Salam Hormat YAB Perdana Menteri,
Kami Rakyat Malaysia turut berasa sedih, marah, geram dan kecewa atas tragedi Adik Nurul Nadhirah Abdullah. Apa yang lebih menyakitkan kerana kami tidak mampu berbuat apa-apa sedangkan satu tubuh kecil dan halus dizalimi sehingga demikian rupa oleh Syaitanusia, malah lebih dari seorang. Tidak cukup dengan itu, jasad tubuh itu dibakar sehingga hangus. Peritnya hati kami, sedihnya jiwa kami, tidak setanding dengan apa yang dirasai kanak-kanak yang hanya berumur 5 tahun. Harapan kami Rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia sebagai Negara maju berkecai, kerana Negara maju digerakkan oleh Rakyat yang bernilai tinggi.
Kami Rakyat Malaysia sudah sangat penat mendengar kata-kata simpati, takziah, pelukan, dan lawatan yang biasa timbul hanya apabila ada musibah. Terlalu plastik dan pura-pura. Sungguhpun mungkin ia lahir dari hati para pemimpin dengan ikhlas, tapi kami sudah penat dan tidak lagi merasakan Malaysia adalah bumi selamat untuk didiami anak kecil tanpa pengawasan ibu bapa.
Jelas dalam tragedi ini, Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri tidak wajar dipersalahkan, kerana bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Pun begitu, bukanlah sesuatu yang sihat untuk Rakyat Malaysia memulakan budaya tuding menuding, salah menyalahkan dan kecam mengecam apatah lagi ia perkara yang mengorbankan nyawa. Tetap, sebagai pemimpin kepada anak kecil, orang dewasa harus memperhalusi segala kemungkinan dengan semangat yang buruk jadikan iktibar dan sempadan, yang baik jadikan ikutan dan tauladan.
YAB Perdana Menteri,
Izinkan kami bersuara dengan jujur tanpa mempedulikan perasaan setengah pihak. Kami sudah tidak tahan lagi dan tidak mahu nasib dan keselamatan anak kecil yang tidak berdosa tergadai kerana kecuaian. Cukuplah saban hari kami dijamukan berita di dada akhbar dan Media Sosial Facebook atas musibah yang menimpa anak kecil. Ada yang dtinggalkan dalam kereta dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci, ada yang lemas dalam kereta, ada yang dilenyek kereta bapa, ada yang tersedak susu, ada yang dibiarkan pergi ke pasar malam dan ke kedai seorang diri, ada yang terjatuh kedalam sungai dan bermacam-macam lagi. Sudah tentulah kita tidak menolak kuasa dan ketentuan Tuhan, namun jika ini terjadi kerana kecuaian kita orang dewasa, perasaan bersalah tetap ada sungguhpun bukan anak kita.
Kami Rakyat Malaysia mahu penyelesaian yang abadi. Kami sudah terlalu lama bersabar dengan membiarkan kanak-kanak teraniaya akibat kecuaian setengah pihak. Kami yakin Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri adalah Kerajaan yang adil lagi prihatin. Bantulah anak-anak kecil ini YAB Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri,
Bukanlah niat kami Rakyat Malaysia mahu menggangu jadual padat YAB Perdana Menteri.
Kami juga tidak berniat memperkecilkan peranan Menteri, Kementerian, Jabatan, Pegawai Kerajaan, Ketua Kampung, ibu bapa dan penjaga, tetapi dek kerana terlalu kerap ia menimpa anak kecil yang tidak berdosa, kami benar-benar sudah tidak tahan lagi. Hanya YAB Perdana Menteri sahaja yang mampu berbuat sesuatu demi kepentingan anak-anak kecil Malaysia.
Kami memuji pelbagai usaha Kerajaan dalam mendidik Rakyat seluruhnya, termasuk Kursus Kahwin yang diwajibkan bagi setiap pasangan yang ingin bergelar suami dan isteri. Namun, hadir di Kursus Perkahwinan tidak bermakna suami dan isteri sudah bersedia, jauh sekali bersedia menjadi ibu dan bapa. Kesakitan yang dialami oleh kanak-kanak kecil ini pasti boleh dielakkan, atau paling tidak dikurangkan jika ibu dan bapa dididik cara yang betul mengawal selia dan menjaga keselamatan anak kecil. Bukanlah jaminan, tetapi ia sebagai satu usaha kita sebagai orang dewasa.
YAB Perdana Menteri,
Sudilah kiranya jika YAB Perdana Menteri dapat mengarahkan agar Kursus Jagaan Anak diwajibkan bagi setiap pasangan yang baru berkahwin. Samada sebelum, baru seminggu, sebelum kelahiran anak pertama, ataupun modul tersebut dimasukkan dalam Kursus Perkahwinan, ibu dan bapa sewajarnya mendapat didikan sempurna jagaan anak dari menyusukan, pemakanan, sehingga memberi didikan sahsiah, rohani dan jasmani.
Paling tidak, dalam dunia IT serba canggih ini, Kursus tersebut boleh diadakan atas talian, atau melalui kaedah-kaedah Group dalam internet. Pasti, YAB Perdana Menteri mempunyai mekanisme yang sempurna bagi mendidik orang dewasa agar mereka dapat menjaga amanah dari Tuhan itu.
Kami pasti, usaha YAB Perdana Menteri bukan sahaja akan memberi lebih perlindungan untuk anak kecil, tapi juga akan meningkatkan persefahaman pasangan suami isteri dan mewujudkan keluarga bahagia.
Kami Rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih dan benar-benar berharap tragedi yang menimpa adik ini tidak sia-sia dan usaha yang menyeluruh dapat dimulakan dengan segera.
Terima Kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment