Cina pula menguasai 90% ekonomi Malaysia berbanding kaum lain disemua sektor penghasilan, pemprosesan dan pengedaran. Atas kesepakatan sosial dan kebebasan membuat pilihan, ekonomi Malaysia dijana oleh 3 kaum utama yang mengambil peranan tersendiri sesuai dengan daya usaha, semangat dan pilihan hidup. Kaum Melayu yang membelanjakan berbillion ringgit sebulan adalah kaum paling banyak makan gaji, begitu juga India, manakala Cina pula memilih menjadi ahli Perniagaan, yang rajin dan dedikasi. Tiada sedikitpun perasaan perkauman dalam jati diri rakyat Malaysia dan kita menghormati peranan masing-masing. Seorang Melayu masih dan tetap terus menghantar kenderaan untuk diperbaiki dan membeli pelbagai keperluan dari kedai milik orang Cina dan India begitu juga sebaliknya. Semangat 1Malaysia sebenarnya sudah lama hidup dalam jiwa kita dan ia digilap melalui aspirasi Perdana Menteri dengan Konsep 1Malaysia.

Tidak dapat dinafikan setiap kaum mempunyai aspirasi masing-masing dalam memperjuangkan taraf hidup keluarga, kaum dan agama. Sewajarnya, perkara hak dan kelebihan sudah meresapi jiwa rakyat Malaysia kerana Melayu, Cina dan India bukan baru sehari dua berasimilasi malah telah berjaya di campur-adukkan(rojak). Saya sendiri lahir dari sebuah keluarga hasil percampuran Melayu Cina, dan saya memiliki sifat seorang Cina walaupun mempunyai nama seorang Melayu. Keharmonian ini bukan senang dicapai, dan lebih sukar dikekalkan.

Datuk mewakili aspirasi kaum Cina dimana saya percaya kaum Cina mahukan sebuah Negara yang menghargai dan menghormati mereka sebagai rakyat Malaysia. Lebih tepat lagi, kita semua mahukan Malaysia yang lebih baik, dan lebih adil, tentu sekali. Disebalik itu, perkara sama juga dituntut oleh India malah Melayu sendiri, dan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan berbeza-beza. Sebagai pemimpin, Datuk seharusnya memahami dan melalui media massa menjelaskan secara terperinci kenapa, mengapa, bagaimana, siapa, bila, pilihan yang kita ada dan kesan baik dan buruk dari pilihan kita.

Malangnya, akhbar Cina dan Datuk gagal untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya justeru menghidupkan unsur negatif yang salah terhadap kontrak sosial yang didukung sejak sebelum merdeka lagi. Kini ramai Cina membenci DEB sepertimana mereka membenci setiap orang yang memperjuangkan Melayu, sedangkan mereka sendiri memperjuangkan bangsa sendiri.

Untuk rekod, apa yang terjadi di Malaysia pada 1969 dan Indonesia pada 1998 adalah disebabkan oleh jurang sosio ekonomi yang memisahkan taraf hidup antara kaum seperti langit dan bumi. Nyawa yang terkorban dan kerosakan yang terjadi amat diratapi. Penyesalan tidak berguna jika kita tidak belajar dan sejarah pantas menghukum kita buat kali kedua, ketiga dan mungkin keseratus.



Datuk,

Semua rakyat sedar tuntutan MCA adalah aspirasi masyarakat Cina masakini yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik Melayu, Cina dan India. Bukan hanya Cina, malah ramai yang lain termasuk Melayu sendiri dan India yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik semua dan DEB wajar dihapuskan. Saya sendiri berpendapat begitu apabila ramai sahabat malah saudara bukan Bumiputera yang menjalani ranjau berliku dalam mendaki puncak akademik dan kerjaya. Dalam masa sama, segelintir Melayu menggapai impian dengan mudah hasil pertolongan Kerajaan melalui Sistem Kuota Ke Universiti, Bantuan Pinjaman dan Biasiswa Pelajaran, Dasar Ekonomi Baru, Pinjaman dan Geran Perniagaan, Diskaun Pembelian Hartanah, Sistem Tender dan banyak lagi. Sebagai balasan, ahli Perniagaan Cina cenderung untuk mengambil pekerja berbangsa Cina dan mengiklankan secara terbuka keupayaan bertutur Bahasa Cina sebagai syarat wajib. Hakikatnya, kita rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam perilaku pecah dan perintah ini.

Pahit untuk diakui, Melayu gagal mencapai sasaran 30% penguasaan ekonomi selepas hampir 40 tahun dasar melindungi kaum Bumiputera ini diperkenalkan. Saya percaya, hakikatnya, kekayaan Negara melebihkan 30% khusus untuk Bumiputera sepatutnya memanfaatkan seluruh Bumiputera memperoleh keberuntungan. Namun, diatas beberapa faktor seperti rasuah, kroni, sikap malas berusaha, suka mengambil jalan mudah, takut mengambil risiko dan paling teruk sekali mengalibabakan projek yang diberi, sehingga tender makanan juga diperdagangkan, penipuan dana dan pinjaman perusahaan kerajaan telah menghukum dan menghambat pertumbuhan kaum Melayu.



Datuk,

Saya ingin mengajak Datuk dan seluruh rakyat Malaysia terutama masyarakat Cina yang membuat tuntutan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru untuk sama-sama kita fokus pada penyelesaian bukan pada masalah. Tidak dinafikan, salah satu faktor yang kini dan terus menggagalkan DEB adalah berpunca dari Melayu itu sendiri. Malah, Melayu perlu berfikir di luar kotak kerana adalah mustahil DEB akan bertahan seratus tahun lagi. Malah, adalah amat mustahil untuk Kerajaan terus kekal sehingga bila-bila untuk memastikan hak melayu terus dilindungi serta dikekalkan. Jika hari yang tidak disangka itu tiba, sudah pasti hanya rakyat Malaysia keturunan Cina yang mempunyai kekayaan dalam dan luar Negara mampu membantu Malaysia, dan bila tiba hari itu, apakah Melayu sudah bersedia dengan komplikasinya atau Cina akan mebiarkan Melayu merempat di bumi Malaysia?

Penyelesaian kepada masalah DEB ini memerlukan pengorbanan semua pihak. Dalam ucapan pembukaan dan penutup Perhimpunan Agung UMNO bersejarah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menghuraikan tentang perlunya Melayu melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur. Tun berusaha menyedarkan Melayu tongkat tersebut tidak mungkin selamanya menongkat Melayu malah tongkat tersebut juga terpaksa tunduk pada hukum alam iaitu reput. Bila masa tongkat tersebut ditarik atau reput, Melayu perlu sepenuhnya mampu untuk berdiri sendiri tanpa tongkat. Menggunakan tongkat untuk 40 tahun, malah 100 tahun hanya akan benar-benar mencacatkan Melayu sehingga tidak mampu hidup tanpa tongkat. Secara metafora, Melayu perlu mula melepaskan tongkat dengan menjadi peniaga tulen dan bukannya digelar Syarikat 3%. Melayu perlu rajin menuntut ilmu dan bukannya berpoya malah berpolitik ketika menuntut di Universiti. Itu adalah pengorbanan dan penyelesaian untuk Melayu dan harus diselesaikan secara bersama dan dibantu oleh kaum Cina yang mempunyai sejarah berpuluh ribu tahun.



Datuk,

Penyelesaian kepada tuntutan Cina ini adalah amat mudah. Melayu sendiri sudah pasti lebih dari bersedia untuk mula melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur jika ada kesepakatan dengan penguasa ekonomi Malaysia yakni Cina. Soal masa depan Negara amat serius dan jika Melayu perlu berkorban melepaskan DEB, Melayu perlu satu jaminan dan skim insuran. Dan masih, kesangsian Melayu adalah ketaatan Cina kepada Malaysia. Sebuah Negara yang baru didatangi Cina kira-kira 100 tahun dahulu, dan didatangi Melayu hampir 600 tahun dahulu. Sedangkan dalam Banci Penduduk terkini, ramai orang Cina didapati tidak mampu berbahasa Melayu, malah dalam rekod Balai Polis, ramai pengadu Cina yang tidak mampu menulis, membaca dan bertutur walau sepatah Bahasa Melayu. Apakah jaminan yang mampu Datuk berikan pada Melayu yang Cina akan mempertahankan Melayu sedangkan Bahasa Melayu sahaja tidak mampu dipelihara? Bagaimana Melayu mahu melihat seorang Perdana Menteri Cina mengetuai Malaysia jika penghakisan terus penghapusan identiti Melayu dimulai dengan Bahasa?

Manakala Skim Insuran yang diperlukan oleh Melayu untuk melepaskan hak sebagai kaum majoriti di Malaysia justeru bersaing secara merit adalah penghapusan Sekolah Cina. Sejarah membuktikan, Singapura, Thailand dan Indonesia berjaya melahirkan rakyat patriotik dan menyatukan beratus etnik menjadi satu Bangsa yang bangga melalui sistem satu sekolah. Singapura, Thailand dan Indonesia awal-awal lagi sudah menghapuskan sekolah Cina dan menggantikan dengan sistem satu sekolah kerana mereka sedar itulah satu-satunya jalan bagi melahirkan satu rakyat yang sama dan bersatu hati. Sehubungan itu, MCA boleh memberi insuran kepada orang Melayu yang bersedia untuk melepaskan DEB secara beransur-ansur dengan menutup sekolah Cina secara beransur-ansur juga. Apakah Datuk dan Cina bersedia untuk menutup sekolah Cina dan menjadi rakyat Malaysia yang sama dengan Melayu, India dan kaum lain? Atau, apakah sejarah akan berulang apabila 9 orang wakil dari Persatuan Cina Dong Jiong datang menemui dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memperkenalkan Sekolah Bestari, perintis sistem satu sekolah?



Datuk,

Tsunami politik 2008 membawa banyak masalah kepada Malaysia. Namun, masyarakat Cina percaya dalam krisis(masalah) wujudnya peluang. Peluang ini harus digunakan oleh UMNO, MCA dan MIC untuk terus kekal berkuasa dengan mengambil tindakan berani melahirkan 1Bangsa saksama dari 1Sekolah yang sama. MCA tidak boleh berlengah lagi kerana rakyat telah menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah “Raja”. Hampir 70% “Raja” di Malaysia adalah Melayu dan mereka berkuasa untuk menentukan Kerajaan yang bakal memerintah. Sungguhpun begitu ia tidak bermakna adalah bijak untuk mendengar setiap satu tuntutan 27juta rakyat tanpa menilai kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Malah, kegagalan memperhalusi tuntutan tersebut lalu membuat tuntutan melalui MCA tidak menggambarkan kematangan sebagai pemimpin semua kaum. Apakah pemimpin Cina mempunyai kriteria secukupnya untuk menjadi Perdana Menteri Semua Kaum jika tuntutan ini mengguris hati ramai Melayu selaku majoriti rakyat Negara Demokrasi ini. Malahan dikala tuntutan ini dibuat, Cina mahu kebebasan bersekolah Cina, yang memustahilkan usaha untuk melahirkan Bangsa Malaysia.

Di sebelah sana, Indonesia dan Thailand tidak dibezakan oleh etnik dan bisa diperintah oleh mana-mana rakyat, itupun adalah hasil kejayaan dari dasar mereka menIndonesiakan dan menThailandkan seorang Cina.



Datuk,

Rakyat berterima kasih atas keprihatinan Datuk menyuarakan kemahuan masyarakat Cina dan dalam masa yang sama memberi peringatan awal kepada Kerajaan kini, kegagalan untuk memenuhi tuntutan itu bermakna undi Cina tidak akan berpihak kepada Kerajaan. Sudah tiba masanya diwujudkan satu platform yakni badan pemikir bebas yang mendukong kemahuan semua rakyat iaitu melahirkan satu bangsa Malaysia seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Malah, Datuk boleh merintis impian semua rakyat Malaysia ini dengan memulakan usaha dan kempen penjelasan kepada masyarakat Cina pentingnya untuk semua rakyat Malaysia pergi ke Sekolah yang sama dan bukan Sekolah Cina. Jika Sistem Satu Sekolah tidak diterima semua rakyat Malaysia, maka impian rakyat untuk melahirkan bangsa Malaysia yang adil,merit dan saksama kekal sebagai sebuah mimpi di siang hari. Dan saya yakin, seratus tahun lagi, kita akan bercakap mengenai perkara yang sama, masalah yang sama, kerana kita tidak belajar dari Sejarah Negara yang berjaya.



Yang Berharap,

Mustaqim Abdul Rahman

No comments: