ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, August 19, 2010

PENIAGA TULEN TIANG BANGSA

Wawasan 2020 berbaki kira-kira 9 tahun 4 bulan sahaja lagi. Apakah Malaysia sudah bersedia dan yang paling penting, apakah rakyat Malaysia sudah bersedia. Lebih dari itu, apakah kekuatan diri, mental, moral, sikap, sifat, tabiat, pemikiran, disiplin, nilai diri, jati diri, sudah cukup? Bagaimana pula dengan persiapan dalam kaum dan antara kaum? Seharusnya segalanya seiring dengan usaha kerajaan yang tidak mengenal penat untuk menjadikan rakyat Malaysia bangsa yang maju dari Negara Dunia Pertama.

Malaysia senantiasa dan selamanya merupakan Negara paling unik dalam dunia. Komposisi penduduk Malaysia terbahagi kepada pelbagai kaum dan agama. Negara ini adalah Negara bebas selagi tidak menyentuh sensitiviti yang mampu menggugat keharmonian. Melayu dan Islam membentuk 70% dari 27 juta rakyat Malaysia. Kira-kira 10 billion ringgit dibelanjakan oleh Melayu setiap bulan. Manakala 90% golongan peniaga, pembekal, dan penyedia perkhidmatan pula dibentuk oleh Cina. 90% dari Melayu juga adalah pekerja yang hanya makan gaji. 10% dari Melayu pula menjalankan perniagaan yang mana 90% dari mereka adalah peniaga kecil-kecilan.

Sungguhpun peratusan Melayu berniaga adalah amat kecil, namun ia adalah satu peratusan yang agak membanggakan memandangkan Melayu adalah bangsa yang paling muda dalam dunia. Bagi orang Melayu yang bergelar Peniaga tulen, setiap perniagaan dilakukan demi kemajuan Bangsa, Agama dan Negara. Jika perniagaan mereka berjaya, sudah tentu banyak jawatan kosong justeru sumber ekonomi dapat disalurkan kepada kaum Melayu. Sebaliknya, bagi orang Melayu yang hanya bergelar peniaga komisen, sungguhpun mereka dapat menjana ekonomi Melayu, tetapi dalam jangka masa panjang mereka sebenarnya merugikan kaum Melayu.

Malaysiakini sedang mengalami resolusi hasil dari tsunami politik 2008. Rakyat mula sedar akan kuasa yang ada pada mereka, justeru Kerajaan pimpinan BN berada dalam keadaan paling lemah dalam sejarah Negara. Kerajaan yang kuat satu masa dahulu kini diimbangi oleh kekuatan pembangkang yang bijak memainkan isu dan sentimen rakyat. Semua pemimpin dari mana-mana Parti tidak lagi dapat bertindak sewenang-wenangnya seperti sebelumnya. Dalam keadaan ini, sudah tentu ada golongan yang bermanfaat. Mereka ialah Pegawai Kerajaan.

Untuk rekod Pegawai Kerajaan berjumlah 1 juta orang juga merupakan pengundi yang layak mengundi pada setiap pilihanraya. Jika dahulu mereka perlu tunduk pada kuasa politik yang mengemudi Kerajaan, kini mereka bebas tanpa perlu takut pada tekanan politik. Rakyat memandang senario ini sebagai satu kebaikan hasil kejayaan Parti Pembangkang yang memang senantiasa mencari kelemahan Kerajaan. Persoalannya, siapa yang akan mengawasi tindak tanduk Pegawai Kerajaan ini jika kuasa politik tidak lagi berkesan untuk menekan mereka agar terus berbakti untuk rakyat dan dalam masa yang sama mendokong aspirasi Kerajaan BN? Kerajaan BN senantiasa berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat, mengekalkan keharmonian agama dan kaum, ini termasuk mengenalkan pelbagai pelan jangka masa panjang dan peraturan termasuk MEB. Model Ekonomi Baru yang mendokong aspirasi 1Malaysia perlu pengorbanan, kerjasama dan semangat Bangsa Malaysia bagi menjamin kedudukan hidup dan ekonomi semua kaum dan agama mengikut pecahan masing-masing. Tetapi, Pegawai Kerajaan yang terlalu bebas dan berkuasa menyukarkan usaha Kerajaan. Lebih teruk lagi, angkara Pegawai Kerajaan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan BN dan rakyat pantas menghukum BN walhasil, Pegawai Kerajaan ini yang melakukan kesalahan tanpa mana-mana tekanan dari BN. Sudah pasti, jika Kerajaan bertukar sekalipun, mereka tetap akan melakukan kesalahan yang sama kerana mereka yang paling berkuasa dalam Kerajaan kini.

Bukanlah rahsia lagi bagi ramai Penjawat Awam dan Kontraktor Besar Kerajaan, ada Kementerian yang Ketua Setiausahanya mempunyai kuasa seorang Perdana Menteri. Para Pengarah, Ketua PBT, Timbalan Ketua Setiausaha dan lain-lain semuanya mencemar imej Penjawat Awam dengan pelakuan rasuah, kroni, penipuan dan sebagainya. Sehinggakan ramai Peniaga Tulen menjadi mangsa kerana mereka hanya berbekalkan pengalaman yang ada, kemahiran yang dimiliki, kewangan yang stabil serta kebolehan menjalankan perniagaan yang tidak disangkal. Namun, kerana mereka tidak mempunyai pertalian saudara dan “kawan” dengan Ketua-ketua Kerajaan maka Peniaga Komisen merajai setiap peluang perniagaan yang ada.

Perdana Menteri sudah berjuang sehabisnya untuk memartabatkan Melayu. Malah dalam setiap Budget Negara pasti berbillion ringgit diperuntukan untuk Melayu termasuk dana dan pinjaman perniagaan, pengurus dana dan pinjaman ini juga adalah Penjawat Awam. Kerana kekurangan nilai diri pada diri pengendali, banyak penipuan berlaku sehingga kantung dana dan pinjaman tidak mencukupi justeru menyukarkan Peniaga Tulen mendapat bantuan sewajarnya. Bagi Peniaga Tulen, mereka memerlukan modal untuk berniaga dan bukan untuk membeli plat nombor kereta bernilai puluhan ribu. Sudah pasti, mereka akan membayar balik pinjaman kerana perniagaan yang tulen menjana pulangan dan menyumbang kepada pembangunan kaum serta nilainya. Peniaga Komisen pula hanya mahukan komisen untuk membayar kereta mewah, plat nombor kereta, rumah mewah, percutian mewah, gaya hidup mewah dan pendek kata serba mewah. Mereka inilah yang tidak membayar balik pinjaman kerana mereka meminjam bukan untuk berniaga. Mangsanya ialah Peniaga Tulen.

Hampir kesemua Melayu dilahirkan mempunyai mentaliti pengguna dan makan gaji. Mereka tidak diasah untuk keluar dari kepompong tersebut justeru menjadi pencipta dan pemberi gaji. Walaupun sedikit, tetapi masih ada Melayu yang berjiwa tulen untuk meniaga. Tiada istilah skim cepat kaya, MLM, ali baba, Syarikat 3%, tender kerajaan, dan lain-lain. Kebanyakan mereka ini berasal dari Kelantan. Orang Kelantan berjiwa peniaga, ramai yang mempunyai perniagaan Tomyam, Kanopi, Restoran, Kereta Terpakai, Kedai Tayar, Kedai Runcit dan banyak lagi. Seperti Cina mereka berpegang pada semangat perniagaan jujur yang bertahan berpuluh malah beratus tahun untuk dipertahankan anak cucu. Perniagaan satu ibadah dengan berjasa pada orang lain. Malangnya, peniaga konvensional ini jarang mendapat perhatian Penjawat Awam untuk dibantu serta dipimpin. Maka perniagaan orang Melayu hanya bergerak secara kecil-kecilan. Jika ada yang baru mahu maju seperti di KLCC dan Alamanda, Peniaga Tulen dibiarkan sengsara dan dihalau. Tidak dibantu Pegawai Kerajaan kononnya sudah pernah memohon atau lebih teruk mereka di cukai terlebih dahulu oleh Pegawai Kerajaan. Sedangkan Syarikat RM2 dibantu pinjaman puluhan ribu. Akhirnya, yang rugi ialah kaum Melayu itu sendiri.

