ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, March 24, 2012

TEGAKKAN KEADILAN- DAKWA LELAKI DURJANA

Malaysia adalah sebuah Negara yang amat unik kerana mempunyai dua Mahkamah yang berlandaskan undang-undang Sivil dan Syariah. Hujahlah apa sahaja kerana yang terang lagi bersuluh, kedua Mahkamah ini berkomitmen tinggi dalam memberikan keadilan kepada Rakyat berbilang bangsa dan agama. Sungguhpun terdapat desakan agar Malaysia mengguna pakai hukuman berbentuk hudud kepada pesalah, adalah penting untuk kita mengkaji, menambahbaik dan menghayati semangat sistem keadilan sedia ada terlebih dahulu.

Selepas menghayati barulah kita bisa berbicara tentang impian melaksanakan undang-undang hudud. Ini kerana tanpa disedari kedua undang-undang Malaysia iaitu Sivil dan Syariah telah mengabaikan keadilan bagi wanita. Kajian perlu dilakukan agar hukuman terhadap salahlaku wanita ini dikongsi bersama dengan lelaki durjana. Ya, keadilan bagi kaum wanita yang dimaksudkan ialah jenayah buang, bunuh, jual bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Boleh dikatakan hampir setiap hari bayi tidak sah taraf dilahirkan di Malaysia. Bagi kaum wanita yang cekal “membesarkan” anak dalam perut selama 9 bulan 10 hari tanpa kehadiran bapa bayi itu, mereka nekad melahirkan dan menjaga anak mereka dan "disokong" oleh ibu bapa. Malangnya, ada kaum wanita yang berseorangan dalam hal ini malahan dicerca ibu bapa dan saudara sendiri. Mereka ini amat tertekan ibarat sudah jatuh ditimpa “gerabak keretapi” kerana serentak itu mereka ditinggalkan lelaki durjana. Tekananan yang mereka hadapi amat besar sehingga ada yang nekad membunuh bayi ketika dalam perut lagi.

Kita harus meminta maaf kerana kita terlepas pandang kemuliaan wanita bergelar ibu malang yang bertarung selama 9 bulan 10 hari seorang diri dengan tekanan, dosa, pandangan masyarakat, cacian ibu bapa, kejian saudara, kebencian, dendam, amarah, kecewa, sedih, takut, keliru, sakit, mual, pening, dan pelbagai lagi.


Dalam kepayahan dan kesengsaraan jiwa, rohani dan fizikal, ibu malang ini menggagahkan diri meneran anak dalam keadaan tidak bersedia dan berseorangan. Pasti tidak ramai ibu yang melahirkan anak seorang diri tanpa bantuan sesiapa dan apa-apa. Tekanan serta kekeliruan memuncak sehingga keperingkat “delusion” tahap kronik. Justeru selepas melahirkan bayi tersebut, mereka panik. Sehinggakan tangisan bayi comel memanggil ibu didengar seperti dimarah dan dikeji, manakala imej lelaki durjana timbul menggantikan wajah bayi comel ini.


Dalam keadaan yang cukup mendesak dan amat tinggi tekanan, ibu malang ini terpaksa membuat satu keputusan yang langsung bukan kemahuan mereka. Perlu kita ingat, mereka yang membuang bayi ini sudah menghadapi sengsara membesarkan bayi dalam perut mereka secara sembunyi dan tanpa bantuan serta sokongan sesiapa.

Fikirkan sejenak. Jika benar mereka tiada perasaan sayang langsung pada bayi tersebut, mereka sudah pasti menggugurkannya seawal mungkin. Sungguhpun ada yang mendakwa mereka takut sakit menggugurkan, namun hakikatnya, seorang ibu tetap seorang ibu, terutama selepas melihat darah daging mereka sendiri.Tiada ibu tergamak membuang, membunuh, menjual dan mengabaikan bayi yang mereka kandung jika ada walaupun sekadar seorang insan rapat terutama ibu bapa yang berada disisi mereka memberi sokongan.

Hakikatnya, ibu malang ini keseorangan sedangkan yang mendapat “kenikmatan” adalah lelaki durjana. Undang-undang sedia ada pula hanya memperuntukkan hukuman kepada pelaku buang, bunuh, abai, jual bayi dan kandung secara tidak sah tanpa mengenal pasti punca sebenar masalah ini.

Selama ini, keadilan tidak wujud untuk wanita yang dihukum kerana kesalahan buang,bunuh, abai, jual bayi dan kandung secara tidak sah hanya menghukum kaum wanita sahaja tetapi pelaku lelaki dibiarkan bebas untuk mendurjanai wanita lain pula.

Kita berharap dan merayu kepada mereka yang berkenaan memperjuangkan keadilan untuk wanita dan hak bayi tersebut di Parlimen, sebagai Dewan yang paling mulia bagi menimbangkan inisiatif dan menggubal undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

Seharusnya, wanita ini mengetahui dan bersedia mendedahkan siapakah lelaki durjana yang hanya tahu “mencipta” bayi tetapi mengabaikannya. Sungguhpun tiada bukti rakaman mahupun saksi yang menyaksikan perlakuan sumbang ini, tetapi DNA bayi dan DNA bapa mampu memastikan hak bayi untuk hidup dan dibesarkan, mampu memberi pembelaan sewajarnya kepada wanita dan paling tidak, mampu mengheret lelaki durjana tersebut untuk berkongsi hukuman dengan ibu yang dihukum buang, bunuh, abai, jual bayi dan kandung tidak sah.

Perlu diingatkan, keadilan bukan paksaan. Justeru, melaksanakan undang-undang yang mememaksa kedua pasangan ini berkahwin sebagai syarat mengugurkan dakwaan terhadap mereka hanya sekadar melepaskan batok di tangga.

Jika bayi tersebut mati, heretlah kedua lelaki dan wanita kemuka pengadilan. Dan jika, si ibu mahu mengagahi hidup membesarkan anak itu, dakwa Lelaki Durjana itu dan jatuhkan hukuman kos sara hidup anak keatas lelaki itu.

Jangan sesekali memaksa wanita yang dikhianati berkahwin dengan pengkhianat.

Saya 1000% pasti, tiada lelaki yang sanggup menjadi "lelaki durjana" kerana mereka perlu membayar harga yang mahal bagi kepuasan nafsu mereka.

Dan yang terpenting sekali, keadilan wanita akan terus dan senantiasa dilindungi serta ditegakkan.

1 comment:

Anonymous said...

Good reading, and i 110% agree about those lelaki yg x nak bertanggung jawab and menyara kos sara hidup.