ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, August 19, 2010

RIBUT DIJASIN DAN SEKOLAH HAMIL

Teknologi Internet membolehkan kita melihat apa yang terjadi di Jasin. Ribut yang datang seperti angin lalu menyergah keras manusia yang leka membeli juadah berbuka. Diketika Pasar Ramadhan di seluruh Malaysia sedang sibuk melayan pelanggan bermacam ragam. Malah, ada antara anak-anak gadis yang memilih untuk berseluar pendek dan berbaju singkat tidak cecah pusat. Malah ada juga yang mengenakan pakaian berani mati yang sama sekali hanya sesuai untuk ke bilik mandi. Tetapi, apakah itu punca Allah menghantar ribut yang melambungkan 3-4 kanopi yang masing-masing mempunyai berat 180kg sejauh 30 meter ke atas udara? Mungkin, ia hasil kerja manusia yang menimpa bumi dengan pelbagai kemungkaran dan keengkaran kepada Allah.

Kini bersedih, dan bersimpati. Apatah lagi ia terjadi pada bulan yang mulia. Malah, Melaka pula baru mengambil langkah “mulia” memperkenalkan Sekolah Hamil bagi membendung masalah membunuh bayi yang tidak berdosa. Namun, manusia dan setiap perbuatannya tidak sempurna. Ada baiknya dan ada buruknya Sekolah Hamil ini. Baik kerana ia diakui dapat mengurangkan pembunuhan nyawa yang Allah cipta. Buruk, kerana ia menggalakkan penzinaan. Mungkin selepas ini Melaka boleh melancarkan kempen 2 dalam 1 “check in hotel, free pre-register to Pregnant School”.

Seperti yang saya katakan, langkah Melaka amat baik dan jauh lebih baik dari hanya menggelengkan kepala, tumpang bersimpati, mengecam, kesal, kecewa yang biasa digambarkan para pemimpin apabila mengulas kes bunuh dan cuba bunuh bayi ini. Seolah-olah itu sahaja yang pemimpin kita mampu lakukan. Usaha dan idea Dato Seri Ali Rustam ini amat baik dan harus disambut para ulama terutama Majlis Ulama. Kini bola di kaki para ulama, membenarkan Melaka atau melarang. Jika membenarkan apakah langkah supaya tindakan Melaka tidak menggalakkan maksiat dalam masa yang sama banyak bayi dapat diselamatkan.

Majlis Ulama perlu mengeluarkan garis panduan dan hukum membantu golongan penzina ini. Yang kita fahami menurut hukum Allah, rejam sampai mati adalah hukuman dunia terhadap penzina. Namun, Allah Maha Pengasih berbelas kasihan kepada umat Muhammad SAW dengan membuka pintu dan penerima taubat.

Masalah pertama yang utama adalah menyelesaikan akar masalah. Penzinaan, maksiat, pensudalan, harus ditangani untuk mengelakkan terjadi masalah kedua. Selain dari memperhebat kempen, meningkatkan operasi di perkarangan durjana, ibu bapa, penjaga dan masyarakat harus terlibat sama. Selain dari mengheret ibu bapa yang bersubahat, hantar pesalah maksiat ke Sekolah Khas yang akan mengawal jiwa dan nafsu anak muda. Tutup pintu serapatnya dan hanya ibu bapa keluarga sahaja dibenarkan melawat. Saya percaya, jika dikawal, dan diisi kelodak jiwa dengan Solat 5 waktu, nafsu serakah binatang buas juga mampu dijinakkan. Bagi tujuan memberi pengajaran kepada yang lain, gunakan masalah kedua dari Sekolah Hamil di Melaka untuk dijadikan bahan bukti untuk menghukum lelaki yang bertanggungjawab. Selepas bayi lahir, ambil DNA dan sepadankan dengan DNA bapanya yang dtiunjukkan oleh wanita tersebut. Kemudian hukum seberatnya kepada lelaki tersebut dan pasti tiada siapa lagi berani berzina dan menabur benih tidak sah.

Masalah kedua ialah keterlanjuran yang mana penyelesaiannya ialah pembelaan. Membela nasib kedua mangsa dalam kes ini sehingga bayi tersebut dewasa. Mangsa pertama ialah wanita dan mangsa kedua ialah bayi tersebut. Khalifah Allah yang bernama lelaki yang Allah amanahkan melindungi dan memimpin wanita ke jalan Allah mengkhianati janji mereka. Mereka memujuk rayu, memperdaya dengan kata manis, mendorong dengan salah sehingga kes zina terjadi sehingga. Segala sayang dan kasih diucapkan, matahari dan bulan dijanjikan. Apabila wanita tewas dan mengandungkan benih mereka, disuruh pula gugurkan kandungan. Ramai terkeliru kerana ada beberapa pendapat ulama mengatakan tidak berdosa menggugurkan bayi sebelum usianya 100 hari dimana Allah akan meniupkan roh dan seketul daging akan mempunyai nyawa. Nyawa milik Allah dan berdosa bagi siapa yang mengambilnya selain Allah. Ada pula pendapat yang mengatakan sejak hari pertama percantuman benih berlaku, maka berdosa kerana menafikan hak ciptaan makhluk Allah untuk hidup. Justeru, kekusutan membawa kepada tindakan gugur bayi dan lebih teruk bunuh bayi selepas lahir.

Wanita yang mengandungkan keturunan lelaki ini tidak diambil perhatian. Pernahkah kita merasai mengandungkan anak pertama tanpa suami disisi, tanpa ibu dan ayah yang gembira? Jika pernah, itulah perasaan wanita yang senantiasa menjadi sasaran dipersalahkan. Selepas hampir 9 bulan, perasaan wanita mengandung yang tidak mendapat pembelaan, belaian dan bimbingan masih samar. Ketika ini Syaitan dan Iblis sudah mengambil tempat disisi wanita tersebut untuk memberitahu apa yang perlu wanita hamil ini lakukan selepas bayi ini lahir. Dimana pula para ulama, ustaz, imam muda dan tua dan pemikir agama. Tidakkah mereka harus memberitahu dan menunjuk ajar kepada wanita ini apa yang perlu dilakukan sejak hari pertama mereka hamil? Bimbing mereka apa yang perlu dilakukan, bagaimana, bila, siapa, dimana, kemana, hukum harus, wajib, dosa dan pahala dan bukannya hanya berisytigfar ketika mayat bayi ditemui. Ingatlah, wanita adalah mangsa, sebagai ibu, mereka mempunyai naluri semulajadi untuk melindungi bayi mereka, termasuklah menamatkan kesengsaraan bayi tersebut dengan membunuh bayi itu. Buktikan pandangan mereka salah, apakah nasib bayi tersebut tanpa bapa, bagaimana kehidupan bayi tersebut tanpa ibu yang berharta, persekolahan dan layanan masyarakat, bila dewasa kemana hala tuju bayi ini. Ketakutan seorang ibu bertindak terburu-buru menamatkan nyawa bayi dari terus sengsara menghadapi dunia yang kejam. Salahkah mereka atau lelaki yang salah??

Saya percaya, jika ada akta yang mewajibkan lelaki berkahwin dengan wanita tersebut, dan paling tidak lelaki perlu bertanggungjawab memberi nafkah dan menjadi bapa yang sah kepada bayi tersebut sudah pasti seorang ibu lebih dari gembira untuk tidak membunuh anak yang dikandung 9 bulan. Ini kerana, pasti undang-undang dapat memastikan pembelaan sewajarnya kepada bayi luar nikah ini sehingga dewasa. Kerajaan pula akan membantu dan bayi ini bisa hidup dan berhak sepertimana bayi lain. Sukar sangatkah untuk mengesan bapa bayi yang dikandung wanita dengan adanya teknologi DNA? Selepas bayi tersebut lahir, apakah peratusan DNA bayi dan bapanya yang sebenar akan sama, seingat saya The Star pernah melaporkan kebarangkalian persamaan DNA salah ialah 0.0000000000000000000001%. Nah, beritahu pada wanita tersebut, selepas mereka lahirkan anak, kerajaan dan undang-undang akan memperjuangkan nasib mereka dan anak mereka, mereka hanya perlu gunakan jari telunjuk untuk menunjuk kepada calon bapa yang sah, dan selebihnya, gunakan imaginasi kita bagaimana perlu kita hukum lelaki yang mengkhianati amanah Allah dan membiarkan wanita lain mengandungkan anak mereka selama 9 bulan tanpa perhatian langsung. Hukuman yang sewajarnya sehingga bayi mendapat nafkah sewajarnya sehingga mereka habis bersekolah disamping berusaha menyedarkan wanita dan lelaki supaya dapat mendirikan keluarga bahagia walaupun secara paksa. Berdoalah, semoga Allah membuka pintu hati mereka yang menginsafi diri dihukum dan bertaubat . Paling tidak,manalah tahu ada lelaki yang mulia dan sayangkan wanita hamil anak luar nikah ini. Walaupun bukan anak mereka, tetapi kesanggupan mereka berkahwin untuk menyelamatkan ibu dan bayi ini pasti mengundang kegembiraan Allah dan kedukaan Syaitan. Nafkah bayi tersebut pula tetap, harus dan wajib dibayar oleh bapa yang sebenar.

Dengan adanya akta tersebut, sudah pasti lelaki tidak berani lepas tangan dan tiadalah bayi luar nikah. Lelaki akan berfikir sejuta kali, jika keseronokan satu malam akan mengakibatkan mereka perlu membayar nafkah kepada bayi tersebut sehingga dewasa. Pasti tiada lelaki yang mulia mahukan bertanggungjawab angkara noda mereka sendiri.

Sehingga kini, keputusan kerajaan Melaka dikecam hebat ramai termasuk ulama dan PAS. Selain mengaitkan dengan Tragedi di Jasin, ahli agama masih tidak dapat menawarkan apa-apa jalan penyelesaian terhadap kes buang dan bunuh bayi ini. Matematiknya tetap sama, jika Sekolah Hamil menggalakkan zina, Allah akan murka, begitu juga jika banyak nyawa yang Allah cipta dibunuh ketika bayi, Allah juga akan murka. Murka Allah hancurlah kita semua. Fikirkan jalan terbaik kerana Melaka sudah memulakan langkah, jika sumbang, perhalusi dan bimbing Melaka, jika dilarang juga cadangkanlah jalan lain yang lebih baik tetapi janganlah sehingga akhirnya kita tetap tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa ini.

No comments: