Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada rakan dan saudara terutama ibu yang berbangsa Cina. Sempena TBC ini, marilah kita menghayati Formula 5 Jari.
Malaysia adalah satu-satunya Negara dalam dunia yang amat unik.Kaum yang pelbagai ini bukan sahaja hidup dengan sejahtera tetapi juga bebas mengamalkan agama masing-masing. Tiada tempat dalam dunia selain Malaysia yang kita boleh lihat Gereja, Masjid, Tokong, Kuil berada berdekatan malah ada yang berkongsi pagar. Perayaan
agama bebas di sambut meriah, begitu juga upacara mati, perkahwinan dan lain-lain.
Sudah pasti untuk menjamin dan mengekalkan keadaan ini, banyak jiwa yang sengsara, banyak hati yang disakiti, banyak perasaan yang terguris, berjuta minda yang keliru, ada yang rugi wang dan harta, ada yang meraih dalam krisis, ada yang terjentik tersungkur, ada yang megah tapi kosong, ada yang mulia tapi hina, ada yang sabar tapi geram, ada ketawa dalam sedu, ada senyum dalam kelam, merajuk sarapan kita, diketepikan minum petang kita, perasaan seolah tertindas dan ditindas makanan utama kita setiap hari, begitulah kita dalam hidup bersama demi IBU PERTIWI tercinta.
Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula hubungan rakyat Malaysia berlainan warna. Setiap hari masalah sudah pasti timbul dan yang paling sensitif selalunya timbul akibat pertindihan kepentingan agama masing-masing. Kejayaan kita mengenepikan kepentingan kelompok dan tidak perjuangkan agenda kaum dan agama tertentu sahaja telah menghadiahkan kita Malaysia yang makmur seperti yang kita kecapi sejak sekian lama.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Malaysia mengundang rasa cemburu malah ada yang rasa terancam. Sudah pasti mereka-mereka ini akan mendapat keuntungan yang besar jika Malaysia porak peranda. Lebih dari itu, Malaysia mampu mencetuskan perang antara agama di seluruh dunia, atau sebaliknya iaitu mendamaikan semua agama di dunia. Yang pasti, ada yang tidak mahu kedamaian seperti kita di Malaysia.
Golongan ini tahu ekonomi mampu memaksa manusia keluar dari garis batas mereka. Ekonomi juga yang mengakibatkan dunia berhadapan dengan dua perang dunia. Ekonomi Malaysia pernah diserang berkali-kali untuk tujuan yang sama iaitu menghancurkan keamanan Malaysia.
Justeru, kesederhanaan adalah kunci kepada semua masalah. Global Moderate Movement sebenarnya merupakan “secret recipe” Kerajaan Malaysia. Ia berjaya dilaksanakan di Malaysia, sudah tentu ia berhasil untuk mana-mana tempat dalam dunia tidak kira Arab, Eropah, Asia, dan Amerika.
Sebenarnya, Malaysia hanya ada dua jalan untuk dipilih. Kehancuran atau kedamaian. Kedua-duanya kita pernah rasa sejak dahulu dalam membangunkan bersama-sama bumi indah kurniaan Tuhan ini. Suka diingatkan, Malaysiakini diancam lagi atas nama dunia tanpa sempadan, hak bersuara, globalisasi, teknologi dan banyak lagi. Kita sekali lagi diuji.
Sebagai anak campur saya tidak terelak untuk berfikir sebagai seorang Melayu, dan berperasaan seperti seorang Cina(vice versa). Dari kecil setiap kali saya persoalkan kenapa Melayu takut babi dan anjing, mengapa Cina suka berjudi, kenapa India suka minum arak dan beribu lagi, ibu pasti akan ceritakan formula 5 jari.
Hubungan antara kaum di Malaysia umpama 5 jari manusia. Setiap jari memerlukan jari yang lain untuk mengungsi dengan sempurna. Tanpa ibu jari, tanpa jari manis, jari tunjuk, jari hantu dan jari kelingking, tangan tidak akan mampu melakukan tugas. 5 jari ini pula tidak akan mampu bertugas tanpa tapak tangan iaitu simbolik Negara Malaysia.
Setiap jari memerlukan satu sama lain. Begitu juga India, Cina, Melayu, Singh, dan lain-lain, kita tidak akan berjaya tanpa sokong menyokong satu sama lain.
Krisis demi krisis berjaya kita atasi. Terima Kasih kepada anda semua tidak kira Melayu, Cina, India, Singh, Kadazan, Iban, dan lain-lain. Anda perlu mengucapkan Terima Kasih pada ibu bapa anda, saudara anda, rakan anda, dan paling penting pada diri anda sendiri.
Pengorbanan nenek moyang anda tidak sia-sia, begitu juga dengan pengorbanan anda dalam memastikan keamanan Malaysia, pasti cucu-cicit anda akan berterima kasih pada anda. Ingatlah, bumi Malaysia ini bukan anda wariskan kepada generasi hadapan, tetapi anda pinjam dari mereka.
Sempena Tahun Baru Cina ini marilah kita memulakan Tahun Naga ini dengan
menyemarakkan formula 5 jari.
Ingatlah, kita saling memerlukan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment