Izinkan saya mengucapkan syabas kepada pementasan Teater Mokhtar Dahari. Beliau adalah Lagenda bola sepak Malaysia yang amat layak diangkat sedemikian rupa.
Umum mengetahui banyak masalah yang dibimbangi ramai berkenaan masa depan bola sepak Negara. FAM selaku badan induk kini menjadi sasaran mudah untuk diletakkan segala tanggungjawab dan kesalahan. KJ sebagai Menteri yang mewakili rakyat pula terpaksa membawa suara “keras” rakyat bersamanya sehingga dikecam biadap. Ramai tidak sedar mungkin KJ sudah berusaha menggunakan cara sopan tetapi tidak diendahkan, maka cara tunggal yang masih ada terpaksa diambil. “A man will do what he has to do”.
Dari saling menuding jari, marilah kita kembali berpegang pada akar permasalahan bola sepak Malaysia iaitu pemain, bukan FAM, bukan Menteri, bukan pengurusan Persatuan Pusat atau Negeri, bukan ulat tiket, bukan jurulatih, bukan strategi, bukan corak permainan dan bukan bola yang bulat, tetapi pemain. Malaysia tidak mempunyai pemain yang berkemahiran tinggi serta kebijaksaan bersukan seperti Eropah, Jepun mahupun Korea.
Jika kita tukar Menteri digantikan Pele, FAM digantikan FA England dan K.Rajagobal diganti Alex Ferguson sekalipun, bola sepak Malaysia tetap sama kerana ia pemain yang sama. Bagi melahirkan pemain yang berlainan dan hebat kita memerlukan bukan sahaja wang besar tetapi jiwa masyarakat yang besar juga.
Gergasi bola sepak dunia juga seperti kita memerlukan belanja yang besar yang diperoleh dari penajaan. Mereka ditaja syarikat Arak dan Judi dan apabila sukan tersebut sudah mempunyai rating yang tinggi maka berlumba-lumba segala jenis kelengkapan sukan dan jenama dunia mahu menaja. Peminat mereka juga memainkan peranan dengan membeli “Jersi dan Merchandise” tulen dan bukan tiruan dari "China".
Soalnya masyarakat majmuk Malaysia tidak dapat menerima tajaan arak dan judi dan sukar membuang tabiat membeli barangan cetak rompak. Walaupun tanpa tajaan arak dan judi, tetap masih ramai orang Islam Malaysia melanggani keduanya. Buktinya, Malaysia terkenal diseantero dunia sebagai Pusat Bookie Haram setiap kali Piala Dunia, Syurga Barangan Tiruan manakala Arak pula boleh dibeli dengan mudah dari premis yang terletak setiap 1km dari rumah.
Bayangkan, dengan wang yang besar gaji pemain Eropah dibayar sehingga mencecah berjuta ringgit sebulan. Justeru bola sepak menjadi antara kareer utama yang disasarkan ibu bapa mereka sejak anak sekecil 4 tahun.
Malaysia pula walaupun sudah berstatus profesional, kerjaya bola sepak tiada dalam senarai ibu bapa. Langsung tiada walaupun sebagai pilihan terakhir. Walaupun kita kuat mengkritik pemain Malaysia, tetapi kita tidak tegar membenarkan anak kita menjadi pemain bola kerana tiada masa hadapan yang jelas.
Untuk mengatasi masalah ini, Menteri boleh mengusulkan pada Parlimen agar diperkenalkan sistem persaraan pemain bola dimana rata-rata pemain bersara pada usia 30 tahun. Biasanya selepas bersara, kebanyakan pemain bola tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap. Kerajaan boleh menyediakan kursus peralihan bidang dan menjamin kerja untuk mereka samada dalam Kerajaan, GLC, mahupun Swasta. Kerajaan boleh perkenalkan pelepasan cukai khas kepada organisasi yang menggaji bekas pemain bola dengan kemahiran atau mungkin sebagai Pengarah Spiritual dan Mental Kakitangan.
Penajaan melalui arak dan judi dijangka akan mendapat tentangan masyarakat, maka Kerajaan boleh mengarahkan Astro menyediakan 3 Saluran Khas Liga Malaysia yang menayangkan semua perlawanan. Dengan sokongan peminat yang ditunjukkan melalui kritikan dan ditambah ketidaksanggupan menghalalkan penajaan “haram”, seharusnya mereka berlapang dada mengeluarkan RM 5 sebulan untuk melanggani Saluran Bola Tempatan Astro. Jika diambil kira dengan langganan mereka terhadap EPL dan juga rokok RM 12 sehari, apalah sangat RM 5 sebulan jika mereka benar-benar sayangkan bola sepak Negara.
Dengan pendapatan dan tajaan yang bernilai ratusan juta setahun mampu memberi gaji purata beratus ribu sebulan kepada pemain, dan dengan jaminan kerjaya selepas persaraan pemain bola sepak, ia akan memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap nilai sukan bola sepak Malaysia tetapi juga mampu mendorong minat ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka menceburi bidang bola sepak seawal usia.
Sayugia diingatkan, pemain kelas dunia bukan sahaja “gifted” fizikalnya malah memiliki kecerdasan akal yang tinggi. Malaysia mempunyai ramai orang yang memiliki kebijaksaan akal dan fizikal yang “gifted” tetapi memilih kerjaya profesional yang lebih terjamin.
Jika tanggungjawab melahirkan pemain berkelas dunia tidak bermula dari rumah kita sendiri, maka komen dan kritikan kita umpama menepuk air kotor dalam dulang, terpercik dan terpalit kotor muka sendiri.
No comments:
Post a Comment