Peniaga Tulen yang tidak mempunyai kemahiran dan modal menjalankan perniagaan secara konvensional ini terpaksa memberanikan diri den menguatkan semangat dengan menyertai tender dan kontrak Kerajaan. Malangnya, Penjawat Awam begitu berkuasa sehingga mengenepikan kuasa politik yang mahu memastikan mereka mendokong aspirasi Kerajaan dalam memajukan Melayu. Sehinggakan baru-baru ini Ketua Setiausaha Negara sanggup mengeluarkan arahan kepada Penjawat Awam yang mendapat surat dan tekanan politik untuk melaporkan pada beliau. Apakah beliau sedar tanpa kuasa politik yang mampu melakukan “check and balance”, siapa akan jadi Orang Paling Berkuasa? Siapa akan mengawal dan memastikan tiada unsur rasuah dan kroni? Kepada siapa rakyat dan Peniaga Tulen mahu mengadu? Tidak kira siapa yang rakyat undi mereka tetap menjawat jawatan tersebut, oleh itu mereka seperti kaduk berani naik junjung.

Janganlah hipokrit, banyak Syarikat yang Penjawat Awam ketahui memang Syarikat 3%, alibaba, sub sini sana, jual balik kontrak, malah mereka juga “aware” ada Syarikat Bumi yang dimiliki oleh Bukan Bumi, orang Melayu hanya dijadikan sebagai tali barut bangsa sahaja. Letaklah satu muka Melayu sebagai Pengarah dan terpaksa upah Melayu sebagai pekerja kerana berurusan dengan Kerajaan. Beranikah KSU, TKSU, Pengarah, Ketua PBT bersumpah mereka tidak tahu status Syarikat ini dan ketulenan Syarikat Peniaga Tulen. Berani makan beranilah simpan, jangan simpan sampai bernanah didepan Allah kelak sudahlah.

Melayu menjerit kesusahan, ketidak adilan, kesempitan hidup, selain menyalahkan Kerajaan BN, menyalahkan takdir Allah, tetapi pernahkan mereka terfikir keputusan, perlakuan, harga dan nilai diri mereka yang murah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemunduran kaum Melayu. Mungkin hari ini mereka kaya dan mewah hasil menjual kejujuran dan amanah Allah kepada kabatilan, tetapi mereka PASTI akan rugi kelak. Mereka perlu bertanggungjawab kerana memadamkan api semangat Peniaga Tulen. Berapa ramai graduan Melayu, bijak pandai Melayu, ahli Pernigaan Tulen yang sudah berusaha sehabisnya tetapi dikalahkan oleh Peniaga Komisen gara-gara kebrorokan Pegawai Kerajaan yang tercemar? Bila Peniaga Tulen sudah buntu jalan mereka kembali makan gaji dan hilanglah asset paling berharga untuk kaum Melayu. Siapa sangka jika diberi peluang dan dengan bakat yang ada mereka bakal menjadi Bill Gate? Tetapi bakat dan pengetahuan sahaja tidak cukup hari ini, jika dahulu perlu ada kabel politik, kini kabel Pegawai Kerajaan lebih utuh.

Malangnya, siapa yang mampu menghukum mereka yang tidak terjejas jika sesiapun memerintah. Mungkin Allah sahaja gamaknya. Apa sahajapun, memberi kuasa berlebihan pada Pegawai Kerajaan akan meruntuhkan bangsa Melayu kerana Peniaga Tulen adalah tiang bangsa dan kini Peniaga Tulen sedang dibunuh perlahan-lahan oleh Pegawai Kerajaan yang tamak. Saksikanlah, kehancuran yang kita hasilkan dengan tangan kita dan janganlah dipersalahkan Kerajaan BN yang sudah banyak berjasa.

No comments: