ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, August 21, 2010

API YANG MASIH MEMBARA

Api yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati awal tahun ini sudah padam sepenuhnya selepas dua individu yang didapati bersalah oleh Mahkamah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. Hukuman tersebut disambut baik oleh majoriti rakyat Malaysia terutama yang beragama Kristian dan mereka yang sayangkan keamanan Negara. Sungguhpun Kerajaan untuk sekalian kalinya berjaya mengawal api perkauman yang dimulakan pihak tertentu, tetapi api yang sebenarnya masih membara dalam jiwa orang Melayu Islam.

Selepas dijolok beberapa kali antaranya isu kalimah Allah, Murtad, menukar status agama di dalam Kad Pengenalan,selain hak Melayu dipersoal secara terbuka antaranya Dasar Ekonomi Baru, Hak Bumiputera, Kuota, Diskaun Bumiputera, Biasiswa Pelajar MARA, Raja Melayu dicerca dan dihina, Melayu dilagakan sesama mereka, dan banyak lagi, Melayu Islam di Malaysia masih bersabar. Samada mereka bersabar atau kerana pemimpin yang berpecah mempertahankan agenda masing-masing, yang pasti rakyat biasa seperti Ali Ahmad Ariff dan ramai lagi masih memilih untuk tunggu dan lihat seperti pada tahun 1967 dahulu. Pada masa itu kesabaran mereka teruji beratus kali, dan akhirnya mereka tewas dengan amarah yang amat dan kerosakan yang amat besar terjadi. Selepas 40 tahun episod yang sama terjadi. Rumahtangga Islam dan Melayu dibaling batu berkali-kali. Pemimpin Islam Melayu terus bersabar dan tidak pasti kerana sabar itu sebahagian dari iman atau sabar itu melindungi kedudukan mereka sebagai pemimpin berbilang kaum. Masalahnya, apakah orang Melayu biasa mempunyai kesabaran luar biasa seperti pemimpin kita? Apakah kita pernah dan tegar menpersoalkan hak kaum Cina dan India termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan, dasar pengiklanan mencari pekerja mahir dan tidak mahir yang mengkhususkan kaum cina dan keupayaan bertutur bahasa cina, keagamaan dan kebudayaan, pelbagai bidang yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka seperti runcit, import pelbagai barangan asas dan bukan asas, pusat beli belah dikuasai mereka, pembinaan dikuasai mereka dan banyak lagi. Kita percaya pada kebebasan dan hak mereka yang rajin mencari rezeki tanpa mempersoalkan apa-apa begitu juga yang kita harapkan dari mereka. Tetapi, yang berlaku sebaliknya dan mereka tegar mempersoalkan hak kita selaku kaum majoriti 70% yang mana 90% dari kita makan gaji yang diberi oleh mereka. 99% dari kita membeli segala barang keperluan dan menggunakan khidmat mereka tanpa ada sebarang perasaan prejudis apatah lagi menindas mereka. Malah, mereka selalu menindas kita dengan menyorokkan barang keperluan, menaikkan harga barang sesuka hati, menghimpit kita dengan jawatan dan gaji kecil, tidak memberi peluang untuk kita naik pangkat walaupun lebih dari layak, dan lebih teruk hanya membeli barangan dari kaum mereka sahaja.

Apa yang salah mengenai MEB? Kaum Cina terkenal dengan satu hati dan persatuan mereka. Mereka bergerak seiring terang-treangan mempunyai dasar ekonomi yang mirip MEB. Hanya memberi kontrak kepada kaum mereka, menggunakan perkhidmatan kaum mereka, membeli pelbagai alatan dan barangan dari kaum mereka, menggaji dan melantik kaum mereka sahaja dan banyak lagi. Pelik, apakah MEB benar-benar menindas kaum bukan Melayu sehingga mereka tidak berpeluang untuk mengumpul harta kekayaan. MEB memberi kebebasan seimbang kepada semua dalam masa yang sama melindungi hak kaum majoriti supaya kedudukan sosial ekonomi antara kaum terus seimbang. Adalah wajar MEB dimansuhkan jika MEB mensyaratkan pemilikan dan pengendali premis Perniagaan di KLCC, MidValley, One Utama, Alamanda mestilah mengikut komposisi kaum, mewajibkan setiap jenis perniagaan kedai, kilang, pengedar, perkhidmatan, logistik, penyediaan bahan makanan, pembungkusan dan lain-lain milik bukan Melayu wajib mempunyai 30% syer milik orang Melayu dan lain-lain lagi. Apa yang jelas, selagi rakyat Malaysia berupaya dan mempunyai kuasa kewangan mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa disekat melalui dasar yang diamalkan di Negara lain kerana kita menghormati hak semua orang sebagai rakyat Malaysia.

Kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan BN pimpinan UMNO memastikan hak semua kaum dan agama terbukti. Terbaru, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan Raja Mohamad Izham22, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Hakim SM Komathy Suppiah yang dalam penghakimannya berkata Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman tersebut kerana tertuduh menodai kesucian agama atau kepercayaan supaya menjamin keamanan dan keharmonian di Negara berbilang bangsa seperti Malaysia terus dipelihara. Tambah Hakim itu lagi, salah satu tiang Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Allah(jika Kristian diberi hak dan dibenarkan menggunakan Allah menggantikan Tuhan dalam cetakan mereka), tetapi mereka membakar rumah Allah. Hakim mengakhiri dengan “Mesej dari Mahkamah ini adalah jelas. Jangan bermain dengan api”. Rakyat berterima kasih kepada Hakim SM Komathy Suppiah yang mendukung semangat 1Malaysia dengan mengutamakan keamanan dan keharmonian kaum perlu terus dipelihara dan dengan keras meningatkan tertuduh dan rakyat Malaysia jangan bermain dengan api.

Api yang mereka hidupkan untuk membakar sebuah bangunan rumah ibadat sudah padam dan pengurusan Gereja Metro Tabernacle juga sudah bangkit dari peristiwa hitam itu. Selain memperbaiki kemudahan Gereja Desa Melawati, mereka juga bangkit membina Gereja yang amat besar di belakang Giant Batu Caves hasil dari sumbangan orang ramai dan kerajaan Malaysia(duit rakyat). Tetapi, mengapakah kerajaan melalui Undang-undang dan Mahkamah tidak berusaha memadamkan api yang Namewee hidupkan satu masa dahulu. Selain mempermainkan Lagu Negara Kuku, Namewee juga mempersendakan azan orang Islam. Nameweee dengan jelas dan bukti video tersebut dipaparkan untuk tontotan seluruh dunia. Bukti Namewee menghidupkan api kebencian dan kemarahan Melayu Islam dan api tersebut tidak pernah padam. Pemimpin Namewee iaitu MCA dan DAP dengan pantas melindungi Namewee dengan alasan beliau sudah meminta maaf dan menginsafi perlakuannya. Malah, bapanya berkata anaknya sudah cukup tertekan. Sungguh mudah pemimpin bukan Melayu berfikir dan beranggapan api yang Namewee hidupkan itu sudah padam. Ia tidak padam malah merebak kejiwa dua anak Melayu dan ramai lagi. Ia hanya akan padam jika Namewee dibicarakan dan dipenjarakan jika didapati bersalah. Apakah kerana Namewee anak seorang Cina dan beliau bebas menghidupkan api dalam jiwa? Apakah perbuatan Namewee mempersendakan agama Islam tidak mengancam keamanan dan keharmonian? Namewee masih bebas setelah menghidupkan api dalam jiwa Melayu termasuk saya. Saya masih marah dan api Namewee masih hidup dalam jiwa saya, dan tidak mustahil api ini akan marak membakar jika ia disimbah dengan minyak. Banyak keistimewaan menjadi Namewee, malah tidak mustahil Namewee akan mendapat tempat dalam arena politik Negara atas alasan beliau sudah menjalani hukuman. Jika begitu, peluang yang sama harus diberikan kepada dua orang Melayu ini selepas 5 tahun. Persatuan dan Pertubuhan yang memperjuangkan Islam dan Melayu wajar memberi tempat kepada mereka termasuk pekerjaan kerana mereka bertindak sedemikian atas tanggapan mereka sendiri iaitu mempertahankan agama Islam. Sungguhpun tindakan mereka adalah salah tetapi selepas 5 tahun mereka sudah menjalani hukuman atas kekhilafan mereka dan mereka layak mendapat sanjungan orang Melayu seperti Namewee. Malang bagi Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, dan Raja Mohamad Izham kerana berketurunan Melayu dan beragama Islam, tiada siapa pemimpin Islam Melayu mahu mempertahankan anda. Bertuah Namewee kerana anda bukan Melayu dan bukan Islam dan jika anda menghina Melayu dan Islam sekalipun, anda pasti bebas.

Terpulang pada rakyat Malaysia tidak kira bangsa menggunakan akal pemikiran untuk menilai persoalan Api dalam jiwa lebih dahsyat atau api membakar benda lebih dahsyat. Sememangnya, perbuatan membakar rumah Ibadat Kristian menghancurkan hati beratus juta penganut Kristian dalam dan luar Negara. Malah, hati saya seorang Islam juga hancur kerana Islam mengajar umatnya menghormati agama lain. Tetapi, percayalah, api yang Namewee bakar dalam jiwa Islam dan Melayu juga menghancurkan hati beratus juta penganut Uslam dalam dan luar Negara. Malah api dalam jiwa ini tidak pernah padam, dan perlahan-lahan merebak kedalam jiwa orang Melayu lain termasuk Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, dan Raja Mohamad Izham. Mungkin mereka bertindak membakar Gereja berpunca dari api yang Namewee mulakan dengan mempersendakan Azan. Juga mungkin, mereka berfikir yang mereka akan terlepas dan bebas seperti Namewee selepas memulakan api. Tetapi mereka silap, kerana mereka dilahirkan sebagai Melayu yang dilabel rasis dan Islam yang dilabel pengganas.

Akhir kata, Melayu, Cina, India, Sikh, Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan lain-lain(maafkan saya kerana tidak sebut), sebelum anda memulakan bicara, mengemukakan pandangan, memberi komen dan pendapat, mengakhiri dengan perbuatan, berfikirlah. Fikir, kerana mungkin, mungkin, api dalam jiwa kita semua rakyat Malaysia terutama Melayu Islam tidak pernah dipadamkan. Mungkin, mungkin kesabaran Melayu berada di tahap kemuncak. Fikir dan tenung, inilah masanya semua pemimpin Melayu dan Bukan Melayu berusaha memahami dan memadamkan api yang dimulakan Namewee yang memalukan Melayu Islam ke seantero dunia dengan mempersendakan azan, dan tolonglah turunkan tahap sabar Melayu dari tahap kemuncak dengan memberi sedikit ruang pernafasan kepada Melayu. Masa akan menyabarkan Melayu, Cina, India dan lain-lain. Mendesak dan terus mendesak Melayu hanya mengundang akibat yang buruk. Sedikit mesej kepada pemimpin UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, PPP, GERAKAN, SNAP, PBB, PBS, UPKO, SUPP, USNO, LDP, PBRS, PRM, PSM, SAPP, dan lain-lain, gunakan akal dan jadilah pemimpin semua kaum dan agama dengan memikirkan dan mengutamakan kepentingan semua kaum dan agama, bukannya hanya kaum dan agama anda sahaja. Semoga kita kekal hidup bersama dengan aman dan harmoni sehingga ke hari yang akhir kelak.

Thursday, August 19, 2010

RIBUT DIJASIN DAN SEKOLAH HAMIL

Teknologi Internet membolehkan kita melihat apa yang terjadi di Jasin. Ribut yang datang seperti angin lalu menyergah keras manusia yang leka membeli juadah berbuka. Diketika Pasar Ramadhan di seluruh Malaysia sedang sibuk melayan pelanggan bermacam ragam. Malah, ada antara anak-anak gadis yang memilih untuk berseluar pendek dan berbaju singkat tidak cecah pusat. Malah ada juga yang mengenakan pakaian berani mati yang sama sekali hanya sesuai untuk ke bilik mandi. Tetapi, apakah itu punca Allah menghantar ribut yang melambungkan 3-4 kanopi yang masing-masing mempunyai berat 180kg sejauh 30 meter ke atas udara? Mungkin, ia hasil kerja manusia yang menimpa bumi dengan pelbagai kemungkaran dan keengkaran kepada Allah.

Kini bersedih, dan bersimpati. Apatah lagi ia terjadi pada bulan yang mulia. Malah, Melaka pula baru mengambil langkah “mulia” memperkenalkan Sekolah Hamil bagi membendung masalah membunuh bayi yang tidak berdosa. Namun, manusia dan setiap perbuatannya tidak sempurna. Ada baiknya dan ada buruknya Sekolah Hamil ini. Baik kerana ia diakui dapat mengurangkan pembunuhan nyawa yang Allah cipta. Buruk, kerana ia menggalakkan penzinaan. Mungkin selepas ini Melaka boleh melancarkan kempen 2 dalam 1 “check in hotel, free pre-register to Pregnant School”.

Seperti yang saya katakan, langkah Melaka amat baik dan jauh lebih baik dari hanya menggelengkan kepala, tumpang bersimpati, mengecam, kesal, kecewa yang biasa digambarkan para pemimpin apabila mengulas kes bunuh dan cuba bunuh bayi ini. Seolah-olah itu sahaja yang pemimpin kita mampu lakukan. Usaha dan idea Dato Seri Ali Rustam ini amat baik dan harus disambut para ulama terutama Majlis Ulama. Kini bola di kaki para ulama, membenarkan Melaka atau melarang. Jika membenarkan apakah langkah supaya tindakan Melaka tidak menggalakkan maksiat dalam masa yang sama banyak bayi dapat diselamatkan.

Majlis Ulama perlu mengeluarkan garis panduan dan hukum membantu golongan penzina ini. Yang kita fahami menurut hukum Allah, rejam sampai mati adalah hukuman dunia terhadap penzina. Namun, Allah Maha Pengasih berbelas kasihan kepada umat Muhammad SAW dengan membuka pintu dan penerima taubat.

Masalah pertama yang utama adalah menyelesaikan akar masalah. Penzinaan, maksiat, pensudalan, harus ditangani untuk mengelakkan terjadi masalah kedua. Selain dari memperhebat kempen, meningkatkan operasi di perkarangan durjana, ibu bapa, penjaga dan masyarakat harus terlibat sama. Selain dari mengheret ibu bapa yang bersubahat, hantar pesalah maksiat ke Sekolah Khas yang akan mengawal jiwa dan nafsu anak muda. Tutup pintu serapatnya dan hanya ibu bapa keluarga sahaja dibenarkan melawat. Saya percaya, jika dikawal, dan diisi kelodak jiwa dengan Solat 5 waktu, nafsu serakah binatang buas juga mampu dijinakkan. Bagi tujuan memberi pengajaran kepada yang lain, gunakan masalah kedua dari Sekolah Hamil di Melaka untuk dijadikan bahan bukti untuk menghukum lelaki yang bertanggungjawab. Selepas bayi lahir, ambil DNA dan sepadankan dengan DNA bapanya yang dtiunjukkan oleh wanita tersebut. Kemudian hukum seberatnya kepada lelaki tersebut dan pasti tiada siapa lagi berani berzina dan menabur benih tidak sah.

Masalah kedua ialah keterlanjuran yang mana penyelesaiannya ialah pembelaan. Membela nasib kedua mangsa dalam kes ini sehingga bayi tersebut dewasa. Mangsa pertama ialah wanita dan mangsa kedua ialah bayi tersebut. Khalifah Allah yang bernama lelaki yang Allah amanahkan melindungi dan memimpin wanita ke jalan Allah mengkhianati janji mereka. Mereka memujuk rayu, memperdaya dengan kata manis, mendorong dengan salah sehingga kes zina terjadi sehingga. Segala sayang dan kasih diucapkan, matahari dan bulan dijanjikan. Apabila wanita tewas dan mengandungkan benih mereka, disuruh pula gugurkan kandungan. Ramai terkeliru kerana ada beberapa pendapat ulama mengatakan tidak berdosa menggugurkan bayi sebelum usianya 100 hari dimana Allah akan meniupkan roh dan seketul daging akan mempunyai nyawa. Nyawa milik Allah dan berdosa bagi siapa yang mengambilnya selain Allah. Ada pula pendapat yang mengatakan sejak hari pertama percantuman benih berlaku, maka berdosa kerana menafikan hak ciptaan makhluk Allah untuk hidup. Justeru, kekusutan membawa kepada tindakan gugur bayi dan lebih teruk bunuh bayi selepas lahir.

Wanita yang mengandungkan keturunan lelaki ini tidak diambil perhatian. Pernahkah kita merasai mengandungkan anak pertama tanpa suami disisi, tanpa ibu dan ayah yang gembira? Jika pernah, itulah perasaan wanita yang senantiasa menjadi sasaran dipersalahkan. Selepas hampir 9 bulan, perasaan wanita mengandung yang tidak mendapat pembelaan, belaian dan bimbingan masih samar. Ketika ini Syaitan dan Iblis sudah mengambil tempat disisi wanita tersebut untuk memberitahu apa yang perlu wanita hamil ini lakukan selepas bayi ini lahir. Dimana pula para ulama, ustaz, imam muda dan tua dan pemikir agama. Tidakkah mereka harus memberitahu dan menunjuk ajar kepada wanita ini apa yang perlu dilakukan sejak hari pertama mereka hamil? Bimbing mereka apa yang perlu dilakukan, bagaimana, bila, siapa, dimana, kemana, hukum harus, wajib, dosa dan pahala dan bukannya hanya berisytigfar ketika mayat bayi ditemui. Ingatlah, wanita adalah mangsa, sebagai ibu, mereka mempunyai naluri semulajadi untuk melindungi bayi mereka, termasuklah menamatkan kesengsaraan bayi tersebut dengan membunuh bayi itu. Buktikan pandangan mereka salah, apakah nasib bayi tersebut tanpa bapa, bagaimana kehidupan bayi tersebut tanpa ibu yang berharta, persekolahan dan layanan masyarakat, bila dewasa kemana hala tuju bayi ini. Ketakutan seorang ibu bertindak terburu-buru menamatkan nyawa bayi dari terus sengsara menghadapi dunia yang kejam. Salahkah mereka atau lelaki yang salah??

Saya percaya, jika ada akta yang mewajibkan lelaki berkahwin dengan wanita tersebut, dan paling tidak lelaki perlu bertanggungjawab memberi nafkah dan menjadi bapa yang sah kepada bayi tersebut sudah pasti seorang ibu lebih dari gembira untuk tidak membunuh anak yang dikandung 9 bulan. Ini kerana, pasti undang-undang dapat memastikan pembelaan sewajarnya kepada bayi luar nikah ini sehingga dewasa. Kerajaan pula akan membantu dan bayi ini bisa hidup dan berhak sepertimana bayi lain. Sukar sangatkah untuk mengesan bapa bayi yang dikandung wanita dengan adanya teknologi DNA? Selepas bayi tersebut lahir, apakah peratusan DNA bayi dan bapanya yang sebenar akan sama, seingat saya The Star pernah melaporkan kebarangkalian persamaan DNA salah ialah 0.0000000000000000000001%. Nah, beritahu pada wanita tersebut, selepas mereka lahirkan anak, kerajaan dan undang-undang akan memperjuangkan nasib mereka dan anak mereka, mereka hanya perlu gunakan jari telunjuk untuk menunjuk kepada calon bapa yang sah, dan selebihnya, gunakan imaginasi kita bagaimana perlu kita hukum lelaki yang mengkhianati amanah Allah dan membiarkan wanita lain mengandungkan anak mereka selama 9 bulan tanpa perhatian langsung. Hukuman yang sewajarnya sehingga bayi mendapat nafkah sewajarnya sehingga mereka habis bersekolah disamping berusaha menyedarkan wanita dan lelaki supaya dapat mendirikan keluarga bahagia walaupun secara paksa. Berdoalah, semoga Allah membuka pintu hati mereka yang menginsafi diri dihukum dan bertaubat . Paling tidak,manalah tahu ada lelaki yang mulia dan sayangkan wanita hamil anak luar nikah ini. Walaupun bukan anak mereka, tetapi kesanggupan mereka berkahwin untuk menyelamatkan ibu dan bayi ini pasti mengundang kegembiraan Allah dan kedukaan Syaitan. Nafkah bayi tersebut pula tetap, harus dan wajib dibayar oleh bapa yang sebenar.

Dengan adanya akta tersebut, sudah pasti lelaki tidak berani lepas tangan dan tiadalah bayi luar nikah. Lelaki akan berfikir sejuta kali, jika keseronokan satu malam akan mengakibatkan mereka perlu membayar nafkah kepada bayi tersebut sehingga dewasa. Pasti tiada lelaki yang mulia mahukan bertanggungjawab angkara noda mereka sendiri.

Sehingga kini, keputusan kerajaan Melaka dikecam hebat ramai termasuk ulama dan PAS. Selain mengaitkan dengan Tragedi di Jasin, ahli agama masih tidak dapat menawarkan apa-apa jalan penyelesaian terhadap kes buang dan bunuh bayi ini. Matematiknya tetap sama, jika Sekolah Hamil menggalakkan zina, Allah akan murka, begitu juga jika banyak nyawa yang Allah cipta dibunuh ketika bayi, Allah juga akan murka. Murka Allah hancurlah kita semua. Fikirkan jalan terbaik kerana Melaka sudah memulakan langkah, jika sumbang, perhalusi dan bimbing Melaka, jika dilarang juga cadangkanlah jalan lain yang lebih baik tetapi janganlah sehingga akhirnya kita tetap tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa ini.

PENIAGA TULEN TIANG BANGSA

Wawasan 2020 berbaki kira-kira 9 tahun 4 bulan sahaja lagi. Apakah Malaysia sudah bersedia dan yang paling penting, apakah rakyat Malaysia sudah bersedia. Lebih dari itu, apakah kekuatan diri, mental, moral, sikap, sifat, tabiat, pemikiran, disiplin, nilai diri, jati diri, sudah cukup? Bagaimana pula dengan persiapan dalam kaum dan antara kaum? Seharusnya segalanya seiring dengan usaha kerajaan yang tidak mengenal penat untuk menjadikan rakyat Malaysia bangsa yang maju dari Negara Dunia Pertama.

Malaysia senantiasa dan selamanya merupakan Negara paling unik dalam dunia. Komposisi penduduk Malaysia terbahagi kepada pelbagai kaum dan agama. Negara ini adalah Negara bebas selagi tidak menyentuh sensitiviti yang mampu menggugat keharmonian. Melayu dan Islam membentuk 70% dari 27 juta rakyat Malaysia. Kira-kira 10 billion ringgit dibelanjakan oleh Melayu setiap bulan. Manakala 90% golongan peniaga, pembekal, dan penyedia perkhidmatan pula dibentuk oleh Cina. 90% dari Melayu juga adalah pekerja yang hanya makan gaji. 10% dari Melayu pula menjalankan perniagaan yang mana 90% dari mereka adalah peniaga kecil-kecilan.

Sungguhpun peratusan Melayu berniaga adalah amat kecil, namun ia adalah satu peratusan yang agak membanggakan memandangkan Melayu adalah bangsa yang paling muda dalam dunia. Bagi orang Melayu yang bergelar Peniaga tulen, setiap perniagaan dilakukan demi kemajuan Bangsa, Agama dan Negara. Jika perniagaan mereka berjaya, sudah tentu banyak jawatan kosong justeru sumber ekonomi dapat disalurkan kepada kaum Melayu. Sebaliknya, bagi orang Melayu yang hanya bergelar peniaga komisen, sungguhpun mereka dapat menjana ekonomi Melayu, tetapi dalam jangka masa panjang mereka sebenarnya merugikan kaum Melayu.

Malaysiakini sedang mengalami resolusi hasil dari tsunami politik 2008. Rakyat mula sedar akan kuasa yang ada pada mereka, justeru Kerajaan pimpinan BN berada dalam keadaan paling lemah dalam sejarah Negara. Kerajaan yang kuat satu masa dahulu kini diimbangi oleh kekuatan pembangkang yang bijak memainkan isu dan sentimen rakyat. Semua pemimpin dari mana-mana Parti tidak lagi dapat bertindak sewenang-wenangnya seperti sebelumnya. Dalam keadaan ini, sudah tentu ada golongan yang bermanfaat. Mereka ialah Pegawai Kerajaan.

Untuk rekod Pegawai Kerajaan berjumlah 1 juta orang juga merupakan pengundi yang layak mengundi pada setiap pilihanraya. Jika dahulu mereka perlu tunduk pada kuasa politik yang mengemudi Kerajaan, kini mereka bebas tanpa perlu takut pada tekanan politik. Rakyat memandang senario ini sebagai satu kebaikan hasil kejayaan Parti Pembangkang yang memang senantiasa mencari kelemahan Kerajaan. Persoalannya, siapa yang akan mengawasi tindak tanduk Pegawai Kerajaan ini jika kuasa politik tidak lagi berkesan untuk menekan mereka agar terus berbakti untuk rakyat dan dalam masa yang sama mendokong aspirasi Kerajaan BN? Kerajaan BN senantiasa berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat, mengekalkan keharmonian agama dan kaum, ini termasuk mengenalkan pelbagai pelan jangka masa panjang dan peraturan termasuk MEB. Model Ekonomi Baru yang mendokong aspirasi 1Malaysia perlu pengorbanan, kerjasama dan semangat Bangsa Malaysia bagi menjamin kedudukan hidup dan ekonomi semua kaum dan agama mengikut pecahan masing-masing. Tetapi, Pegawai Kerajaan yang terlalu bebas dan berkuasa menyukarkan usaha Kerajaan. Lebih teruk lagi, angkara Pegawai Kerajaan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan BN dan rakyat pantas menghukum BN walhasil, Pegawai Kerajaan ini yang melakukan kesalahan tanpa mana-mana tekanan dari BN. Sudah pasti, jika Kerajaan bertukar sekalipun, mereka tetap akan melakukan kesalahan yang sama kerana mereka yang paling berkuasa dalam Kerajaan kini.

Bukanlah rahsia lagi bagi ramai Penjawat Awam dan Kontraktor Besar Kerajaan, ada Kementerian yang Ketua Setiausahanya mempunyai kuasa seorang Perdana Menteri. Para Pengarah, Ketua PBT, Timbalan Ketua Setiausaha dan lain-lain semuanya mencemar imej Penjawat Awam dengan pelakuan rasuah, kroni, penipuan dan sebagainya. Sehinggakan ramai Peniaga Tulen menjadi mangsa kerana mereka hanya berbekalkan pengalaman yang ada, kemahiran yang dimiliki, kewangan yang stabil serta kebolehan menjalankan perniagaan yang tidak disangkal. Namun, kerana mereka tidak mempunyai pertalian saudara dan “kawan” dengan Ketua-ketua Kerajaan maka Peniaga Komisen merajai setiap peluang perniagaan yang ada.

Perdana Menteri sudah berjuang sehabisnya untuk memartabatkan Melayu. Malah dalam setiap Budget Negara pasti berbillion ringgit diperuntukan untuk Melayu termasuk dana dan pinjaman perniagaan, pengurus dana dan pinjaman ini juga adalah Penjawat Awam. Kerana kekurangan nilai diri pada diri pengendali, banyak penipuan berlaku sehingga kantung dana dan pinjaman tidak mencukupi justeru menyukarkan Peniaga Tulen mendapat bantuan sewajarnya. Bagi Peniaga Tulen, mereka memerlukan modal untuk berniaga dan bukan untuk membeli plat nombor kereta bernilai puluhan ribu. Sudah pasti, mereka akan membayar balik pinjaman kerana perniagaan yang tulen menjana pulangan dan menyumbang kepada pembangunan kaum serta nilainya. Peniaga Komisen pula hanya mahukan komisen untuk membayar kereta mewah, plat nombor kereta, rumah mewah, percutian mewah, gaya hidup mewah dan pendek kata serba mewah. Mereka inilah yang tidak membayar balik pinjaman kerana mereka meminjam bukan untuk berniaga. Mangsanya ialah Peniaga Tulen.

Hampir kesemua Melayu dilahirkan mempunyai mentaliti pengguna dan makan gaji. Mereka tidak diasah untuk keluar dari kepompong tersebut justeru menjadi pencipta dan pemberi gaji. Walaupun sedikit, tetapi masih ada Melayu yang berjiwa tulen untuk meniaga. Tiada istilah skim cepat kaya, MLM, ali baba, Syarikat 3%, tender kerajaan, dan lain-lain. Kebanyakan mereka ini berasal dari Kelantan. Orang Kelantan berjiwa peniaga, ramai yang mempunyai perniagaan Tomyam, Kanopi, Restoran, Kereta Terpakai, Kedai Tayar, Kedai Runcit dan banyak lagi. Seperti Cina mereka berpegang pada semangat perniagaan jujur yang bertahan berpuluh malah beratus tahun untuk dipertahankan anak cucu. Perniagaan satu ibadah dengan berjasa pada orang lain. Malangnya, peniaga konvensional ini jarang mendapat perhatian Penjawat Awam untuk dibantu serta dipimpin. Maka perniagaan orang Melayu hanya bergerak secara kecil-kecilan. Jika ada yang baru mahu maju seperti di KLCC dan Alamanda, Peniaga Tulen dibiarkan sengsara dan dihalau. Tidak dibantu Pegawai Kerajaan kononnya sudah pernah memohon atau lebih teruk mereka di cukai terlebih dahulu oleh Pegawai Kerajaan. Sedangkan Syarikat RM2 dibantu pinjaman puluhan ribu. Akhirnya, yang rugi ialah kaum Melayu itu sendiri.

Peniaga Tulen yang tidak mempunyai kemahiran dan modal menjalankan perniagaan secara konvensional ini terpaksa memberanikan diri den menguatkan semangat dengan menyertai tender dan kontrak Kerajaan. Malangnya, Penjawat Awam begitu berkuasa sehingga mengenepikan kuasa politik yang mahu memastikan mereka mendokong aspirasi Kerajaan dalam memajukan Melayu. Sehinggakan baru-baru ini Ketua Setiausaha Negara sanggup mengeluarkan arahan kepada Penjawat Awam yang mendapat surat dan tekanan politik untuk melaporkan pada beliau. Apakah beliau sedar tanpa kuasa politik yang mampu melakukan “check and balance”, siapa akan jadi Orang Paling Berkuasa? Siapa akan mengawal dan memastikan tiada unsur rasuah dan kroni? Kepada siapa rakyat dan Peniaga Tulen mahu mengadu? Tidak kira siapa yang rakyat undi mereka tetap menjawat jawatan tersebut, oleh itu mereka seperti kaduk berani naik junjung.

Janganlah hipokrit, banyak Syarikat yang Penjawat Awam ketahui memang Syarikat 3%, alibaba, sub sini sana, jual balik kontrak, malah mereka juga “aware” ada Syarikat Bumi yang dimiliki oleh Bukan Bumi, orang Melayu hanya dijadikan sebagai tali barut bangsa sahaja. Letaklah satu muka Melayu sebagai Pengarah dan terpaksa upah Melayu sebagai pekerja kerana berurusan dengan Kerajaan. Beranikah KSU, TKSU, Pengarah, Ketua PBT bersumpah mereka tidak tahu status Syarikat ini dan ketulenan Syarikat Peniaga Tulen. Berani makan beranilah simpan, jangan simpan sampai bernanah didepan Allah kelak sudahlah.

Melayu menjerit kesusahan, ketidak adilan, kesempitan hidup, selain menyalahkan Kerajaan BN, menyalahkan takdir Allah, tetapi pernahkan mereka terfikir keputusan, perlakuan, harga dan nilai diri mereka yang murah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemunduran kaum Melayu. Mungkin hari ini mereka kaya dan mewah hasil menjual kejujuran dan amanah Allah kepada kabatilan, tetapi mereka PASTI akan rugi kelak. Mereka perlu bertanggungjawab kerana memadamkan api semangat Peniaga Tulen. Berapa ramai graduan Melayu, bijak pandai Melayu, ahli Pernigaan Tulen yang sudah berusaha sehabisnya tetapi dikalahkan oleh Peniaga Komisen gara-gara kebrorokan Pegawai Kerajaan yang tercemar? Bila Peniaga Tulen sudah buntu jalan mereka kembali makan gaji dan hilanglah asset paling berharga untuk kaum Melayu. Siapa sangka jika diberi peluang dan dengan bakat yang ada mereka bakal menjadi Bill Gate? Tetapi bakat dan pengetahuan sahaja tidak cukup hari ini, jika dahulu perlu ada kabel politik, kini kabel Pegawai Kerajaan lebih utuh.

Malangnya, siapa yang mampu menghukum mereka yang tidak terjejas jika sesiapun memerintah. Mungkin Allah sahaja gamaknya. Apa sahajapun, memberi kuasa berlebihan pada Pegawai Kerajaan akan meruntuhkan bangsa Melayu kerana Peniaga Tulen adalah tiang bangsa dan kini Peniaga Tulen sedang dibunuh perlahan-lahan oleh Pegawai Kerajaan yang tamak. Saksikanlah, kehancuran yang kita hasilkan dengan tangan kita dan janganlah dipersalahkan Kerajaan BN yang sudah banyak berjasa.

Tuesday, August 17, 2010

Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

Salam 1Malaysia Datuk,

MCA pimpinan Datuk merupakan sebuah Parti kedua terbesar selepas UMNO dan mewakili kaum Cina di Malaysia. Kaum Cina pula menguasai 90% ekonomi Malaysia berbanding kaum lain disemua sektor penghasilan, pemprosesan dan pengedaran. Atas kesepakatan sosial dan kebebasan membuat pilihan, ekonomi Malaysia dijana oleh 3 kaum utama yang mengambil peranan tersendiri sesuai dengan daya usaha, semangat dan pilihan hidup. Kaum Melayu yang membelanjakan berbillion ringgit sebulan adalah kaum paling banyak makan gaji, begitu juga India, manakala Cina pula memilih menjadi ahli Perniagaan, yang rajin dan dedikasi. Tiada sedikitpun perasaan perkauman dalam jati diri rakyat Malaysia dan kita menghormati peranan masing-masing. Seorang Melayu masih dan tetap terus menghantar kenderaan untuk diperbaiki dan membeli pelbagai keperluan dari kedai milik orang Cina dan India begitu juga sebaliknya. Semangat 1Malaysia sebenarnya sudah lama hidup dalam jiwa kita dan ia digilap melalui aspirasi Perdana Menteri dengan Konsep 1Malaysia.

Tidak dapat dinafikan setiap kaum mempunyai aspirasi masing-masing dalam memperjuangkan taraf hidup keluarga, kaum dan agama. Sewajarnya, perkara hak dan kelebihan sudah meresapi jiwa rakyat Malaysia kerana Melayu, Cina dan India bukan baru sehari dua berasimilasi malah telah berjaya di campur-adukkan(rojak). Saya sendiri lahir dari sebuah keluarga hasil percampuran Melayu Cina, dan saya memiliki sifat seorang Cina walaupun mempunyai nama seorang Melayu. Keharmonian ini bukan senang dicapai, dan lebih sukar dikekalkan.

Datuk mewakili aspirasi kaum Cina dimana saya percaya kaum Cina mahukan sebuah Negara yang menghargai dan menghormati mereka sebagai rakyat Malaysia. Lebih tepat lagi, kita semua mahukan Malaysia yang lebih baik, dan lebih adil, tentu sekali. Disebalik itu, perkara sama juga dituntut oleh India malah Melayu sendiri, dan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan berbeza-beza. Sebagai pemimpin, Datuk seharusnya memahami dan melalui media massa menjelaskan secara terperinci kenapa, mengapa, bagaimana, siapa, bila, pilihan yang kita ada dan kesan baik dan buruk dari pilihan kita.

Malangnya, akhbar Cina dan Datuk gagal untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya justeru menghidupkan unsur negatif yang salah terhadap kontrak sosial yang didukung sejak sebelum merdeka lagi. Kini ramai Cina membenci DEB sepertimana mereka membenci setiap orang yang memperjuangkan Melayu, sedangkan mereka sendiri memperjuangkan bangsa sendiri.

Untuk rekod, apa yang terjadi di Malaysia pada 1969 dan Indonesia pada 1998 adalah disebabkan oleh jurang sosio ekonomi yang memisahkan taraf hidup antara kaum seperti langit dan bumi. Nyawa yang terkorban dan kerosakan yang terjadi amat diratapi. Penyesalan tidak berguna jika kita tidak belajar dan sejarah pantas menghukum kita buat kali kedua, ketiga dan mungkin keseratus.



Datuk,

Semua rakyat sedar tuntutan MCA adalah aspirasi masyarakat Cina masakini yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik Melayu, Cina dan India. Bukan hanya Cina, malah ramai yang lain termasuk Melayu sendiri dan India yang mahukan Malaysia menjadi sebuah Negara milik semua dan DEB wajar dihapuskan. Saya sendiri berpendapat begitu apabila ramai sahabat malah saudara bukan Bumiputera yang menjalani ranjau berliku dalam mendaki puncak akademik dan kerjaya. Dalam masa sama, segelintir Melayu menggapai impian dengan mudah hasil pertolongan Kerajaan melalui Sistem Kuota Ke Universiti, Bantuan Pinjaman dan Biasiswa Pelajaran, Dasar Ekonomi Baru, Pinjaman dan Geran Perniagaan, Diskaun Pembelian Hartanah, Sistem Tender dan banyak lagi. Sebagai balasan, ahli Perniagaan Cina cenderung untuk mengambil pekerja berbangsa Cina dan mengiklankan secara terbuka keupayaan bertutur Bahasa Cina sebagai syarat wajib. Hakikatnya, kita rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam perilaku pecah dan perintah ini.

Pahit untuk diakui, Melayu gagal mencapai sasaran 30% penguasaan ekonomi selepas hampir 40 tahun dasar melindungi kaum Bumiputera ini diperkenalkan. Saya percaya, hakikatnya, kekayaan Negara melebihkan 30% khusus untuk Bumiputera sepatutnya memanfaatkan seluruh Bumiputera memperoleh keberuntungan. Namun, diatas beberapa faktor seperti rasuah, kroni, sikap malas berusaha, suka mengambil jalan mudah, takut mengambil risiko dan paling teruk sekali mengalibabakan projek yang diberi, sehingga tender makanan juga diperdagangkan, penipuan dana dan pinjaman perusahaan kerajaan telah menghukum dan menghambat pertumbuhan kaum Melayu.



Datuk,

Saya ingin mengajak Datuk dan seluruh rakyat Malaysia terutama masyarakat Cina yang membuat tuntutan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru untuk sama-sama kita fokus pada penyelesaian bukan pada masalah. Tidak dinafikan, salah satu faktor yang kini dan terus menggagalkan DEB adalah berpunca dari Melayu itu sendiri. Malah, Melayu perlu berfikir di luar kotak kerana adalah mustahil DEB akan bertahan seratus tahun lagi. Malah, adalah amat mustahil untuk Kerajaan terus kekal sehingga bila-bila untuk memastikan hak melayu terus dilindungi serta dikekalkan. Jika hari yang tidak disangka itu tiba, sudah pasti hanya rakyat Malaysia keturunan Cina yang mempunyai kekayaan dalam dan luar Negara mampu membantu Malaysia, dan bila tiba hari itu, apakah Melayu sudah bersedia dengan komplikasinya atau Cina akan mebiarkan Melayu merempat di bumi Malaysia?

Penyelesaian kepada masalah DEB ini memerlukan pengorbanan semua pihak. Dalam ucapan pembukaan dan penutup Perhimpunan Agung UMNO bersejarah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menghuraikan tentang perlunya Melayu melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur. Tun berusaha menyedarkan Melayu tongkat tersebut tidak mungkin selamanya menongkat Melayu malah tongkat tersebut juga terpaksa tunduk pada hukum alam iaitu reput. Bila masa tongkat tersebut ditarik atau reput, Melayu perlu sepenuhnya mampu untuk berdiri sendiri tanpa tongkat. Menggunakan tongkat untuk 40 tahun, malah 100 tahun hanya akan benar-benar mencacatkan Melayu sehingga tidak mampu hidup tanpa tongkat. Secara metafora, Melayu perlu mula melepaskan tongkat dengan menjadi peniaga tulen dan bukannya digelar Syarikat 3%. Melayu perlu rajin menuntut ilmu dan bukannya berpoya malah berpolitik ketika menuntut di Universiti. Itu adalah pengorbanan dan penyelesaian untuk Melayu dan harus diselesaikan secara bersama dan dibantu oleh kaum Cina yang mempunyai sejarah berpuluh ribu tahun.



Datuk,

Penyelesaian kepada tuntutan Cina ini adalah amat mudah. Melayu sendiri sudah pasti lebih dari bersedia untuk mula melepaskan tongkat(DEB) secara beransur-ansur jika ada kesepakatan dengan penguasa ekonomi Malaysia yakni Cina. Soal masa depan Negara amat serius dan jika Melayu perlu berkorban melepaskan DEB, Melayu perlu satu jaminan dan skim insuran. Dan masih, kesangsian Melayu adalah ketaatan Cina kepada Malaysia. Sebuah Negara yang baru didatangi Cina kira-kira 100 tahun dahulu, dan didatangi Melayu hampir 600 tahun dahulu. Sedangkan dalam Banci Penduduk terkini, ramai orang Cina didapati tidak mampu berbahasa Melayu, malah dalam rekod Balai Polis, ramai pengadu Cina yang tidak mampu menulis, membaca dan bertutur walau sepatah Bahasa Melayu. Apakah jaminan yang mampu Datuk berikan pada Melayu yang Cina akan mempertahankan Melayu sedangkan Bahasa Melayu sahaja tidak mampu dipelihara? Bagaimana Melayu mahu melihat seorang Perdana Menteri Cina mengetuai Malaysia jika penghakisan terus penghapusan identiti Melayu dimulai dengan Bahasa?

Manakala Skim Insuran yang diperlukan oleh Melayu untuk melepaskan hak sebagai kaum majoriti di Malaysia justeru bersaing secara merit adalah penghapusan Sekolah Cina. Sejarah membuktikan, Singapura, Thailand dan Indonesia berjaya melahirkan rakyat patriotik dan menyatukan beratus etnik menjadi satu Bangsa yang bangga melalui sistem satu sekolah. Singapura, Thailand dan Indonesia awal-awal lagi sudah menghapuskan sekolah Cina dan menggantikan dengan sistem satu sekolah kerana mereka sedar itulah satu-satunya jalan bagi melahirkan satu rakyat yang sama dan bersatu hati. Sehubungan itu, MCA boleh memberi insuran kepada orang Melayu yang bersedia untuk melepaskan DEB secara beransur-ansur dengan menutup sekolah Cina secara beransur-ansur juga. Apakah Datuk dan Cina bersedia untuk menutup sekolah Cina dan menjadi rakyat Malaysia yang sama dengan Melayu, India dan kaum lain? Atau, apakah sejarah akan berulang apabila 9 orang wakil dari Persatuan Cina Dong Jiong datang menemui dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memperkenalkan Sekolah Bestari, perintis sistem satu sekolah?



Datuk,

Tsunami politik 2008 membawa banyak masalah kepada Malaysia. Namun, masyarakat Cina percaya dalam krisis(masalah) wujudnya peluang. Peluang ini harus digunakan oleh UMNO, MCA dan MIC untuk terus kekal berkuasa dengan mengambil tindakan berani melahirkan 1Bangsa saksama dari 1Sekolah yang sama. MCA tidak boleh berlengah lagi kerana rakyat telah menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah “Raja”. Hampir 70% “Raja” di Malaysia adalah Melayu dan mereka berkuasa untuk menentukan Kerajaan yang bakal memerintah. Sungguhpun begitu ia tidak bermakna adalah bijak untuk mendengar setiap satu tuntutan 27juta rakyat tanpa menilai kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Malah, kegagalan memperhalusi tuntutan tersebut lalu membuat tuntutan melalui MCA tidak menggambarkan kematangan sebagai pemimpin semua kaum. Apakah pemimpin Cina mempunyai kriteria secukupnya untuk menjadi Perdana Menteri Semua Kaum jika tuntutan ini mengguris hati ramai Melayu selaku majoriti rakyat Negara Demokrasi ini. Malahan dikala tuntutan ini dibuat, Cina mahu kebebasan bersekolah Cina, yang memustahilkan usaha untuk melahirkan Bangsa Malaysia.

Di sebelah sana, Indonesia dan Thailand tidak dibezakan oleh etnik dan bisa diperintah oleh mana-mana rakyat, itupun adalah hasil kejayaan dari dasar mereka menIndonesiakan dan menThailandkan seorang Cina.



Datuk,

Rakyat berterima kasih atas keprihatinan Datuk menyuarakan kemahuan masyarakat Cina dan dalam masa yang sama memberi peringatan awal kepada Kerajaan kini, kegagalan untuk memenuhi tuntutan itu bermakna undi Cina tidak akan berpihak kepada Kerajaan. Sudah tiba masanya diwujudkan satu platform yakni badan pemikir bebas yang mendukong kemahuan semua rakyat iaitu melahirkan satu bangsa Malaysia seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Malah, Datuk boleh merintis impian semua rakyat Malaysia ini dengan memulakan usaha dan kempen penjelasan kepada masyarakat Cina pentingnya untuk semua rakyat Malaysia pergi ke Sekolah yang sama dan bukan Sekolah Cina. Jika Sistem Satu Sekolah tidak diterima semua rakyat Malaysia, maka impian rakyat untuk melahirkan bangsa Malaysia yang adil,merit dan saksama kekal sebagai sebuah mimpi di siang hari. Dan saya yakin, seratus tahun lagi, kita akan bercakap mengenai perkara yang sama, masalah yang sama, kerana kita tidak belajar dari Sejarah Negara yang berjaya.



Yang Berharap,

Mustaqim Abdul Rahman